Wednesday, July 15, 2009

Manik Urai: Suatu Renungan ( part1)

Keputusan pilihanraya Manik urai kali ini adalah sangat menarik untuk direnungi bersama, antaranya:

1- Pilihanraya kecil ini sepatutnya dibandingkan dengan PRK Pengkalan Pasir: banyak persamaannya. Antaranya kedua-dua pihak yang bertanding dapat menyaksikan bagaimana kemudahan asas di kawasan ini telah terabai. Ianya tidak ditangani dengan sebaiknya oleh wakil rakyat PAS sebelum ini dan juga oleh wakil rakyat UBN (yang menang pada piliharaya 2004). Pas datang dengan ceramah dan propaganda bertemakan membongkar penyelewengan kerajaan BN, sambil tumpang gagah kepada pimpinan TGNA. UMNO datang dengan janji-janji lunak pembangunan dan projek kemajuan, sambil tumpang gagah dengan stail pimpinan baru PM Najib.

Siapa yang menabur janji? TPM dan menteri-menteri kabinet sendiri, mereka berjanji akan bertungkus-lumus menyelesaikan projek-projek yang dapat memberi keselesaan kepada penduduk. Siapa yang tidak akan percaya? Semuanya kelihatan menyakinkan. Manik Urai seakan-akan akan bertukar menjadi sebuah kampong yang lengkap infra-strukturnya, nasib rakyatnya akan terbela.

Pas pula memburuk-burukkan BN, Pas tidak datang dengan janji-janji se-konkrit BN dalam usaha membangunkan Manik Urai, membela nasib rakyat di sini. Ada pula yang menakut-nakutkan rakyat supaya tidak menyokong BN dan mereka tiada pilihan kecuali menyokong Pas kerana itu adalah perentah agama. Islam telah dijadikan modal ceramah dan propaganda, rakyat tidak disediakan ruang untuk membandingkan (1)kecekapan pentadbiran Pas- berbanding Umno (2) perlaksanaan projek oleh Pas untuk kebajikan rakyat berbanding Umno (3) ketelusan dan pertanggung-jawaban pentadbiran Pas berbanding Umno (4) keprihatinan Pas kepada rakyat berbanding Umno.

Sehingga-hingga penekanan kepada rakyat agar menyokong Pas atas dasar agama boleh merimaskan, seakan-akan penyertaan Pas dalam pilihanraya itu adalah tuntutan dasar agama. Tidak menyokong Pas maknanya tidak menyokong Islam. Kalaulah itu yang mahu difahamkan kepada rakyat, tentu gaya kehidupan sebahagian wakil-wakil rakyat Pas tidak sebagaimana yang kita tonton pada hari ini. Mereka menang atas nama agama, wang gaji dan elaun mereka dapat atas nama perjuangan agama, adakah wajar wang itu dibelanjakan untuk sesuatu yang tidak berfaedah dari segi syara? Adakah wajar wakil rakyat yang menang atas nama perjuangan agama tidak mengoptimakan tugasannya sebagai wakil rakyat dalam parlimen, Dewan Negeri dan di kawasan masing-masing secara sebaik mungkin? Adakah tergamak mereka menggunakan kereta mewah, membina rumah yang melepasi had keperluan, sedangkan apa mereka dapat itu adalah harta wakaf perjuangan agama, itupun sekiranya kita telan bulat-bulat propaganda mereka ketika berkempen!

Pas sepatutnya lebih membumikan agenda perjuangan, biarlah banyak butiran yang berkisar tentang kehidupan harian rakyat. Kalaupun berpaksikan ajaran agama, bukankah agama kita menyebut golongan yang membohongi agama adalah golongan yang menherdik dan tidak memberi makan kepada golongan miskin, yang membiarkan anak yatim. Sudah tentu, tema kerajaan berkebajikan itu diperkasakan, ianya mudah difahami, senang dihadam oleh semua golongan dan boleh dinilai oleh rakyat dengan mata kasar. Biarkan rakyat mengatakan Pas adalah parti Islam kerana tingkah-laku wakil rakyatnya, kerana rancangan kebajikannya, kerana kecekapan (itqan) dalam mengurus dan mencari sumber, bukannya kerana penggunaan 'ana- anta' dan lain-lain sobekan luaran.

2-Manik Urai dibanjiri dengan huluran kebendaan menjelang pilihanraya. Nampaknya telah menjadi suatu kelaziman bagi parti politik yang mereka mahu menang, berkhidmat dan membantu rakyatpun untuk menang, hampir semua tindakan untuk menang. Maka mejelang pilihanraya raya umpama di Manik Urai, banyaklah tawaran kebendaan yang dihulurkan oleh kedua pihak, rakyat minta satu mungkin 2 yang dapat. Umno banyak menghulur, Pas pun banyak menghulur. Sama-sama hulur. Entah berapa banyak yang telah dihulur. Mungkin sahaja jumlah yang dihulur Umno melebihi apa yang pernah dihulur dalam masa sepenggal Umno memenagi Manik Urai, mungkin sahaja jumlah yang dihulur Pas melebihi apa yang pernah dihulur oleh Allahyarham Pak su Weil sebagai wakil rakyat.

Konsep menang untuk membantu rakyat, membela nasib rakyat adalah idealisme yang sebenarnya telah dilupakan. Konsep sekarang yang dianggap lebih praktikal ialah bantu rakyat untuk menang. Maka sogokan kebendaan menjadi pilihan kepada parti-parti yang bertanding. Agaknya besar manafaatnya sekiranya dapat dinaikkan bill-board besar-besar yang mengatakan: pendirian pengundi bukan untuk dijual-beli atau tolak parti yang membeli undi atau parti yang beli undi adalah bacul dan pengkhianat. atau lawan habis-habisan sikap berbaik-baik di musim berkempen sahaja. Agaknya mesej seumpama ini dapat menyedarkan parti yang berlawan dan pengundi tentang kemulian harga-diri mereka dan peranan sebenar wakil rakyat. Ianya juga mungkin dapat menolong memurnikan budaya pilihanraya di negara kita yang semakin berwajahkan kebendaan dan keprihatinan yang terlalu bermusim.

No comments:

Post a Comment