Thursday, May 6, 2010

Perspektif:: Kepentingannya dalam Kehidupan

Imam Abdullah al-Haddad di dalam kitabnya 'al-Mu'awwanah" mendatangkan doa yang diajar oleh Rasulullah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam at-Tarmizi:

'Ya Allah jadikan hal dalamanku lebih baik daripada hal zahirku, serta jadikanlah zahirku berkeadaan soleh"

Apabila hal dalaman berkeadaan soleh, maka solehlah hal yang zahir, kerana hal yang zahir itu mengikut hal dalaman. Sesiapa yang berhias pakaiannya, personalitinya, tutur katanya, mengimbangi geraknya pada duduk, berdiri dan berjalan sedangkan dia membiarkan hal dalamannya berakhlaq buruk , ini hanya akan menyuburkan riya, sum'ah dan takabbur. Perlu disedari yang hal dalaman itu tempat tiliknya Allah dan hal luaran itu tempat tiliknya makhluk.

Walaupun usaha pemurnian hal dalaman kita itu adalah fokus utama, Rasulullah mengajar kita agar kita berdoa semoga zahir kita juga kelihatan soleh, Walaupun sepatutnya kesolehan hal zahir itu hanyalah sekadar refleksi bagi kesolehan hal dalaman. Bahkan apabila gambaran kesolehan secara luaran tidak mewakili hal dalaman yang sebenar, maka itu hanya menunjukkan kemunafikan yang menguasai jiwa kita. Al-Quran menyebut dalam awal surah al-Baqarah :

Apabila dikatakan kepada mereka: "jangan kamu kerjakan kefasadan di muka bumi". Mereka menjawab :" Sesungguhnya kami dari golongan yang membuat kebaikan". Ingatlah, sesungguhnya mereka adalah golongan yang melakukan kefasadan tetapi mereka tidak menyedari" [11-12 al-Baqarah]

Orang yang fasad dari segi hal dalaman tidak mungkin mampu melakukan pengislahan secara luaran kepada dirinya, apalagi kepada masyarakatnya. Sehingga yang disangka mereka sebagai usaha pengislahan itu telah disifatkan oleh Allah sebagai kefasadan. (Dan hal itu kita dengan penuh sedar dan insaf mengakui sepenuhnya kejayaan golongan yang tidak berpegang kepada ajaran agama dalam membina kemajuan kebendaan sebagaimana yang tercatit di dalam sejarah serta yang dapat kita saksikan sekarang). Pengislahan sebenar adalah pengislahan pada inti-pati kemanusiaan itu sendiri, intipati manusia itu pula terkandung pada seketul darah yang bernama hati. Pengislahan sebenar adalah usaha tazkiyyatu an-nafs sehingga manusia dapat memenuhi hikmah asal kejadiannya sebagai makhluk ibadat.

Menyedari peri-pentingnya pembersihan hal-dalaman selayak peranannya sebagai tempat tilik Allah, tidak pula melupakan kita kepada tuntutan mewujudkan perspektif yang wajar dan sesuai berkenaan kita sebagai tempat tontotan makhluk. Allah menganjurkan contoh-contoh kewajaran perspektif yang positif terutama pada episod kesudahan :

1-Nabi Ibrahim berdoa: "Jadikan bagiku perkataan yang baik (benar) di kalangan orang yang datang terkemudian" [as-Syu'ara:84]
2-Allah menyebut tentang Nabi Ibrahim, Nabi Ishaq dan Yaaqub: "Dan Kami (Allah) kurniakan mereka dari Rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka perkataan benar (kepujian) yang tinggi" [Maryam:50]
3-Allah menyebut tentang Nabi Musa dan Nabi Harun: "Dan Kami (Allah) tinggalkan [sebutan yang baik] untuk mereka pada generasi yang datang selepasnya. Sejahteralah ke atas Musa dan Harun [As-Saffat:119-120]

Insyallah, apabila kita jaga urusan dan perentah Allah, Allah akan menjaga urusan kita termasuklah pembentukan perspektif masyarakat terutama pada generasi yang terkemudian terhadap kita. [teringat The 7 Habits dalam huraian "Begin with the End"; yang menjadikan saat selepas kematian sebagai titik permulaan]. Pun begitu, kita juga hendaknya berusaha untuk mengelak perspektif negatif dan berusaha menutup pintu-pintu yang menimbukan salah faham orang lain terhadap kita.

Perspektif yang baik akan menatijahkan lahirnya kepercayaan, perspektif yang buruk akan menimbukan syak dan sangka. Kepercayaan [trust] merupakan asset terbesar bagi memudah-cara banyak urusan sesama manusia, menyumbangkan modal yang besar dalam muamalat serta dapat bertahan bersama pengikut ketika di saat getir dan ujian, dan juga merupakan bekalan penting untuk bangun semua selepas rebah serta kalah.

No comments:

Post a Comment