Saya masih teringat agak berapa lama dulu, saya datang ke Kuala Lumpur tanpa membawa wang yang mencukupi. Bagaimanapun saya telah memasukki kedai buku di sebuah shopping complex dan melihat buku The Classical Texts Of Taoism, himpunan tulisan-tulisan klasik penganjur-penganjur Toa. Saya tidak dapat menahan diri daripada menghabiskan sebahagian duit saya untk membeli buku tersebut. Dan sehingga kini saya rasakan pembelian itu sungguh berbaloi. Kemudiannya saya mula mengumpul buku-buku yang berkaitan Taoism, antaranya Tao Of Power, Tao of Love, Tao of Relationship,Tao Of Sports dan Tao Of Islam.
Setakat pembacaan saya tentang hubungan gender dalam tamaddun Islam yang dibincangkan oleh penulis semasa, buku Tao Of Islam adalah sangat bermakna, penulisnya seorang sarjana berbangsa Jepun mengulas subject gender relation dalam perspektif tradisional Islam. Kata-kata pendahuluannya pula ditulis oleh seorang orientalis yang saya sangat kagumi, Annamarie Schimmel, Mendiang Mak cik Annamarie Schimmel sendiri juga menulis buku yang mengupas tajuk yang sama dalam tulisannya My Soul Is A Woman. Kedua tulisan wanita ini perlu dibaca untuk membantu kita melihat kesarjanaan ilmu yang objektif, tanpa didorong oleh motif-motif feminism, yang kerap bersifat apologetic kepada fahaman arus perdana barat, sebagai-mana yang kita dapati dalam tulisan-tulisan golongan modernist muslim sendiri, umpama kumpulan Sisters in Islam.
Buku Tao of Islam banyak menaqalkan pendapat-pendapat ulama Shiah, ini memandangkan beliau pernah melanjutkan pelajarannya di Iran. Kita akan dapati hubungan gender yang diketengahkan adalah hubungan lengkap-melengkapi, hubungan mencari kesempurnaan manusiawi dalam perjalanan balik kepada Tuhan, Maha Pencipta. Masing-masing ada peranannya, dan masing-masing diberi pertunjuk untuk mencapai kesempurnaan dalam potensi tersendiri bagi memenuhi tujuan penciptaan mereka sebagai makhluk ibadat.
Rendah tinggi kedudukan, hina mulia martabat manusia bergantung sejauh mana penghayatan mereka dalam menjayakan peranan mereka dalam mengenali Allah serta sebagai makhluk ibadat.
Tao mengajar kita tentang elemen-elemen pertentangan yang wujud secara harmoni tanpa konfliks, bahkan masing-masing memerlukan antara satu sama lain. Tao mengajar kita unsur-unsur yang berlawanan yang berperanan menguat dan menyempurnakan sesuatu kejadian. Tanpa malam, adakah siang. Tanpa hitam, adakah putih. Tanpa rendah, adakah tinggi?
Sehingga-hingga kita sedar yang kekuatan itu berada dalam kelemahan, kelemahan itu pula mampu menjadi sumber kekuatan. Di atas segala perlawanan dan pertentangan yang berpasang-pasangan ini ini terdapat kesatuan. Kesatuan itu hampir pula tidak dapat dimengertikan!
Kemudian saya juga bertemu dengan beberapa orang yang mendakwa pengamal Taoism yang sama penerbangan dari Chengmai. mereka baru balik dari bertemu Master Mantak di Chengmai, Mantak agak banyak menulis tentang Tao dan sexuality. Saya jadi keliru melihat bagaimana longgarnya Mantak dan pengikutnya dalam soal moral dan ethics yang berkaitan sexuality dan sexual activities, apalagi sekiranya berdasarkan neraca shariat kita. Saya juga terasa jauh apa yang dihurai oleh kumpulan ini daripada kefahaman yang saya dapat dari membaca teks-teks klasik Taoism. Seolah-olah sentiasa ada habuan nafsu yang didakwa dilakukan atas nama kesejahteraan dan keharmonian jiwa, tanpa sebarang gengkangan syariat.
Alhamdulillah, betapa besarnya nikmat Islam yang kita perolihi tanpa banyak bersusah-payah, alhamdulillah betapa sempurna dan murninya ajaran Islam yang kita warisi dari ulama kita, alhamdulillah, kita masih ada tulisan-tulisan agung yang menghuraikan hubungan gender oleh ulama silam kita dalam kitab-kitab feqah yang membicarakan soal munakahat, kitab tentang akhlaq seumpama Ihya oleh Hujjatu al-Islam Imam al-Ghazali dan kitab-kitab tasauf seperi Hikam oleh Imam Imam Ata'illah as-Sakandari dan Imam Abu Madyan. Ya Allah matikan kami di atas agama Islam yang Engkau redai
16hb Rajab 1430
No comments:
Post a Comment