Saturday, August 28, 2010

Orang Kafir: Masuk Masjid Dan Doa Dalam Khutbah.

Dua isu yang menyentuh institusi masjid/surau yang hangat digembar-gembur oleh media adalah dua peristiwa ahli politik bukan Islam, terutamanya seorang perempuan, Ahli Parlimen Serdang yang memasuki surau untuk menyampaikan sumbangan. Keduanya khutbah yang mendoakan agar seorang pemimpin bukan Islam mendapat hidayah.

Tiba-tiba banyak pihak memerkatakan tentang kehormatan dan kesucian masjid, baik dalam akhbar mahupun dalam television. Alhamdulillah, perkara yang selama ini diambil ringan telah diberi perhatian yang khusus, hanya terasa sedikit terkilan kerana pihak yang menyerang dan pihak yang mempertahankan kedua isu ini tidak merujuk kepada teks-teks feqah. Masing-masing dengan pendapat dan pandangan masing-masing, hatta YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz sendiri pun terseret sama.

1. Orang bukan Islam memasuki masjid:
Pada awal pemerentahan Pas di Kelantan, YAB Tuan Guru pernah mencadangkan untuk membuka masjid sebagai tempat lawatan bagi orang bukan Islam. Guru saya menyatakan pendiriannya yang tidak mempersetujui cadangan tersebut, bahkan dia berkhutbah menyatakan pendiriannya. Guru saya berhujjah menggunakan ayat 28 surah at-Taubah:
يأيها الذين ءامنوا انما المشركون نجس فلا يقربوا المسجد الحرام بعد عامهم هذا وان خفتم عيلة فسو يغنيكم الله من فضله انشاء ان الله عليم حكيم
Wahai orang-orang yang beriman!, sesungguhnya orang musyrikin itu najis, maka jangan benarkan mereka mendekati Masjid al-Haram selepas tahun ini. Dan jika kamu bimbang menjadi miskin (kerana ketiadaan mereka), maka Allah akan memperkayakan kamu daripada anuegerah-Nya, sekiranya Dia mengkehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Guru saya mengatakan yang orang musyrikin itu najis, najis yang tidak boleh dibersihkan walaupun dibasuh dengan tujuh kali air termasuk air tanah sekalipun, kecuali dibasuh dengan Kalimah Syahadah. Maka hukumnya haram membawa masuk najis ke dalam masjid.

Nampaknya Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya tentang ayat ini mengatakan yang Imam Auza'ie mengatakan yang Saiyyidina Umar bin Abdul Aziz melarang orang yahudi dan nasrani dari memasukki masjid. Hal yang sama disebut oleh Imam at-Tabari dalam tafsirnya.

Beberapa tahun selepas itu saya telah memiliki kitab اعلام الساجد بأحكام المساجد karangan Imam az-Zarkashi (m;793H). Ianya sebuah kitab khusus tentang hukum berkaitan dengan masjid. Saya menemui perbincangan yang detail tentang perkara ini di dalam kitab ini. Ianya berbeza daripada apa yang dipegang oleh guru saya. Saya tidak berkesempatan untuk menunjukkan kitab ini kepada guru saya kerana dia meninggal terlebih awal. Tetapi pesanan yang kerap dituturnya ialah: Jangan ikut guru, ikutlah Allah dan Rasul , guru (para ulama) menyampaikan yang Allah dan Rasul katakan, sekiranya tidak begitu, maka jangan diikut". Perkataannya itu menyebabkan saya dengan tanpa rasa bersalah dapat berbeza faham daripada beliau, kasih sayang dan rasa hormat kepada beliau tidak sedikitpun terjejas. Kita hanya melaksanakan apa yang dipesan oleh beliau sendiri. Semoga Allah merahmati ruhnya dan memanafaatkan saya dengan ilmu dan amalnya di dunia dan akhirat.

Dalam mazhab Imam kita as-Shafi'ie 'orang kafir harus memasuki masjid dengan izin orang Islam, terutama apabila ada maslahah kepada kita. Mereka dilarang memasuki tanah haram dan masjid di tanah haram. Sedangkan Mazhab Imam Hanafi mengharuskan orang kafir memasuki masjid hatta di tanah haram keseluruhannya. Sementara Mazhab Imam Malik mengharuskan orang kafir memasukki masjid, hattat di Tanah Haram kecuali Masjid al-Haram secara khusus.

Imam az-Zarkashi mengatakan orang kafir mungkin memasukki dan duduk masjid walaupun mereka berjunub, kerana orang kafir di zaman Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah memasuki masjid Nabi, tidak syak ada di antara mereka yang berjunub. Imam Bukhari mendatangkan hadith tentang orang kafir masuk masjid untuk bertanya tentang Islam, orang yahudi masuk masjid untuk menyebut tentang ada perempuan dan lelaki di kalangan merekla berzina.

Perempuan Islam yang haidh haram memasukki masjid kerana hukum syara yang ditaklifkan ke atasnya, berbeza daripada perempuan kafir yang haidh, dia diharuskan memasukki masjid sekiranya tidak dibimbangi bertitik darah di dalam masjid, kerana dia tidak ditaklifkan. Itulah yang disebut dalam kitab ar-Raudah dan lainnya.

Ulama mengatakan tentang orang kafir yang masuk ke masjid untuk mempelajari Islam tetapi tidak diharapkan Islamnya (agaknya semacam kebanyakan orientalist yang berniat jahat), maka ini ditegah atau sekiranya masuknya itu tidak mendatangkan manafaat sebaliknya mengundang mudarat.

Kembali kepada Guru saya yang sangat saya kasihi itu, dia seorang yang menitik beratkan adab di dalam Masjid. Dia melarang dengan kerasnya sebarang minta-meminta semada sedeqah atau bantuan di dalam masjid, dia melarang dengan kerasnya orang menghisap rokok di kaki lima masjid. Sampai-sampai dia kurang berkenan diadakan majlis aqad nikah di dalam masjid, walaupun memang terdapat riwayat. Kerana baginya walaupun eluk diadakan majlis aqad nikah di dalam masjid, tetapi adab masjid tidak dipatuhi. Termasuk mengambil gambar di atas masjid. Ketika ditanya kenapa dia menegah mengambil gambar di atas masjid, dia bertanya balik "ambil gambar tu kerja akhirat (agama) atau kerja dunia?. Kalau kerja dunia, maka kerja dunia ditegah dilakukan di dalam masjid".

Itulah neraca yang diajar kepada saya oleh guru saya. Alhamdulillah di atas nikmat mempertemukan saya dengan guru sebegini. Guru yang mengutamakan akhirat daripada dunia. Guru yang tegas dengan kefahamannya walaupun fahamannya agak tersisih. Oh Allah rahmati guru-guru kami..

2. Doa dalam Khutbah Untuk Pemimpin Bukan Islam.

Imam az-Zarkashi menyebut tentang hukumnya makruh untuk khatib memakai pakaian hitam ketika berkhutbah kerana ianya bid'ah yang tiada di zaman Rasulullah, sebaik-baik warna pakaian adalah putih; begitu juga makruh membaca doa untuk sultan (pemimpin) . Imam 'Ata' mengatakan bacaan doa untuk pemimpin adalah perkara yang diada-adakan ( محدث) kerana khutbah itu sepatutnya merupakan tazkirah. Qadi al-Faruqi mengatakan ianya dimakruhkan meninggalkan pada masa ini kerana mudarat yang mendatang disebabkan hukuman dari pihak sultan (pemimpin) sekiranya ditinggalkan.

Begitu juga soal jawab agama di dalam Majalah Pengasuh pada tahun 1924. Jawabannya lebih kurang seingat saya; "Hukum membaca doa untuk sultan di dalam khutbah adalah makruh, sekiranya dibimbangkan kemudaratan kerana meninggalkannnya, maka hukumnya harus".

Kalaulah doa kepada para khalifah Islam dahulupun , kebanyakan ulama mengatakan hukumnya makruh , dan harus dibaca sekiranya dibimbangi timbul fitnah akibat hukuman dari pihak pemerentah, bagaimana pula hukumnya membaca doa untuk yang bukan Islam, serta bacaan doa tersebut boleh menimbulkan fitnah di dalam masyarakat?.

Katakan sekiranya khatib itu memang tersangat kasih kepada pemimpin yang bukan Islam , agaknya kerana sikapnnya yang baik; dia sangat mengharap pemimpin tersebut akan selamat di dunia dan akhirat dengan memeluk Islam. Maka kenapa tidak dia berdoa secara tertutup, katakan ambillah masa dari selepas isya sehingga naik matahari sekalipun. Kenapa perlu diwar-warkan doanya?. Adakah terdapat riwayat yang Rasulullah menguar-aurkan doanya baginda terhadap Umar dan Abu Jahal agar memeluk Islam?.

Katakan terdapat pula pemipin yang bukan Islam, sudah tentu mereka yakin agama mereka benar dan membawa kesejahteraan (mungkin sebagaimana kita yakin terhadap kebenaran Islam) akan berdoa secara terang-terangan di dalam Kuil dan Gereja mereka agar khatib itu akan 'selamat di dunia dan selepas mati' dengan memeluk agama mereka. Apa perasaan khatib tersebut? Walaupun niat pemimpin-pemimpin tidak Islam itu 'baik'. Apa pula reaksi kita ummah apabila mendengar golongan bukan Islam mendoakan agar orang kita murtad secara terang-terangan?.

Kenapa kita berpolitik sehingga ke situ?. Kita berpolitik tanpa melihat nas agama, kita berpolitik tanpa hikmah dan keinsafan. Kita berpolitik lebih kepada kejantanan daripada kebijaksanaan. Aduhai betapa relevannya ucapan Badiuzzaman Said Nursi........



**** Kenapa kita terlalu berpolitik sehingga isu YB perempuan bukan Islam memasukki surau diganyang tanpa kesihan-belas, dikatakan dia bukan Islam, tidak menutup aurat, mungkinnya haid dan tidakpun mandi wajib. Hal ini kemudiannya melantun sehingga keluar pula gambar isteri pemimpin tinggi negara kita, berucap di dalam surau, juga tidak menutup aurat, dihadiri mungkinnya oleh perempuan yang bukan Islam. Budaya "aku selak kain engkau, engkau selak kain aku" sudah melampau. Bagaimana agaknya para wartawan, penulis blog dan ahli politik bersedia untuk berjumpa dengan Allah dalam soal-soal begini?

Hari-hari reformasi dan demostrasi dulu, kita mendengar pihak polis masuk masjid tanpa membuka kasut kerana mengejar penunjuk perasaan, tetapi media tidak pula kecoh ya!

11 comments:

  1. Samada islam dan bukan islam adalah makhluk Allah. Allah lah penentu segalanya. Allah lah penentu masuk syurga atau neraka. Makhluk adalah ditugaskan mengabdikan diri kepada Allah. Makhluk tak perlu sibuk dengan ganjaran Allah kepada makhluk. Apa yang dimaksud mengabdikan diri ialah buat yang disuruh jauhi yang dilarang. Apa2pun di alam sekarang ini adalah kenyataan penciptaNya bukan kenyataan makhluknya. Dengan lain kata selagi perkara itu baik kita kena bersyukur dan selagi itu jahat doakan untuknya kebaikan. Allah maha pengampun lagi kasih sayang. Bila ada tetananm sifat negatif maka mereka ini pro syaitan. Syaitan tempatnya dineraka. Makhluk tidak boleh lihat pada yang nyata saja tapi harus lebih menilik kepada yang tersembunyi. Bawasanya yang tersembunyi itu milik Allah semata2.

    ReplyDelete
  2. Saya kurang faham maksud sdr. Bagaimanapun Islam mengajar kita agar membezakan antara ciri-ciri Islam/iman daripada ciri-ciri kafir/munafiq.

    Kita beraqidqh ahlu as-Sunnah, kita bukan murji'ah, kita bukan pula khawarij.

    Adalah perkara yang merosakkan keimanan untuk kita mengkafirkan orang Islam yang lain, dan ianya merosakkan iman untuk tidak mengkafir yang jelas kafir.

    Perkara kebajikan yang tulus-ikhlas adalah kebajikan, perkara maksiat dan mungkar adalah perkara maksiat. Kerana itu adanya amru bi almaaruf dan nahyu an al-mungkar.

    ReplyDelete
  3. PAS..menunjukkan akhlak yg buruk, semata2 nak membenarkan dan membela perbuatan salahnya kerana membawa pompuan kapir kedalam masjid, mereka kaitkan ngan UMNO yg benarkan isteri pemimpinnya dalam masjid yg tidak tutup aurat!!

    Wahai PAS..apakah ada persamaan seorg muslimat yg tidak menutup aurat dan pompuan kapir..tidakkah kamu dapat bezakan org2 kapir dan org2 Islam?

    Apakah benar kamu benar2 telah brmata satu!!

    ReplyDelete
  4. Apa beza perempuan tidak Islam yang tidak menutup aurat dengan perempuan Islam yang juga tidak menutup aurat?.

    Banyak perbezaannya, satu kita percaya ada iman dan satunya tidak ada iman.Iman dan kufur sangatlah berbeza, lebih jauh daripada langit dan bumi.

    Satu tidak diwajibkan tutup aurat, kerana hukum syara' tidak ditaklifkan ke atas bukan orang Islam. Satu lagi wajib tutup aurat, kerana dia adalah seorang perempaun muslim.

    Satu dah pakai pakaian yang relative-nya sopan bagi dirinya, yang mungkin biasa pakai skirt. Satunya telah menganjur fesyen busana muslim di peringkat antarabangsa di Monte Carlo.

    Memang kedua perempuan ini banyak berbeza, kecuali mereka sama dalam sama-sama tidak menutup aurat.

    ReplyDelete
  5. Saudara penjelasan saudara adalah bagus tapi sekarang saya melihat banyak dari pemimpin kita samada dari Umno atau Pas menggunakan isu agama dan taksiran untuk kepentingan politik mereka. Sebagai contoh dulu seorang wakil calun Umno di serang hebat olih Pas kerana dituduh kaki minum dsb tapi bila ia masuk ke PR maka peribadi dipertahankan dgn berbagai alasan. Adakah hukum mengikut keadaan...

    Satu lagi pada awal tahun lapan puluhan seorang wakil rakyat MCA telah membuka masjid Telipot (kalau ingatan saya betul) di Kota Bharu. Ini di serang hebat olih penyokong Pas tapi sekarang ni mereka mepertahankannya.. di manakah hukum yang di pakai dulu dan sekarangg! bagi orang kebnyakan seperti saya yang bergantung kepada orang berilmu spt tuan dan Tok2 guru untuk mentafsirkan ayat alquran dan hukum perkara ini adalah membingungkan. Adakah hukum Allah itu di terjemahkan ikut sesuka hati...

    satu lagi contihnya Tok Guru Harun Din manyatakan bahawa hukum penggunaan nama Allah olih orang bukan Islam adalah tidak bolih sama sekali dan sesiapa yang membenarkan adalah kufur tapi ada ulamak dalam Pas yang mengatakan penggunaan nya di bolihkan..

    Cuba saudara tereangkan supaya semua mendapat faedah

    ReplyDelete
  6. Saya tidak layak untuk menjelaskan permasalahn yang rumit ini, hanya sekadar berkongsi pandangan setakat yang mampu, dibatasi oleh segala kelemahan diri.

    Permasalahan yang saudara sebut itu lebih parah daripada yang saudara telah catitkan; contohnya dalam tafsir al-Hud, TGNA mendatangkan hujjah kenapa wanita tidak boleh menjadi calon p/raya. Hujjah yang disebutnya itu masih ada, tetapi sekarang ini,orang perempuan sudah menjadi calon.

    Terlalu banyak fatwa politik yang dikeluarkan sehingga timbul isu kafir-mengkafir dari sebelah PAS, menuduh orang Islam lain bughah, ajaran sesat, menobatkan Mahathir sebagai ulama dari pihak UMNO. Celarunya amat celaru.

    Tetapi angin (kecenderungan) orang ramai untuk melihat kebaikan dan perubahan melalui saluran politik amat kuat, seolah-olah semuanya akan runtuh sekiranya politik mereka runtuh, Semuanya akan beres sekiranya mereka memperolehi tampuk politik. Walaupun pada hakikatnya jauh daripada begitu.

    Mereka menganggap kumpulan mereka benar, tidak boleh disalahkan; walaupun mereka tidak tuturkan yang sedemikian dengan lisan al-hal. Hal ini menyebabkan Maulana Abu Hassan an-Nadwi menyebut "aku akan perangi sikap pemikiran yang sebegini". Yakni asabiyyah kepartian yang melampau.

    Hal yang sebeginilah yang menyebabkan Syaikh Said Badiuzzaman an-Nursi melafazkan : "aku minta berlindung dengan Allah dari syaitan dan dari politik".

    Atau apa yang disebut oleh Imam Hassan al-Banna yang aliran sebegini adalah aliran hizbiyyah (kepartian), ada kala orang itu adalah orang parti sepenuh makna, tetapi tidak memahami politik (yang sebenar)sedikitpun, dan ada orang politik (yang sebenar) dengan sepenuh makna tetapi tidak mengabungkan diri dengan mana-mana parti, dan ada kalanya kedua ini bergabung".

    Semoga Allah menganugerahkan kita keupayaan untuk melihat kebenaran dan beramal dengannnya, untuk melihat kebatilan dan mencegahnya, tanpa mengira kebenaran dan kebatilan itu dari pihak yang berlawanan atau pihak kita sendiri.

    ReplyDelete
  7. Sesungguhnya almarhum tuan guru tuan tuan adalah seorang FAKEH YANG SUFI. Sebagaimana kata Imam Malik ra dalam Kitab Ain al-Ilmu Wa Zain al-Hilm

    “Sesiapa yang hanya bertasawuf tanpa feqah, maka zindik lah akan dia. Sesiapa yang hanya berfeqah tanpa tasawuf, maka fasiq lah akan dia. Sesiapa yang menghimpunkan kedua-duanya, maka sesungguhnya tahkik lah akan dia”


    Dan juga almarhum tuan guru tuan juga memakai 4 prinsip utama seorang khalifah, iaitu :-

    PERTAMA - syura (kebertanggungjawaban bersama), KEDUA - keadilan (meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya), KETIGA - persamaan (kewajipan semua untuk melaksanakan) dan KEEMPAT - kebebasan (selagi tidak memudaratkan kepentingan lebih besar). Inilah prinsip yang mendasari 12 uslub (methodologi) Ahlu Sunnah Wal Jemaah. Dalam konteks alam Melayu Nusantara, kaedah al-’urf dan al-’adah muhakkahmah melalui tadbir-siasah lebih cenderung digunapakai

    FAKEH KHALIFAH SAKA

    ReplyDelete
  8. Saudara menjelaskan dalam surah Al-Taubah yang mengatakan bahawa :

    Wahai orang-orang yang beriman!, sesungguhnya orang musyrikin itu najis, maka jangan benarkan mereka mendekati Masjid al-Haram selepas tahun ini. Dan jika kamu bimbang menjadi miskin (kerana ketiadaan mereka), maka Allah akan memperkayakan kamu daripada anuegerah-Nya, sekiranya Dia mengkehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

    Didalam surah ini dengan jelas mengatakan bahawa orang bukan Islam itu adalah Najis maka persoannya ada;ah jelas mereka sepaptutnya dilarang sama sekali di dalam masjid lebih lagi di ruangan solat... Dalam konteks kontrevasi Surau A;-Hida YB DAP berada di ruang Saf NO 1 ( seperti dalam gambar yg di siarkan dlm akhbar dan blog) maka sudah pasti hukumnya haram... Kalau di luar ruang solat maka persoalaan ini mungkin bolih di debatkan dan pada pandangan saya yang cetek ini orang bukan islam patut di benarkan didalam kawasan masjid tapi bukannya dalam ruang solat!!!

    Maka macamana para ilmuan yang menpunyai ilmu agama masih lagi mempertikaikan masaalah ini, adakah untuk kepentingna politik sempit mereka? atau kerana untuk memeperthankan sekutu mereka!!

    ReplyDelete
  9. satu dunia satu tuhan sahaja///

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum...
    tuan..saya ni orang yg jahil ttg agama...
    Tapi bertambah2 pening...Seingat saya sudah terlalu banyak umat Islam kini telah terjebak dengan politik kepartian, sehingga mutakhir ini seseolah mereka memperjuangkan politik lebih dari memperjuangkan agama(dakwah dsb). Sy juga melihat banyak hukum2 yg dikeluarkan adalah mengikut arus perubahan dan selera politik mereka...contoh:

    1.Dulu - perempuan haram jadi calon pilihan raya, tapi sekarang ni boleh (sy dulu benar2 berpegang bahawa ianya tidak boleh, tapi perubahan ini memeningkan sy)
    2.Dulu - Orang Islam HARAM mengundi orang bukan Islam (memilih mereka jadi pemimpin), sekarang...TGNA sendiri yg berkempen utk DAP
    3.Dulu - Penggabungan antara org Islam dan bukan Islam dalam satu parti politik dihukumkan sebagai HARAM, eg: Umno, MIC, MCA- apakah hukum memang benar2 begitu? dan bagaimana pula dgn PAS, DAP, KEADILAN?
    4. Bila ada satu parti politik yg mengajak ke arah perpaduan ats dasar menguatkan org2 Melayu (Islam), apakah jika satu pihak yg menolak telah menolah sebahagian Al-Quran, sebagaimana yg didakwa? Cuba tuan tunjukkan apakah ada ayt2 lain dlm al-Quran yg membolehkan utk tidak bersatu?
    Persoalan2 ini sangat2 menjadikan saya serba salah...mmg sy adalah pro PAS ttpi skrg sy juga mula ragu2 terhdp perjuangan... wallahuaklam...

    ReplyDelete
  11. saya rasa tercuit ngan anymous ,,, subhanallah tolong lah belajar bab agama dengar kuliah kuliah bila org kata umno lah yang melarang kuliah kuliah tazkirah dan majlis ilmu dimasjid ... marah marah sebenarnya pemerintah lah yang memain peranan bagaimana nak mendidik rakyat kejalan yang benar .,, apakah hukumnya tidak melaksanakan hukum allah dalam pemerintahan???????? semoga allah buka kan pintu hati saudaraku yang dalam tercari cari kebenaran ....

    ReplyDelete