Ada orang yang menyedari sebenarnya dia tidak mempunyai kekuatan sendiri, kecuali menumpang pada kekuatan yang lain. Ada orang yang kerana kekurangan ini, maka dia mahu menjadi pengikut. Dia mungkin berusaha untuk menjadi pengikut yang baik kepada pemimpin yang diyakininya atau yang dia mempunyai kepentingan. Ada juga orang yang walaupun dia menyedari kekurangannya tetapi dia tetap mahu jadi pemimpin, dia akan menggunakan sesiapa sahaja sebagai batu loncatannya, dia juga akan merasa kedudukannya sentiasa terancam. Dia menuduh orang lain berusaha untuk menjatuhkannnya, tetapi pada hakikatnya dia lah yang berusaha keras untuk menjatuhkan orang lain. Dia obses dengan kuasa dan sentiasa mencari dalih untuk memberi justifikasi kepada tindakannya.
Ada orang yang memang merasa dirinya serba lemah, serba kekurangan lalu dia berpaling kepada Tuhan yang Maha Kuat dan dia bergantung harap kepada Tuhan yang Maha Sempurna. Semakin dia diamanahkan dengan kuasa semakin dia merasa kekurangannya, semakin dia bergantung harap kepada Allah. Sehingga kuasa yang ada pada tangannya menjadi ibadah, sehingga kuasa yang ada pada tangannya adalah sumber taqarrubnya kepada Allah. Bertuahlah golongan ini, golongan para sahabat utama, Saiyyidina Umar bin Abdul Aziz, Sultan Muhammad al-Fateh dan Sultan Salahuddin al-Ayubi. Mereka adalah pemimpin yang kreatif, mereka adalah pemimpin yang memahami degup jantung harapan rakyat dan disayangi oleh golongan du'afa'.
Aduhai malangnya kita ummah di zaman ini, tidak sedikit pemimpin yang mendapat jawatan kerana mereka adalah dari keluarga pemimpin yang sebelumnya dan bukan kerana mereka adalah terlayak. Mereka merasakan mereka adalah daripada keluarga yang dimuliakan dan perlu diberi keutamaan. Mereka secara tidak resmi menganggap mereka terdiri dari 'kasta' yang lebih tinggi daripada orang kebanyakan. Mereka mahu menentukan perjalanan liku-liku hidup orang banyak di 'round table' mereka walaupun secara resminya merekapun tidak memikul tanggung-jawab itu. Seolah-olah mereka adalah puak illuminati dalam buku-buku cerita tulisan Dan Brown, mereka yang kelihatan tawaddu' pada zahir itu, rupanya memiliki sifat takabbur .
Sehingga ada kalangan mereka yang apabila bercakap tentang kehidupan akhirat, yang sememangnya padsa hakikatnya tiada kehidupan kecuali kehidupan di akhirat , kita bayangkan mereka adalah orang-orang yang tiada punya kepentingan duniawi. Sebaliknya mereka sangat tertonjol minatnya kepada perhiasan dunia walaupun mungkin mereka mendapat pendidikan agama.
Inilah agaknya golongan yang tiada punya apa-apa kekuatan sendiri, kecuali kepuraan-puraan dan ingin terus menjadi dedalu dengan bergantung kepada kemasyhuran orang lain serta mahu terus menganggap dan dianggap yang mereka adalah ahli daripada keluarga yang dimuliakan.
No comments:
Post a Comment