Sunday, September 13, 2009

Tradisi Menjunjung Tinggi Ketepatan & Kebenaran

Alhamdulillah dalam tradisi ilmu Islam, ketepatan dan kebenaran itu sangat-sangat dititikberatkan. Perkara ini telah diakui oleh kawan dan lawan. Antara penulis barat yang menulis perkara ini ialah Franz Rosenthal, buku beliau Knowledge Triumphant dan sebuah buku kecil berkenaan Etika Sarjana Muslim (saya terlupa tajuk asalnya , sekadar mempunyai naskhah terjemahan terbitan Indonesia, selain daripada terjemahan Inggeris oleh beliau bagi Muqaddimah Ibn Khaldun) telah memperincikan bukan sahaja penekanan kepentingan ilmu, bahkan adab-adab yang diamalkan oleh sarjana muslim lampau, Termasuklah antara adab itu ialah larangan melipat hujung helaian mukasurat kitab sebagai tanda tempat berhenti membaca , sebaliknya dimasukkan helaian atau bilah sebagai penanda. Bagi saya buku Etika Sarjana Muslim itu sangat-sangat menarik dalam kita mengikut adab-adab umpama menulis catitan di tepi helaian kitab dan lain-lain perincian.

Ketika kita membaca riwayat Imam an-Nawawi, kita akan menemui bahawa dalam suatu peristiwa, beliau tidak membalas serangan-serangan seorang ulama mazhab Maliki terhadap beliau disebabkan ulama tersebut telah mengikut mazhab guru kepada Imam mazhab yang dikutinya. Yakni Imam Malik adalah guru kepada Imam as-Syafi'ie. Begitu hormatnya Imam Nawawi kepada Imam Syafi'ie dan penghormatannya sehingga menjalar kepada yang berhubung-kait dengan Imam ini.

Bagaimanapun dalam kitab feqah tulisan Imam Nawawi, kita akan dapati Imam Nawawi ada tempatnya mempunyai pegangan yang berbeza dari pendapat Imam Syafi'ie atau qaul yang rajih dalam mazhab Imam ini. Dalam syarah Muhazzab, Imam Nawawi berpandangan hukum makruh menggunakan air yang terdedah pada pancaran terik matahari di dalam bekas logam untuk bersuci adalah lemah. Beliau menganggap ianya lemah kerana hadith-hadith tentang larangan itu adalah dari segi riwayatnya lemah, sebaliknya sekiranya air itu dikatakan mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan pengguna, maka ketetapan itu layak diputuskan oleh pakar perubatan dan bukan bersandarkan kepada matan hadith . Amanah menyatakan kebenaran dan kefahaman yang tepat mengatasi pertimbangan yang lain, tetapi amanah itu juga menuntut ianya dilaksanakan secara beradab dan tertib.

Masyarakat kita juga telah menumpang keringanan dan kenikmatan di atas pendapat Imam Nawawi yang berbeza dari qaul rajih mazhab dalam dua perkara paling kurangnya; 1)sembahyang jama' bagi orang yang sakit- ini sangat membantu bagi pesakit berat, yang menghadapi pembedahan atau menjalani rawatan dialysis. 2) halal memakan ketam dan siput- hal ini dibincangkan dengan panjang lebar oleh Syaikh Ahmad al-Fatani dalam kitab Fatawa-nya, juga di tepi kitabnya Unwanu al-Falah.

Perbezaan pendapat Imam Nawawi tidak mendatangkan masaalah kepada masyarakat awam, bahkan ianya merupakan rahmat. Beliau menyatakan pandangan beliau dengan penuh adab dan tidak mencarik kehormatan ulama-ulama yang terdahulu. Bahkan beliau menyebut di dalam kitabnya at-Tibyan yang janganlah diumpat ulama, kerana daging mereka beracun; antara bala yang menimpa orang yang mencerca ulama ialah mati hatinya sebelum kematian jasadnya.

Bahkan dalam beberapa hal Imam Ibnu Taimiyyah sendiripun (mungkin tidak dalam perbincangan ilmu Tauhid) telah bersikap lunak. Beliau menolak amalan melafazkan niyyat bagi ibadat , tetapi lihatlah sikap beliau ketika ditanya kepepentingan niat bagi puasa sebagaimana yang terdapat dalam Fatawa al-Kubra-nya; beliau telah menjawab bagi orang awam niat itu memadaai dengan bangun makan sahur atau dengan melafazkan niat. Atau sikap beliau terhadap bacaan talqin di kubur, menghadiahkan tahlil sebanyak 70'000 kepada simati, atau qada sembahyang dan lain-lain hal.

Gambaran yang timbul akhir-akhir ini tentang mereka yang mendakwa mahu menegakkan sunnah dan memurnikan ajaran agama ialah sikap meremehkan ulama terdahulu, sikap tidak mahu memahami terlebih dahulu bagaimana ulama silam membina pendapat mereka (contoh dalam hukum bersembahyang bersebelahan dengan anak yang belum berkhatan), sikap seolah-olah dia yang lebih arif tentang kedudukan sesuatu hadith hanya berdasarkan penilaian yang dibuat oleh Syaikh Nasiruddin Albani tanpa membandingkan penilaian ulama hadith yang lain, sikap berani menghujjah walaupun belum menyakini hujjahnya itu benar dan bersesuaian. Lihat tulisan Syaikh Ali as-Sabuni yang mencatitkan sikap-sikap golongan ini dalam risalah Solat Terawih-nya dan juga kitabnya yang khusus Kasyafu al-Iftira'.

Barangkali perlu kita memperingatkan diri kita bahawa dalam ke empat-empat mazhab ahlu as-Sunnah ini terdapat ratusan ulama hadith dari zaman berzaman, begitu juga ratusan ulama tafsir dan ratusan ulama feqah. Guru saya pernah mengatakan orang yang berhujjah menolak pendapat dalam mazhab ini adalah orang yang menggunakan otak dia yang sebiji itu dalam kerja mahu membina hujjahnya dan meruntuhkan binaan hujjah yang didirikan oleh ribuan otak-otak terbaik daripada ummah ini.

Mengikut mazhab perlu dilihat sebagai mengamalkan disiplin tertentu dan mengikut institusi dan format tertentu. Umpamanya apabila kita membaca sesuatu hadith kita akan faham maknanya setakat yang kita faham, dan apabila kita membaca syarah-nya oleh ulama mazhab, kita akur yang suluhan ilmu ulama itu jauh lebih jelas, cerah dan lebih meliputi daripada suluhan faham kita. Adalah sikap takabbur yang melampau sekiranya kita terus mahu menegakkan faham kita walaupun sedangkal mana iapun, dan bersikap menolak huraian ulama yang jauh lebih mendalam itu. Kita juga sedar yang hadith yang satu itu telah dipadukan dengan riwayat-riwayat yang lain dalam menatijahkan kefahaman.

Saya teringat catitan Syaikh Muhammad Yusuf an-Nabhani di dalam bab awal bagi kitabnya Kasyafu as-Syubhah tentang pengalaman Imam Subki dalam membaca qunut dalam sembahyang subuh. Dikatakan Imam Subki telah meninggalkan bacaan qunut subuh selama 6 bulan kerana semua riwayat yang sampai kepadanya tentang amalan qunut adalah lemah, sehinggalah beliau menemui riwayat yang dikiranya kuat dan dapat dipertanggung-jawabkan. Selepas itu Imam Subki menyatakan yang penghayatan kepada perkataan Imam Syafi'ie "apabila sah sesuatu hadith, itulah mazhabku" hendaklah difahamkan sebelum kita menolak pendapat tertentu dalam mazhab Imam, kita perlu terlebih dahulu melihat hadith-hadith yang dijadikan hujjah oleh Imam, sekiranya tiada didapati hadith yang kuat di situ, hendaklah kita melihat pula kepada hadith-hadith yang digunakan oleh ashabu al-Imam, hanyalah selepas itu dapatlah kita berlepas diri dari pendapat tertentu dalam mazhab kerana beramal dengan pesanan Imam Syafi'ie itu.

Begitu juga telah disepakati oleh ulama dari semua mazhab tentang larangan bertukar-tukar amalan mazhab yang berbeza kerana mencari kemudahan dan keringanan semata-mata, lainlah sekiranya ianya dilakukan dengan penuh tanggung-jawab dalam kita menghayati agama. Begitu juga kita perlu melihat perspektif fahaman yang berbeza terhadap sesuatu hadith yang sama di kalangan ulama berbeza mazhab. Agaknya antara tulisan yang baik untuk menilai perbezaan ulama feqah dalam sesuatu hukum ialah kitab Mizan al-Kubra oleh Syaikh Abdul Wahab as-Sya'rani ( pernah diterjemahkan oleh O.K Rahmat dan diterbitkan oleh Pustaka Aman suatu masa dahulu) yang dapat membantu kita melihat kesemua fahaman terhadap sesuatu nas yang zahirnya kelihatan bertentangan itu denganlapang dada dan baik sangka terhadap para ulama.

Jangan hendaknya kita ulangi tragedi Don Quixote, yang mendakwa dirinya dan diakui pula oleh satu-satu pengikutnya sebagai wira yang menegakkan kebaikan dan memerangi kejahatan, tetapi musuh yang ditentang itu adalah musuh yang diberi gambaran ganas oleh khayalannya sendiri, sedangkan yang sebenarnya yang diserang itu adalah objek-objek yang tidak pun mengancam kebaiikan dan tidak pula mendatangkan kejahatan.

No comments:

Post a Comment