Dalam suatu pengajian selepas maghrib, beliau mengatakan ada orang yang menafsirkan ayat 77 surah al-Qasas secara tidak benar, iaitu ayat :
Hendaklah engkau tuntut dalam apa yang Allah anugerahkan kepada engkau pada Negeri Akhirat, dan jangan engkau lupa bahagian engkau daripada dunia, dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepada engkau dan jangan engkau lakukan fasad di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melakukan kefasadan.
Dia mengatakan bagaimana boleh ditafsirkan bahagian engkau daripada dunia sebagai kekayaan dan kesenangan?. Dia bertanya kepada siapa ayat ini dihadapkan?, Bukankah ayat ini adalah rakaman nasihat yang diberikan oleh golongan beriman dari kalangan Bani Israil kepada Qarun, ianya dihadapkan kepada Qarun yang telah dimaklumi hidupnya tersangat kaya dan terlalu mewah. Apa munasabahnya golongan yang beriman yang tertindas dan terancam oleh kekejaman Fir'aun telah memperingatkan Qarun yang kaya-raya dan memang melupai Allah agar jangan melupakan bahagiannya di dunia: dengan maksud kekayaan dan kesenangan?
Saya bertanya kepada beliau: jadi apakah tafsir yang sebenar kepada ayat tersebut?. Secara spontan dia menjawab :bukalah sendiri kitab tafsir !. Saya jadi terkilan dan tercabar, terutama yang dipersoalkan oleh beliau itulah kefahaman yang kita diajar selama ini, semanjak dari bangku sekolah. Sampai saya di rumah, saya telah melihat tafsir Imam al-Baghwi tentang ayat tersebut.
Saya jadi kaget dan terkedu ketika membaca kisah Qarun. Qarun seorang yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Saiyyidina Musa dan ahli ibadat yang sangat tekun sepanjang masa. Ketika beliau sedang berada dalam bilek ibadatnya, beliau telah disertai oleh seorang lagi yang jauh lebih tekun beribadat daripadanya. Tanpa beliau menyedari orang itu adalah iblis sendiri. Iblis mengesyurkan agar mereka berniaga sehari dalam seminggu, demi mendapat biayaan untuk makanan bagi seminggu, selepas lama berhujjah Qarun menerima cadangan itu. Kemudian iblis mengesyurkan agar mereka berniaga selama 2 hari seminggu agar mereka mempunyai lebihan pendapatan dan dengan itu dapatlah pula mereka bersedeqah, sememangnya pahala sedeqah itu begitu besar sekali. Qarun enggan pada mulanya kerana bimbang ibdatnya akan terganggu tetapi akhir akur kepada hujjah iblis. Kemudian iblis mengesyurkan agar mereka berniaga 3 hari seminggu, dengan itu mereka mempunyai makanan untuk seminggu, ada lebihan untuk bersedeqah dan ada lebihan lagi untuk menabung yang boleh digunakan untuk makan dan bersedeqah ketika mereka tidak berdaya berusaha. Qarun tidak bersetuju kerana sayangkan ibadatnya tetapi akhirnya dapat menerima logik iblis yang memang bijak menggoda. Iblis meninggalkan Qarun bersendirian selepas itu, Qarun semakin berjaya dalam perniagaannya sehingga beliau meninggalkan terus ibadatnya dan menjadi seorang yang sombong dan angkuh dengan keupayaan dirinya. Jadilah Qarun sebagai Qarun yang dikenali ramai!
Kepada Qarun itulah rakaman nasihat dalam ayat 77 surah al-Qasas itu ditujukan. Bagaimanapun saya menjadi sangat takut membaca kisah tersebut, menyedari niat saya berusaha tidaklah semurni niat Qarun, ibadat saya tidak mempunyai apa-apa timbangan berbanding dengan kesungguhan Qarun mengasingkan diri untuk beribadat. Kalaulah Qarun yang sedemikianpun dapat diperdaya oleh iblis, apalah saya yang serba kekurangan ini dapat menyelamatkan diri. Tanpa inayah daripada Allah, saya pasti binasa seumpama Qarun, tidaklah saya lebih baik daripadanya! Hanyalah pertolongan Allah sahaja yang dapat menyelamatkan saya.
Pada pengajian minggu berikutnya, saya memberitahu guru saya itu yang saya mulanya terkilan kerana beliau tidak memberi tafsiran kepada ayat yang dikatakan telah disalah-tafsirkan oleh sebahagian orang pada hari ini, tetapi selepas itu saya sedar dan ingin berterima-kasih atas jawabannya kerana jawaban yang tajam itulah yang memaksa saya merangkak dalam memahami tafsir dan cerita Qarun tersebut. Beliau tersenyum dan mengatakan sebahagian tafsir menyebut bahagian engkau daripada dunia bermaksud hayat engkau di dunia dan ada yang menafsirkan sebagai persedian kain-kafan untuk kematian engkau.
Begitulah cara guru menyampaikan ilmu, secara langsung dan secara tidak langsung. Secara yang kita rasa gembira dan secara yang kita terasa terkilan pada awalnya.
Perkenalan dengan guru saya ini merupakan antara anugerah istimewa Allah kepada saya; terutama ketika masyarakat sekeliling tidak dapat menilai ketajaman faham dan keluasan pemikiran yang dimiliki oleh beliau.
Sebulan sebelum beliau menemui ajalnya, saya telah bermimpi diberitahu orang yang guru saya telah meninggalkan dunia. Saya benar-benar menangis dengan amat sangat, sehingga isteri saya mengejutkan saya dari tidur kerana beliau tersedar akibat suara tangisan saya yang kuat. Kemudiannya saya memberitahu kepada beliau tentang mimpi saya dan mengatakan mengikut orang tua-tua sekiranya kita bermimpi sesesorang itu meninggal, ini bermakna dia akan hidup lama lagi. Guru saya sekadar tersenyum tanpa sebarang jawaban.
Ketika beliau benar-benar meninggal, memang saya benar-benar sedih dan pilu, rasa yang saya menjadi terlalu yatim. Kehilangan orang yang saya menumpang ilmu, orang yang saya meminta nasihat dan orang yang saya junjung tinggi dalam kehidupan saya. Saya menangis dengan tangisan yang panjang, sedangkan ketika ayah saya sendiri, bapa dan ibu mertua saya meninggal, tidak setitikpun air mata saya yang mengalir. Ketika mereka ini meninggal, apa yang ada dalam pemikiran saya ialah untuk memenuhi tanggung-jawab dan mengatur pengkebumian mereka.
Rupanya guru saya ini hidup lama dalam ingatan saya, kasih dan rasa kehilangannya masih tidak dapat saya pinggirkan. Dalam banyak suasana kehidupan yang saya lalui, kata-katanya masih menjadi panduan kepada saya. Semoga Allah merahmati ruhnya, semoga saya terus menumpang keberkatan ilmu dan amalnya di dunia ini dan di akhirat kelak.
subhanallah. mohon share ya
ReplyDelete