Apabila engkau selesai sembahyang , maka katakan: "Allahumma, saya memohon kepada Engkau amalan yang berkebajikan, dan [keupayaan]meninggalkan kemungkaran, kasih-sayang kepada golongan miskin, apabila Engkau berkehendak memfitnahkan hamba-hamba-Mu, maka Engkau ambillah (nyawaku) kepada Engkau tanpa terkena fitnah". [Imam al-Iraqi menyebut yang hadith ini diriwayatkan oleh Imam at-Tarmizi, ianya Hasan Sahih dan juga diriwayatkan oleh Imam at-Tabrani]
Perkataan 'fitnah' telah digunakan di dalam al-Quran dengan maksud yang berbeza-beza sesuai dengan konteks yang ianya disebut.
1.Ianya disebut dengan maksud ujian:
"Nabi Daud menyangka yang Kami telah memfitnah (menguji) nya, maka dia beristighfar kepada Tuhannya dan meniarap sujud dan kembali (inabah kepada Allah) " [Sad:24]
Ada fitnah yang datang dalam rupa keburukan dan ada yang datang dalam rupa kebaikan:
"Setiap yang bernyawa akan akan merasai kematian, Kami[Allah] akan uji mereka dengan kejahatan dan kebaikan sebagai suatu fitnah, kepada Kami kamu akan dikembalikan" [al-Anbiya:35]
Fitnah juga datang dalam bentuk pemilikan kita, semada anak-pinak atau harta-benda:
"Sesungguhnya harta-benda kamu dan anak-pinak kamu adalah fitnah, Dan Allah, di sisi-Nya ganjaran yang besar" [at-Taghabun:15]
2.Ianya disebut dengan maksud kelakuan jahat:"Sesungguhnya orang-orang yang memfitnah(menzalimi) orang-orang mukmin dan mukminah, kemudian mereka tidak bertaubat. Maka untuk mereka azab neraka, untuk mereka azab yang membakar" [al-Buruj:10]
3.Ianya disebut dengan maksud kekeliruan:
"Maka mereka yang mempunyai kesengetan [cnderung kepada kebatilan] di hati mereka, maka mereka mengikut [mencungkil-cungkil] ayat mutasyabihat daripadanya [al-Quran], mereka mahu menimbulkan fitnah" [ali-'Imran:7]
Bahkan fitnah juga bermaksud kekufuran dan kemurtadan:
"Dan perangilah mereka sehinnga tiada terdapat fitnah, jadilah agama itu keseluruhannya bagi Allah" [al-Anfal:39]
4-Ianya disebut dengan maksud kedatangan bala':
"Maka takutilah fitnah yang tidak sahaja menimpa orang-orang zalim di kalangan kamu secara khusus" [al-Anfal:25]
Terdapat beberapa konteks penggunaan perkataan fitnah selain ini yang terdapat di dalam al-Quran, hanya dalam maksud sebagai yang masyarakat Melayu gunakan iaitu fitnah bermaksud sengaja mengadakan tuduhan palsu terhadap seseorang belum pencatit ini temui.
Di dalam kitab-kitab hadith memang banyak yang mengandungi bab khusus tentang al-fitan atau juga yang terkandung dalam bab 'alamatu as-sa'ah [tanda-tanda menjelang Qiyamat]. Di dalam hadith-hadith fitnah dimaksudkan kecelaruan, kesukaran yang melampau, kezaliman, aliran menolak fahaman agama yang murni, suasana yang tidak menolong kita untuk menghayati agama.
Zaman kita ini adalah zaman yang dicengkam fitnah, kebenaran kerap dilihat sebagi kepalsuan; sedang kepalsuan dipakaikan hiasan kebenaran. Orang yang berilmu dan beramal dengan ilmu semakin berkurangan, tukang-tukang syarah semakin berani berhujjah. Perbuatan maksiat berluas-luasa, amalan kebajikan sedang dikekang. Keceluparan dianggap sebagai keberanian, keterlampauan disangka pengorbanan. Agama digadai untuk kepentingan harta dan kuasa. Manusia disanjung kerana takutkan kejahatannya. Soal akhirat sering dipinggirkan hatta dalam khutbah-khutbah jumaat yang kini begitu up-date mengikut mengulas bersempena hari-hari perayaan yang bukan Islami. Ilmu hukum tidak lagi dititik beratkan, yang diutamakan ilmu tasawwur yang mereka sibghahkan [warnakan] mengikut suka mereka sendiri.
Zaman kita ini ramai yang mendabik dada mengaku mujtahid, sedangkan ianya sekadar manafestasi sikap takabbur mereka yang melampau. Zaman kita ini ramai yang mengaku berjihad, sedangkan tujuan jihad untuk meninggikan Kalimah Allah (bukan untuk memenangkan kelompok kita) telah sayup-sayup ditinggalkan kerana kepentingan dunia. Zaman kita ini ramai yang menuntut ilmu agama, sedangkan yang dicari adalah jawatan dan peluang pekerjaan.
Bagaimanakah kita ingin melalui terowong zaman ini dengan selamat? Kita diselubungi fitnah dari empat arah,? kita hanya mampu selamat apabila Allah menjazabkan kita kepada-Nya atau kita sujud tawaddu' mencari reda-Nya. Ya Allah selamatkan kami dan keluarga kami dan mereka yang kami kasihi. Ya Allah golongkan kami dalam golongan yang merindui Rasul-Mu dengan sebenarnya, Ya Allah anuegerahilah kami rahsia keikhlasan dan ajarkan kami feqah agama-Mu. Amin
No comments:
Post a Comment