Saturday, December 19, 2009

Dunia Bulat Yang Sentiasa Berputar

Tuhan menjadikan dunia yang kita duduki ini bentuknya bulat dan sentiasa berputar. Bersaling ganti antara siang dan malam serta kedudukannya yang berputar pada paksi dan garis yang berulang-ulang. Rupanya begitu jugalah dengan sebahagian daripada kehidupan kita, ada aksi dan ada reaksi, ada kesan serta akibat, ada pantulan pancaran zahir pada cermin batin. Perbuatan kita dan ungkapan kita yang lalu kepada orang lain kadang-kadang kembali mengenai kita. umpama kata orang-orang tua "ada ubi ada batas, ada hari ada balas".

Saya teringat pada suatu peristiwa yang telah berlaku 20 tahun yang lalu. Seorang anak perempuan telah berkahwin dengan pilihan hatinya tanpa memaklumkan kepada orang tuanya (mereka kahwin mengikut mazhab Imam Abu Hanifah), apabila orang tuanya mengetahui hal yang demikian, dia datang ke tempat anak perempuannya untuk membawa anaknya pulang. Rancangannya gagal kerana si menantunya lebih cekap, dia telah bersedia dengan teksi di depan hotel tempat penginapan orang tua itu. Anak permpuannya telah dilarikan dengan teksi tersebut, meninggalkan orang tua itu tercunggap-cunggap mengejar teksi yang memecut laju bersama anak perempuannya. Kemudian saya mendengar berita dari seorang yang mengenali orang tua tersebut yang dia dulupun kahwin dengan isterinya dengan membawa lari anak dara orang dari rumah!

Kemudian saya mendengar berita seorang penceramah telah mencerca seorang guru pondok di dalam ceramah umumnya di perkarangan sekolah agama yang berhampiran dengan pondok guru tersebut. Dia mencerca dan memperlecehkan kerana guru itu menyanggah pandangan pimpinan partinya dan menyokong golongan serpihan. Apabila penuntut-penuntut pondok tersebut memaklumkan kepada guru mereka tentang cercaan itu, guru itu terasa sayu dan belas hati, kerana kalaupun dia mengeritik pimpinan parti dan menyokong golongan serpihan , dia lakukan dengan ikhlas kerana mahu mempertahankan kemurnian agama secara yang difahaminya. Guru tersebut terkeluar kata yang membawa maksud 'lihatlah 5 tahun lagi, penceramah ini akan rebah di atas pentas ceramah, kerana doa orang yang dizalimi tidak semestinya dimakbulkan semerta, lagikan doa Nabi Musa pun mengambil masa 40 tahun untuk terzahir makbulnya'. Masyaallah, selepas 5 tahun kemudian apa yang dikatakan oleh guru tersebut ditakdirkan Allah berlaku, penceramah itu rebah di atas pentas ceramah yang membawa kepada kematiannya. Pengajarannya takutilah doa orang yang kita zalimi semada secara perbuatan, perkataan ataupun tulisan. Ingatlah dunia ini bulat berputar!

Saya juga teringat ada seorang ulama yang saya hormati telah sanggup mengatakan Tuhan mencarut, dalam rangka dia mempertahankan novel Shahnon Ahmad, Shit yang dikatakan sebuah novel yang mengandungi elemen-elemen mencarut. Dalam penggunaan bahasa semasa, mencarut membawa maksud lebih kepada 'bercakap lucah', walaupun dalam kitab-kitab jawi klasik perkataan mencarut juga membawa maksud memaki-hamun. Ulama ini sanggup menuturkan ungkapan sedemikian kepada Tuhan! Sedangkan anggota-anggota jamaahnya, yang terdiri dari alim-ulama dan ahli bahasa tidak banyak menegur kegelinciran yang parah ini secara terbuka. (bahkan ada yang mengiyakannya, itulah antara kemuncak assabiyyah hizbiyyah)

Kemudian ulama yang saya sanjungi ini semakin berani, dia terjemahkan al-Jabbar dari al-Asma al-Husna (Nama-Nama Indah Bagi Tuhan) dengan istilah 'samseng'.Dia beriya-iya benar mempertahankan terjemahan yang dibuatnya ini kerana katanya ia boleh menimbulkan kegerunan di hati manusia. Sehinggalah dia menyebut dengan yakinnya tentang terjemahnnya itu di dalam suatu majlis yang dihadiri antara lain oleh 2 Sasterawan Negara, Pak Samad Said dan S.Osman Kelantan. S.Osman telah bangun dan menjelaskan yang perkataan samseng asal-usulnya adalah daripada perkataan Hokkein, yang membawa maksud orang jahat yang tidak berhati berat. Dia bertanya' bilakah masanya Tuhan pukul kepala orang dan membawa lari anak orang?". Dia juga mengatakan yang hanya orang penakut yang takutkan samseng, dia sendiri tidak takutkan samseng, kerana sekiranya dia tidak terdaya melawan samseng tersebut, dia akan mengupah samseng lain untuk mengetuk kepala samseng tersebut'. S.Osman menyudahi tegurannya dengan saranan agar ulama tersebut membuka kamus sebelum menggunakan sesuatu istilah!. Nampaknya bermula dari situlah isu itu menjadi dingin dan senyap.

Kenapa kita sanggup menyebut Allah dengan istilah yang ada konotasi negatif, bukankah Allah telah mengajar kita di dalam al-Quran agar beradab dengan Rasulullah dengan menyebut 'sami'na' dan meninggalkan 'ra ina' ?Atau kalaulah samseng itu adalah suatu istilah yang baik sehingga boleh digunakan dalam menterjemahkan salah satu Nama dari al-Asma al-Husna, bagaimana perasaan kita agaknya kalau ada orang mengatakan kepada kita, atau ahli keluarga kita atau kepada menantu kita samseng?

Ada ulama yang dilapurkan mengatakan yang terdapat keluarga Rasulullah yang menentang Islam, dikatakan bapa-bapa saudara Rasulullah telah menentang perjuangan Agama yang dibawa baginda. Kalaulah terdapat kebenaran pada lapuran ini, kita mengucapkan 'innalillahi wa inna ilahi raji'un'. Dari sebelah bapa, Rasulullah mempunyai 10 bapa saudara, kebanyakan daripada mereka meninggal sebelum kerasulan. Dari yang tinggal, yang tertonjolnya ialah Abu Talib, walaupun tidak memeluk Islam tetapi banyak menyumbang dan mempertahan Rasulullah. Saiyyidina Abbas memeluk Islam sementara Saiyyidina Hamzah telah memperjuangkan Islam sehingga dianugerahi kesyahidan. Abu Lahab memang menentang Rasulullah dan Islam, tetapi hanyalah beliau seorang daripada bapa saudara Rasulullah. Sementara keluarga Rasulullah dari Bani Hashim yang lain ikut dipulaukan oleh musyrikin Makkah untuk sekian lama, mereka menghadapi pemulauan yang dahsyat itu kerana asabiyayah kekeluargaan di kalangan mereka.

Bagamanapun sekiranya ada orang yang mengatakan anak lelaki kita, anak perempuan kita, isteri kita, menantu kita termasuk dalam golongan yang menyekat perlaksanaan yang sepatutnya berdasarkan ajaran dan perjuangan Islam, tentu kita akan terkilan, kita akan terasa sayu melihat bagaimana mereka tergamak berkata demikian, mungkin sahaja ada sedikit kebenaran pada tuduhan mereka itu. Kalaulah begitu , sudah tentu kita perlu lebih beradab terhadap ahli keluarga Rasulullah.

Baru-baru ini YB Dr.Dzulkifli Ahmad,ahli parlimen PAS dalam akhbar The Star mengakui yang sahabat-sahabatnya ahli parlimen PAS telah bersungguh-sungguh mendesak dalam sidang parlimen agar memasukkan menantu dalam senarai ahli keluarga terdekat bagi akta pencegahan rasuah. Hal ini diberi tekanan kerana mereka tujukan kepada isu Khari Jamaluddin, menantu Perdana Menteri di waktu itu yang dikatakan sangat mempengaruhi bapa mertuanya. Kini mereka sendiri tercungap-cunggap serba salah, iaitu selepas cadangan mereka telah diterima-pakai, kerana isu yang hampir sama kini sedang melanda pimpinan parti mereka sendiri. Aduhai bulat dan berputarnya dunia ini! Yang benar-benar terselamat hanyalah mereka yang dirahmati Allah.

Kalau 25-30 tahun lalu, tidak sedikit mereka yang terdedah kepada program usrah pada waktu itu memandang huraian aqidah berdasarkan Sifat 20 sebagai sesuatu yang kaku, sesuatu yang diada-adakan, sehingga ada yang mengatakan 'walaupun belajar Sifat 20 dah 20 tahun, tapi masih sokong UMNO". Maka huraian aqidah berdasarkan Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Asma dan Sifat lah yang dicanang-canang sebagai aqidah yang hidup dan relevan serta ialah diaktakan aqidah salaf. Terdapat pula ulama yang mengeritik kaedah Sifat 20 itu sebagai warisan falsafah Greek-Yunani, dia mahukan aqidah yang murni berdasarkan al-Quran; tetapi bagaimana boleh kita serasikan sikap cermatnya itu dengan keberaniannya memasang sifat-sifat yang berkonotasi negatif kepada Tuhan? Adakah perkara tersebut terdapat di dalam al-Quran, Sunnah atau amalan imam-imam di zaman salaf?


Kini giliran huraian aqidah Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah serta Asma dan Sifat ini pula sedang dipertikaikan oleh ramai pengkaji. Huraian tahudi sebegini sebenarnya merupakan ijtihad Syaikhu al-Islam Imam Ibnu Taimiyyah, sehingga kini sukar untuk dikaitkan fahaman ini secara yakin kepada mana-mana huraian ulama salaf dalam bidang ini. Bagaimanapun kalau dalam sejarah pendidikan negara ini, Dr. Abdul Hamid Osman yang pada suatu ketika dulu adalah seorang anggota kabinet, telah memutuskan dalam mesyuarat untuk menggunakan huraian tersebut dalam silibus pelajaran di institusi pendidikan negara kita. Maka anak-anak kitapun sehingga kini belajar aqidah berdasarkan huraian Syaikhu al-Islam Ibnu Taimiyyah , berdasarkan ijtihad Dr. Abdul Hamid Osman!


Sekiranya kita boleh suburkan sikap nasihah secara membina, bukan sekadar mengkagumi tokoh-tokoh pimpinan termasuk dari kalangan ulama, sudah tentu beberapa kegelinciran tidak akan menjadi berlarutan dan parah. Sekiranya kasih kita kepada pimpinan tidak membuta kita dari melihat kebenaran sebagai kebenaran serta kepalsuan sebagai kepalsuan, sudah tentu intraksi yang membina akan berlaku. Sekiranya kritikan kita terhadap pihak lawan dibuat kerana nasihah, bukan kerana kebencian kepada lawan, sudah tentu ia membawa keberkatan dan pengislahan. Sekiranya kita mengeritik orang lain dengan penuh kesedaran yang bukanlah kita lebih baik dari orang yang kita kritik, agaknya terhindarlah kita dari riak dan takabbur. Sekiranya kita menegur kegelinciran tokoh-tokoh pimpinan ummah , sepatutnya kita sentiasa mengingati sumbangan dan jasa mereka yang jauh lebih banyak dari sumbangan dan jasa kita kepada ummah, mereka umpama air dua kolah tidak menjadi najis dengan jatuhnya bahan najis ke dalam air tersebut sehinggalah ada sifat-sifat utamanya bertukar.

Sekiranya kita menegur kesilapan dan keterlanjuran pihak lawan, sepatutnya bukannya didorong niat kita untuk menjatuhkannnya tetapi yang kita tuntut ialah pengislahan sedaya mungkin. Sekiranya kita menegur kesilapan orang lain, kita juga mahu kesilapan kita ditegur dengan cara yang kita menegur orang lain . Syurga cukup luas untuk memuatkan kita semua, begitu juga neraka begitu luas untuk memuatkan kita semua.

No comments:

Post a Comment