Allah telah berfirman:
كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله
Sesungguhnya kamu [ummat Islam] adalah sebaik-baik ummat yang dibangkitkan untuk manusia, kamu menyuruh perkara yang ma'ruf, kamu mencegah perkara mungkar dan kamu beriman kepada Allah.
Inilah dia ciri pokok bagi jatidiri ummah ini, ciri yang menjadikan ianya sebagai sebaik-baik ummah. Inilah dia 3 tiang utama kepada bangunan ummah ini. Anggota ummah secara individu dan ummah secara kolektif menyuruh diri sendiri, keluarga, masyarakat serta dunia dengan kebaikan; mencegah kemungkaran pada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan dunia; bertindak serta berusaha untuk memperteguhkan keimanan kepada Allah pada diri, keluarga, masyarakat serta dunia. Keimanan kepada Allah mengandungi serta menghasilkan cabang-cabang yang banyak , sebagaimana yang terdapat pada huraian ulama tentang cabang-cabang iman. Antara huraian yang tersebar luas ialah huraian Imam Kirmani yang dipetik oleh Imam Ibnu Hajar di dalam kitab Fathu al-Bari, syarah bagi Sahih Bukhari.
Ummah ini menjadi kayu pengukur atau penunjuk bagi manusia lain dalam mengenali kebenaran serta di dalam menghayati kebenaran selagi mereka memiliki 3 ciri utama khairu al-ummah. Allah menyebut:
يأيها الذن ءامنوا اركعوا واسجدوا واعبدوا ربكم وافعلوا الخير لعلكم تفلحون وجهدوا فى الله حق جهاده هو اجتبكم وما جعل عليكم فى الدين من حرج ملة أبيكم ابرهيم هو سمكم المسلمين من قبل وفى هذا ليكون الرسول شهيدا عليكم وتكوا شهدا على الناس فأقيموا الصلوة وءاتوا الزكوة واعتصموا بالله هو مولكم فنعم المولى ونعم النصير --سورة الحج -78-77 -
"Wahai orang-orang yang beriman, ruku'lah kamu dan sujudlah kamu dan ibadatkanlah Tuhan kamu dan lakukan kebaikan agar kamu berjaya. Dan berjihadlah pada Jalan Allah dengan sebenar-benar jihad, Dia (Allah) telah memilih kamu , Dia tidak menjadikanan ke atas kamu kesusahan dalam urusan Agama; iaitu Millah bapa kamu Ibrahim, dialah yang menamakan kamu sebagai muslimun pada dahulunya dan pada sekarang ini; supaya Rasulullah menjadi saksi [kayu pengukur] ke atas kamu dan kamu menjadi saksi ke atas manusia [banyak]. Maka dirikan sembahyang, dan tunaikan zakat dan berpegang-teguhlah dengan Allah, Dialah Maula kamu, Dialah sebaik-baik Maula dan sebaik-baik Penolong"
Inilah peranan khairu al-Ummah. Mereka adalah ummah ibadat, ummah pelaku kebaikan, ummah jihad, ummah yang menjejaki millah dan perjuangan Bapa Tauhid yakni Saiyyidina Ibrahim, ummah muslimun, ummah yang dijadikan saksi(penentu aras) bagi manusia lain dalam memisahkan hak daripada batil, ummah yang mendirikan sembahyang (termasuk menjayakan sembahyang berjamaah), ummah yang menunaikan zakat serta sedeqah, ummah yang kuat bergantung hati mereka kepada Allah dengan zikir, tawakkal serta taqwa. Ummah yang dilindungi oleh Allah dengan Rahmat-Nya di dunia dan di Akhirat.
Dalam ayat lain Allah menyebut tentang peranan khairu al-Ummah ini :
والمؤمنون والمؤمنت بعضهم أولياء بض يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر ويقيمون الصلوة ويؤتون الزكوة ويطيعون الله ورسوله أولئك سيرحمهم الله ان الله عزيز حكيم وعد الله المؤمنين والمؤمنت جنت تجرى من تحتها الأنهر خلدين فيها ومسكن طيبة فى جنت عدن ورضون من الله أكبر ذلك هو الفوز العظيم سورة التوبة 71-72
Dan mukminun serta mukminah sebahagian mereka menjadi pelindung sebahagian yang lain, mereka menyuruh dengan kema'rufan serta mereka mencegah kemungkaran, dan mereka mendirikan sembahyang, dan mereka menunaikan zakat, mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya, merekalah golongan yang akan dirahmati Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa Maha Bijaksana. Allah telah menjanjikan untuk mukminin dan mukminat balasan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan tempat tinggal yang tersangat baik di dalam syurga Aden. Keredaan daripada Allah lebih besar daripada itu. Yang demikian itu adalah anugerah yang agung.
Sehingga khairu al-ummah ini dikenali semenjak sebelum kehadiran mereka lagi, Rasul mereka dan hal-ehwal mereka telah pun disebut di dalam kitab-kitab terdahulu:
محمد رسول الله والذين معه أشداء على الكفار رحماء بينهم ترىهم ركعا سجدا يبتغوان فضلا من الله ورضونا سيماهم فى وجوهم من أثرالسجود ذتك مثلهم فى التورىة ومثلهم فى الانجيل كزرع اخرج شطئه فئازه فاستغلظ فاستوى على سوقه يعجب الزراع ليغيظ بهم الكفار وعد الله الذين ءامنوا وعملوا الصلحت منهم مغقرة وأجرا عظيما سورة الفتح 28
Muhammad adalah Rasulullah dan mereka yang bersamanya (para sahabat secara khusus, dan ummah secara amnya) tegas terhadap orang kafir, berkasih-sayang sesama sendiri. Kamu melihat hal mereka yang berkeadaan ruku' dan sujud, mereka mencari anugerah daripada Allah dan keredaaan-Nya, terdapat tanda pada wajah meraka daripada kesan sujud. Demikianlah misalan tentang mereka di dalam Taurah, dan misalan tentang mereka di dalam Injil. Seumpama tanaman yang mengeluarkan tunasnya, lalu tunas itu menyuburkan dan menguatkan tanaman itu lalu pokok itu membesar serta tumbuh meninggi di atas pangkal batangnya. Ianya menjadikan penanamnya ta'ajub [itulah umpamanya perkembangan ajaran Islam], supaya menjadikan orang kafir sakit hati dengan (perkembangan-perkembangan)nya. Dan Allah menjanjikan untuk orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada mereka dengan keampunan dan ganjaran yang besar.
Pokok serta tunas yang baik itu tumbuh dengan suburnya, pokok itu adalah penyaksian dengan Dua Kalimah syahadah. Allah menyebut:
الم تر كيف ضرب الله مثلا كلمة طيبة كشجرة طيبة أصلها ثابت فى الأرض وفرعها فى السماء تؤتى أكلها كل حين باءذن ربها ويضرب الله الامثال للناس لعلهم يتذكرون سورة ابراهيم 24-25
Tidakkah kamu melihat bagaimana Allah menjadikan perumpamaan Kalimah yang Baik dengan pokok yang baik, akar-umbinya teguh di dalam bumi, sementara ranting-ranting menyentuh langit, ianya memberikan buah-buahannya setiap musim seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan supaya mereka mendapat peringatan
Keteguhan iman mereka itu memperteguhkan pendirian mereka ketika pegangan selainnya telah goyah. Allah menyebut bagaimana dahsyatnya cabaran yang perlu ditongkah, yang sauh dan kemudi keselamatannya adalah keteguhan iman:
اذ جاءوكم من فوقكم ومن أسفل منكم واذ زاغت الأبصر وبلغت القلوب الحناجر وتظنون با الله الظنونا هنالك ابتلى المؤمنون وزلزالا شديداواذ يقول المنفقون والذين فى قلوبهم مرض ما وعدنا الله ورسوله الا غرورا سورة الأحزاب 10-12
Ketika datang kepada kamu(musuh yang menyerang) daripada arah atas kamu dan daripada arah bawah kamu, ketika itu pandangan kamu menjadi goyah kabur dan hati-hati kamu menyesak sampai ke kerongkong, kamu bersangka dengan Allah dengan bermacam sangkaan. Di situlah diuji (keyakinan) orang mukmin dan gementaran yang dahsyat. Ketika itu berkata orang munafiqun dan mereka yang mempunyai penyakit di dalam hati (dengan keraguan) :"tiadalah janji Allah dan rasul-Nyta kecuali tipu daya semata-mata"
الذين قال لهم الناس ان الناس قد جمعوا لكم فاخشوهم فزادهم ايمنا وقالوا حسبناالله ونعم الوكيل فانقلبوا بنعمة من الله وفضل لم يمسسهم سوء واتبعوا ر رصونالله والله ذو فضل عظيم سورة ال عمران 173-174
Mereka yang apabila dikatakan oleh manusia lainnya"sesungguhnya nmanusia telah berhimpun untuk menyerang kamu, maka takutilah mereka". Maka (dengan ugutan itu) bertambah keimanan mereka (orang yang beriman) dan mereka mengucapkan "memadailah Allah sebagai tempat kami berserah". Maka mereka kembali (dari peperangan) dengan (mendapat) nikmat daripada Allah dan anugerah-Nya. Mereka tidak disentuh keburukan. Mereka mengikut keredaan Allah. Allah yang memiliki kurniaan yang agung
Kekuatan keyakinan itu telah diperkukuhkan dengan mendengar ayat-ayat Allah, menjalani amalan membersihkan diri dari kesyirikan dan sifat-sifat buruk, mempelajari al-Quran dan sunnah, sehingga Allah mengajar mereka dengan apa yang mereka tidak mengetahui sebelumnya (yang terdapat di dalam pengajaran al-Quran dan sunnah serta melalui pengalaman, pengamatan, ilham dan rukyah).Sebagaimana di dlam firman Allah dalam surah al-Baqarah 151. Berikutnya Allah memerentah mereka :
فاذكرونى أذكركم وأشكروا لى ولا تكفرون يأيها الذى ءامنوا استعنوا بالصبر والصلوة ان الله مع الصبرين سورة البقرة 152-153
Maka ingatlah (berzikirlah) kepada Aku, niscaya Aku akan mengingati kamu, dan bersyukurlah kepada Aku dan jangan kamu kufur. Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan melalui kesabaran dan sembahyang. Sesungguhnya Alllah bersama golongan yang sabar.
Apabila penjelasan dari Allah tentang sifat bentuk serta ciri kehidupan ummah ini dapat dihayati, maka Allah telah berjanji dengan kemenangan di dunia ini sebelum kejayaan hakiki di Akhirat kelak:
وعد الله الذى ءامنوا منكم وعملوا الصلحت ليستخلفنهم فى الأرض كما استخلف الذين من قبلهم وليمكنن لهم دينهم الذى ارتضى لهم وليبدلنهم من بعد خوفهم أمنا يعبدو ننى لا يشركون بى شيءا ومن كفر بعد ذلك فألئك هم الفسقون سورة النور 55
Dan Allah berjanji kepada orang yang beriman daripada kalangan kamu serta beramal soleh, Dia akan menjadikan mereka khalifah (penguasa) di dunia sebagaimana Dia telah menjadikan khalifah orang-orang yang sebelum mereka, Dia akan memperteguhkan bagi mereka Agama mereka yang Dia redakan bagi mereka, Dia akan mengantikan bagi mereka selepas ketakutan dengan kesentosaan. Mereka beribadat kepada-Ku, dan mereka tiada syirikkan-Ku dengan sesuatu apapun. Sesiapa yang kufur selepas yang demikian, maka mereka adalah golongan yang fasiq.
Itulah ciri-ciri muslim, itulah keteguhan pendirian muslim, itulah dia kaedah usaha muslim, itulah dia natijah usaha muslim.. Itulah keistimewaaan kefahaman dan usaha muslim, Itulah janji dari Tuhan! Inilah jalan kita, inilah dia sifir kita. Kita insyaallah tidak akan berganjak dari jalan kefahaman dan amalan ini walaupun manusia banyak tidak nampak masa depannya, walaupun manusia banyak akan mempertawakannya.
قل هذه سبيلى أدعوا الى الله على بصيرة أنا واتبعنى وسبحن الله وما أنا من المشركين سورة يوسف 108
Dan katakan (wahai Rasulullah): Inilah Jalan-ku, aku menyeru kepada Allah di atas Basirah (pemahaman yang jelas), (inilah keadaan) aku berserta orang yang mengikuti aku. Maha suci Allah . Bukan lah aku daripada golongan musyrikin (dari segi pegangan , kefahaman dan amalan)
No comments:
Post a Comment