Thursday, July 2, 2009

Pesan Guru Kami (Meminjam Mata Guru)

Guru saya pernah bercerita yang beliau telah didatangi oleh sekumpulan lebai-lebai yang agak berumur meminta untuk menadah kitab kepada beliau. Salah seorang daripada mereka bertanyakan guru saya "kenapa kebanyakan guru-guru (ajaran kerohanian) hidup miskin tanpa harta?". Beliau menjawab dengan spontan " Lihat dengan mata mana?, kalau dilihat dengan mata yang dibuat sahan/kain basahan [ertinya: selalu dipakai] untuk menenguk television, sudah tentu kita tidak dapat melihat harta kekayaan mereka. Kalau nak tenguk kekayaan mereka, pinjamlah mata mereka, tenguklah melalui mata itu" . Salah seorang daripada mereka terus menyampuk: itulah yang kita mari ke sini, untuk meminjam mata Adik Haji [gelaran mereka kepada Guru tersebut]. Guru saja merasa lega dengan jawaban tersebut.

Dia mengatakan harta kekayaan ulama adalah pada kepuasaan menemui sesuatu faham, menggarap sesuatu penjelasan yang baru, keasyikan mereka dalam mengikuti kupasan ilmu selapis demi selapis. Itu belum diambil kira keseronokan golongan yang lebih tinggi kesedarannya dalam bermunajat dan beribadat kepada Allah, yang mana nikmatnya terlebih nikmat.

Kadang-kadang dia bertanya salah seorang daripada kami :sekiranya mahu dibayar hafalan kita bagi surah al-Fatihah dengan sejuta Ringgit, Surah al-Ikhlas 500 ribu, bayaran itu akan menyebabkan kita akan melupai surah-surah itu, apakah kita mahu?. Ketika rakan itu menjawab : Tidak sanggup. Guru kami tersenyum sambil berkata : Apa yang dikehendaki lagi, paling kurang kita dah mempunyai kekayaan bernilai melebihi sejuta setengah ringgit.

Katanya Tuhan Maha Adil, dalam kebanyakan hal orang yang diberi kekayaan kebendaan, tidak memperolihi kekayaan faham. Orang yang mempunyai anugerah faham, biasanya tidak mempunyai kekayaan kebendaan. Memang ada orang yang diberi kedua-duanya tetapi jarang, dan yang jarang itu tidak terjumlah dalam hitungan.

Saya agak ragu-ragu untuk menerima kenyataan spontan beliau itu, kerana bukan kah orang kaya itu menjadi kaya kerana fahamnya?. Sehingga saya memerhati keadaan seorang rakan saya. Beliau ini adalah seorang yang sangat aktif dalam kerja-kerja Islam ketika belajar di luar negera, kegiatan beliau dalam kerja-kerja dakwah telah banyak menghaluskan dan melunakkan citarasa dan pembawaan beliau yang dulunya agak nakal. Percakapaan beliau saya rasakan sarat dengan ilmu dan kesedaran. Bagaimanapun beliau kemudiannya menjadi kaya dan berharta dengan kadar yang agak cepat. Beliau pulang sebagai seorang usahawan muda yang berjaya dan berharta. Kemudian timbul minat untuk melibatkan diri dalam politik, ya demi berkhidmat kepada negara dan masyarakat setelah berjaya dalam dunia koperat. Sedikit demi sedikit kawan-kawan beliau berubah corak, dari golongan 'brothers kepada golongan kepada 'huha-huha'. Corak hidup beliau pun mulai berubah hanyut tanpa disedari, sauhnya terangkat.

Dia tidak lagi dikelilingi oleh golongan yang mempunyai pemikiran idealis dan kritis serta tidak sangat mempunyai kepentingan peribadi, sebaliknya beliau dikelilingi oleh golongan berkepentingan dan kaki ampu. Beliau pun nampaknya menikmati kemewahan harta-benda dan kelazatan diampu. Maka ketajaman kefahaman yang pernah terpamir dari kata-kata beliau semakin menghilang, rupa-rupa pada rakan saya ini saya melihat kebenaran yang dikatakan oleh guru saya.

Alhamdulillah, saya sempat bertemu dan berguru dengan seorang yang layak untuk saya pinjamkan matanya dalam melihat, memahami dan menjalani kehidupan. Beliau juga mengatakan peranan guru adalah mengajar ilmu ketika dihadapannya, dan mengajar adab ketika ketiadaannnya. Semoga saya akan dirahmati Allah dengan terus menerus mendapat pendidikan adab dari guru ini dan ulama-ulama silam yang lain walaupun tanpa kehadiran mereka.

No comments:

Post a Comment