Malam tadi saya membacakan untuk jamaah di masjid kampong saya beberapa ayat dari surah al-Hujurat, saya katakan memperingati diri saya dan hadirin yang sekiranya kita amalkan perentah dan pesanan Allah dalam surah ini, kita akan selamat 10 kali ganda dari apa yang kita sedang berada sekarang ini. Banyak tenaga kita akan dapat kita gunakan untuk maju ke depan, bukan untuk bergeseran sesama sendiri. Sedangkan sekarang ini banyak tenaga bahkan fokus kitapun tertumpu untuk mengatasi permasalahan sesama sindiri. Alangkah malangnya nasib kita.
Dalam ayat 6 Allah menyebut yang lebih kurang maksudnya:
Wahai orang yang beriman sekiranya datang kepada kamu seorang fasiq dengan sesuatu berita, maka kamu telitikan dahulu, bagi mengelak dari kamu bertindak ke atas sesuatu kaum dengan secara jahil, maka nanti kamu akan menyesal atas apa yang telah kamu lakukan.
Dalam ayat 9-11 pula Allah memperingatkan kita:
Dan sekiranya dua kelompok dari orang Islam berperang, maka islahkan antara keduanya, Dan sekiranya melampaui salah satu kelompok atas yang satu lagi, maka perangilah kelompok yang melampaui itu sehingga ianya kembali mengikut perentah Allah, maka sekiranya ia kembali(mengikut perentah Allah), maka islahkanlah antara keduanya dengan adil , dan bertindaklah secara sewajarnya. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertindak secara sewajarnya.
Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka islahkan antara dua orang saudara kamu, dan bertaqwalah kepada Allah, mudah-mudahan kamu mendapar rahmat.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah lelaki daripada sesuatu kaum (kelompok) merendah-rendahkan lelaki dari kelompok yang lain, mungkin sahaja mereka yang direndahkan itu lebih baik daripada mereka dan jangan perempuan (daripada sesuatu kelompok itu merendahkan) perempuan (daripada kelompok yang lain), mungkin sahaja mereka (perempuan yang direndahkan) itu lebih baik daripada mereka (pula). Jnaganlah kamu mencela antara kamu dan jangan melabelkan antara kamu dengan gelaran-gelaran (buruk yang tertentu), seburuk-buruk nama ialah kefasiqan sesudah keimanan. Dan sesiapa yang tiada bertaubat (daripada sikap dan perbuatan sebegini), maka mereka adalah golongan orang-orang yang zalim.
Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangka-buruk (sesama Islam), sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu (perbuatan) dosa. Dan janganlah mengintai-intai (keaiban dan rahsia orang lain), dan janganlah kamu mengumpat sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain. Adakah terdapat salah seorang kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah menjadi mayat?. Maka tentunya kamu membencinya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Penyayang.
Begitulah yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya kepada kita. Kita utamakan usaha perdamaian sesama sendiri walaupun selepas berlakunya 'peperangan' dan pencabulan. Kita masih mengaku saudara terhadap golongan yang 'menyerang' kita secara melampaui batasan, kita harapkan mereka kembali kepada ketetapan-ketepan yang ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya.
Kita tidak membalas suatu keterlampuan dengan keterlampauan yang lain. Kita sentiasa mengharapkan kebaikan yang terpotensi pada diri muslim yang lain itu melebihi daripada 'bacaan' kita terhadap perbuatan semasanya yang mungkin menyakiti kita.
Kita tidak menganggap kita atau golongan kita lebih baik daripada orang lain kecuali apabila terdapat nas-nas agama yang nyata tentag itu . Kita hanya akan mengetahui siapa yang lebih baik menjelang kematian kita dan mereka, siapa yang mendapat rahmat kematian di dalam iman yang sempurna maka dialah yang lebih baik. Hatta sekiranya sekarang ini, terdapat saudara kita yang bergelumang dalam maksiat sekalipun, bukankah sekiranya Allah menariknya kepada-Nya dengan taubat, maka dia bakal memperolihi keampunan dan kasih-sayang daripada Allah? Sekiaranya kita masih mampu beristiqamah dengan amalan kebajikan sekalipun, siapakah yang dapat menjamin yang kita terus dalam hal yang demikian?. Bukankah Iblis lebih lama beribadat kepada Allah daripada seluruh hidup kita juga telah tergelincir dan akhirnya yang diperolehinya adalah laknat daripada Allah?. Siapakah yang dapat menentukan yang kita atau orang lain itu akan mati dengan sebaik-baik kesudahan?.
Banyak perselisiahan dan ketegangan yang berlaku di antara kita adalah kerana 'bacaan-bacaan' atau sangkaan yang kita lakukan terhadap saudara-saudara kita yang lain. Kita merasai kita punya kelebihan kerana bijak membaca suasana dan gerak orang lain, sedangkan kita tidak sangat membezakan bacaan kita itu adakah ianya sangkaan yang membawa dosa atau 'takwil al-ahadith ' atau fiarasat yang diilhamkan oleh Allah yang sememangnya kita doakan. Tambahan pula bahan-bahan mentah untuk bacaan kita pula tidak memadai, sedang nafsu kita lebih berselira untuk menelan bahan-bahan yang sesuai dengan kecenderungan kita. Maka yang kita baca itu sebenarnya kerap kali merupakan tanggapan kita yang telah sedia wujud, bahan-bahan mentah itu kita olahkan dalam proses pembacaan kita itu hanya sekadar untuk menguatkan tanggapan yang tersedia adanya.
Bahan mentah bacaan kita pula banyak bersumberkan berita akhbar, siaran tv, posting dalam internet, bisik-bisik yang tidak lebih daripada gosip dan kalau adapun sumber yang tidak dapat dipertikaikan, adakah ianya lengkap dan bukan serpih-serpihan untuk memampukan kita mendapat gambaran yang seluruhnya sebelum kita menyimpulkan bacaan kita tersebut?. Bukankah bahan-bahan mentah kita itu kebanyakan tidak lebih daripada berita yang diperkhabarkan oleh sumber-sumber fasiq, walaupun yang menyampaikannya itu berana-anta sekalipun.
Yang lebih malangnya, ramai pula di kalangan kita yang suka berfikiran secara 'following the caravan', yakni siapa sahaja yang mengenderai unta yang paling hadapan dalam kafilah itu , maka unta yang lain-lainnya hanya sekadar akan mengikut jejak-jejaknya . Unta di belakang tidak akan mencadangkan alternative route. Unta di belakang tidak akan tenguk kanan dan kiri, tidak akan mempertimbangkan milestone yang terdapat di sepanjang pemusafiran. Perkara ini dikira penting bagi survival di padang pasir yang tandus, tetapi ianya adalah 'perangkap' apabila kita kita ubah-suai otak kita menjadi salah seekur daripada unta yang mengekuri dari belakang. Ada mata, ada telinga, ada hati, ada tanda-tanda pada bumi dan langit tetapi semuanya terkesamping kerana seolah-olah tugasnya ialah mengekuri unta yang berada didepan. Sedangkan pemikiran dan pertimbangan kita sepatutnya lebih baik daripada nasib unta yang berada di dalam rombongan caravan itu....
Kita juga apabila bertempur walaupun sesama sendiri, maka secara automatic-nya kita fokus untuk menang dan mengalahkan lawan, kita kerah keringat, kita akan bariskan juak-juak kita untuk menyerang. Ya hanya kadang-kadang sahaja yang kita mendapat hembusan rahmat Allah dalam berusaha bagi memenangkan kita dan memenangkan lawan kita. Kita mahu berkongsi kemenangan di dunia dan di akhirat dengan mereka. Nawaitu untuk perkongsian ini akan membunga dan membuahkan hasil yang jauh berbeza daripada hasil yang terbit daripada nawaitu kita mesti menang dan mereka mesti dikalahkan. Aduhai kdang-kadang kita teralpa yang syurga itu terlalu amat luas dan mampu memuatkan bilangan kita dan mereka, begitu juga neraka yang terlalu amat luas untuk menghumbankan kita dan mereka kesemuanya.
"Wahai Rab kami, tiadalah Engkau jadikan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau (daripada yang demikian itu), maka hindarilah kami (daripada amalan yang mengakibatkan) azab neraka"
No comments:
Post a Comment