Umumnya masyarakat Islam di tanah air kita menganggap peristiwa isra mikraj berlaku pada malam 27 Rajab setahun sebelum persitiwa hijrah Rasulullah ke Madinah. Walaupun tarikh peristiwa ini berlaku itu dipertikaikan oleh para ulama, pengajaran daripada peristiwa besar ini sentiasa relevan bagi kita, tanpa sangat terikat kepada tarikhnya.
Bulan Rajab adalah salah suatu daripada 4 bulan haram , selain daripada 3 bulan haji, di dalam taqwin Islam. Ianya dianggap bulan yang mempunyai keistimewaannya yang khusus. Walaupun kita sukar mencari hadith sahih yang menerangkan amalan-amaln khusus dan kelebihan bulan rajab secara tersendirinya, tetapi kita semua menerima kelebihan beribadat dalam bulan-bulan haram. Atau kita akan dapati kelebihan bulan rajab apabila kita mengamati kelebihan bulan syaaban. Rasulullah banyak berpuasa di dalam bulan Syaaban, melebihi puasa baginda daripada mana-mana bulan yang lain kecuali Ramadan. Di situ Rasulullah menerangkan kepada kita yang baginda suka beribadat ketika manusia ramai alpa, manusia ramai memberatkan ibadat dalam bulan Rajab dan Ramadan, dan terlepas pandang Syaaban. Peringatan Rasulullah itu sungguh cukup menunjukkan sikap para sahabat dan salaf as-soleh dalam memberi perhatian khusus kepada bulan Rajab.
Terdapat suatu trend yang suka membid'ahkan amalan-amalan ibadat yang dinilai mereka agak intensif, termasuklah berpuasa dalam bulan Rajab. Mereka akan berhujjah yang ibadat itu tidak mempunyai nas, atau hadithnya daif. Ada yang berhujjah dengan peringatan Rasulullah kepada Abdullah bin Amru, agar menyederhakan intensiti ibadat beliau yang sentiasa berpuasa tanpa henti, yang bersembahyang malam tanpa rehat, yang membaca al-Quran siang dan malam, yang kerana tumpuannya itu beliau tidak menyentuh isterinya serta kurang memberi perhatian kepada keperluan tubuh-badannya.
Tulisan yang terbaik oleh ulama semasa yang menangani trend ini ialah tulisan al-Alim al-Muhaddith Syaikh Abdul Fatah Abu Ghuddah. Selain daripada itu, kenapa umum tidak dapat memahami suasana di Madinah zaman Rasulullah yang begitu segar dan kondusif bagi ahli masyarakatnya berbuat ibadat? Sehingga-hingga Rasulullah terpaksa memperingati mereka tentang tanggung-jawab lain yang mereka juga perlu lakukan.
Kita hidup dalam masyarakat yang lalai, yang tidak menitik-beratkan ibadat bahkan masyarakat yang menjadikan kemajuan kebendaan itu sebagai matlamat tertinggi kehidupan bermasyarakat ini. Apabila golongan yang mahu memurnikan amalan daripada apa yang dianggap bid'ah ini berhujjah yang ibadat itu dan ibadat ini tidak mempunyai nas, hadith yang dijadikan sandaran itu daif; kita yang sememangnya malas ini akan menjadi lega, merasa diri kita yang segan beribadat itu lebih islamik daripada golongan yang beribadat berdasarkan anjuran ibadat itu hanya kepada hadith-hadith yang didakwa daif. Sehingga dalam keghairahan itu, kita kerap terlupa yang hikmah kejadian kita ini adalah untuk beribadat kepada Allah.
Ada pula yang berhujjah ibadat bukan setakat sembahyang, puasa, berzikir dan seumpamanya, bahkan berkelah, bersukan, bersosial, berpolitikpun adalah ibadat. Memanglah begitu untuk golongan yang mempunyai kesedaran kerohanian yang tinggi. Sedangkan bagi kita ini , sekiranya sembahyang kita, puasa kita , tilawah kita, zikir kita dikira ibadat oleh Allah kerana hadir hati kita, kerana wujud ikhlas kita, kerana khusyu' kita, maka itu adalah anugerah besar daripada Allah. Kalu sekiranya ibadat-ibadat sebegini pun, sukar untuk kita hadir hati, untuk kita murnikan keikhlasan, kita khusyu, maka bagaimana kita berangan-angan yang perkelahan kita, sukan kita, politik kita itu akan dikira sebagai ibadat?
Kita kadang-kadang tertanya apa matlamat sebahagian daripada golongan yang mahu melaksanakan usaha islah dan tajdid dalam ummah ini sekarang?. Mereka banyak membid'ahkan tanpa menyarankan apa yang sunnah. Dalam penghujjahan mereka, terbayang yang mereka mempunyai fahaman yang meremehkan para ulama silam, kelihatan keangkuhan mereka dalam mendaifkan hadith-hadith tertentu yang diterima oleh sebahagian ulama hadith lantaran mereka taksub kepada pendapat seorang pengkaji hadith semasa semata-mata. Kelihatan kecenderungan mereka kepada penggunaan fikiran mereka sendiri walaupun terserlah kecetekan jangkauannya. Ya Allah selamatlah kami daripada tipu daya syaitan yang mengambil rupa usaha pengislahan dan tajdid ini!
No comments:
Post a Comment