Perpaduan adalah suatu nikmat yang bukan mudah untuk diperolihi tetapi agak mudah untuk hilang. Ianya bukan sahaja salah suatu syarat untuk memperolohi kemenangan bahkan ianya adalah salah suatu daripada matlamat daripada hidup bermasyarakat. Perpaduan membawa berkat dan perpecahan sebaliknya membawa bala'.
Sejenak kita renungkan kembali kisah perjuangan Saiyyidina Musa dan Saiyyidina Harun, dalam mereka menghadapi getir pertentangan dengan kuasa serta kekuatan kerajaan Firaun dan menangani kedegilan serta kejahilan Bani Israel itu sendiri. Mereka berdua adalah petunjuk hidayah yang kita jadikan pedoman dalam melayari lautan kehidupan. Allah berfirman:
"Sesungguhnya telah Kami (Allah) berikan kepada Musa dan Harun al-Furqan(Taurat yang membezakan kebenaran daripada kebatilan) dan cahaya serta sebagai petunjuk kepada golongan muttaqin. (iaitu) Orang-orang yang takutkan Tuhan mereka dalam ghaib, sedangkan mereka gementar gerun daripada Hari Qiyamat": (Al-Anbiya:48-49)
Ketika baginda berdua berjaya memimpin Bani Israel menyeberangi Laut Merah dan ketika Firaun yang dulunya gagah berkuasa telah lemas ditelan lautan, Saiyyidina Musa kemudiannya telah naik untuk bermunajat kepada Allah di atas Bukit Tursina. Baginda mewakilkan kepada Saiyyidina Harun untuk memimpin Bani Israel, Allah menyebut tentang perkara ini:
"Telah Kami janjikan kepada Musa 30 malam dan Kami sempurnakan dengan 10 (malam tambahan), Maka sempurnalah perjanjian Allah itu selama 40 malam. Berpesan Musa kepada saudaranya Harun: 'engkau gantikanlah aku pada mengurus kaumku dan lakukan pengislahan dan jangan engkau ikut jalan orang-orang yang fasid' : (Al-'Araf:142)
Apabila Saiyyidina Musa kembali daripada munajat di Bukit Tursina, baginda telah dapati sebahagian Bani Israel telah terpengaruhi dengan ajakan jahat Samiri sehingga mereka telah menyembah patung anak lembu. Saiyyidina Musa menjadi tersangat marah dengan kemungkaran yang telah berlaku sepeninggalan baginda. Baginda memegang dengan kerasnya kepala saudaranya Saiyyidina Harun, sehingga Saiyyidina Harun merayu:
"Wahai anak ibuku! sesungguhnya kaum itu tekah menganiayai aku, hampir mereka membunuh aku, maka janganlah engkau gembirakan musuh dengan perbuatan engkau terhadap aku, dan jangan engkau jadikan aku bersama dengan golongan yang zalim itu" : (Al-'Araf:150)
Saiyyidina Musa mempunyai naluri yang sangat sensitif kepada apa yang dipandangnya sebagai kesalahan, baginda sangat cepat untuk memberi respon. Naluri inilah yang menyebabkan baginda tidak kesampaian untuk bersama-sama Saiyyidina Khaidir melebihi daripada 3 tindakan Saiyyidina Khaidir yang telah ditegur baginda. Perkara ini jelas sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah al-Kahfi.
Saiyyidina Harun adalah seorang Nabi yang fasih berhujjah, keistimewaan yang dimiliki baginda inilah yang dikira sebagai asset kepada kerja dakwah yang dipimpin oleh Saiyyidina Musa. Nabi Musa berdoa secara khusus memohon agar baginda dibantu oleh Nabi Harun kerana kelebihan yang dimiliki oleh baginda ini. Bagaimanpun kefasihan hujjah dan kejelasan penerangan Nabi Harun tentang kesesatan Samiri dan perbuatannya tidak dapat menyelamatkan sebahagian daripada Bani Israel daripada terjerumus dalam kesyirikan bersama Samiri.
Al-Quran telah melengkapkan rakaman peristiwa ini dari sudut yang agak berlainan:
"Kemudiannya Samiri mengeluarkan kepada mereka sebentuk anak lembu (dari logam) yang mengeluarkan suara. Lalu mereka berkata 'inilah Tuhan kamu dan Tuhan Musa, tetapi dia terlupa.
Tidakkah mereka melihat bahawa anak lembu itu tidak menjawab percakapan yang dutujukan kepadanya. Ia tidak memiliki kuasa untuk mendatangkan kemudaratan dan kemanafaatan ke atas mereka.
Sesungguhnya Harun telah berkata kepada mereka sebelumnya: "wahai kaumku, sesungguhnya kamu telah difitnah dengannya (patung anak lembu) . Sesungguhnbya Tuhan kamu adalah Ar-Rahman, maka ikutlah aku dan taatlah kepada suruhanku"
Jawab mereka itu: "kami akan tetap menyembahnya sehingga Musa kembali kepada kami!"
(Tatkala Musa kembali) Dia berkata: 'Hai Harun! apa yang menghalang engkau (dari mencegah mereka) ketika engkau melihat mereka telah sesat.
Sesungguhnya engkau tidak mengikut aku, adakah engkau mengingkari suruhan ku?'
Jawab Harun: ' Hai anak kepada ibuku, Janganlah engkau tarik janggutku dan jangan juga kepalaku, Sesungguhnya aku bimbang engkau tuduh aku: 'engkau telah memecah-belahkan Bani israel dan engkau tidak mengamati perkataanku" (Taha:89-94)
Kita dapat bayangkan kesulitan yang dihadapi oleh Saiyyidina Harun, baginda mengingkari kesesatan yang dibawa oleh Samiri tetapi baginda tidak sanggup melakukan tindakan yang akan dituduh sebagai memecah-belahkan Bani Israel. Baginda bertahan penuh kesabaran sehingga kembalinya Saiyyidina Musa yang memang mempunyai kekuatan untuk menentukan kata-putus tanpa menjejaskan perpaduan Bani Israel.Tidak semua pemimpin mempunyai kekuatan untuk membuat kata putus yang akan dipatuhi oleh pengikut sebagaimana yang ada pada Saiyyidina Musa.
Hanya kadang-kadang kita tidak sabar dan tidak mempunyai ketahanan diri. Guru kami pernah mengatakan yang beliau kadang-kadang mengambil masa yang agak lama untuk mula menegur seseorang kerana sesuatu yang tidak sepatutnya, terlebih dahulu beliau akan menyediakan suasana yang kondusif sehingga apabila teguran itu dibuat, ianya akan meninggalkan kesan.
Kita juga teringat dalam perbincangan ulama tentang kewajiban menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar, ulama menyebut ianya tidak menjadi wajib sekiranya perbuatan kita itu dikira-kira tidak meninggalkan kesan, atau akan mengundang kemungkaran yang lebih dahsyat, atau dapat membahayakan keselamatan kita. Semua keuzuran ini tidak pula mengangkat kewajiban kita dalam membenci serta mengingkari kemaksiatan, hanya ia mengangkat kewajiban kita daripada bertindak secara zahir.
Kehadiran kita di dunia adalah untuk kita mentaati Allah dalam menjayakan kehidupan beragama, kehidupan secara perseorangan atau secara kolektif mesti diorentasikan agar memenuhi tujuan kewujudan kita itu. Dalam konteks kisah di atas inilah, Saiyyidina Musa berdoa kepada Allah:
"Musa berdoa:'Wahai tuhanku, sesungguhnya aku tiada memiliki (menguasai) kecuali diriku sendiri serta saudaraku (Harun), sebab itu maka pecahkan/ceraikan antara kami dan antara kaum yang fasik" (al-Maidah:25)
"Musa berdoa:"Ya Tuhanku, ampunilah aku dan saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam rahmat -Mu, sesungguhnya Engkaulah sepenyayang-penyayang yang penyayang" (al-'Araf:152)
Pengikut baginda berdua kemudiannya bertaubat dan perpaduan dalam kehidupan beragama terjalin semula, al-Quran menyebut:
"Tatkala mereka (Bani Israel) menyesal dan mereka sedar yang mereka telah sesat, mereka berkata: ' jika Tuhan kami tidak merahmati kami dan tiada mengampuni kami niscaya kami tergolong dari orang-orang yang rugi" (al-'Araf:149)
Allah melarang keras kita daripada berpecah:
"Janganlah kamu menjadi seperti orang yang berpecah-belah dan bersilang fahaman (ikhtilaf) selepas datang kepada mereka keterangan. Dan bagi mereka azab yang pedih disebabkan apa yang mereka kufurkan" (Ali-'Imran:105)
Allah menyebut agar kita berpadu berdasarkan kejelasan ajaran agama. Kita tahu jalan yang kita lalui dan ke mana matlamat kita. Kita berjalan di atas jalan syara' dan kita menuju kepada matlamat keredaan Allah:
"Sesungguhnya inilah Jalan-ku (agamaku) yang lurus, maka kamu ikutilah ia dan jangan kamu ikut jalan-jalan yang selainnya nanti berpecah-belah kamu daripada Jalan-Nya. Demikian Allah mewasiatkan kepada kamu moga-moga kamu bertaqwa" (al-An 'am:153)
Perpaduan yang diperentahkan oleh Allah dijelaskan:
Berpeganglah kamu sekelian kepada Tali Allah dan janganlah kamu bertpecah-belah dan ingatlah akan nikmat Allah (terutama iman dan Islam) kepada kamu. Ketika kamu telah bermusuh-musuhan, lalu dipersatukan hati-hati kamu, sehingga kamu menjadi bersaudara dengan nikmat-Nya. Sebelum ini kamu telah berada di pinggir lubang neraka, lalu ditarik-selamat kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu, agar kamu mendapat petunjuk
Hendaklah wujud di antara kamu suatu golongan yang mendakwah dengan kebaikan dan melarang daripada kejahatan , mereka adalah golongan yang berjaya.
Jnganlah kamu seperti orang-orang yang berpecah-belah dan berselisih faham selepas datang kepada mereka keterangan-keterangan, bagi mereka itu balasan azab yang besar" (ali-'Imran :103-105)
Allah menyifatkan perpaduan itu sebagai nikmat yang mahal dan merupakan anugerah-Nya yang sangat bernilainya :
Dan Dia (Allah) yang menyatukan hati-hati kamu, sekiranya engkau belanja segala yang ada di dunia, kamu tidak mampu menyatukan hati-hati mereka, tetapi Allah lah yang menyatukan antara mereka. Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana (Al-Anfal:63)
Rasulullah sangat memberi perhatian dalam ikhtiar untuk menjaga perpaduan, sehingga antara lain, terdapat beberapa hadith yang Rasulullah telah mengambil berat dalam meluruskan saf sembahyang. Membetuli saf sembahyang adalah amalan walaupun kelihatan kecil, tetapi penting dalam membawa keberkatan perpaduan kepada ummah. Lurus tumit kaki dalam saf sembahyang untuk menghadap Allah akan membawa lurus kaki hati kita dalam menjalani kehidupan mencari reda-Nya. Lihatlah huraian kitab Dalilu al-Falihin, antara lain tentang perkara ini.
Oleh itu marilah kita syukuri perpaduan dalam kehidupan beragama yang ada, serta kita perkukuhkan amalan-amalan agama yang telah sedia tersemai dalam masyarakat kita. Kita hindari bibit/benih perpecahan yang mampu berpunca dari soal-soal huraian agama sesuka rasa, ketaksuban kepada kelompok, semangat kepartian yang melampau. Agaknya tulisan Badiuzzaman Said Nursi 'Sincerity & Brotherhood' dapat membantu, atau tulisan Maulana Zakaria al-Kandalawi 'Islamic Politics'.
No comments:
Post a Comment