Thursday, October 15, 2009

Awas Menantu Melintas

Dalam al-Quran Allah menyebut (yang terjemahan maksudnya kurang lebih):
"Hai orang-orang yang beriman sesungguhnya di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu ada yang menjadi musuh kamu, maka berwaspadalah terhadap mereka. Dan jika kamu memaafkan , melepaskan (tidak menghukum) dan mengampuni mereka, sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang". [at-Taghabun:14]

Allah juga berfirman 9yang maksudnya kurang-lebih):
"Ketahui oleh kamu sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu adalah fitnah (ujian dan godaan), dan sesungguhnya Allah yang di sisi-Nya balasan yang agung" [al-Anfal:28]

Allah memberi peringatan:
"Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu terlalai (lengah) kerana harta-benda dan anak-anak kamu daripada mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat demikian. maka mereka adalah orang yang rugi" [al-Munafiqun:9]

Allah memberi peringatan yang berulang dalam surah at-Taubah pada ayat 55 dan 85:
"Janganlah engkau ta'ajub dengan harta-benda mereka dan jangan dengan anak-anak mereka. Sesungguhnya Allah menyiksa mereka dengannya dalam kehidupan di dunia dan ketika nyawa mereka dicabut sedang mereka adalah orang yang kafir"


Fitnah atau ujian daripada anak-anak kita sendiri adalah suatu yang sukar untuk kita lulus, terutama kita sebagai orang tua telah terbelenggu oleh kasih-kasih dan kasihan belas terhadap mereka. Kita mahu melihat mereka senang dan sejahtera, kemahuan itulah juga yang dapat menggagalkan kita untuk memberi pertimbangan secara yang paling wajar dan bertindak dengan cara yang paling tepat. Sebagai orang tua, kita diuji oleh kerenah dan fa'il anak-anak ketika mereka kecil dan membesar. Sedangkan apabila mereka dewasa, ujian terhadap kita menjadi semakin besar dan berat. Ada masalah yang mereka bawa semenjak sebelum baligh yang belum selesai, ditambahpula masaalah baru yang timbul ketika mereka telah dewasa. Antara masalah mereka adalah soal cari-makan dan hasarat menghimpun kekayaan dan kedudukan/status . Masaalah bertemu jodoh (mencari menantu) dari segi keserasian pasangan dan dapat membantu untuk mereka menjalani kehidupan yang patuh kepada ajaran agama.

Anak kita adalah anugerah Allah tanpa campur-tangan kita, mereka datang dengan paras rupa dan kecenderungan serta tabiat sebagaimana yang ditentukan oleh Allah. Kita berkewajiban berusaha untuk melentur dan mendidik mereka supaya menjadi manusia yang patuh kepada agama. Peranan kita seumpma mid-wife(bidan) yang menyampaikan anak-anak kepada kesempurnan potensi-potensi yang mereka sedia miliki.

Walaupun soal menantu adalah juga 'fitnah' anak-anak tetapi ianya berlainan. Biasanya menantu datang kepada kita sebagai seorang yang dewasa dengan memiliki nilai dan hati-budi yang sudah terbentuk. Kita dan anak kitalah yang memilih menantu berdasarkan ciri-ciri yang menjadi keutamaan kita. Tidak sebagaimana anak yang datang tanpa perlu kita membuat keputusan tentang rupa-paras dan tabiat mereka. Menantu adalah orang asing yang kemudiannya menjadi anggota keluarga kita, sehingga kadang-kadang cara kominikasi mertua-menantu menjadi begitu kompleks, hinggakan terpaksa 'pukul anak, sindir menantu'.

Sesudah seseorang itu menjadi menantu kita, katakan kita tidak berkenan malah meluat dengan pembawaannya, kita tidak dapat membuat keputusan secara 'direct',. Kita perlu timbang kedudukan anak kita serta resiko yang mungkin timbul, maklumlah semenjak dahulu-kala lagi ada anak yang berpendirian:

Nasi lemak buah bidara
sayang selasih hamba lurutkan
buang emak buang saudara
kerana kasih hamba turutkan

Maksudnya menantu ini adalah orang asing yang menjadi pilihan kita untuk dijadikan anggota kaum kerabat, dia datang sebagai seorang yang dewasa yang punyai nilai dan hati-budi yang sudah terbentuk. Kita terikat dalam membuat keputusan yang drastik berkaitan dengan menantu kerana hubungannnya dengan anak kita dan cucu kita; walaupun kita teramat tidak setuju dengan sikap atau tindakannya. Bagaimanapun , banyak menantu yang membantu mertuanya dalam menjalani kehidupan ke arah yang lebih baik, banyak juga menantu yang telah menjadi hantu.

Saya teringat seorang jiran saya pada tahun 70'an telah berpesan tentang ilmu jangan mengharap:

Harapkan anak tahunya nak,
Harapkan ayah takutnya payah,
harapkan bining naik pening, (bining adalah sebutan Kelantan bagi bini/isteri)
harapkan mertua sampai tua
harapkan menantu jadi hantu
harapkan sain tinggalnya kain (sain adalah kawan dalam sebutan Kelantan)
harapkan raja tahunya nak saja (nak saja maksudnya hendak secara percuma)
harapkan kerajaae sampai re-ae ( ra-ae maksudnya sakit urat-saraf)
harapkan orang luar tinggallah seluar
Maka harapkan Tuhan, baru bertahan

Menantu jadi hantu bukanlah fenomena paranormal, ianya kerap dicatitkan terutama dalam kes menantu kepada golongan yang berkuasa atau golongan yang berharta atau golongan berkedudukan. Ada menantu yang jadi dedalu kepada mertua, perangai parasitic-nya telah mencemarkan nama baik mertua. Ada menantu yang sekadar umpama tumbuhan epyphyte, dia menumpang host-nya, yakni mertuanya tanpa mencederakan hostnya. Ada menantu yang baik dan berkesan, dia menjalin hubungan symbiotic, umpama aur dengan tebing dengan mertuanya. (Ada seorang rakan saya yang telah menjadi menantu bagi keluarga seorang Tuan Guru pondok yang dihormati di Kelantan, dia mengatakan kelebihan menjadi menantu kepada orang yang mulia ini adalah umpama kelebihan kulit kambing yang dijadikan kulit al-Quran, walaupun ianya adalah semata-mata kulit kambing, tetapi manusia berwudu untuk menyentuhnya kerana ianya telah menajdi kulit kepada mushaf al-Quran: saya rasa terpingga-pingga mendengar justikasinya ini)

Dalam sejarah orang-orang yang berkuasa pula , semenjak dahulu-kala lagi sehingga ke zaman sekarang, peranan menantu kepada tokoh-tokoh yang berkuasa bukanlah kepalang. Ada menantu yang membantu menguatkan kedudukan mertua dan ada yang menjadi sokong pembawa rebah.


Kita mungkin masih ingat peranan menantu Dick Cheney, Philip Perry dalam perang Iraq. Kita masih ingat Levi Johnston yang hampir-hampir menjadi menantu Sarah Palin, bekas calon timbalan presiden Amerika. Kita juga tidak lupa Fazir Azwar Mohd Noor, menantu Tan Sri Rafidah Aziz. Apa lagi Khairi Jamaluddin menantu Pak Lah yang begitu hangat dijadikan topik perbincangan di kalangan UMNO dan luar UMNO.

Kisah menantu yang menjadi classical case dalam rekod semasa adalah 2 orang menantu Saddam Hussein, Lt. Gen Hussein Kamal al-Majid, yang mengetuai bahagian persenjataan tentera Iraq, yang kemudian telah mendapat suaka politik daripada kerajaan Jordan. Di Jordan beliau telah berkerjasama dengan M16, CIA dalam 'mengkhianati' mertuanya. Kemudian Saddam mengisytiharkan pengampunansecara resmi bagi menantunya yang menyebabkan Hussein Kamal kembali ke Baghdad, yang rupanya perangkap untuk menerima hukuman mati daripada mertuanya. Dia dihukum bunuh pada 23Februari 1996.

Seorang lagi menantu Saddam adalah Jamal Abdullah at-Tikriti yang sempat lari ke Syria apabila mertuanya digulingkan. Bagaimanapun beliau telah diserah kepada pihak berkuasa tentera Amerika di Baghdad dan telah dijatuhkan hukuman bunuh. Dua menantu yang banyak persamaan, keduanya lari ke luar negeri dan kembali ke Baghdad untuk menerima hukuman mati, yang berbezanya seorang pembelot kepada mertua dan seorang lagi mati kerana perjuangan bersama mertua. Iktibar kisah kedua menantu Saddam ini, ialah tidak semua menantu boleh dipercayai. Ada menentu yang baik dan patuh kepada mertua ketika mertua masih berkuasa, untuk menumpang sekaki kelebihan dan pengaruh mertua. Ada juga jenis menantu yang memang setia kepada mertua, tanpa mengira di masa mertua berkuasa atau ketika survival mertua telah terancam. Mungkin jenis inilah yang Ahmad Nisfu tuturkan sebagai "bagus, menantu bapa !"

Arnold Schwarzenegger , seorang pengiat filem yang tekenal di Hollywood kemudiannya menjadi orang politik sehingga berjaya menjadi governor California. Dia naik dengan cepat dalam politik kerana dia adalah menantu kepada Eunice Kennedy Shriver. Ibu mertuanya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyakinkan masyarakat California dan pimpinan White House demi peningkatan karier politik menantunya, ibu mertua ini telah menulis beberapa pucuk surat kepada Presiden Bush sendiri untuk menyakinkan Bush tentang kelayakan menantunya untuk menjawat jawatan penting itu.

Tetapi semua kisah-kisah ini masih jauh ketinggalan daripada kisah hebat Mahmoud Ahmadinejad di Iran. Dia adalah menantu yang baik, dia telah melantik mertuanya Asfandir Rahim Mashaie sebagai Naib Presiden. Perlantikan mertuanya oleh menantu ini telah menimbul sedikit kontraversi dalam lingkungan politik di Tehran. Dia juga telah melantik abang iparnya Ismail Ahmadi sebagai ketua pasukan polis. Sebelumnya ketika penggal pertama beliau menjadi presiden, beliau telah melantik iparnya Alireza Ahmadi sebagai Menteri Pelajaran. Dia juga melantik birasnya, Masoud Zaribafan sebagai setiausaha Kabinet. Di samping telah melantik Dawood Ahmadinejad sebagai pengarah 'president's inspector office' dan iparnya Hussein Shebeiry sebagai pengarah Yayasan Reda.

Iran pernah dijadikan sumber inspirasi dan 'qudwah' bagi gerakan-gerakan politik di dunia Islam pada tahun awal 80'an, mungkin ada sehingga sekarang. Ada yang terlalu mengkagumi kejayaan Revolusi Iran sehingga mereka menganut faham Shiah. Dalam hal-hal perjuangan menentang pemerentahan yang zalim serta didukung oleh kuasa besar dunia agaknya adalah kerelevenan untuk mereka mencontohi Iran, bagaimanapun harap-harapnya dalam amalan lantik-melantik mertua, ipar, biras, besan dan menantu (walaupun mereka berkebolehan) secara begitu berluas-luasa ini, diharap tidak dijadikan contoh ikutan pada mana-mana tokoh dan pertubuhan di tanahair kita .......

catitan kaki: nampaknya menantu mampu menghantui mertua tidak kira siapa mertua mereka, semada pemimpin negara, ketua masyarakat, hartawan, ulama, cendiakawan atau orang biasa di tepi-tepi jalan kehidupan. Saya merasa sedikit ketakutan memandangkan saya juga memiliki anak-anak dan insyaallah bakal menerima menantu. Semoga Allah menyelamatkan kita semua dari fitnah akibat kerumitan serta masaalah apabila menantu pilihan bertukar menjadi hantu.... Ya Rab Sallimna

1 comment:

  1. Terima kasih saudara atas apa yang diutarakan. Sungguh menarik.

    ReplyDelete