Friday, July 10, 2009

Perjalanan Penat Yang Menyeronokkan

Di dalam kehidupan kita, ada beberapa perjalanan dan pengembaraan yang akan kita kenang kerana ianya membawa makna dan pengajaran kepada kita. Pergembaraan adalah sesuatu yang memenatkan, sehingga syariat ini menyediakan beberapa kelonggaran untuk orang yang bermusafir. Tetapi rontaan untuk mengembara sentiasa bergelonjak dalam perasaan kita, hanya rontaan itu tersekat kerana kekurangan wang, kesuntukan masa, ketiadaan kenalan dan kemudahan serta lain-lain pertimbangan.

Dalam al-Quran sendiri terdapat ayat-ayat yang mengesurkan 'intisyar', agar kita bertaburan di bumi untuk memerhati tanda-tanda kebesaran Allah, mengamati Sunnah Allah yang tiada berubah itu, melihat kesan azab kepada kaum yang pernah durhaka, Di dalam hadith pula terlalu banyak anjuran supaya kita berpergian, seperti berpergian kerana menuntut ilmu, berhijrah kerana menghidupkan amalan-amalan agama, berdakwah dan berjihad.

Dua perjalanan yang besar di dalam kehidupan Rasulullah yang sentiasa dikenang oleh ummah baginda:
1- perjalanan malam Isra Mikraj- pengembaraan jasad dan ruh baginda dari Makkah ke Masjid al-Aqsa, kemudiannya diperjalankan baginda sehingga Sidratu al-Muntaha. Baginda dipertontonkan dengan lokasi-lokasi yang mempunyai kepentingan dari segi sejarah dakwah dan amalan agama. Baginda diperlihatkan dengan ibarat-ibarat ganjaran baik-buruk perlakuan ummah baginda, baginda dibawa melawat syurga dan neraka, baginda dipermuliakan dengan berhadap wajah dengan Allah, dalam pengalaman kerohanian yang kemuncak, tanpa dapat disifatkan dan digambarkan pada paras penglaman manusiawi.

Sebelumnya ketika dalam perjalanan ini baginda diganggu oleh syaitan yang dizahirkan seumpama api yang menyala-nyala, baginda bertemu para rasul yang mendahului baginda, sehingga-hingga para rasul berhimpun dalam sembahyang jamaah yang diimami oleh baginda sebelum baginda diangkat ke Sidratu al-Muntaha. Baginda diangkat dari satu lapisan langit ke satu lapisan yang lain, disambut oleh penghuni langit dengan meriah sekali.

Semua pengalaman perjalanan yang penuh pengertian ini berlaku ketika baginda berkeadaan sangat tersempit, baginda baru pulang dari Taif selepas dilayan dengan buruk sekali oleh penduduknya, baginda kehilangan dua serandang peyumbang kekuatan baginda, isteri tersayang Saiyyidatina Khadijah dan bapa saudara yang sangat perihatin, Abu Talib. Penduduk Makkah sedang menunggu peluang dan ruang sahaja untuk membinasakan baginda dan Risalah yang di bawa baginda. Dalam kesempitan akibat tentangan dan penindasan penduduk Makkah itulah baginda diperluaskan pandangan dengan perjalanan Isra Mikraj, bukan setakat Makkah bahkan sampai ke Masjid al-Aqsa, bahkan sehingga melewati bumi dan melalui lapisan-lapisan langit dan kemuncaknya pertemuan di Sidaratu al-Muntaha. Melihat kenikmatan syurga yang dijanjikan kepada pendukung kebenaran, melihat kesempitan dan azab di neraka yang dijanjikan kepada yang menolak kebenaran. Alangkah murninya nikmat syurga yang perlu dibayar dengan pergorbanan dalam kepayahan hidup dunia yang akan segera berakhir ini, alangkah derita azab neraka kerana kedurhakaan kepada Allah dalam kehidupan di dunia yang segera binasa ini.

Inilah pengajaran yang dapat kita garap dari perjalanan yang bersejarah ini, perjalanan yang memberi harapan kepada kita ketika dalam kepayahan, perjalanan yang menjanjikan kemenangan ketika kita dalam penindasan, perjalanan yang membekalkan kekuatan dan kesungguhan untuk kita dalam menjulang panji-panji kebenaran. Perjalanan yang memperingatkan kita tentang keutamaan kehidupan kerohanian, memperkukuhkan kita dalam usaha pengembaraan kembali kepada Allah.

Rasulullah kembali dari perjalanan yang penuh pengertian ini dengan beberapa buah-tangan untuk ummah sepanjang zaman, antara yang terbesarnya ialah anugerah sembahyang fardu. Dalam memulakan sembahyang kita membaca doa iftitah, antara lain kita menyebut kalimah-kalimah Saiyyidina Ibrahim ketika mikraj kerohanian baginda dalam mengenali Allah: aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang menjadi langit dan bumi, sebagai seorang muslim yang hanif (murni ikhlas), dalam tahiyyat pula kita sebutkan lafaz-lafaz yang dituturkan dalam pertemuan kemuncak penuh makna di Sidaratu al-Muntaha.

Kita diperingatkan dengan perbuatan-perbuatan baik yang diganjari oleh Allah, kita diperingatkan dengan perbuatan-perbuatan durhaka yang akan dihukum oleh Allah. Kita didatangkan dengan kesimpulan yang kemuncak pencapaian hidup kita adalah mencapai reda Allah, dan jalannya tiada lain kecuali mentaati suruh-Nya dan meninggalkan larang-Nya serta menjadi kehidupan zahir dan batin di atas Sunnah kekasih-Nya.

Sebahagian ulama mengatakan perjalanan yang penuh kehebatan dan pengajaran itu berlaku di dalam bulan Rajab, bulan yang sangat diberi keutamaan oleh sebahagian daripada generasi awalan Islam, salaf as-Soleh dalam mempertingkatkan amal ibadat. Perbincangan yang menarik tentang keutamaan bulan Rajab terdapat dalam kitab karangan Imam Ibnu Rajab al-Hanbali.

2-Perjalanan kedua Rasulullah yang sentiasa diingati ialah Hijrah baginda beserta sahabat dari Makkah ke Madinah. Pentingnya perjalanan dan pemindahan ini kepada sejarah ummat sehinggalah Saiyyidina Umar dan sahabat lainnya bersetuju untuk menjadikan tahun hijrah itu sebagai permulaan bagi tahun Islam. Hijrah telah banyak dibincangkan, hanyalah kadang-kadang ia dikupas dalam media massa kita tanpa dimensi kerohaniannya. Allah mentakdirkan baginda dalam perjalanan penuh sejarah dan pengajaran ini telah ditemani oleh insan yang paling utama dalam ummah baginda, Saiyyidina Abu Bakar.

Kita juga punya perjalanan, perjalanan mendatar di muka bumi dan perjalanan mendaki secara ruhi-nya. Dalam sebarang perjalanan kita memerlukan bekal. Bagi kedua-dua perjalanan ini bekal yang terbaik adalah bekal taqwa.

No comments:

Post a Comment