Friday, June 4, 2010

ALlah dan Rasul-Nya Mengiktiraf Hak dan Sumbangan Non Muslim: Ketokohan Uthman bin Talhah

Saya membelek balik buku Hadith ath-Thulatha bagi Imam Hassan al-Banna yang telah lama direhatkan di dalam rak buku saya yang berselerak. Antara lain, saya terpaku pada pada kisah yang didatangkan oleh Imam Hassan al-Banna di bawah tajuk Islah an-Nafs. Kisah tentang Uthman Bin Talhah, timbul minat untuk mengetahui secara yang lebih lanjut tentang peribadi yang hebat ini. Saya menaip dalam arab untuk mencari dalam google search , dan saya buka tafsir bagi ayat 58 Surah an-Nisa'. Saya sebutkan hal ini agar orang lain juga dapat mengambil manafaat dari kisah yang hebat ini.

Saya mulakan dengan terjemahan catitan Imam Hassan al-Banna sekadar termampu dalam keterbatasan saya:
Ketika Ummu Salamah radiyya Allahu 'anha keluar berhijrah, tiada seorangpun menemani beliau kecuali bayi beliau. Beliau telah keluar untuk berhijrah berseorangan. Beliau telah bertemu di tengah jalan [dikatakan di Tanaim] dengan Uthman bin Talhah. Uthman tidak sekali-kali merenung ke arah beliau, dia bertanya :"Siapakah berserta engkau?". Beliau menjawab: "tiada seorangpun yang menyertai aku kecuali Allah". Dia berkata kepada beliau: "aku akan menemani engkau". Dia telah menemani beliau [dalam perjalanan] itu selama lapan hari dan lapan malam sehingga beliau sampai di Madinah.Umm Salamah mengatakan: "Wallahi ! aku tidak pernah melihat seorang teman [perjalanan] yang lebih baik daripada dia, dia telah mengenderai tali kengkang unta, wallahi !dia tidak mengendah perkara lain sehingga kami mengampiri Madinah". Dia mengatakan: " Ya inilah dia Yathrib, dan mereka itu adalah sahabat-sahabat engkau". Lalu dia meninggalkan Umm Salamah.[untuk kembali semula ke Makkah] Ummu Salamah ketika itu adalah di antara wanita yang terbilang cantiknya, sedangkan Uthman yang masih kafir itu pula adalah seorang seorang pemuda yang penuh sifat kelakian dan muda-belia segala kemuda-beliaannya. Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda pada peristiwa Pembukaan Makkah ketika Abbas menghalang Uthman "tinggalkanlah dia [jangan diapa-apakan] kerana dia seorang yang mempunyai sifat kemuda-beliaan dan kelakian [yang sempurna]"

Sekiranya kita melihat dalam Sirah Ummu al-Mu'minin Umm Salamah, kita akan bertemu catitan yang lebih detail tentang bagaimana Uthman menyantuni Umm Salamah. Dia akan menerunkan unta sehingga unta duduk dan akan berpindah ke tempat yang lain untuk membiarkan Umm Salamah turun dari unta dalam privacy-nya . Dia akan membiarkan Umm Salamah berihat di bawah teduh sedang dia mengawasi dari jauh, Dia akan menyiapkan unta sebelum Umm Salamah datang untuk menunggangnya bagi meneruskan perjalanan.

Kita juga akan terpegun kekaguman tentang asbabu an-nuzul bagi ayat 58 surah an-Nisa sebagaimana yang dicatitkan oleh Imam Baghawi:

ان الله يأمركم أن تؤدوا الامانات الى أهلها واذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل ان الله نعما يعظكم به ان الله كان سميعا بصيرا--- سورة النساء
"Sesungguhnya Allah memerentah kamu menyerahkan amanah kepada ahlinya [ yakni orang yang berhak], dan apabila kamu berhukum di antara manusia , hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah amat baik peringatan-Nya kepada kamu dengan perkara ini. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat."

Catit Imam Baghawi:
"Ayat ini diturunkan pada peristiwa Uthman bin Talhah dari Bani Abdu al-Dar, dia adalah penjaga kunci pintu Kaabah. Ketika Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam memasukki Makkah pada Hari Pembukaan Makkah, Uthman telah mengunci pintu Kaabah dan beliau menaiki bumbung Kaabah. Rasulullah telah bertanya tentang kunci Kaabah dan diberitahu yang kunci itu disimpan oleh Uthman, Rasulullah telah meminta kunci tersebut daripadanya tetapi dia enggan, dia berkata : "sekira aku mengakui yang dia itu Rasulullah niscaya aku tidak menafikan kunci itu daripadanya" Kemudiannya kunci itu direbut oleh Saiyyidina Ali dari genggam tangannya dan kemudiannya Ali membuka pintu Kaabah, Rasulullah telah memasukki Kaabah dan bersembahyang dua rakaat di dalam Kaabah. Ketika Rasulullah keluar daripada Kaabah, Abbas telah memohon kepada Rasulullah untuk menjadi pemegang kunci pintu Kaabah, supaya dapat digabungkan tugasnya sebagai penyedia bekalan air [bagi jamaah haji] dengan tugasan menjaga kunci Kaabah.

Lalu Allah turunkan ayat ini, Rasalullah pun mengarah agar dipulangkan kunci kepada Uthman dan agar dipohon kemaafan daripadanya. Saiyyidina Ali telah melaksanakan arahan ini. Uthman telah berkata kepada Saiyyidina Ali :"engkau telah membenciku, engkau telah menyakitiku, sekarang engkau berlemah-lembut terhadapku". Ali telah menjawab: "Allah telah turunkan ayat al-Quran tentang hal engkau ini", lalu Ali membaca ayat tersebut kepadanya. Lalu Uthman terus melafazkan :
وأشهد أن
لا اله الله أشهد أن محمدا رسولالله

Selepas itu anak kunci Kaabah terus berada di tangannya, dan ketika beliau meninggal dunia kunci tersebut diserahkan kepada saudaranya Shaibah. Anak kunci Kabaah berada di tangan anak-cucu mereka sehingga Hari Qiyamah."

Kisah Uthman dalam dua peristiwa ini sangat penting untuk kita teliti. Kita dapat melihat bagaimana seorang pemuda yang bukan Islam, di antara pahlawan Quraish yang memerangi Islam, tetapi secara sukarela telah menawarkan khidmat untuk menemani seorang tokoh muslimah yang penting dalam hijrahnya untuk menyertai perkumpulan ummah yang diketuai oleh Rasulullah di Madinah. Dia telah melaksanakan pertolongannya dengan penuh amanah, sangat menjaga kehormatan Umm Salamah di sepanjang perjalanan. Ketinggian nilai kelakuannya yang baiknya ini telah diiktiraf oleh ummah Islam masih dalam suasana perang terhadap pimpinan Quraish di Makkah.

Sedangkan di kalangan kita hari ini terasa sukar untuk kita mengiktiraf dan memuji kebaikan pihak yang bukan Islam, apa lagi sekiranya dia memusuhi agama kita. Kemarahan kita kerana penentangannya terhadap Islam akan menutup pandangan kita daripada melihat kebaikannya yang mungkin sahaja tidak terdapatpun pada diri kita sendiri.

Sedangkan pada peristiwa kedua, kita d
apat menyaksikan penyerahan amanah di dalam ajaran Islam bukan berligar di kalangan kita sahaja, bahkan kita diwajibkan menyampaikan amanah kepada seorang yang bukan Islam walaupun dia tersenarai sebagai penentang Islam sekalipun; iaitu dalam hal yang berkaitan dengan hak-haknya. Kita tidak akan menafikan hak-hak mereka semata-mata di atas sentimen yang dia menentang kita. Subhanallah.. Rasulullah menunjukkan contoh yang terbaik dalam hal ini. Sentimen negatif terhadap Uthman bukan terdorong kerana perkiraan duniawi tetapi kerana dia menentang agama Allah dan Rasul-Nya, tetapi Rasulullah melaksanakan amanah dengan mempertahankan hak Uthman sebagai penjaga kunci Kaabah, Bahkan Rasulullah memperkukuhkan statement itu dengan mengisytiharkan yang hak itu kekal pada tangan Uthman dan keturunannya.

Sikap Rasulullah dan pengisytiharan yang dibuat oleh baginda jelas menunjukkan logik yang diajar oleh Islam adalah logik yang mengatasi logik biasa manusia, ianya adalah logik yang bersifat Rabbani. Logik inilah yang menyebabkan penentang tegar umpama Uthman sebelumnya telah terbuka hati untuk menyaksikan kebenaran Islam.

Islam mengajar kita yang amanah adalah suatu perkara yang tidak boleh ditukar-ganti walaupun terhadap hak-hak orang yang bukan Islam apalah lagi terhadap sesama muslim.
Rasulullah memperingatkan kita:

اّية المنافق ثلاث : اذا حدث كذب واذا وعد أخلف واذا اؤتمن خان وان صام وصلى وزعم أنه مسلم

"Tanda-tanda kemunafikan itu tiga: apabila berbicara- berbohong, dan apabila berjanji- disalahi, dan apabila diamanahkan- dikhianati. Walaupun dia seorang yang berpuasa dan bersembahyang sekalipun serta mendakwa yang dia seorang muslim "

Saya teringat pada tulisan Syaikh Dr.Abdul Halim Mahmud yang ditanya tentang kewajaran sebahagian ummah menyertai aktiviti politik kepartian semasa, beliau menjawabnya yang secara amnya ianya harus, hukum terperincinya kemudiannya ditentukan oleh tuntutan semasa. Hanya beliau memperingatkan kita semua terutama yang berkecenderungan untuk menyertai aktiviti politik agar menjaga diri daripada terjebak jatuh dalam sifat-sifat yang menjadi tanda-tanda munafiq. Ini memandangkan yang mereka di dalam aktiviti ini lebih terdedah untuk terjerumus ; untuk berbohong ketika bercakap, untuk mungkir apabila berjanji dan untuk khianat apabila memikul amanah. Ini tidak pula bermaksud yang golongan lainnya akan selamat.

Kita hanya akan selamat dengan pertolongan Allah sahaja, dan kita mendapat faham dari kehalusan ajaran agama ini hanyalah dengan limpah anugerah-Nya semata-mata. Semoga Allah menghiasi kita dengan akhlaq yang diredai-Nya, semoga hati kita sentiasa berpaut pada zikrullah dan selawat ke atas Rasul-Nya dan kita difahamkan tentang ajaran agama-Nya.


nota pinggir:
Kita tentu sedar yang Kaabah adalah semulia-mulia bangunan di dalam Islam. Ia adalah qiblat bagi ummah. Dan kita juga sedar yang Saiyyidina Abbas adalah bapa saudara Rasulullah yang dikasihi oleh baginda.
Kesan daripada amanah yang ditunaikan itulah yang mendorong Uthman memeluk Islam, sehinggalah Masjid al-Haram bahkan Makkah keseluruhannya hanya untuk penganut Islam secara eksklusif. Suatu natijah kepada sikap yang diredai Allah walaupun agak sukar untuk direalisasikan....

1 comment:

  1. Assalamualaikum...

    buku Hadith ath-Thulatha ni ada dlm bentuk pdf x?

    ReplyDelete