Ada beberapa perkara yang saya terlintas untuk dicatitkan.
1. Doa untuk Lim Guan Eng:
Jujurnya saya secara peribadi terasa ada yang tidak kena dengan tindakan membaca doa untuk seorang bukan Islam secara khusus yang dituturkan dalam khutbah jumaat. Kesihanilah khutbah jumaat kita, isi khutbah telah banyak menyentuh soal-soal dunia; umpamanya sambutan hari ibu, sambutan Hari Pahlawan, Hari Guru,Bulan kemerdekaan, kebersihan dan lain-lain tema semasa.
Jarangnya kita mendengar khutbah tentang keutamaan akhirat mengatasi kehidupan dunia, perlunya sikap qana'ah dan zuhud dalam kehidupan, penyakit hati yang parah yang perlu dirawati seperti gilakan harta, gila pangkat, gila menjadi ketua orang atau panjang angan-angan.
Episod khutbah dengan doa Lim Guan Eng ini mengingatkan saya kepada Mendiang Foo Choo Yong, mantan wakil rakyat di Kota Bharu. YB Foo disukai oleh pengundinya. YB Foo , dikatakan pernah berceramah di atas madrasah, dia menyebut : "wa' tachi mu bi hablilah" - " marilah tuan-tuan kita bersatu, tuan-tuan dengan agama tuan-tuan, saya dengan agama saya".
Sementara di bahagian belakang hadirin, orang kuat YB Foo memberi komen, "tenguk tu, Dato Foo boleh tafsir, kita orang Islam pun tak pandai nak beri tafsir". Itulah cerita yang saya dengar. Sehingga orang-orang PAS di masa itu dengan nada sinis memanggilnya 'Ustaz Foo Choo Yong'
Dato Foo memang sentiasa menang di kawasan majoriti Melayu, dia sangat pandai berbudi sehingga-hinggakan ada penyokongnya yang menunggu urusan jenazah ahli keluarganya kerana mahu menunggu ziarah dari Dato Foo. Itulah kasihnya orang Melayu kepada mereka yang berbudi kepada mereka. Yang bezanya Dato Foo adalah wakil rakyat BN, Lim Guan Eng adalah Ketua Menteri PR.
2- Karpal Singh mempersoalkan keberkesanan hudud.
Kenapa kita seakan terkilan apabila Karpal Singh mempersoalkan hukum hudud, Karpal Singh adalah seorang bukan Islam. Bukan satakat Karpal Singh yang menentang hudud dan lain-lain ketetapan agama Islam, bahkan itulah sikap yang ghalib ada pada golongan bukan Islam. Oleh itulah agaknya setiap hari raya kita diminta bertakbir yang antara lain kita laungkan "walaupun (agama Islam itu) dibenci oleh orang kafir".
Adalah terlalu naive untuk kita, ummah Islam, mengharapkan golongan bukan Islam akan menyokong kita dalam mendirikan agama kita. Adalah suatu penipuan diri sendiri sekiranya kita sandarkan harapan kepada golongan bukan Islam untuk memperolihi kemulian ('izzah) bagi agama kita dan ummah kita. Kemuliaan hanya ada pada Allah, Rasul-Nya dan golongan mu'minin.
Kenapa kita mesti berfikir dalam kerangka politik semasa yang dipusakakan kepada kita oleh barat, bilalah masanya kita mahu kembali memahami nas-nas agama dalam kita mengatur langkah? Kenapakah aktiviti politik sudah dibumikan, seakan-akan ianya terputus dari hubungan alam tinggi hatta di kalangan aktivis parti yang menggunakan slogan Islam itu sendiri?
Agaknya ada keperluan bagi sebahagian ummah mencebur diri dalam politik semasa dan dalam kerangka politik kepartian semasa, tetapi ini bukan bererti orentasi asas kita ditentukan oleh lengguk politik itu, bahkan kita sepatutnya berusaha agar kita dapat menumpang ruang politik itu untuk agenda agama kita. Dalam ungkapan Syaikh Said Hawwa : "dari mihrab kepada politik, bukan dari politik ke mihrab". Perkara-perkara yang diputuskan dalam mihrab, yakni dalam suasana kerohanian yang siap-siaga itulah yang dibawa ke gelanggang politik, dan bukannya sikap mencari-cari hujjah agama untuk membetulkan tindakan politik, atau lebih parah menunggangi agama untuk mendapat ruang dalam politik. Maka itu adalah mala-petaka yang besar ke atas agama dan ummah, bukannya rahmat.
3. Rakyat seakan kurang patriotik.
Semakin kurang rakyat yang mengibar bendera di bangunan mereka tau di kenderaan mereka menjelang 31 Ogos tahun ini. Banyak ulasan yang telah diberi termasuk yang menariknya adalah tulisan Jailani Harun dala blog-nya "Just Read".
Pada agakan saya, suasana tersebut timbul puncanya dari rasa lesu rakyat, rakyat semakin letih meniti kehidupan bernegara yang semakin tidak menentu. Pemimpin kita tidak mampu meyakinkan sebahagian besar rakyat yang mereka sedang berusaha untuk kebaikan rakyat, walaupun itu yang mereka laung-laungkan. Yang lebih tertonjol seakan-akan pemimpin sedang berusaha untuk diri dan kelompok mereka sendiri. Ada pula perkara yang disorok dari pengetahuan rakyat. Atau sebenarnya negara kita sedang berhadapan krisis 'hilang keyakinan'.
Apabila rakyat percaya dan yakin kepada pemimpin, maka mereka akan bersemangat untuk bersama dengan pemimpin "ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicicah".
Dalam kesempatan yang masih ada, marilah kita semua berusaha mengembalikan keyakinan ke dalam masyarakat kita, dengan kembali mengikhlaskan diri kepada Allah dalam kehidupan, dengan menepikan kepentingan diri, isteri, anak, menantu ,penyokong parti dalam menjalankan tanggung-jawab. Dalam kita bersiap-siap menunggu mati pada setiap hari atau dalam lain perkataan biarlah tindakan kita itu "begin with the end".
No comments:
Post a Comment