Saturday, May 22, 2010

Kezaliman Dalam Pentadbiran; Indahnya Contoh Rasulullah

"Rasulullah Sallahu 'alaihi Salam telah menugaskan seorang lelaki dari al~Azdi yang disebut Ibn al~Lutbiyyah untuk mengutip sedeqah (zakat), apabila dia kembali (kepada Rasulullah) dia berkata:"ini adalah untuk kamu (bahagian zakat) dan ini yang dihadiahkan kepada aku". Rasulullah (mendengar kenyataan itu) telah menaiki mimbar, lalu baginda bertahmid kepada Allah dan memuji-Nya, lalu baginda bersabda: "sesungguhnya aku telah menugaskan seorang lelaki daripada kamu bagi melaksanakan apa yang diperentah Allah kepada aku, lalu dia datang kepada aku seraya berkata: "ini adalah bahagian kamu (daripada kutipan zakat) dan ini hadiah yang dihadiahkan kepada aku", Apakah sekiranya dia duduk di rumah ayahnya atau di rumah ibunya, hadiah itu akan mendatanginya , sekiranya dia seorang yang jujur, Wallahi tiada mengambil seseorang daripada kamu sesuatu yang bukan haknya, kecuali dia akan menemui Allah dengan memikul unta yang merengek, atau lembu yang mengeboh atau biri-biri yang mengebek". Lalu baginda mengangkat kedua tangannya sehingga nampak putih ketiaknya seraya bersabda: "Allahumma, aku telah sampaikan" [Bukhari-Muslim]

Lihatlah betapa telus dan punya accountabilty-nya pentadbiran Rasulullah. Seorang sahabat yang diberi hadiah yang berupa kambing oleh penternak ketika beliau bertugas mengutip zakat dan kemudiannya beliau tanpa bersembunyi mengumumkan kepada Rasululllah yang kambing-kambing yang dibawa pulang itu ada yang merupakan zakat dan ada yang merupakan hadiah untuknya. Rasulullah tidak menasihatinya secara perseorangan, tetapi baginda menaiki mimbar untuk menegaskan dasar dan prinsip; baginda menegaskan kepada umum yang petugas tidak boleh mendapat manafaat peribadi ketika menjalankan tugas. Walaupun manafaat itu bukanlah sogokan atau rasuah tetapi hadiah atau sedeqah. Pintu kepada kemungkinan penyalahan-guna kuasa telah ditutup rapat.

Bagaimana tergamak dan lancangnya segelintir ahli masyarakat kita yang sanggup mengatakan Rasulullah telah mengamalkan croniysm dalam pengurusan dan pentadbiran baginda? Bagaimana mereka berhukum? Keluarga Rasulullah dimuliakan oleh ummah kerana keakraban mereka kepada Rasulullah dari segi nasab, keilmuan, kewara'an dan kesedaran kerohanian. Mereka tidak disanjung kerana pangkat kedudukan, harta benda dan kekuasaan. Apa perlunya seseorang walaupun siapa dia sekalipun untuk menyamakan perbuatan beliau yang membuka ruang yang lebih kepada anak-beranaknya, menyamakan tindakan beliau itu dengan peri laku Rasulullah?

Dalam hadith yang disebut sebelum hadith ini di dalam Riyadu as-Solihin dirakamkan nasihat Rasulullah kepada Saiyyidina Muaz ketika beliau diutuskan ke Yaman. Baginda berpesan agar beliau mengajak penduduk Yaman agar menyaksikan dua syahadah, kemudian menyuruh mereka dengan sembahyang lima waktu, kemudian mengeluarkan zakat. Sekiranya mereka patuh kepada anjuran-anjuran tersebut, maka hendaklah berhati-hati dan menghormati harta benda mereka. Rasulullah memperingatkan: "hendaklah engkau takuti doa orang-orang yang kena zalim, sesungguhnya tiada hijab antara doa itu dan antara (untuk sampai kepada) Allah" [Bukhari-Muslim]

Walaupun dalam urusan pentadbiran yang sepenuhnya berstuktur agama, Rasulullah memperingatkan Muaz, seorang sahabat yang faqih agar berhati-hati daripada menzalimi manusia lainnya. Seakan-akan memberi isyarat seorang itu mampu sahaja menggunakan justifikasi/helah memperkukuhkan agama dalam melakukan kezaliman. Di antara punca kezaliman itu ialah kecenderungan kepada harta-benda .

  • Alhamdulillah, Allah mentaqdirkan saya menemui seorang guru yang beramal dengan peringatan Rasulullah ini. Beliau ketika mengutip bayaran zakat fitrah dari anak qariahnya, banyak kali dikatakan kepadanya; "tidak payah pulangkan wang baki, saya sedeqahkan atau hadiahkan kepada tuan". Dia akan menjawab : Sekiranya saya duduk di rumah, tanpa mengutip zakat di masjid ini, adakah tuan akan pergi memberikan kepada saya hadiah dan sedeqah tersebut?. Dia tidak akan menerima hadiah tersebut, atau kalau diterimanya pun, dia akan masukkan wang itu dalam jumlah kutipan yang diserahkan kepada Majlis Agama Islam. Semoga saya dapat menumpang ilmu dan amalannya di dunia ini dan di Akhirat kelak.

Sekiranya individu yang terlibat dengan kerja-kerja agama semada di jabatan mahupun organisasi dapat menghayati peringatan Rasulullah ini tentunya kita akan kurang mendengar sungutan tentang political contribution, atau derma itu dan ini yang 'dipaksa' sedang ianya mempunyai maksud-maksud tersirat. Sekiranya kejayaan itu diyakini akan diperolehi dengan reda Allah dengan mengikut perentah Allah dan Rasul-Nya tentunya kita tidak akan tamak kepada kekuatan kebendaan, setamak kita kepada Tilik Allah dan Rahmat-Nya.

No comments:

Post a Comment