Saya terbaca sebuah posting dalam sebuah blog di bawah entry 'Fanatik Dalam Islam'. Saya mula-mulanya merasa 'panas telinga' dengan kenyataan dalam tulisan ini yang telah menyentuh Saiyyidina Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam, kemudian saya terasa sayu. Saya panas telinga dan kemudian terasa sayu kerana saya tidak tahu semada kenyatan itu lahir daripada keberanian yang tidak terkawal atau ianya keterlanjuran yang terlepas pandang serta dianggap lekeh. Mungkin sahaja kenyataan itu kecil dan tidaklah penting manapun, tetapi apabila ianya menyentuh peribadi utama yang teramat-amat penting, yakni peribadi semulia-mulia makhluk Allah, Saiyyidu al-Mursalin, maka kenyataan itu perlu dipandang dengan serious dan diadili di atas neraca aqidah dan adab Islam. Saya salin kenyataan yang dimaksudkan ini:
Fanatik sering dikaitkan dengan sikap dan juga semangat Asabiyyah. Ibn Khaldun turut mengupas tentang peranan asabiyyah dalam kitabnya Muqaddimah Ibn Kahldun. Ringkasnya, kupasan beliau menyatakan bahawa fanatic asabiyyah hanya dibenarkan sebagai temporary mekanisme untuk proses pembentukan Negara Islam. Setelah proses yang diidamkan berjaya, unsur fanatik asabiyyah wajar dihindar serta dilupuskan sama ada secara berperingkat ataupun sebaliknya. Islam menganjurkan pendidikan yang mampu membuahkan kasih-sayang serta rasa hormat terhadap pemimpin selama mana tindak-tanduk mereka bukan merupakan satu kemungkaran dan juga maksiat. Agihan tugasan dan jawatan sesama anak beranak dan juga kroni juga diamalkan oleh Rasulullah yang mengutamakan Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Othman bin Affan dan juga Ali bin Abi Talib. Meskipun diutamakan oleh Rasulullah dan mereka ini tidak tergolong dalam kalangan ma'sumum tetapi mereka semua sentiasa berusaha menghindarkan diri masing-masing daripada segala bentuk kemungkaran dan kemaksiatan. Membela anak beranak yang berjawatan tinggi dalam kepimpinan kerajaan yang berperangai tidak senonoh adalah satu kemungkaran. Lebih-lebih lagi jika tindak tanduk mereka itu menyusahkan rakyat jelata dan boleh merugikan sesebuah pentadbiran Islam.
Sayang sekali selepas berakhir zaman khulafa al-rasyidin, sikap fanatic asabiyyah anak beranak di kalangan para pemimpin Islam mulai berubah menjadi trend yang diwarisi secara zaman berzaman. Fenomena ini jelas bermula dengan kebangkitan kerajaan Islam Bani Umaiyyah hingga ke saat ini.
Kalau kita bertanya secara ikhlas pada beberapa perkara asas, adakah penulis ini:
1- memahami maksud dan penggunaan istilah 'fanatic'
2- memahami perbincangan kepentingan dan kedudukan asabiyyah dalam kehidupan beragama dan berkerajaan dalam tulisan Ibn Khaldun.
3-memahami konteks penggunaan istilah 'cronyism'
4- memahami sistem kerajaan beraja secara dinasti dan memberi kedudukan yang setimpal kepada sistem ini dalam sepanjang sejarah manusia dan ummah khususnya. Vis-a-vis dengan sistem khalifah dan kaedah perlantikan pemimpin secara syari'ie sebagaimana yang terdapat dalam kitab para ulama.
5-berlaku jujur dalam cuba memahami huraian kemasyarakatan oleh Ibnu Khaldun, bukan sekadar menumpang namanya dan nama karyanya dalam usaha meluncur pemikiran kita sendiri.
Itu adalah soalan-soalan sampingan sahaja. Sebenarnya yang menjadi persoalan utamanya ialah kefahaman dan sikap serta adab kita terhadap apa-apa perilaku dan perbuatan serta perkataan yang thabit daripada Saiyyidina Rasulullah sallahu alaihi wasallam.
Dalam kitab-kitab aqidah selepas perbincangan hal-hal yang berkaitan Ilahiyyat (ketuhanan), ianya akan disusuli oleh perbincangan tentang kerasulan. Dalam bab kerasulan itu (dalam kitab yang agak besar sedikit) akan dibincangkan tentang kedudukan Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam. Serta bagaimana kita sebagai ummah baginda perlu kasih dan cinta kepada baginda, bagaimana kita beri'tiqad yang perkataan, ikrar dan perbuatan Rasulullah sallahu alaihi wassallam menjadi ikutan dalam segala aspek kehidupan kita. Bagaimana Allah memelihara baginda daripada melakukan maksiat dan dosa ketika baginda menjalani kehidupan di dunia, pemeliharan Allah terhadap baginda dengan menentukan baginda datang dari silsilah keturunan turun-menurun yang bersih, memelihara baginda semenjak kelahiran baginda sebagaimana yang terdapat dalam Surah ad-Duha. Kita tidak menthabitkan sebarang keburukan pada rupa paras baginda dan pada peri laku serta perkataan baginda, bagindalah sebaik-baiknya dari segi kejadian dan sebaik-baiknya dari segi akhlaq. Kita tidak bercakap tentang baginda kecuali dengan semangat pengkaguman dan menyaksikan kesempurnaan dan kecantikan pada baginda, disertai kecintaan dan rindu untuk menatap wajah baginda terutamanya di akhirat kelak.
Bagaimana mungkin tergamak kita katakan Rasulullah membuat sesuatu perbuatan yang sekiranya dilakukan oleh orang kebanyakanpun, ianya dikira salah dan tidak patut. Bagaimana tergamak dan sampai hati kita katakan yang Saiyyidina Rasulullah mengamalkan 'cronyism' dengan melantik Saiyyidina Abu Bakar, Saiyyidina 'Umar, Saiyyidina Uthman dan Saiyyidina 'Ali untuk mengisi jawatan dan tugasan?. Tidakkah kita merasa sayu dan hiba membaca tuduhan ini dibuat atas nama 'menghayati agama' dan 'seruan ke arah kebaikan'?. Aduhai, semoga Allah menunjukkan kita kebenaran sebagai kebenaran serta diberi kita upaya untuk berada di atas kebenaran, serta ditunujukkan kebatilan sebagai kebatilan serta diupayakan kita untuk menjauhi kebatilan.
Istilah 'cronyism' dapat disusur penggunaannya dalam bahasa Inggeris seawal 1811. Kemungkinan ianya berasal daripada perkataan Irish, Comh-Roghna (sebut: ko-rone) yang bermaksud rakan karib atau kawan sebaya. Bagaimana pun istilah ini telah digunakan untuk memaksudkan antara lain:
1-The practise of appointing friends to high level , especially political post regardless of their suitability.
2-Favoritism shown to friends and associates by appointing them to positions without regards for their qualification.
3-Close friend, trusted companion or partner in a criminal organization
4-A term to describe an individual who is able to exploit connections with leader to gain wealth and economic position
5-favoritism, especially in giving political appointment
6-cronyism is contrary in practise and principle to meritocracy
Secara sepintas lalupun, kalau kita melihat secara adil, dimanakah kita boleh thabitkan yang Rasulullah sallahu alaihi wassallam mengamalkan cronyism?. Adapun perlantikan Saiyyidina Abu Bakar,Saiyyidina Umar, Saiyyidina Uthman dan Saiyyidina Ali sebagai khalifah kemudian daripada baginda itu bukannya perlantikan dan keputusan yang dibuat oleh baginda. Bahkan ummah, khususnya ahli Madinah-lah yang melantik Saiyyidina Abu Bakar, sebagimana yang kita tahu peristiwa diSaqifah Bani Saadah. Adapun Saiyyidina Umar telah ditunjukkan oleh Saiyyidina Abu Bakar sebelum baginda menghembus nafasnya yang terakhir dan dipersetujui oleh ummah. Saiyyidina Uthman telah dilantik oleh ahlu al-halli wa al-aqdi dan Saiyyidina Ali telah diberi bai'ah secara meluas selepas Saiyyidina Uthman dibunuh secara zalim.
Adapun perlantikan dan pembahagian tugasan kepada mereka semasa Rasulullah sallahu 'alaihi wassallam masih hidup, adakah terdapat mana-mana sahabat yang ada semasa itu atau ulama yang datang kemudian mempersoalkan kewajaran tugasan yang diberi oleh Rasulullah sallahu 'alaihi wassallam kepada mereka berempat atau mana-mana perlantikan sahabat yang lain?. Mereka dilantik kerana mereka adalah layak dan sepadan untuk menjawat tugasan tersebut. Ummah ini di kalangan jumhur ahlu as-Sunnah berfahaman yang sebaik-baik daripada ummah ini selepas Rasulullah adalah Abu Bakar, kemudiannya Umar, kemudiannya Uthman dan kemudian Ali kemudiannya yang 6 orang lagi yang telah dijaminkan syurga oleh Rasulullah sallahu alaihi wassalam, keluarga baginda yang terdekat, serta muhajirin yang awal,serta ansar, serta ahli perang Badar dan seterusnya.
Jadi dari wajah manakah dapat dikatakan Rasulullah sallahu alaihi wassallam terlibat dalam cronyism?. Agaknya ada dua peristiwa yang secara jelas menunjukkan amalan cronyism tidak wujud di zaman awal Islam. Peristiwa pertama ialah selerainya daripada Peperangan Tabuk, Rasulullah sallahu 'alahi wassallam telah membahagi-bahagi harta rampasan perang (ghanimah) kepada penduduk Makkah sehingga golongan Ansar terasa seolah-olah merteka dipinggirkan. Ketika berperang dan berkorban, maka golongan ansar lah yang diutamakan dan ketika pembahagian ghanimah, nampaknya orang-orang Makkah, iatu orang daripada tempat asal Rasulullah yang mendapat keutamaan, Sungutan mereka itu sampai kepada Rasulullah sallahu 'alaihi wassallam. Baginda menghimpunkan golongan ansar dan menyatakan kepada mereka 'apakah mereka tidak merasa puas hati ketika orang lain kembali ke rumah mereka dengan membawa unta, kambing dan lain-lain harta rampasan, sedangkan orang ansar kembali ke Madinah bersama Rasulullah sendiri. Di mana puncak yang mereka daki, di mana lembah yang mereka turuni, Rasulullah ada bersama-sama mereka . Apakah kemulian yang dapat mengatasi kemulian untuk bersama-sama Rasululullah!. Itulah keutamaan peribadi Rasulullah dan itulah keutaman golongan ansar yang sentiasa berjuang untuk menegakkan Islam.
Peristiwa kedua adalah peristiwa sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam Ibnu al-Arabi, imam mufassir dalam kitabnya al-'Awasim mina al-Qawasim (Immunity from The Back-Bone Breakers) tentang tuduhan terhadap Khalifah ke tiga, Saiyyidin aUthman yang baginda melantik ahli keluarganya bagi jawatan pentadbiran, baginda membelanjakan harta untuk ahli keluarganya. Saiyyidina Uthman dalam khutbahnya kepada penduduk Madinah menjawab tuduhan itu dengan mengatakan sebahagian perlantikan ahli anggota keluarganya itu telah dibuat semenjak pemerentahan Saiyyidina Umar lagi, yang terlantik itu layak dan baginda sekadar menyambung perkhidmatan mereka. Adapun pembelanjaan harta baginda terhadap ahli keluarga itu dibuat menggunakan hartanya sendiri,bukan daripada baitu al-mal. Baginda sebelum menjadi khalifah lagi memang menggunakan sebahagian harta peribadinya untuk dibahagi-bahagi kepada kaum-kerabatnya, baginda sekadar meneruskan amalan itu. Jumhur ahlu as-Sunnah berpendirian sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn al-Arabi ini yang Saiyyidina Uthman tidak menyalahkan kedudukannya sebagai khalifah dalam melantik dan membahagi-bahagi harta bait al-mal di kalangan kaum kerabatnya.
Kemudian penulis juga mengulang-ulangi sikap 'fanatik asabiyyah' yang dikatakan jelas bermula dengan kebangkitan kerajaan Bani Uamiyyah hinggalah ke saat ini. Hanya apakah kena untuk kita mengatakan yang sejarah khairu ummah, ummataan wasatan ini diwarnai hampir seluruhnya oleh sikap fanatism?
Istilah fanatik yang asalnya perkataan Latin 'fanaticus' telah diberi pengertian:
1- Behaviour of a fanatic will be viewed as violating prevaling sosial norms.
2-A person whose enthusiasm or zeal for something is extreme or beyond normal limits (irrational ethusiasm)
3-Often intense uncritical devotion.
4-According George Santayana : "redoubling your effort when you have forgotten your aim"
5-According to W. Churchill: "A fanatic is one who cant change his mind and won't change his subject".
Ummah ini dari sewal-awalnya lagi sentiasa tidak pernah sunyi daripada golongan ulama yang mukhlisin, daripada 'abidin yang muqarrabin, daripada mujahiddin dan murabitun yang berdiri di atas kebenaran tanpa terusik pendirian mereka. Adakah kemungkaran 'fanatism' terbiar begitu sahaja sehingga seakan-akan telah tergambarhampir seluruh sejarah tamaddun ummah ini telah ditelan bulat-bulat oleh sikap buruk ini. Fanatism tentunya berlawanan/ anti-thesis kepada kebenaran dan kemurnian. Mungkin di sepanjang sejarah ummah ini terdapat golongan yang fanatik, tetapi mereka bukannya ' main stream ummah'/ sawadu al-'azam ummah ini. Ummah ini adalah ummah yang Rasulnya adalah Pembawa Rahmat ke seluruh alam, Rasul yang diutuskan kepada seluruh manusia dari sewalnya sehingga ke yang terakhir, Rasul yang memegang Syafaat al-Kubra di akhirat. Ummah kepada Rasul ini ini adalah ummah yang paling ramai menghuni syurga.
Marilah kita beradab terhadap Saiyyidina Rasulullah sallahu alaihi wassallam di peringkat batin dan zahir. Janganlah kita mengaitkan baginda dengan perilaku yang dipandang serong hatta dibuat oleh orang kebanyakan. Janganlah kita seakan-akan golongan jahiliyyah yang merah padam muka mereka kebencian apabila mendapat perkhabaran kelahiran anak perempuan tetapi sanggup mengatakan kepada Allah yang malaikat itu adalah anak perempuan Allah. Rasulullah adalah pembawa rahmat, sehingga berselawat ke atas baginda pun dikira suatu ibadat yang menghampirkan diri kita kepada Allah, mendapat keampunan dan memperolihi kebajikan yang banyak.
Mulianya peribadi Rasulullah sallahu 'alaihi wassallam sehingga Allah sendiri dan para malaikat-Nya berselawat ke atas baginda!
Catitan Hujung:
catitan ini telah dibuat di bawah dorongan emosi yang memungkinkan tergelincir kalam, terlajak kata serta terlari dari sasaran. Semoga Allah menyempurnakan kekurangan jiwa kita , mengampunan keterlanjuran kita dan menambatkan serta menambahkan kerinduan kita terhadap Rasul-Nya sehingga kerinduan dan keasyikan terhadap baginda membawa kita dalam memperolihi kecintaan dan keredaan daripada-Nya.
Hindarilah sikap suka melatah tak tentu pasal. Ini kerana sikap sedemikian tidak langsung mencerminkan kecerdikan anda. Malah sebaliknya imej lain pula yang terpapar.....iaitu kebodohan.......
ReplyDelete