Monday, August 31, 2009

English Sojourn & Lainnya - himpunan karya-karya pengalaman

Buku yang mula saya baca dari tulisan Prof. Che Husna adalah Melor In Perspective, kerana tarikan yang kuat kepada kandungan buku itu, saya photostat buku itu 2 salinan; semata-mata untuk saya simpan. Saya tertarik kepada buku itu ialah kerana (1) cerita yang dipaparkan adalah cerita pengalaman hari-hari masyarakat kampong di Kelantan. (2) Jalan ceritanya licin dan banyak tempat kita akan tersenyum sendirian kerana unsur-unsur lucunya (3) banyak juga rakaman sejarah yang kita belum tahu sebelumnya seperti angkatan yang dihantar oleh Tok Pengawa Wan Mahmud dalam peristiwa Musuh Tok Janggut dan tandas jurah yang pertama di Kelantan (4) Ianya mengesahkan lagi secara bertulis tentang struktur masyarakat Kelantan, umpama hubungan antara orang gedebe dan orang alim, orang perempuan yang bujang, orang tidak pok yang ada indentiti (kalau di Kota Bharu Tok Awang dengan laungan merdeka, Mat Tropek dengan aktiviti menjaga lalu-lintas dan seumpamanya) (5) bagaimana seorang yang berumur 12 tahun dapat mengumpul sedemikian banyak cerita yang kemudiannya dirakamkan secara bertulis ketika dia sudah dewasa.

Buku ini ceritanya banyak merangkumi masyarakat di Pekan Melor pada tahun akhir 60'an secara amnya.

Kemudian Prof Che Husna menghadiahkan saya bukunya Puisi Ambo; saya tertarik kepada bentuk puisi yang mengekalkan hujung rangkap dengan bunyi sukukata yang sama, terutamanya itulah bentuk puisi Melayu tradisional. bunyi sedap (dan agaknya memerlukan ketelitian dalam berkarya berbanding penghasilan sajak bebas)

Puisi-puisi Prof Che Husna menyentuh isu kemanusian secara sentimental dan kritis: kita akan terasa simpati kepada Dah yang ditahan ketika menyeberang sungai yang menjadi sempadan kepada kelompok manusia yang sama. Kita akan tersenyum membaca tentang pintu gerbang yang banyak terpacak di Kelantan, bermula dari Gua Musang sehingga ke depan Balai Besar. Kita akan menghilai membaca tentang selagi huruf 'ha' tidak bunyi macam serati, jangan pengah nak berhenti. Kita baca rakaman betapa kasihnya orang Kelantan kepada negeri, kita baca tentang Abang Soh yang menjumpai jong lipat baju di Salor dengan senyum tetapi merupakan rakaman realiti orang parti.

Kemudian Prof Mek (nama panggilan bagi Prof CH)menghadiahkan lagi Rambutan Orchard. Buku ini merupakan complimentary kepada buku Melor In Perspective, skop ceritanya lebih terfokus kepada cerita keluarga, anak menantu dan keluarga besar Tuan Guru Haji Wan Abdul Kadir Melor. Ceritanya adalah yang sama dengan cerita kita anak-anak yang membesar sebelum zaman TV ada pada setiap rumah, kecuali Prof Mek memang tukang cerita, pengalaman harian hampir setiap orang dijadikan tulisan yang sungguh menarik dan membenarkan kita seakan-akan terlibat dalam pengalamannya ketika kanak-kanak di Pekan Melor.

Apa yang menarik sekalinya ialah cerita dalam pagar mu'tan (rambutan orchard) itu ialah cerita bagaimana Wan Yah (ibunda kepada Prof Mek) berintraksi dengan pohon-pohon yang ditanam.Bagaimana pohon-pohon yang diperdengar bacaan al-Quran itu bertindak balas, sehingga dalam pagar itu membentuk suatu alam mikronya sendiri, nyaman dan aman seakan-akan ianya adalah bayangan syurga. Dan apa yang menariknya memang dalam alam fantasi kanak-kanak sebaya Mek ketika itu, dalam pagar yang tidak berapa luas itupun dirasakan begitu luas dan mencukupi, laha, langah dan lawasnya.

Buku yang dihadiahkan juga kepada saya oleh Prof Mek ialah buku English Sojourn; buku ini adalah lanjutan daripada dua buku pengalaman hidup Prof Mek. Mek kini bukan lagi budak Pekan Melor tetapi pelajar Melayu di England. Pengalamannya diceritakan secara santai tetapi kandungan dan messagenya adalah berat berbanding dengan dua buku yang terdahulu. Ia bukan setakat rakaman pengalaman hidup, bahkan dailog aqal tentang nilai serta kecenderungan intelektual dan spiritiual.

Mek berada di England di masa zaman Gerakan Dakwah (movement oriented) baru mula bercambah di kalangan sebahagian daripada pelajar Melayu. Zaman baru sentiasa diwarnai dengan kesungguhan dan ketaksuban, kedangkalan dan kekitaan yang kuat. Zaman itu terdapat MISG walaupun semakin mengecil, IRC yang penuh kerahsian, Suara Islam yang revolusionis paa satu pihak. Darqawi/murabitun dan Syiekh Nazim Haqqani al-Qubrusi, selain Jamaah Tabligh pada pihak yang lain.

Ketika itu antara key-words di kalangan pelajar kita ketika itu adalah Islamic State, sistem jahiliah, Islam yang syumul dan mutakammil, aqidah yang menghidupkan, ulama haraki, wahdatu al-amal dan lain-lain istilah yang agak asing daripada istilah yang ada dalam kandungan kitab agama yang lama. Tidak sedikit aktivis/amilin yang dek kerana terlalu menumpukan kepada aktiviti-aktiviti membina Islamic State in exile itu telah kandas dalam pengajian formal mereka, terutama di kalangan sisters. Banyak juga di kalangan brothers dan sisters sekembali ke tanahair yang meneruskan aktiviti usrah dan lainnya, dan tidak sedikit yang bertukar arus. ( ada seorang ex-brother baru-baru ini membuat remark 'kalau dulu ruku, yang jatuh dari poket ialah Milestones, loni kalau ruku yang jatuhnya Malboro')

Prof Mek banyak menyentuh tentang hubungan harmonis sunni-syiah di kalangan pelajar di sana sehingga membawa kepada perkahwinan . Prof Mek mengimbau keakraban dan kehangatan persahabatan antara sunni-shiah yang bersembahyang di kabin yang sama, berbuka puasa dan melakukan kegiatan yang lain bersama. Itulah pengamatan yang memang benar, pengamatan secara kontekstual. Hanya kadang-kadang kita juga perlu melihat kepada pengamatan yang dibuat secara tektual.

Saya pernah menyuarakan pandangan kepada seorang simpatis shiah yang kita ahli sunnah bersama mereka dalam menyanyangi ahli-bait, imam-imam daripada keturunan Saiyyidina Ali, mungkin kasih kita melebihi daripada kasih mereka kepada ahli bait, tetapi kita tidak berkongsi kebencian dengan mereka. Mereka membenci Saiyyidina Abu Bakar, Saiyyidina Umar, Saiyyidina uthman dan lain-lain sahabat. Kita tahu yang Saiyyidina Umar berkahwin dengan anak Saiyyidina Ali sebagai contoh, hubungan ahli bait dengan sahabat-sahabat utama adalah akrab kerana mereka semua adalah innner circles kepada Saiyyidina Rasulullah. Kasih mereka kepada baginda begitu mendalam, sehingga seumpama Saiyyidina Umar mengaku yang akhirnya beliau mencintai Rasulullah melebihi cintanya kepada diri sendiri.

Bagaimanapun catitan Prof Mek adalah catitan naratif terbaik yang bagi saya setakat ini tentang era budak-budak dakwah di England. Semoga Prof Mek akan menulis untuk merakamkan pengalamannya sebagai student TKC, tentang Ustaz Azhari yang kita hanya tahu sekadar dari nama sekolah arab Azhariyyah. Saya rasa kita juga boleh tumpang melayari pengalaman-pengalaman tersebut seolah-olah cerita itu juga adalah cerita kita

Saturday, August 8, 2009

David Hicks: Perjalanan Protes Seorang Bersemangat Tinggi

Entah mengapa berita kecil di sudut The Star, 4 August 2009, telah menarik perhatian saya, sedangkan banyak tajuk-tajuk besar yang saya tidak terbaca. Ianya kisah perkahwinan seorang rakyat Australia, David Hicks 34 tahun dengan pasangannya Aloysia Brooks di Sdyney Chappel oleh pastor dari Uniting Church.



David Hicks datang dari keluarga yang ibu-bapanya bercerai, sebagai remaja dia mempunyai bermacam masalah, dia dikatakan terlibat dengan ketagihan arak dan dadah. Dia juga dikatakan terlibat dengan jenayah-jenayah kecil. Ketika berumur 14 tahun dia telah dibuang sekolah oleh Smithfield Plains High School.



Dia telah melakukan belbagai pekerjaan, dari menyiang daging kanggaro sehingga menjaga lembu. Dia berkenalan dengan Jodie Sparrow pada tahun 1992, dan memperolihi dua orang anak dari perkongsian hidup itu, Mereka berpisah pada tahun 1996, David kemudiannya ke Japan sebagai pelatih kuda.



Pada tahun 1999, dia telah ke Albania untuk menyertai Kosovo Liberation Army (KLA) untuk berperang melawan tentera Serbia ketika Peperangan Kosovo. Beliau berada di sana untuk tempuh 2 bulan.



Sekembalinya ke Australia, beliau memeluk Islam dan mulai belajar tentang ajaran Islam di Masjid Gillies Plains. Adelaide. Nama Islamnya adalah Muhammed Dawood .Kemudiannya dia berhasrat menyambung belajar dan mendalami Islam di Pakistan, di Pakistan dia merapati Laskar e-Tolaba, dia telah menyertai rakan-rakannya ke Sempadan Kashmir dan mendapat pendedahan kepada penggunaan belbagai alat senjata. Kemudiannya beliau telah menyeberang ke Afghanisatan, mendapat latihan perang di kem latihan al-Qaeda. Beliau mendakwa pernah bertemu dengan Usama BinLadin.



Beliau telah ditangkap oleh Tentera Pakatan Utara (Northern Alliance) pada tahun 2001 dan telah dijual kepada tentera Amerika dengan harga seribu Dollar . Tentera Amerika kemudiannya menahannya di Guantanamo Bay. Dia telah diseksa sedemikain rupa di sana,. Di sanalah juga dia mulai berenggang dengan ajaran Islam.



Dalam buku Enemy Combatant: A British Muslim's Journey to Guantanamo & Back yang ditulis oleh seorang bekas tahanan, Moazzam Beg, ditelah dicatitkan bahawa rakan sekamar penjara dengan David Hicks , Uthman al-Harbi telah memulau David kerana dia tidak mengamalkan amalan agama.



Pada tahun 2007, David adalah mangsa yang pertama dibicarakan di bawah U.S Military Commission Act 2006 dan Hakim Susan J. Crawford , telah bersetuju mengadakan rundingan sebelum pembicaraan (pre-trial agreement) yang David akan mengaku salah. Bagaimanapun bagi Colonel Morris Davis, mantan Ketua Pendakwaraya Pentagon (Former Pentagon Prosecutor) membuat kenyataan yang David tidak sepatutnya di dakwa, tetapi dia menjadi mangsa kepada konspirasi politik Bush-Howard.



Sekembalinya David ke Australia, dia menyambung hukuman tahanan yang dikenakan ke atasnya. Dia mula berkenalan dengan seorang pejuang hak kemanusian dan penuntut pasca- sarjana di University of Sydney's Centre For Peace & Conflict Studies, Aloysia Brooks, yang kemudiannya dikahwininya.



Kisah perjalanan David Hicks amat menyayatkan hati, dia bermula sebagai seorang kanak-kanak mangsa keruntuhan rumah-tangga , terdedah kepada belbagai kerenah anak muda yang membesar dalam masyarakat yang serba permisif. Dia mahu memperjuangakan kebenaran, dan untuk itu nyawanya telah dipertaruhkan .

Membaca petikan surat-surat yang dihantar kepada kepada ibunya tentang keinginannya mati syahid serta harapan agar dapat memberi syafaat kepada 10 ahli keluarganya, sudah cukup membayangkan semangat juangnya yang menjulang tinggi. Dia seorang yang berani dan cekal hati di medan tempur.

Penderitaan yang diterimanya di Guantanamo Bay telah melemahkan semangatnya dalam menghayati Islam. Ummat Islam terdahulu menyedari ancaman besar yang dihadapi oleh tawanan perang, lihatlah contohnya kebimbangan Saiyyidina Umar Bin Abdul Aziz dan keprihatinannya terhadap tawanan perang muslim di penjara-penjara Contantinople. Sepatutnya kita juga perlu mengambil berat tentang tawanan muslim di dalam penjara-penjara pihak bukan Islam yang ada pada hari ini.

Tahanan perang memang berbeza dari banduan dalam penjara biasa. Sebagai contoh, berapa ramai rakyat Amerika yang memeluk Islam semasa di dalam penjara, kehidupan dalam penjara memberi mereka peluang untuk meyelami kehidupan tafakkur dan contemplation. Pengaruh-pengaruh luar yang melalaikan mereka ketika bebas di luar terhalang pada jeriji penjara.

Agaknya yang lebih dekat kepada suasana tahanan perang adalah tahanan ISA. Bukan sedikit tahanan ISA yang terubah pendirian selepas ditahan, tokoh-tokoh PAS pada tahun 1960'an, sebagai contoh, yang sebelumnya bengis dan garang tetapi menjadi jinak selepas keluar, bahkan ada yang terus menyertai UMNO. Mereka bukan sahaja menerima tekanan dari segi fizikal, bahkan mereka diasak dari segi mental.

Apa yang terjadi kepada David Hicks boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. David Hicks merupakan seorang yang keberaniannya lajak daripada laju keteguhan faham dan pegangannya. Dia patah kerana tertekan. Alangkah takutnya kita apabila kita melakukan sesuatu walaupun atas nama kebajikan apabila kita menyedari kelakuan kita itu sebenarnya mengatasi kapasiti keupayaan faham dan persediaan dalaman kita.

Alangkah benarnya sabdaan Rasulullah yang mengatakan semua manusia binasa kecuali yang berilmu, semua yang berilmu binasa kecuali yang beramal, semua yang beramal binasa kecuali yang ikhlas, dan yang ikhlas itu berada dalam keadaan yang bahaya!




Rupanya pengalamannya di Guantanamo Bay, bukan setakat memadamkan semangat jihad yang ada padanya

Friday, August 7, 2009

Pesan Guru Kami ( Kelebihan ahlu as-Sunnah)

1-Guru kami memberitahu yang dia di datangi oleh seorang pensyarah universiti tempatan pada akhir tahun 80'an, pensyarah tersebut memberitahu dia yang Mahathir yang ketika itu adalah Perdana Menteri dalam satu majlis dailog dengan pelajar di England telah memberi peringatan kepada pelajar Malaysia di sana yang Iran tidak boleh dicontohi, kerana Iran adalah negera Syiah.

Ada dari kalangan pelajar bertanya kepada Mahathir "siapa yang lebih baik, orang syiah yang melaksanakan hukum Islam atau ahlu as-Sunnah yang tidak melaksanakan hukum Islam?. Katanya Mahathir terpukul dan tidak menjawab soalan tersebut. Cerita ini sahih atau tidak, tidak pula dapat dipastikan.

Guru kami memberi respon yang semerta kepada pensyarah tersebut "kenapa ditanya kepada Mahathir yang jahil". Pensyarah itu bertanya balik "kalau ditanya kepada Abang Haji, bagaimana Abang Haji jawab?". Guru kami segera menjawab "ahlu as-sunnah yang tidak melaksanakan hukum Islam itu sudah tentu lebih baik daripada pengikut Syiah yang mengamalkan Islam".

Pensyarah itu nampak keliru dan sukar menelan jawaban itu. Guru kami menyambung "sekiranya ahlu as-sunnah meninggalkan hukum Islam, dia wajib tahu yang dia berdosa, dalam beberapa perkara dia wajib qada, sekurang-kurangnya dia wajib bertaubat, sekiranya dia tidak merasa bersalah dan tidak merasa keperluan untuk bertaubat kerana meninggalkan hukum Islam, maka dia bukan daripada ahli as-Sunnah; sementara bagi orang syiah, ketika dia melakukan kemaksiatan seperti sekiranya mempercayai wujudnya Mushaf Fatimah, yang berbeza daripada al-Quran yang ada, atau berpegang Saiyyidina Abu Bakar dan Omar beserta sahabat-sahabat lain itu khianat dan murtad, dia tidak akan bertaubat kerana dia menyangka semua itu adalah kebajikan dan kebenaran. dia mati di atas pegangan dan amalan yang sedemikian, jadi siapa yang lebih baik?"

2-Ketika musim reformasi, seorang yang bersemangat tinggi datang ke rumah guru kami dan mengatakan Mahathir telah nyanyok, banyak kenyataan-kenyataannya yang bertentangan dengan ajaran agama. Guru kami menjawab "Mahathir tidak nyanyok". Orang itu bertanya "bagaimana kita hendak faham kenyataan-kenyataannya yang menyeleweng ini?". Guru kami mengulas "nyanyok ini ialah keadaaan pemikiran sesorang yang bertukar menjadi celaru sedangkan sebelumnya berkeadaan baik, adakah pemikiran Mahathir dulunya selaras dengan ajaran agama?". Orang itu secara spontan menjawab 'tidak". Lalu sang guru membuat kesimpulan "kalau sedemikian, dia tidaknya nyanyok, tetapi dia seorang yang jahil"

3-Pada suatu petang dalam bulan Ramadan, rombongan yang menemani qari yang buta dari Iran telah datang untuk berbuka puasa. Guru kami menyantuni mereka sementara menunggu masuk waktu maghrib. Dalam rombongan itu terdapat pelajar Melayu yang belajar di Qum , dia telah mengambil peluang tersebut untuk menjelaskan kesahihan pegangan dan amalan syiah kepada guru kami. Agaknya dari segi penampilan, dia tidak menyangka tahap penguasaan ilmu yang ada pada guru kami. Dia mula menerangkan belbagai aliran syiah dan kesahihan pegangan syiah yang diamalkan di Iran.

Guru kami menjawab "alangkah besarnya kebajikan yang dilakukan oleh pemerentah Iran dengan menghantar qari untuk memperdengarkan Kalam Allah kepada manusia lain, sebagaimana besarnya kebajikan kerajaan Saudi membahagi-bahagi mushaf al-quran kepada jamaah haji secara percuma. Tetapi apakah kebajikan besar yang dilakukan oleh pemerentah Saudi itu dapat menutupi kesalahannya kerana berserongkol dalam usaha menahan impot makanan (food saction) ke atas Iraq (zaman saddam) yang menyebabkan hatta nyawa seorang kanak-kanak Islam hilang?. Begitu juga dengan pemerentah Iran, apakah kebajikan yang sedemikian besar itu, seperti menghantar qari untuk memperdengarkan kalam Allah itu dapat menutupi kemaksiatan mereka mencerca Saiyyidina Abu Bakar dan Saiyyidina Umar?".

Dia menyambung lagi "sedikit sebanyak yang saya belajar tentang syiah di Makkah dahulunya, sringan-ringan daripada aliran Syiah ialah mereka yang memfasiqkan Saiyyidina Abu Bakar dan Saiyyidina Umar, tidak sampai mengkafirkan kedua mereka. Sedangkan aliran-aliran Shiah yang lain mengkafirkan keduanya".

Pelajar yang menuntut di Qum itu agak kaget, perbincangan berhenti di situ, tanpa tuan rumah mengetahui apa yang telah dibincangkan di ruang tamu, kerana dia sibuk menyediakan hidangan untuk berbuka puasa di dapur.

4-Ketika Khomeini mengeluarkan fatwa bunuh dan tawaran harga kepala bagi Salman Rushdi, ada seorang dari kalangan yang sama-sama menadah dengan guru kami telah memberi komen " Khomeinilah pemimpin Islam yang paling berani, sedangkan pemimpin-pemimpin negara Islam yang lain hanya bisu dalam kes ini". Guru kami tidak memberi apa-apa reaksi, dia seakan-akan tidak mendengar kenyataan itu.

Selepas majlis pengajian tammat, dia memberitahu saya secara perseorangan yang dia sengaja tidak menjawab kenyataan itu kerana bimbang jawabannya akan mengecilkan hati sipembuat kenyataan. Katanya "apalah yang hendak dinamakan keberanian atas kenyataan yang sedemikian, rakyat Iran tidak akan menentang pengisytiharan fatwa tersebut, kalau Khomeini benar-benar berani berdepan dengan resiko,dia patut mengumumkan yang dia mahu rakyat Iran berhenti mencerca Saiyyidina Abu Bakar dan Saiyyidina Umar, itu barulah sikap berani dalam menegakkan kebenaran".

Sehingga kini saya masih terus mengkagumi ketajaman dan kecepatan beliau berhujjah. Saya telah berkesempatan berjumpa ahli-ahli akademik dan intelektual yang lain, tetapi saya belum berkesempatan menemui manusia yang sedemikian tajam dan cepat berhujjah umpama beliau. Dalam penampilannya yang serba sederhana, terdapat ketajaman ilmu dan hujjah pada dirinya.

Saya masih ingat ketika kami menadah kitab Durru ath-Thamin dan Jawharatu at-Tauhid dengan beliau, bagaimana asyiknya beliau memperincikan huraian kedua kitab tersebut pada mana-mana tempat yang perlu. Kecenderungan dan kemampuan beliau dalam ilmu aqal begitu terserlah
ketika itu, dan kerana keseronokkan menyunsuri perbincangan kitab-kitab ini, kami biasanya sembahyang Isya' agak lewat berbanding biasa.

Alhamdulillah di atas nikmat Tuhan yang mempertemukan saya dengan guru ini; guru yang datang mengajar kami kandungan kitab turath dan menunjukkan sebahagian kandungan kitab itu secara amali dalam hidupnya yang serba sederhana itu, kecuali pada penguasaan aqal dan ilmu yang jauh lebih mewah daripada kebanyakan kita.

Ya Allah rahmatilah ruhnya, janganlah Engkau timpakan ke atas kami fitnah selepas ketiadaannya, janganlah Engkau putuskan kebajikannya untuk kami. Rahmatilah kami dan dia, ya Allah!


(Terasa kerinduan terhadap guru ini , terutama selepas menghadiri majlis aqad-nikah anak bongusnya, semoga kedua mempelai akan dianugerahi zuriat yang soleh dan berfikiran tajam sebagaimana nenda mereka. Amin!)

Tuesday, August 4, 2009

Pendirian Jeff Ooi : Wajah Sebenar Seorang 'Liberal'?

Nampaknya YB Jeff Ooi, yang kita kenali sebelum ini sebagai seorang blogger yang mempromosi sikap keterbukaan dan persamaan hak bagi semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar-belakang agama dan bangsa telah menunjukkan wajahnya yang sebenar. Wajah yang tidak dapat berkrompomi dengan apa yang dituduhnya sebagai religious extremist. Wajah yang tidak senang untuk berkerja-sama dengan orang-orang yang mungkin mempunyai ideal politik dan sosial yang berlainan daripadanya. Orang yang sedemikian baginya mesti dicantas!

Agaknya, bagi Jeff Ooi seorang muslim yang bercita-cita melihat dirinya, keluarganya, masyarakatnya, negaranya, dunianya ditadbir secara syariat, secara yang sewajarnya mengikut ajaran Islam bukan sahaja tidak layak dilantik memegang jawatan awam, bahkan merbahaya bagi sistem pentadbiran hari ini. Jeff Ooi mungkin sedar yang orang muslim yang sebenar, tanpa terkecuali beriman yang Allah menurunkan syari'at, yang perlu dilaksanakan:
1- ke atas dalamannya: menjaga keikhlasan hatinya, menjaga kesedaran tentang kehadiran Allah yang Maha Melihat dan Maha Mendengar segala sesuatu.
2-ke atas dirinya: menunaikan ibadat dari bersuci, sembahyang, puasa, zakat dan haji.
3-ke atas keluarganya: melakukan aqad-nikah, menjaga hubungan suami-isteri, menjaga hubungan dengan sanak saudara dan jiran, mendidik anak
4-ke atas masyarakatnya: menyuruh perkara kebajikan, mencegah perkara keburukan, menegakkan keadilan, membela anak yatim dan golongan daif, menjalankan tanggung-jawab kemasyarakatan, melaksanakan hukum hakam ke atas ahli masyarakat sebagai yang dikehendaki oleh syariat dalam lingkungan keupayaan dan maslahah umum.

Paling kurang 4 perkara ini disepakati oleh semua mazhab dalam agama Islam, mereka hanya berbeza dalam menentukan syarat pemahaman, keupayaan dan persediaan masyarakat dalam menerima dan syarat perlaksanaan hukum hakam yang berkaitan khususnya perlaksanaan hukum jenayah serta hal-hal yang berkepentingan umum yang lain.

Oleh itu sekiranya Jeff Ooi mahu 'memancung' semua yang muslim yang mempunyai pegangan dan fahaman sebegini, maka hampir semua muslim yang mencintai agamanya, yang berusaha untuk hidup mengikut ajaran agamanya turut 'terpancung'. Yang selamat dari 'pancungan' hanyalah muslim yang tidak bersungguh-sungguh mahu mengikhlaskan diri mereka kepada agama mereka sendiri.

Jeff Ooi sepatutnya mengambil masa untuk memahami ajaran agama Islam, memandangkan majoriti rakyat Malaysia beragama Islam, agama resmi negara adalah agama Islam, agama yang telah bertapak dari segi sejarahnya ditanah air kita, sebelumnya Francis Light menjejak kaki di Pulau Pinang adalah Islam.

Oleh itu Jeff Ooi bukan menyerang Razali Abdullah berseorangan, Jeff Ooi telah memukul gendang pengisytiharan perang terhadap ramai orang Islam yang berusaha untuk menghayati ajaran agama mereka. Entahlah adakah Jeff Ooi terlalu berani membabi-buta menyatakan pendiriannya atau beliau tidak mempunyai gerak hati untuk menghormati ajaran agama orang lain. Kalaulah agama yang dianuti Jeff Ooi tidak mengajar kaedah-kaedah menyusun dan mentadbir masyarakat, janganlah Jeff Ooi beranggapan yang agama lainpun tidak menyentuh perkara-perkara tersebut dalam ajarannya.

Jeff Ooi bukan sahaja menunjukan sikap tidak toleran kepada ajaran agama yang dianuti oleh orang lain, bahkan Jeff Ooi juga menunjukkan sikap yang tidak menghoirmati amalan-malan demokrasi. Bukankah sistem demokrasi adalah umpama 'open-market', mana-mana pihak yang mahu menjual fahaman masing-masing dibenarkan menjualnya, asalkan patuh kepada aturan-aturan dan norma-norma demokrasi?. Bilakah pula amalan demokrasi menegah kita daripada memperkenalkan dan menjual fahaman kita, termasuklah fahaman untuk melaksanakan syariat, ya sekiranya kita diberi sokongan dan menang besar sehingga dapat mengubal undang-undang ke arah itu?

Kenapa perlu dipecat seorang yang dilantik secara berperaturan dan menuduh perlantikannya merbahaya; semata-mata kerana dia mengganggotai sebuah pertubuhan yang berdaftar secara resmi dengan pihak kerajaan? Adakah menyertai pertubuhan yang berdaftar sebegitu dikira jenayah oleh Jeff Ooi?. Lainlah sekiranya Jeff Ooi tidak bersetuju dengan seorang yang menganggotai gerakan bawah tanah, atau menganggotai pertubuhan militant atau berbaik-baik dengan anggota kongsi gelap (sebagai tuduhan YB Wee dan YB Azmin Ali)

Dapatlah sedikit sebanyak kita bayangkan sekiranya Jeff Ooi dan orang-orang yang berfikiran dan bersikap seumpamanya menjadi pemimpin-pemimpin negara. Apakah golongan ini akan mengahapuskan ISA, atau akan menambahkan lagi peruntukan-peruntukan bertujuan mengekang orang-orang yang tidak sebulu dengan mereka daripada mempunyai apa-apa kedudukan dalam pentadbiran dan pimpinan masyarakat? Apakah kita akan terpedaya yang Jeff Ooi dan orang-orang yang berfikiran umpamanya akan memberi kebebasan kepada kita untuk mengajak anggota masyarakat melalui saluran-saluran yang diizinkan oleh perlembagaan dan undang-undang negara dalam memenuhi anjuran-anjuran ajaran agama kita? Itupun belum kita berbicara tentang pegangan muslim yang Rasulullah selain seorang pentadbir, baginda juga adalah ketua tentera.

Kita memerlukan pemimpin yang menggunakan rationality bukan emosi, pemimpin yang berusaha memahami bukan bersangka-khianat terhadap kumpulan yang berlainan faham dan amalan. Agaknya tulisan Karen Amstrong, bekas seorang nun,( kalau tidak mahu membaca tulisan-tulisan sarjana muslim sekalipun), tentang beberapa aspek ajaran Islam termasuk tajuk sensitif seperti jihad bermanafaat dibaca oleh Jeff Ooi.

Luahan Jeff Ooi itu hanya rakaman apa yang sanggup dizahirkan oleh beliau, bagaimanakah agaknya bangkangan dan'kebencian' yang tersirat di dalam dada Jeff Ooi yang belum sanggup diluahkannnya?