Di antara hadiah yang pernah diberikan kepada saya, yang memberi kesan kepada pemikiran saya ialah buku Islamic Politics, terjemahan daripada tulisan Maulana Zakaria al-Kandahlawi. Ianya dihadiahkan oleh kerabat saya yang dibelinya di Nizamuddin, India sempena Ijtima Jamaah at-Tabligh di sana.
Sebelum itu saya telah membaca makalah pendek tentang Maulana Manzoor Nu'mani tidak berapa lama selepas beliau meninggalkan dunia. Penulisnya adalah seorang dari anggota Jamiat Islami, dia mencatitkan bagaimana Maulana Manzoor dan Maulana Zakaria bergiat secara siyasi untuk mempertemukan pimpinan ummah Islam di atas suatu wadah. Mereka berdua berulang alik bertemu Maulana Husein Madani, orang kuat parti Congress dan juga bertemu Maulana Ali ath-Thanwi yang menyokong parti Islamic League. Penglibatan mereka berdua ini dalam era sebelum partition India-Pakistan ini, dan pengajaran yang mereka perolehi dari episode ini serta sikap mereka terhadap politik yang terbina hasil dari pengalaman mereka perlu sangat kita manafaatkan.
Kita sudah jauh berpolitik, hanya kita jarang berhenti merenung untuk memikirkan keberkesanan penglibatan kita dan kaedah berpolitik selama ini dalam membina tamaddun ummah. Kerapnya kita sekadar hanyut bersama khalayak dalam arus-arus perdana politik semasa. Sebenarnya kita perlu berehat sekejap, kalau dalam istilah Covey 'to sharpen the saw'. Kerana kita mungkin effisien, tetapi apakah kegiatan kita itu effective?. Kita perlu dalam perjalanan ini dari semasa ke semasa memeriksa compass kita, adalah langkah-langkah kita itu berada di atas arah yang menuju kepada matlamat kita?
Awalnyanya kita dihidangkan dengan kaedah feqah "perkara yang tiada dapat disempurnakan sesuatu kewajiban kecuali dengannya, maka hukum perkara itu juga menjadi wajib" seperti wajib wudu kerana tiada sempurna kewajiban sembahyang kecuali dengan ada wudu, maka hukum wudu itu juga menjadi wajib. Seperti tiada sempurna kewajiban wudu itu kecuali dengan air, maka hukum mendapatkan air umpama menggali telaga atau mengambilnya dari sumbernya umpama sungai menjadi wajib juga. Demikianlah seterusnya. Maka oleh itu kata penceramah-penceramah: "hukum melaksanakan undang-undang syara itu wajib, kewajiban itu tidak dapat disempurnakan kecuali dengan kita sendiri mempunyai kerajaan, untuk berkerajaan kita mesti memenangi pilihanraya, maka hukum menyokong parti yang bertujuan menegakkan hukum Allah dalam pilihanraya itu hukumnya wajib!".
Sekarang ini sekiranya kita heningkan pemikiran kita, kita tanya balik kepada aqal dan hati kita, "adakah terdapat pihak yang benar-benar mahu menegak undang-undang syara? (saya teringat jawaban Datuk Sri Nizar, ketika menjawat jawatan Menteri Besar di Dewan Undangan Perak kepada persoalan yang ditimbulkan oleh Tajul Rusli dalam hal ini). Sekiranya jawabannya memang ada parti yang sedemikian, "adakah munasabah bagi aqal kita yang perkara ini dapat dicapai melalui proses demokrasi dan pilihanraya? (sedangkan di Hulu Selangur dan lain-lain tempat sekalipun, pengundi Islam hanyalah 50% lebih, dan bukan semuanya yang 50% itu akan menyokong parti yang mengatakan mahu menegakkan Islam). Pada negeri-negeri yang telah ditadbir oleh parti yang mahu menegakkan Islam itu, selain undang-undang yang berkaitan jenayah, yang mana ianya berada dibawah kuasa klerajaan pusat, apakah undang-undang Islam di dalam bidang lain telah dilaksanakan secara meluas (umpama undang-undang tentang sumber air, tanah, hima [contohnya umpama landfill sites], atau mereka mengadakan badan-badan hisbah pada peringkat-peringkatnya sebagai badan penguat-kuasaan piawaian berdasarkan syara seumpama yang dihurai oleh Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Hisbah?
Mungkin sahaja dengan zaman ICT dan segala kemudahan ini, kita boleh menyebarkan ideologi kita dengan lebih cekap dan berkesan, tetapi apakah kita merenung yang hala-tuju kita itu memang utuh menuju ke arah matlamat kita? Itupun kita perlu bertanya 'apakah sebenarnya matlamat kita, sejauhmanakah potensi kita dalam pencapaian itu?. Kerana kita sedar yang kita perlu memeluk Islam secara keseluruhannya, Islam pada pengurusan soal-soal hati . Islam pada pengurusan diri, Islam pada pengurusan famili, Islam pada pengurusan masyarakat, Islam pada pentadbiran kerajaan. Jangan hendaknya yang dikendung dalam diri dan famili keciciran kerana mengejar yang berada pada peringkat negara dan antarabangsa. Takut tak kedapatan!
Kita perlu melibatkan diri dalam aktiviti politik semasa, itu tiada banyak khilaf padanya. Tetapi bagaimanakah corak kita melibatkan diri, apakah sebenarnya yang kita harapkan untuk kita perolihi dari penglibatan itu. Kita juga perlu sedar tentang keterbatasan-keterbatasan sistem demokrasi. Kita perlu bertanya adakah individu atas kapasiti individunya itu yang berkesan untuk membantu ummah atau individu itu berkesan atas kapasiti partinya, yakni sekiranya dia tidak berada pada parti tertentu, dia tentunya tidak akan berkesan.
Kita sepatutnya bercatur mengikut kebijaksanaan yang diambil dari hikmah wahyu dan sabdaan, sementara itu matlamat kita perlu sentiasa jelas mengikut compass arah tuju kita. Kita tidak akan berkompromi tentang arah-tuju matlamat kita demi mencapai kemenangan sementara yang tiada membawa makna. Tidak semestinya kita menjadi 'rigid' bahkan kita lebih anjal berbanding yang lain kerana matlamat jangka pendek kita tidak akan membatalkan matlamat jangka panjang kita, sementara ganjaran perjuangan kita akan kita kutip selepas matinya kita, kita akan kutip dari Pentadbir bagi segala pentadbir-pentadbir, Raja bagi segala raja-raja, Penguasa bagi segala penguasa-penguasa.
Itulah agaknya antara lain yang saya faham dari tulisan Maulana Zakaria, Maulana Ilyas, Maulana Abul Hassan, Imam Hassan al-Banna, Imam Hassan Hudaibi dan Badiuzzaman Said Nursi. Mereka telah bercakap dengan intonasi yang berbeza, tetapi mendasari message yang sama. Marilah kita tegakkan Islam dalam jiwa kita, niscaya ianya akan banyak membantu untuk menegakkannya dalam masyarakat kita. Yang kita harapkan balasan dan rahmat Allah yang tiada bertepian, bukan perkara dunia yang akan fana. Akhirnya marilah kita hayati saranan Almarhum Syaikh Said Hawwa yang kita perlu bergerak dari mihrab (kehidupan ibadah) kepada siyasah, membina kekuatan dalaman untuk pertahanan luaran.
taniah kepada blogger muqabalah blog yang menhasil artikel boleh masyarakat berfikir semula dengan berbicara secara ilmiah dan pengalaman tentang arah tujuan politik kita berbanding blogger lain yang saling kutuk mengutuk dan membuka pekung didada sendiri.
ReplyDeletedi harap muqabalah blog teruskan usaha yang hasilkan artikel yang berbicara dengan akal fikiran dan hati.