Thursday, December 24, 2009

Muharram Yang Berkat

Alhamdulillah kita berada di hari-hari sepuluh awal Muharram yang penuh keberkatan. Rasulullah bersabda yang maksudnya :"Sebaik-baik puasa selepas (puasa) bulan Ramadan (adalah) puasa pada bulan Allah yang kamu panggilnya al-Muharram, sebaik-baik sembahyang selepas (sembahyang) fardu adalag mendirikan malam" [riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah]

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menyebut tentang dua jenis puasa sunnat, puasa sunnat yang mutlak, maka puasa pada Muharram adalah afdal sebagaimana sembahyang malam afdal berbanding sembahyang sunnat mutlak yang lain. Keduanya puasa sunnat yang terikat dengan Ramadan, sebelum dan selapasnya: iaitu puasa pada bulan Syaaban dan puasa pada bulan syawal, yang serupa dengan sembahyang sunnat qabliyyah dan ba'diyyah bagi sembahyang fardu.

Bagi hari-hari dalam bulan Muharram pula, hari-hari sepuluh yang awal lebih afdal daripada hari-hari selepasnya. Berkata Abu Uthman an-Nahdi, seorang tabien " mereka (para sahabat) membesarkan tiga hari-hari sepuluh; 10 hari akhir dari Ramadan,10 hari awal Dhu al-Hijjah dan 10 hari awal Muharram"

Dari hari-hari 10 awal Muharram ini, hari Asyura lah hari yang paling dimuliakan, paling mempunyai kelebihan. Amalan berpuasa pada hari Asyura (10 haribulan) telah terkenal di kalangan nabi-nabi, seperti Nabi Nuh dan Nabi Musa.

Imam Ibnu Sirrin telah berpuasa pada sehari sebelum dan sehari selepas Asyura, menjadikan 3 hari kerana berhati-hati agar tidak terlepas daripada berpuasa pada hari Asyura. Diriwayatkan bahawa Ibnu Abbas dan Dahak beranggapan yang hari Asyura jatuh pada hari yang kesembilan daripada bulan Muharram. Imam Ahmad mengatakan : Aku tidak pasti ianya pada hari yang kesembilan atau hari yang kesepuluh, bagaimanapun kami berpuasa pada kedua-dua hari.

Imam as-Syafi'ie, Imam Ahmad dan Imam Ishaq berpandangan berpuasa pada hari ke-9 dan ke 10, sementara Imam Abu Hanifah berpandangan berpuasa hanya pada hari ke 10.

Sebahagian ulama di zaman salaf berpuasa Asyura walaupun di dalam musafir, antara mereka itu ialah Ibnu Abbas, Abu Ishaq as-Sabi'ie, Az-Zuhri, dia berkata: Sehari Ramadan mempunyai bilangan hari-hari yang lain, sedangkan hari Asyura hilang (tanpa yang lain). Imam Ahmad telah mengatakan sunnat untuk berpuasa Asyura walaupun di dalam musafir.

Ketika manusia sibuk membilang keuntungan-keuntungan duniawi, semada dari segi harta benda, pangkat darjat, percaturan politik atau kekuatan kuasa sepanjang masa, marilah kita berusaha untuk melalui hari-hari besar dalam bulan besar ini dengan berusaha untuk memenuhi hikmah kejadian kita sebagai makhluk ibadat. Semoga Allah menganugerahkan kemanisan kepada kita dalam kita mentaati-Nya.

No comments:

Post a Comment