Aduhai apalah nasibnya apabila kita terpaksa bertempur, sememangnya kita sepatutnya menyedia dan melatih jiwa-raga kita untuk bertempur. Bertempur dalam menyokong kebenaran, bertempur dalam mencegah kemungkaran. Bertempur untuk menang, bertempur mengelak kemalangan....
Saya teringat seorang rakan saya berketurunan cina yang berlatih shaolin pernah dahulu memberitahu saya,sebelum beliau melanjutkan pelajaran ke Australia, sifu-nya telah menyudinya dengan pertanyaan: "Sekiranya ada orang menyerang, apa yang kamu sepatutnya lakukan?". Dia menjawab :"sekiranya ada ruang, saya akan lari meneyelamatkan diri". Sifu itu sangat berpuas hati dengan jawaban tersebut lalu berkata: "daripada berlawan baik lari. Daripada cedera baik berlawan. Daripada lumpuh baik cedera. Daripada mati baiklah lumpuh" Dan menambah "tiada lebihnya gunung ke atas sungai kerana tegak-tingginya sementara tiada lebih sungai ke atas gunung kerana pengembaraan aliran airnya. Masing-masing itu ada kelebihan dan masing-masing ada keterbatasannya".
Saudara adalah seorang pejuang, berdarah pejuang dan akan terus berjuang. Rasulullah mengajar adab kepada para pejuang sebagaimana yang diajar oleh Allah di dalam al-Quran ; "apabila kamu berdepan dengan gerombolan (pihak lawan), maka teguhkan pendirian dan berzikir kepada Allah dengan banyak semoga kamu akan memperolihi kejayaan". Dalam kita sibuk menyerang, menepis serangan , kita perlu kepada suasana tafakkur, suasana zikirullah. Ianya sangat mendasar, kerana dengan demikian kita dapat menjaga niat kita, dengan demikian kita dapat menjaga adab serta pantang-larang, dengan demikian Allah akan mengheningkan pemikiran kita serta mengilhamkan kita dengan kebijaksaaan. Dengan demikian dapat kita kurangkan keterlanjuran.
Sepanjang saudara berada di Tanah Serendah sebelum ini, saudara berkesempatan antara lain menghadiri majlis ilmu dan zikir (yang tiada langsung berkaitan dengan politik kepartian), saudara sempat menyantuni ulama dalam dan luar negara. Saudara sempat bermesra dengan individu-indivu yang tulus dalam persahabatan mereka. Kita dianugerahi Allah untuk bersembahyang berjamaah sesama kita dengan agak kerap. Kita temui orang-orang kampong yang simple dan golongan miskin yang perlu kepada pembelaan. Itulah agaknya antara agenda yang kita pernah berkongsi, ya seumpama dalam ungkapan saudara "the power of the powerless".
Kita semua memang sedar kita banyak membuat kesilapan, kerap juga kita membuat 'bacaan' yang tersasur daripada yang sebenarnya. Tetapi di atas segala kelemahan itulah juga yang kita cita-citakan untuk membina suatu alternatif yang lebih baik, lebih bermakna kepada anggota masyarakat kita. Tentunya kenangan itu ada maknanya kepada saudara, sebagaimana ada maknanya kepada saya dan rakan-rakan lain, termasuk Sdr.Rosem. Sdr.Rosem dalam usianya yang sudah masuk fasa persaraan, begitu bersemangat mencuba sedayanya untuk menguatkan jamaahnya, untuk membantu rakyat dan untuk menjayakan perancangan demi perancangan bagi kebaikan negeri. Dia juga begitu menghargai saudara, sehingga ketika kes menterbalikkan bendera, dia tidak sampai hati membiarkan saudara terkontang-kanting seorang diri di perantauan, maka dia temankan.
Adakah dalam pertempuran yang mungkin berlanjutan ini, yang bukan sahaja melibatkan saudara dan pihak-pihak berkepentingan di Kelantan, bahkan ianya akan mengheret mereka yang beruniform di Putrajaya dan lainnya akan memanaskan punggung rakan-rakan kita yang lainnya?. Adakah pertempuran ini akan menatijahkan antara lainnya sahabat-sahabat yang tiada punyai kepentingan diri akan terguling dek panah-panah sesat yang akan berterbangan?. Adakah pertempuran ini sedang ditontoni dengan penuh berahi dan ghairahnya oleh kelompok yang tidak sabar-sabar ingin memanjat ke puncak kuasa di sini? Adakah pertempuran ini membuka peluang untuk gerombolan berfikiran kontot mengapi-apikan keadaan dengan melemparkan belbagai nista kepada saudara? Adakah pertempuran ini akan memangsakan hanya sesama sahabat-sahabat kita, maka kita mungkin raikan "Ayam kita menang bersabung, kampong sendiri pula yang tergadai"?. Adakah mungkin di kalangan sahabat-sahabat yang kita kongsi impian akan ditimpa bahang bencananya, semantara pihak-pihak lain yang belbagai itu bertepuk tangan dan bersorak riang?.
Adakah berbaloi pertempuran ini..........Bagiamana sekiranya kita sudah agak terlanjur?, semoga Allah akan memudikkan hati dan perasaan kita untuk kembali mencari reda dan anugerah-Nya. "Ya Allah ampunilah dosa-dosa kami, dan keterlanjuran kami dalam urusan-urusan kami, tetap-teguhkanlah pendirian kaki-kaki kami, dan tolonglah kami ke atas kaum kafirin"
Siapakah agaknya gerangan empunya blog ini? Teman amat terhibur dengan tulisan2nya. Begitu menyegarkan. Mungkin sedikit sebanyak teman boleh belajar dari tuan.
ReplyDelete