Saudara Kickdefella (aka Sheih) yang didoakan kesejahteraan di dunia & akhirat,
Semoga saudara berada di dalam persekitaran luaran dan dalaman yang nyaman, dihembusi oleh angin sepoi bahasa yang menenangkan jiwa serta menyediakan kesempatan bagi kita merenung tentang kehidupan, tentang nilai benar-salah, tentang mahalnya nikmat kehidupan. Semoga kita masih menikmati deru air mengalir yang menghidupkan jiwa serta membuka kesempatan untuk kita melihat semula lipatan sejarah kita sendiri, rakan dan taulan yang kita pernah berjalin-kasih, peribadi-peribadi pinggiran masyarakat yang sarat makna, orang-orang utama yang gah nama dan kedudukannya melebihi dari peribadinya, juga tentang noktah-noktah biasa dan kehidupan harian. Dalam semua itu agaknya mengandungi banyak makna, hanya kadang-kadang dalam kealpaan kita, dalam keghairahan kita, dalam geram-marahnya kita dan kekaguman kita, kita boleh jadi terlepas pandang pada noktah-noktah tersebut.
Saudara mengetahui yang saya kasihkan saudara, dalam beberapa hal kita berlaga angin & walaupun ada ruang-ruang yang kita punya fahaman masing-masing. Kasih saya adalah kasih seorang sahabat kepada kenalan yang punya banyak kebolehan, yang miliki semangat juang yang kental, yang mengandungkan jiwa seni yang sensitif lagi halus, yang berasal dari leluhur yang sangat saya muliakan.
Saudara sebagaimana yang saya faham, saudara dari keturunan yang sangat utama, dari keluarga al-Bukhari, yang antara lain masih memegang peranan sebagai imam di Masjid Jami' Delhi sejak turun-temurun sehingga ke hari ini. Habib Razak, nenda saudara pula masih dikenang oleh masyarakat yang berumur di Kota Bharu sebagai seorang HA yang bukan sahaja cekap dalam merawat orang ramai di Hospital Besar, bahkan seorang yang teguh amalan ibadatnya. Bonda yang sangat saudara kasihi yang berketurunan Raja Jembal, tidaklah orang lain kepada TGNA. Hingga kini saya masih tertanya-tanya kenapa dia kemudiannya memilih untuk memondok di Kemumin, sedangkan dia mempunyai pilihan-pilihan lain yang lebih selesa, kecuali untuk menumpang suasana dan persekitaran beribadat yang ada. Itulah yang saya faham tentang latar belakang saudara, apalagi saudarapun pernah bersekolah di tempat saya bersekolah. Saya sendiri tidak mempunyai latar-belakang seumpama itu, maklumlah saya hanya sekadar anak orang kampong yang menumpang hidup dalam masyarakat.
Beberapa sahabat menalifon saya bertanyakan head-line Utusan pada 29hb.April 2010. Apalah sangat yang saya boleh jelaskan, saya sekadar berkata : "bila puak-puak berdarah raja ini , semada yang masih berkuasa atau yang sudah tidak berkuasa berbalah, huduhnya lebih daripada kita puak-puak pacal ini berbalah". Umpama, Raja Kota Bharu berbalah dengan Raja Salor, yang dikatakan disebabkan salah-seorang kerabat Raja Salor yang 'kurang segar' telah naik-angin ketika menonton belaga lembu dan berkelakuan secara tidak beradab di depan Raja Kota Bharu, lalu panglima-panglima Kota Bharu menyerang Kota Salor dan dibunuh kesemua keluarga sehingga tidak tinggal baka. Tenguk juga kepada bari Long Draman, sehingga batu nesannya yang dekat Hotel River-View itu pun kena guna batu leper, ( nesan perempuan) kerana perbalahan keluarga, tenguk cerita Long Tam yang dibakar hidup-hidup atas rakitnya di Sungai Galas, sehingga tidak dapat dicamkan mayatnya kecuali pada gigi-gigi emasnya. Tetapi itu adalah sejarah, itulah bari...... Biarlah bari tinggal bari. Tidakkah kita kini selayaknya belajar dari pepatah "pukul ular biar mati, kayu jangan patah, tanah jangan lebut?".
Saudara juga masih ingat barangkali, ketika saudara sangat mengkagumi TGNA, saya mempunyai beberapa reservation. Sehingga kini saya tidak dapat temui justification kepada keberanian TGNA yang menyifatkan Allah dengan samseng, mencarut dan lainnya. Saya masih terguris hati dengan kenyataan TGNA yang tergamak mengatakan Rasulullah hanyalah budak kampong, yang dipanggil Adik Mat dan Abang Mat, kelebihan baginda hanyalah kerana diturunkan wahyu. Tetapi saya tidak menutup mata daripada melihat pemandangan yang lebih luas, saya terus-menerus akui kelebihan PR TGNA yang menyakinkan, wataknya yang wara', keberkesanan dakwahnya, kefasihan balaghah dia dalam menghuraikan fahamannya. Begitu juga penghormatan rakyat kepadanya tanpa disempadani oleh faham politik dan ras kaum, kepercayaan rakyat terhadap kejujuran dan keikhlasan dia mentadbir negeri.
Janganlah kemarahan membakar jiwa kita sehingga kita diselubungi asap geram daripada melihat gambaran yang lebih besar. Jangan hendaknya kita tumbangkan sesuatu kesalahan dan kelemahan yang hanya akan menjadi ruang bagi kesalahan dan kelemahan yang lebih teruk bercambah, tumbur dan berakar dalam masyarakat kita. Timbangkanlah juga ceding-ceding kebaikan yang menumpang naung di bawah teduh rimbunan TGNA, sekiranya tumbang yang pokok agam itu, ianya mungkin menimpa ceding-ceding subur pada pokok-pokok sihat di sekitarnya. Banyak pertimbangan yang perlu diambil-kira, walaupun itu bukan bermakna kita sekadar membiarkan keburukan-keburukan untuk kekal sebagaimana adanya. Kadang-kadang kita perlu suasana air-pasang untuk menghanyutkan sesuatu ke kuala, kadang-kadang kita memerlukan gelap-malam untuk menyediakan jebak. Dalam semua kita kita perlu pula bersabar dan tenang menangani rintangan. Itupun kerana kita mahukan kebaikan dan kebajikan untuk masyarakat dan negeri kita. Tentu ingatan dalam Hadiqatu al-Azhar itu ada relevannya : "Adapun helah [strategi)] itu bersangatan [kesannya] daripada kuat, adapun hiddah (terlalu berani] itu kepala bodoh [kebodohan], adapun diam itu jawaban bagi [soalan] yang bodoh"
Saya masih terkenang pada suatu awal pagi apabila saya mendapat panggilan telefon bertanyakan ta'bir kepada mimpi yang tergambar sebagai kemarahan yang sangat seorang ibu, tidak pernah dia semarah itu ketikia hidupnya, kerana keengganan anaknya untuk menyertai perarakan yang membawa panji-panji keagamaan dan dikepalai oleh seorang pemimpin. Dalam kitab Imam Ibn Sirin, watak ibu itu lebih serious berbanding daripada watak bapa, message-nya perlu diambil berat. Mungkinkah pengajaran dari mimpi itu masih terpakai hingga hari ini, walaupun dalam suasana yang terlalu sukar walaupun untuk sekadar dibayangkan ianya mungkin berlaku?. Adakah idealisma yang pernah dikongsi dan dijulang suatu masa dahulu itu masih terpakai, walaupun ianya telah tercalar luka teruk di sana -sini? Mungkinkah kita masih dapat mempersatukan qiblat hati-hati kita walaupun kita berada di dalam garis-garis yang berbeza ataupun mungkin sahaja bertentangan?
Akhirnya satu yang saya sangat teringin agar saudara kenangkan ; kita sudah bersahabat, kenal hati budi masing-masing, berkongsi harapan murni yang tinggi ,dalam pada itu kita menyaksikan kelemahan-kelemahan rakan-rakan dan kelemahan diri; doa kami untuk saudara berpanjangan, kami menumpang gembira di atas setiap kejayaan yang saudara capai dan tumpang simpati di atas setiap musibah yang menimpa. Semoga persahabatan ini boleh kita jadikan bekal untuk menemui Tuhan pada hari yang tiada memberi manafaat anak-pinak dan harta benda kecuali seoarng yang mendatangi Tuhannya dengan hati yang sejahtera.
Ya Allah, sejahterakan kehidupan kami dan sahabat kami ini........
Sulaman tuturbicara yang amat menyentuh jiwa nurani. Semoga matlamat yang tersurat mahupun tersirat sampai kepada yang empunya diri. Amin
ReplyDelete