Tuesday, September 15, 2009

Politik Kasut Muntazar Dan Selipar Muniandy

Utusan Malaysia telah mengepalai serangan terhadap pimpinan tertinggi MIC sebelum dan selepas mesyuarat Agung MIC. Umumnya tahu yang Utusan dibelakangi oleh UMNO, jadi bagaimana kita hendak membaca sebab musabab pendirian Utusan dalam hal ini?. Nampaknya hebat juga pemimpin MIC seorang ini, dia tidak tunduk mengalah, bahkan dia menjawab apa yang baginya patut dijawab, termasuklah saranan Tun Mahathir dan isi ucapan peresmian oleh PM Dato' Najib. Dia menunjukkan seolah-olah budaya bodek di kalangan pemimpin MIC pun ada batasnya dan sebenarnya mengikut perkiraan untung rugi yang tertentu, bodeknya bukan sebarang bodek...

[Kelihatan calun-calun dalam siri pilihanraya kecil yang disokong oleh U.M telah kalah kecuali di Batang Air, Sarawak dan calun-calun dalam pemilihan organisasi parti yang ditonjolkan oleh U.M juga kalah kecuali YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa dalam pemilihan PAS.]

Dato'Abdul Aziz Shamsuddin sebagaimana yang dilapurkan oleh U.M pada 15hb september telah mendedahkan yang Dato Samy Velllu lah orang yang paling kerap mencium tangan Tun Mahathir ketika Tun Mahathir memegang pimpinan tertinggi negara. Kalau kita bertanya budaya cium tangan pemimpin politik ini bermula dengan siapa, dan apa yang mendorong ciuman tersebut?
Kalau ikut rasa saya, mungkin budaya cium tangan pepimpin politik sebagai tanda penghormatan ini dimulai oleh orang Melayu, mereka sebelumnya mencium tangan ibu-bapa terutama di pagi raya, cium tangan ulama dan solihin ketika bertemu mereka. Lalu budaya itu diperluaskan ke dalam lingkungan politik, Kalau andaian saya ini betul, maknanya Dato Samy Vellu hanya terikut-ikut perbuatan penyokong-penyokong dari kalangan orang Melayu, atau lebih khusus terikut-ikut perbuatan orang UMNO yang gemar cium tangan pemimpin.

Malangnya selepas Tun Mahathir bersara, dan Dato Samy Vellu juga tidak lagi menjadi Menteri, tetapi beliau masih kekal sebagai presiden MIC, timbul pula cadangan dalam mesyuarat tahunan MIC agar dikalungkan selipar pada gambar Tun Mahathir. Kalungan selipar sebagai tanda protes terhadap campur-tangan Tun Mahathir dalam urusan dalaman MIC. Dato Samy telah mengarahkan Muniandy, yang membangkitkan cadangan tersebut supaya berhenti bercakap sebaik sahaja dia mengeluarkan cadangannya itu.

Masyarakat India memang suka mengalungkan bunga pada seseorang yang dihormati dan diraikan, tetapi kalungan selipar membawa makna yang berbeza. Entah pernahkah perbuatan ini diamalkan sebelumnya, atau cadangan Muniandy ini layak disenaraikan dalam Guiness Book Of World Records atau paling kurang di dalam Malaysia Book of Records.

Cadangan Muniandy ini pula berkebetulan sama harinya dengan hari Muntazar az-Zaidy, wartawan Iraq, di bebaskan dari penjara kerana dihukum akibat melontar kedua belah kasut ke arah Presiden Bush. Kebetulan ini agak menarik, politik kasut dan selipar tiba-tiba menjadi isu yang penting. Kedua-duanya, kasut dan selipar, telah menjadi simbol protes terhadap campur-tangan luar dalam politik dalaman. Sayanglah sekiranya Muniandy yang sekreatif itu akan digantung keahliannya kerana hanya disebabkan sebuah cadangan yang cukup berjaya mengemparkan seluruh Malaysia. Kalaulah cadangannya itu dilihat sebagai perbuatan yang biadab, maka ajarlah dia adab tetapi mengantungkan keahliannya akan merugikan MIC dari seorang yang berfikiran kreatif.

Agaknya Tun Mahathir sendiri tidak pun mengambil pusing terhadap cadangan Muniandy itu. Kalau kita masih ingat ketika hari-hari reformasi dahulu, Tun Mahathir mengatakan terdapat kanak-kanak di peringat tadika pun telah dihasut untuk membenci beliau dan menghina gambar beliau, bahkan beliau mendedahkan ada percubaan untuk membunuh beliau . Tetapi beliau tidak sedikitpun terjejas, kelantangan beliau tidak menurun, bahkan polispun dikatakan tidak diarahkan agar membuat siasatan terhadap percubaan membunuh Perdana Menteri. Sekurang-kurangnya tiada penyiasatan yang diisytiharkan dan penangkapan yang dibuat yang kita tahu. Sangat jelas sikap Tun Mahanthir yang sanggup dihina maruah peribadinya, tetapi beliau akan bangkit melawan sedaya-upaya sekira maruah dan kepentingan negara yang dicalar! Itulah Tun Mahathir, seorang pemimpin yang berjiwa besar! Jadi di mana duduknya individu-individu yang melenting-lenting menghentam MIC ,seolah-olah MIC menghina Tun Mahathir, sedangkan Tun Mahathir sendiri terkenal dengan sikap lapang dadanya? Bahkan beliau dahulunya kerap mengatakan beliau tidak kisahpun terhadap anggapan orang lain kepada beliau selepas beliau tiada. Oleh itu janganlah tersorong-sorong sangat pipi hendak mengatasi hidung, terutama kalau hidung itu hidung Tun Mahathir yang memang mancungpun! [Zunar banyak mengabadikan lakaran kemancungan hidung Tun Mahathir dalam karton-karton sinis beliau]

Bagaimana agaknya gambaran politik kepartian di negara kita dalam masa depan yang hampir ini?. MIC goyah akibat perpecahan antara penyokong presiden dan lawannya, ditambah dengan lapuran akhbar yang memburuk-burukkan presidennya. Itu belum mengambil kira pertubuhan politik kaum India yang lainnya. MCA dengan masaalah pimpinannya sehingga terpaksa mengadakan EGM untuk meleraikan ketegangan dalamannya. Gerakan pula telah hilang kubu kuatnya iaitu Pinang. Hanyalah UMNO yang pada luarannya ada tanda-tanda pembugaran semula (kecuali di Terangganu).

Komponen parti dalam PR-pun bukan juga menjadi semakin kuat, bukan menjadi lebih tersusun, ada saja isu-isu dalaman parti komponen atau antara parti yang timbul dan tenggelam . Lihatlah apa yang berlaku di Selangur, Perak, Pinang. Kita tidak dapat bayangkan keberkesanaan kerja dan penyelarasan tugas dalam PR sekiranya faktor DSAI tidak ada.

Kalaulah PR kelihatan akan terus mara ke hadapan, sebenarnya itu hanyalah persepsi kita sahaja. Sukar untuk PR bergerak ke depan, tetapi yang menyebabkan kita berilusi yang PR mara kehadapan adalah disebabkan BN yang mundur ke belakang, seolah-olah kita dalam pengalaman apabila dua gerabak keretapi berselisih, sebuah keretapi undur sementara yang satu lagi berhenti. Penumpang-penumpang yang berada di atas gerabak yang berhenti diam itu merasakan yang gerabaknya telah bergerak ke hadapan.

Bagaimanapun isu kasut-selipar sekarang ini telah menjadi isu politik antarabangsa dan nasional, kita tunggulah pula isu terompah dalam EGM MCA, kalau-kalau ianya berbangkit!

No comments:

Post a Comment