Dalam kami minum-minum selepas menadah kitab di rumah guru saya, dia menceritakan yang Ustaz Mohd Noor Idris yang ketika itu pensyarah di APIUM Nilam Puri dan masih seorang penyokong PAS yang tegar dan beraliran keras telah berpesan melalui muridnya, yang merupakan anak guru saya supaya ditanyai kepada beliau "apakah Malaysia ini sebuah negara Islam atau tidak"
Dia menjawab yang Malaysia adalah sebuah negara Islam yang diperentah oleh golongan yang tidak melaksanakan hukum-ahkam Islam. Itulah jawaban beliau. Ringkas tetapi terpahat di fikiran saya demikian lama.
Jawaban beliau ini, sangat bercanggahan dengan pemahaman umum di kalangan anak muda ketika itu, apa lagi aktivis parti. Agaknya saya adalah seorang yang tergolong kerap bersifat kritikal , tetapi dapat menerima jawaban itu, bahkan saya sangat mengkagumi jawaban beliau itu sehingga kini. Semoga Allah mencurah manafaat kepada kami dari keberkatan ilmu dan amal beliau.
Saya merasakan sesiapa yang dapat menerima gagasan isi buku 'Duah la Qudah" tulisan Imam Hassan Hudaibi, Murshidu al-'Am Ikhwan al-Muslimin kedua, selepas Imam Hassan al-Banna dapat menerima jawaban guru saya itu dengan gembira. Begitu juga dalam buku tersebut dibincangkan tentang penggunaan dan pemahaman istilah 'Rab' , ''Ilah", 'Din' dan 'Ibadah' secara mendalam. Buku ini merupakan sanggahan dan penolakan kepada buku Maulana Maududi "Empat Istilah Asas Di dalam al-Quran'.
Hanya saya agak tidak dapat memahami kenapa buku ini tidak dirujuk oleh pihak-pihak yang bergerak dalam bentuk haraki dan yang mengaku mengikut manhaj Ikhwan al-Muslimin di tempat kita. Bahkan mereka lebih terpesona dengan buku Maulana Maududi tanpa membaca bahasan Imam Hassan al-Hudaibi yang hebat itu. Sehingga bila Mualana Abu Hassan an-Nadwi menulis buku 'Appreaciation and Understanding of Religion By Modern Men',untuk membahas pemahaman Maulana Maududi , maka buku inilah yang dijadikan antara rujukan utama. (Buku Maulana Abu Hassan ini sempat dihantar kepada Maulana Maududi, dan beliau menerimanya kritikan tersebut dengan baik sekali)
Saya kemudian membaca 'Furu al-Masail', antara kitab feqah terbesar dalam tulisan jawi yang ditulis oleh Syaikh Daud bin Abdullah al-Fatani di dalam bab al-Jihad tentang pemahaman Dar al-Islam, saya terpegun dengan keluasan perbincangannya, hal yang sama disebut oleh Syaikh Daud di dalam kitab Hidayatu al-Muta'lim.
Saya cuba rumikan apa yang tertulis dalam Furu al-Masail:
(So-ila [ditanyaka] Radiyallahu 'amhu): Jika orang Islam yang duduk di dalam negeri harbi jika boleh ia menyatakan syi'ar agama.
(Maka dijawabnya): sunnat duduk padanya jika tiada harap akan boleh ia mengerasi atasnya atau diharap akan datang muslimin mengambil akan dia. Dan jika harap nyata Islam tiada sunnat ia berpindah kepada negeri Islam. Tetapi afdal ia duduk di sana, atau kuasa ia menegah mereka itu dan mengasingkan dirinya di sana . Dan jika tiada harap datang menolong al-Muslimin dengan berpindahnya itu, adalah duduknya di tempat itu wajib, kerana tempatnya dinamakan Dar al-Islam . Maka jika berpindah niscaya jadi rupa negeri harbi; tiada pada hukumnya, tinggal negeri Islam jua. Maka jika diambil oleh orang Islam kemudiannya sekalipun. Maka hukumnya tiada boleh lagi jadi negeri harbi. Inilah qaul yang dipilih seperti kata Syaikh Ibnu Hajar bahawasanya barang yang dihukumkan bahawsanya ia negeri Islam tiada boleh lagi jadi kemudiannya negeri kafir mutlaqan pada mudrak. Dan jika tiada dapat menyatakan agamanya atau takut ia difitnah pada agamanya dan kuasa ia berpindah, maka wajib hijrahnya jika perempuan sekalipun jika takut ia difitnah duduk daripada fitnah pada jalannya hukumnya seperti lari orang kena tawan oleh kafir [ m/s: 340 jilid 2]
Saya mengharapkan kita semua dapat membaca susunan ayat-ayat Melayu secara kitab lama ini serta dapat difahami dan dikuti perbahasannya. Bagaimanapun perkara yang hampir sama dibincangkan di dalam kitab Kasyafu al-Litham; kitab feqah dalam bahasa Jawi yang seumpama dengan kitab ini juga.
Saya juga menemui perbincangan di dalam soal yang sama di dalam kitab aqidah Manazilu al-Aimmati al-Arba'ah oleh Imam Yahya al-Salamasi (w:550 H) yang telah ditahkik oleh Dr. Mahmud Abdul rahman Qadah daripada Universiti Islam Madinah. Imam Yahya al-Salamasi menyebut: وبلاد المسلمين دار الاسلام مادام شعار الاسلام من الأذان والاقامة والصلوات ظاهرا : Lebih kurang maksudnay: "Negeri orang Islam adalah Dar al-Islam selama syiar Islami daripada azan. iqamah dan sembahyang zahir padanya"
Dr. Mahmud Qadah menulis dalam tahkik kepada kenyataan ini:
يدل على ذلك قول أنس رضي اللة عنه :" كان رسول الله صلي الله عليه وسلم يغير اذا طلع الفجر وكان يستمع الاذان فان سمع اذانا أمسك والا أغار" أخرجه البخاري ومسلم
Lebih kurang terjemahannya: Kenyataan tersebut berdalilkan perkataan Anas " Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam akan menyerang [musuh] ketika fajar, baginda akan memerhati untuk mendengar azan, sekiranya baginda telah mendengar azan baginda akan menahan serangan, sekiranya tidak [mendengar azan], baginda akan menyerang"
Dr. Mahmud Qadah kemudiannya mendatang perkataan Syaikh al-Islam Imam Ibnu Taimiyyah yang menghuraikan kedudukan sesuatu negeri [penempatan] bergantung kepada penduduknya. Bagaimanapun huraian tersebut bukanlah huraian feqah yang lazim. Kemudiannya Dr. Mahmud menyebut:
وبهذا نعلم مدى غلو و ضلال هولاء الذين يصفون الدول الاسلامية الني لا تحكم بما أنزل الله بأنها دار كفر أو جاهلية ثم يعلنون على أهلها الجهاد ويستبيحون الدماء و الأموال بل الأعراض فمن يفعل ذلك منهم فهم من الخوارج الذين أخبرنا النبي صلى الله عليه وسلم باستمرار خروجهم على المسلمين الى زمن الدجال, والله أعلم ,
Terjemahan lebih kurang : Dan dengan ini kita mengetahui betapa melampaunya dan tersesatnya mereka yang menyifatkan negara-negara Islam yang tidak berhukum dengan Hukum yang diturunkan Allah yang ianya Dar Kufur atau Jahiliyyah, kemudian mereka mengisytiharkan ke atas penduduknya jihad, mereka mengharuskan menumpahkan darah mereka, harta-benda bahkan kehormatan mereka. Sesiapa yang bertindak sedemikian daripada kalangan mereka, maka mereka itu adalah daripada golongan al-Khawarij, yang mana mereka ini telah dikhabarkan oleh Rasulullah yang mereka akan sentiasa timbul ke atas muslimin sehingga ke zaman [keluarnya] Dajjal.
Tulisan semasa yang tersebar luas yang menyentuh perbincangan sebegini adalah tulisan Syaikh Dr. Muhammad Said Ramadan al-Bouti , Jihad in Islam. [ english translationnya]. Nampaknya syaikh ini berpegang kepada huraian ulama mazhab Imam as-Syafi'ie dalam bab ini.
Saya berasakan ramai rakan-rakan saya terkeliru antara syarat Dar al-Islam dan tangggung-jawab Dar al-Islam. Seumpama syarat bagi seseorang itu menjadi muslim ialah dengan mengucap Dua Kalimah Syahadah. Adapun perlaksanaan sembahyang, puasa, zakat, haji berjihad, bercakap benar, menjauhi larangan Allah adalah tanggung-jawab ke atas seorang muslim; yakni bukan syarat.
Katakan seorang yang bernama Awang, seorang muslim tetapi mengabaikan tanggung-jawabnya sebagai seorang muslim : dia meninggalkan apa yang diperentah dan dia melanggar larangan Allah. Dari segi zahirnya kita masih menganggap dia muslim. Kita berusaha agar dia mematuhi perentah Allah, agar dia meninggalkan larangan Allah. Kita marah yang dia berzina, kita suruh dia sembahyang dan berpuasa kerana kita anggap dia muslim.
Kita tidak akan memaksa katakan Antun A/L Rebung untuk dia bersembahyang dan berpuasa kerana kedua perkara ini diluar tanggung-jawabnya; kerana dia tidak mempunyai syarat untuk diterima sebagai seorang muslim. Dia tidak bersyahadah dengan Dua Kalimah Syahadah. Adalah perbuatan yang tidak waras untuk kita memaksa dia sembahyang atau puasa sebelum kita mengiktiraf yang dia adalah seorang muslim.
Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan rantau kita adalah Dar al-Islam, dari segi sejarah terdapat beberapa masa yang terdapat perlaksanaan hukum Islam di beberapa pemerentahan, bahkan artifak Batu Bersurat Kuala Berang menyentuh soal perlaksaaan hukum jenayah. Begitu juga kita akan dapati elemen hukum syara' dalam Kanun Melaka, yang menjadi sumber kepada kanun negeri-negeri lain. Begitu juga dokumen Undang-Undang 99 di Perak. Begitu juga penggunaan matawang Dinar di Kelantan, Patani, Terengganu, Johor, Deli, Acheh dan lain-lain kerajaan Melayu.
Kita amat sedar yang pihak pemerentah kita kurang memberi tumpuan kepada tanggung-jawab bahkan kerap mengabaikan dalam melaksanaan hukum-ahkam yang menyentuh sudut pemerentahan, pentadbiran,ekonomi dan kemasyarakatan mengikut petunjuk syara. Maka menjadi kewajiban ke atas ummah untuk meningkat kesedaran semua ppihak termasuk pihak pemerentah agar lebih bertanggung-jawab dan memberi tumpuan dalam mencari jalan supaya kita akan mendapat rahmat ditadbir secara yang Allah redai, mengikut Sunnah Rasul-Nya; yakni supaya negara kita melaksanakan tanggung-jawabnya sebagai Dar al-Islam.
Semoga saya dianugerahi Allah hemmah untuk menyambung catitan ini yang jauh daripada lengkap ini...... Ya Allah permudahkan! [saya sedar perbezaan pendapat di kalangan ulama daripada mazhab lain dalam soal ini; serta yang telah saya sebutkan hanya sekulumit daripada perbincangan yang panjang dan menarik]
Di, saya cuba nak faham hujjah kriteria negara Islam dari perpspektif ulama kitab kuning tetapi terlalu berbeli untuk saya.. Mungkin kita bincang bila berjumpa nanti
ReplyDeleteDi, saya nak cuba faham hujjah kriteria negara Islam dari perpsektif ulama kitab kuning tetapi terlalu berbelit. Kita bincang bila junmpa nanti
ReplyDelete