Nama Manik Urai bagi saya adalah begitu menarik, adakah ianya merujuk kepada manik yang digunakan sebagai perhiasan wanita atau sesuatu yang berkilau umpama manik dan berkeadaan terurai?. Nama yang bunyinya sungguh klasik.
Kawasan ini 30 tahun yang lalu adalah dikira sangat sukar untuk diterokai, belum ada jalan raya yang berturap, kenderaan utamanya adalah melalui sungai. Tetapi sekarang Manik Urai tiada bezanya dari kampong-kampong di pinggir bandar. Coverage line handphone pun tiada ada masaalah di kebanyakan tempat di Manik Urai.
Pilihanraya kecil Manik urai telah menjadikan Manik Urai sebagai sebutan bagi ramai orang, termasuk pemimpin-pemimpin tertinggi negara. Para pemimpin dari parti-parti yang berbeza berulang-alik ke kawasan ini, BN menjanjikan Manik Urai sebagai anak emas mereka, PAS pula menyebut Manik Urai berkat di bawah pimpinan Tok Guru.
Selain daripada gambar calun dan tokoh-tokoh parti yang bertanding, terdapat banyak juga kain rentang BN yang menunjukkan TGNA sedang bersalaman dengan Lee Kuan Yew, kain rentang PAS yang menunjukkan gambar Tun Mahathir yang mengandungi kata-kata Najib Gagal dalam 100 Harinya . Kita dapat memerhati teknik dan strategi perang saraf yang berwarna-warni dan menarik di sepanjang-panjang jalan.
Kebetulan pilihanraya ini diadakan pada musim durian meluruh, maka banyaklah longgokan durian untuk dijual di sana sini, bahkan buah-buahan lain dan perkara-perkara lain juga turut diperniagakan. Sungguh meriah.
Lorong-lorong kecil pula baru berturap, ada tempat yang batu-batu quarry masih bertimbun kerana terlebih dariapada yang dapat digunakan. Minggu-minggu sebelum pilihanraya ini menyaksikan penduduk Manik Urai dianugerahkan mulut masin, barang pinta barang jadi. banyak pihak begitu prihatin terhadap kebajikan dan keselesaan penduduk di kawasan ini yang mungkin sebelumnya terbiar. Yang sakit diziarahi, yang susah dibantu, pelajar diberi habuan, petani-penternak diberi anak ternakan dan baja. Tiada syak lagi slogan PM Najib rakyat diutamakan telah dihayati sepenuhnya dalam seminggu dua ini di Manik Urai oleh semua pihak yang berkepentingan.
Dalam banyak keadaan suasana hari mengundi agak terkawal kecuali beberapa insiden kecil yang tercetus akibat suasana panas kerana budaya juah-menjuah antara penyokong parti yang bertanding dari seberang jalan. Hal ini berlaku juga walaupun dalam kehadiran polis yang terlalu banyak bilangannya. Saiz pos polis di Laloh mengalahkan mana-mana pos parti-parti yang bertanding. Bilangan polis juga tidak kurang banyaknya di merata-rata tempat. Entah mesej apa yang hendak disampaikan oleh KPN Musa Hassan?
Kehadiran golongan bukan Melayu untuk menunjukkan sokongan kepada parti yang berlawan agaknya lebih ramai di pos-pos PAS daripada pos BN, mereka ini kelihatan begitu bersemangat.
Pilihanraya kecil ini diadakan ketika survey Merdeka Center menunjukkan populariti PM Najib sedang meningkat secara agak memberansangkan. PAS pula diamuk masalah dalaman dengan isu Unity Goverment yang belum berhabisan. Ketika tuntutan royalti petroleum oleh pihak Kelantan di suarakan. Dan TPM Muhyiddin hampir-hampir berkampong di Manik Urai sepanjang tempuh berkempen. Menteri-menteri mempunyai aktiviti kementerian masing-masing di kawasan ini.
Fauzi Abdullah telah diisytiharkan menang dengan majoriti yang sedemikian merosot, walaupun kemenangan dengan satu dua undi pun layak dianggap sebagai kemenangan besar apabila melihat kepada intensifnya kempen yang dilakukan, sengitnya usaha untuk memenangi hati rakyat, banyaknya wang ringgit yang tercurah semada dalam bentuk projek, bantuan, hadiah atau tidak kurang yang tersekat dalam poket-poket aktivis parti.
Persoalannya adakah kebajikan Manik Urai akan diterus diprihatin sebagai di waktu kempen, apakah ianya akan terus dijadikan anak emas, adakah ia akan berkekalan mendapat keberkatan pimpinan Tok Guru? Adakah yang sakit, mati dan kesusahan akan terus dibantu?
Yang jelasnya longgokan durian yang banyak kerana buah durian menjadi pada tahun ini akan agak sukar untuk dijual secara terus kecuali kepada peraih yang masuk keluar kampong dengan lori kecil. Jalan yang sesak di Sg Pas - Chucuh Puteri- Sg Sok- Laloh- Karangan akan mulai sunyi. Yang tinggal hanyalah poster-poster yang masih tertampal di sana sini sebagai tinggalan kemeriahan Manik Urai di musim ianya mendapat berkat dan ditatang sebagai anak emas.
Semua ini bermula dengan Pak Su Weil, semoga Allah mengampuni kekurangannya dan mengiranya daripada golongan yang mendapat rahmat-Nya!
No comments:
Post a Comment