Sunday, October 11, 2009

Isu Niqab: hijab yang mungkin terselak

Syaikh al-Azhar, Dr. Tantawi ketika membuat lawatan di salah sebuah sekolah perempuan telah menegur seorang pelajar perempuan yang menutup muka, kenapa dia perlu menutup muka sedangkan di sekolahnya semua pelajar perempuan. Guru pelajar tersebut menjalsakan yang pelajar tersebut memang membuka tutup mukanya (niqab) ketika di dalam kelas tetapi memandangkan kewujudan rombongan Syaikh al-Azhar yang terdiri dari lelaki itulah yang menyebabkan pelajar tersebut menutup mukanya ketika berada di dalam kelas. Syaikh al-Azhar mengatakan yang dia lebih faham tentang ajaran Islam daripada pelajar tersebut, lebih faham tentang Islam daripada kedua ibu-bapa pelajar tersebut. Jangan tutup muka!

Nampaknya bukan sahaja kerajaan sekular Peranchis yang bertindak menafikan hak menutup muka wanita Islam di pusat pengajian, bahkan di bumi Sungai Nil , dan oleh bukan orang lain, bahkan Syaikh al-Azhar sendiri yang mahu mengharamkan tutup muka di pusat pengajian. Itulah hebatnya pimpinan ulama bagi sebuah institusi ulama pula!

Peristiwa yang menyentuh perasaan orang Islam di serata dunia ini telah dilanjutkan kupasannya di tanahair kita, oleh tidak lain kecuali Murshidul 'Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri. Aduhai Tuan Guru yang kita hormati......!

Kenapa perlu melatah sebelum kita mengetahui back-ground bagi kenyataan Syaikh Tantawi ? Syaikh Tantawi memang mempunyai pendapat yang tersendiri, antara yang termasyur ialah tentang bank interest, hubungan dengan Israel dan lain-lain. Sepatutnya isu ini dikupas mengikut neraca syari'at: apakah menutup muka itu sesuatu perkara yang tidak dibincangkan dalam kitab feqah, atau adakah ianya adalah pendapat shaz (terpecil) di kalangan ulama? Atau ianya tiada mempunyai nas sandaran kepada al-Quran dan Sunnah? Kalaulah ulama, seumpama Syaikh al-Azhar atau Murshidul 'Am pun bercakap tentang pemakaian tutup muka mengikut konteks dan bukannnya berdasarkan teks, maka alamatnya ummah kita berada dalam krisis ilmu yang perlu dirawati segera.

Ulama perlu mempunyai pendirian dan bersikap adil. Syaikh Tantawi dikritik oleh ulama di Masir sendiri antara lain kerana perbezaan yang sangat jelas di antara ketentuan dalam kitab tafsir yang dikarangnya dengan kenyataan-kenyataannya selepas menajdi mufti dan Syaikh al-Azhar. Dua gaya tulisannya dalam dua kapasiti yang berbeza ini sangat berlainanisinya.

Adakah Tuan Guru Nik Abdul Aziz pun mempunyai rekod yang mungkin hampir sama dalam isu berkaitan wanita? Lihatlah pendiriannya dalam buku tafsir beliau tentang sebab-sebab wanita tidak harus dijadikan calon pilihanraya dalam tahun 1990'an, sebab-sebab itu masih tidak berubah dalam masyarakat kita, tetapi Tuan Guru telahpun berubah pendiriannya.

Kalau dulu Tok Guru berkeras yang musabaqah al-Quran untuk qari sahaja, kerana suara wanita adalah aurat,sehingga tiadalah wakil qari'ah dari Kelantan, pegangan yang agak strict, Sekarang bukannya setakat Tok Guru mengatakan tutup muka itu tidak wajib, bahkan Tok Guru menzahirkan ketidak-setujuannya terhadap amalan wanita yang tutup muka. Tidak berapa lama dulu, SIS dan kumpulan wanita yang lain marah kepada Tok Guru kerana menyalahkan wanita yang tidak menutup aurat dan bermekap sebagai penyebab berlakunya jenayah rogol. Tok Guru pernah dikatakan mengatakan wanita yang tidak cantik patut diutamakan dalam pemilihan untuk mengisi jawatan kerajaan, kerana yang cantik boleh mendapat suami yang berjawatan. Memang pandangan yang strict. Entahlah, bila timbul kupasan isu niqab ini , saya tidak dapat memahami consistency-nya; kalau strict, biarlah istiqamah strict-nya....

Kalaulah ulama berubah pendirian kerana menemui nas yang baru atau mendapat kefahaman terhadap nas secara baru, atau perubahan dalam sebab musabbab yang menjadi sandaran kepada sesuatu hukum itu diputuskan, maka ianya suatu kewajaran. Imam as-Shafi'ie ada memberi pendapat lama dan pendapat baru. Tetapi perubahan pendapat itu dapat dikupas secara ilmiyyah dan bertanggung-jawab, tiada celanya Imam as-shafi'ie kerana membaharui pendapatnya sendiri. Tetapi sekiranya perubahan itu mengikut selera sendiri-sendiri atau selera politik kepartian, maka ulama itu boleh dikatakan tidak kecap/kemas fahaman dan penghayatannya.

Kita orang awam menjadi mangsa, kita umpama pelayar di tengah lautan di malam hari yang gelap, kita belayar berpandukan suluhan rumah api, sekiranya rumah api itu sendiri berubah-rubah kedudukannya, maka alamat sesatlah kita. Rumah api adalah 'syuhada' ( point of reference) kita, mereka adalah ulama . Aduhai malanglah kita sekiranya ianya berubah-rubah.....
Kita semua maklum bahawa Tuan Guru yang kita kasihi berasal dari keluarga Tuan Guru Haji Nik Mat Alim, seorang tokoh yang mendahului masyarakatnya dalam amalan pemakaian niqab dikalangan wanita keluarganya. Kita juga tahu hingga sekarang ada kaum kerabat Tuan Guru Haji Mat Alim yang masih mengamalkan amalan ini. Semoga Allah memberinya pahala, kepadanya kerana mendahului dengan amalan yang baik lalu dikuti oleh orang lain kemudiannya. Kita semua juga tahu Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyanjungi ayahandanya, jadi dalam konteks bagaimana agaknya kenyataan Tuan Guru boleh terkeluar?

Ketika Syaikh Tantawi dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz membayangkan ketidak-wajaran bagi wanita menutup muka, WHO dan kementerian Kesihatan menggalakkan perempuan, bahkan lelakipun (tidak kira mereka memakai skirt dan shorts sekalipun) menutup sebahagian muka mereka kerana bimbangkan jangkitan H1N1. Bukankan memakai tutup muka ini juga membahayakan keselamatan awam?. Mustahilkah perompak bank menggunakan topeng itu ketika merompak? Tetapi kerana bahaya H1N1 ini sangat dibimbangi, sehingga kini tiada seorang polis atau sesiapapun yang mengatakan saranan tutup muka itu akan diambil kesempatan oleh penjenayah, lalu mendesak agar ianya diharamkan!

Saya membuat catitan ini dalam semangat kasih-sayang dan disertai sanjungan yang tinggi kepada Tuan Guru Menteri Besar Nik Abdul Aziz, kasih-sayang itulah yang mendorong saya berkata benar, walaupun ianya tidak dalam nada bersetuju dan memuji. Saya yakin Tuan Guru dapat menerimanya dengan selapang-lapang dada kerana Tuan Guru juga kerap melahirkan ketidak -setujuan kepada fahaman orang lain termasuk terhadap fahaman-fahaman ulama yang lain. Sekiranya saya tersalah, kepada Tuan Guru, saya harapkan dapat meluruskan kesilapan saya. Semoga Allah merahmati & meredai kita semua.

5 comments:

  1. saya sanagt bersetuju dengan pandangan penulis,,semoga Allah merahmati anda dan kita semua,,,syukran

    ReplyDelete
  2. Mungkin ada benarnya komen AlButi mengenai gerakan politik orang islam?

    ReplyDelete
  3. Salam..
    Purdah adalah pakaian isteri2 Nabi. Wanita berpurdah akan dilindungi ALLAH. Bayangkan jika semua muslimah memakai hijab..apabila mereka berjalan seorang diri pasti tiada lelaki yang mahu mengganggu takut2 mereka terganggu ibu2 mereka, nenek2 mereka atau mungkin saudara perempuan mereka. Hanya cara hidup NABI SAW yang berjaya di sisi ALLAH. Semakin kita mundur kebelakang (mirip cara hidup nabi) sebenarnya kita dipandang maju oleh penduduk langit tetapi semakin kita maju kehadapan (jauh dari kehidupan Nabi) sebenarnya kita dipandang mundur oleh penduduk langit.

    ReplyDelete
  4. terima kasih di atas kupasan tuan,

    semoga Allah SWT merahmati mereka yang berada di landasan yang benar.

    ya Allah, selamatkanlah golongan yang mengharapkan redha-Mua..

    ReplyDelete
  5. anda mungkin benar dan mungkin salah.
    tetapi...hairan sungguh,bagaimana anda boleh mengeluarkan pendapat tentang kenyataan TGNA sedangkan anda belum mendengar dalil@sebab musabab TGNA mengeluarkan pendapat.bukankah lebih baik anda mendapatkan penjelasan sepenuhnya terlebih dahulu sebelum menulis artikel.
    waLlahu a'lam.

    ReplyDelete