Bahagian timur dan utara tanah air kita dahulunya mempunyai banyak pusat-pusat pengajian pondok. Kita tidak tahu dengan tepat asal-usul pengajian pondok, tetapi kita tahu kaedah pengajian pondok yang hampir sama di setiap pelusuk nusantara ini. Pondok mempunyai tuan guru, yang di sebahagian kawasan dipanggil Kiyai, baba atau tengku. Belajar secara talaqqi dalam pengajian halaqah. Teks yang digunakan akan dibaca dari ayat pertama pada muka yang pertama sehingga ayat terakhir pada muka terakhir. Sekiranya guru mempunyai sanad kitab yang dibacanya sehingga kepada pengarangnya, maka itu dianggap bonus. Pelajar-pelajarnya tinggal di kawasan pengajian yang dipanggil pondok, pesanteran atau dayah itu. Selain daripada mengaji kitab, pelajar juga dititik-beratkan dalam amalan-amalan ibadat, paling kurang dalam bersembahyang secara berjamaah.
Pengajian pondok menjadi semakin malap kerana saingan daripada sistem pengajian lain yang lebih menjamin pekerjaan kepada para pelajar, kerana sistem pondok yang sangat terikat kepada batang-tubuh gurunya (guru centric), kerana dipandang lapuk, kerana dianggap lubuk aliran kaum tua (yang pegangannya dan amalannya tidak bersifat salafi).
Pondok telah banyak berjasa kepada masyarakat Islam di tanah air kita, Pondok bukan setakat mengajar rubu' ibadat pada peringkat pemahaman teks, bahkan pondok menghidupkan suasana ibadat itu dalam masyarakat kecilnya; Sebagai contoh, jarang kedengaran pelajar pondok yang tidak tahu sembahyang jenazah, tidak tahu urusan jenazah yang lain, tetapi agak tidak janggal untuk kita temui pelajar pengajian Islam di peringkat universiti sekalipun yang agak kekok dalam mempraktikkan amalan-amalan tersebut.
Biasanya pelajar pondok diasuh untuk menguasai nahu dan saraf arab dengan nisbah yang jauh lebih detail daripada apa yang diajar di institusi pengajian moden, walaupun keupayaan pelajar pondok untuk berkominikasi dalam bahasa arab agak ketara lemah. Sistem pengajian pondok mempunyai kekuatan-kekuatannya yang tersendiri, walaupun memang diakui terdapat kelemahannya.
Agak memeranjatkan di Kelantan terdapat desas-desus yang satu-satunya pondok yang dikendali oleh kerajaan PAS Kelantan melalui Yayasan Islam Kelantan itu dikatakan akan diserahkan kepada sebuah KIAS , sebuah IPTS. Apa rationalnya pihak berwenang negeri, atau ahli exco-nya, Dato Nik Amar , secara khusus mahu menamatkan dan meniadakan satu-satu pusat pengajian secara pondok kendalian kerajaan yang ada itu?
Kalaulah desus-desas itu ada asasnya, sudah tentu ia membayangkan antara lain tanggapan Dato Nik Amar secara pribadi terhadap pengajian secara pondok. Tidaklah adil untuk kita sekiranya tidak menyebut yang Nik Amar lahir dan membesar dalam persekitaran pondok Panchur, walaupun beliau telah kemudiannya mengikut pengajian di universiti tempatan dan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di universiti di UK. Ertinya Nik Amar telah terdedah kepada pengajian secara pondok, secara sekolah arab-agama, secara di universiti tempatan, dan belajar di bawah selian orientalis di UK di peringakt sarjana. Sekiranya benar desus-desas itu sekalipun Nik Amar sedar apa yang dirancangnya.
Sebenarnya secara jujur, Nik Amar belum menunjukkan apa-apa pembaharuan yang ketara atau yang high-impact kepada pengajian agama di Kelantan sehingga kini. Beliau kelihatan sekadar menyambung tugas exco sebelumnya tanpa kreativiti yang tertonjol. Kalau ada pun, Nik Amar sekadar berjaya menyerahkan beberapa sekolah kelolaan YIK kepada Kementerian pada suatu masa dahulu; dan langkah itu tidak memerlukan daya kreativiti yang tinggi pun.
Timbul persoalan kenapa kerajaan Kelantan yang menonjolkan imej Serambi Makkah, Negeri Tadahan Wahyu pun tidak berminat untuk memulihkan suatu aliran pendidikan Islam yang telah banyak berjasa dan terbukti berjaya sebelum ini? Adalah suatu perkara yang maklum, bangunan lama sekalipun , ada gelegar yang perlu dibaiki, ada atap yang perlu ditukar, tetapi struktur utamanya yang masih utuh selayaknya dipelihara. Dalam zaman kepelbagaian aliran pengajian digalakkan dan diraikan, umpama home learning, e-learning, virtual university dan lain-lain, kenapa kerajaan Kelantan tidak dapat meraikan kewujudan sebuah pengajian secara pondok dengan kelainannya di bawah kelolaannya?
Apa uniknya mengaji agama di Kelantan sehingga layak dipanggil Serambi Makkah, kalau sekadar KIAS, apa istimewanya belajar agama di KIAS berbanding di UM, UKM, USIM, UDM dan lain-lain IPTA dan IPTS yang ada bercambah di pelusuk negara? Sangat diharapkan desus-desas itu tidak benar, semoga Nik Amar tidak sebagimana yang disangka oleh pelajar-pelajar pondok Kandis.
TGNA pernah dalam wawancaranya di akhbar tempatan mengatakan antara kekuatan Pas di Kelantan adalah kerana kewujudan pusat-pusat pengajian pondok, TGNA mengatakan beliau mahu menumpang kekuatan itu. Tentu Nik Amar juga faham waqie' itu, walaupun kita tidak tahu berapa kalikah Nik Amar telah membuat lawatan ke pondok-pondok di Kelantan dalam rangka untuk membaik-tingkat prestasi pondok-pondok tersebut, atau paling kurang untuk menyelami permasalahn tuan-tuan guru dan pengajiannya.
Kita tahu mungkin benar kecenderungan pribadi Nik Amar terhadap bentuk kefahaman dan huraian agama berdasarkan aliran yang digelar aliran salafi. Aliran yang menilai pegangan dan amalan agama secara tradisional terutama di kalangan warga pondok sebagai aliran dan ajaran islam yang tidak murni dan tulen. Tentunya kalau sekiranya terdapat kecenderungan tersebut sekalipun , Nik Amar sudah pasti akan mengambil sikap lapang-dada, menerima perbezaan dengan penuh adab dan mengetahui aliran mana yang dominan dalam kalangan ulama zaman berzaman. Huraian agama salaf--najdi adalah agak sempit untuk merangkumi ulama dan ummah yang terdidik di Al-Azhar. di Deoband, dalam jamaah tabligh, dalam Ikwan al-Muslimin, atau Jamaah al-Islami sekalipun.
Tenaga utama KIAS memang mempunyai imej sebagai berkecenderungan kepada aliran salafi-najdi; kita bimbang sekiranya Pondok Kandis diserahkan kepada KIAS; ianya akan membenarkan tanggapan terdapat usaha yang tersusun untuk mempinggirkan aliran Asya'irah-mazhabi kerana mahu menobatkan aliran salaf-najdi di Kelantan ini!
sejujurnya saya mengalami transisi pembelajaran dari suasana tahfiz dan pengajian kitab ala deoband seterusnya pondok tradisi melangkah pula ke alam kolej dan universiti tempatan..masing-masing ada ruang yang perlu ditambah dan diperbaiki tetapi jangan sesekali menidakkan kehebatan pondok tradisi.saya mengalaminya dan saya percaya bahawa sistem pondok moden ini boleh bergerak sealiran dengan arus pembelajaran perdana..masih terkenang saat menadah kitab dengan tuan-tuan guru dan helaian kitab 'kuning' yang begitu tinggi ilmunya..
ReplyDelete