Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
ما كان للمشركين أن يعمروا مساجد الله شاهدين على أنفسكم بالكفر أو لئك حبطت أعمالهم وفى النار هم خالدين أنما يعمرمساجد الله من ءامن بالله واليوم الأخر وأقام الصلوة وءاتىى الزكوة ولم يخش ألا الله فعسى أولئك أن يكونوا من المهتدين : التوبه :17-18
Bukan layaknya bagi orang musyrikin untuk mengimarahkan masjid-masjid Allah, sedangkan mereka sendiri mengakui yang mereka kufur, mereka itu golongan yang sia-sia amalan (baik) mereka, di dalam neraka mereka akan kekal. Sesungguhnya golongan yang mengimarahkan masjid-masjid Allah adalah mereka yang beriman dengan Allah, dengan Hari Akhirat, mendirikan sembahyang, memberi zakat, mereka tidak sekali-kali takut kecuali kepada Allah, semoga mereka termasuk dalam golongan yang memperolihi pertunjuk.
Sekiranya kita melihat kitab-kitab tafsir bagi ayat ini, kita akan dapati mereka, para ulama tafsir, membincangkan maksud 'masajid' (plural bagi masjid) yang digunakan di dalam kedua ayat ini; adakah maksudnya pada mana-mana masjid atau maksudnya Masjid al-Haram di Makkah secara khusus?. Kalau maksudnya khusus untuk Masjid al-Haram, kenapa digunakan bentuk jama (plural)?. Ulama menjawab kerana Masjid al-Haram adalah ketua dan qiblat bagi segala masjid, dan juga orang Arab ada menggunakan sebutan plural untuk maksud singular, dan ada kalanya kalimah singular untuk maksud plural.
Atau kita boleh mengatakan para ulama tafsir mengatakan lafaz masajid di sini dimaksudkan Masjid al-Haram secara khusus, dan masjid-masjid lainnya secara umum. Kemudian mereka membincangkan apa maksud 'mengimarahkan' masjid?. Ini termasuk membina masjid baru dan membaiki masjid yang rosak, ini termasuk memakmurkan masjid dengan aktiviti yang dilakukan di dalam masjid.
Kedua ayat ini dikaitkan dengan peristiwa Saiyyidina Abbas (sebelum baginda memeluk Islam) berserta pembesar Quraish lain ditawan dalam Peperangan Badar, dia telah memprotes kenapa disebut keburukan-keburukan yang ada pada mereka sedangkan mereka juga mempunyai kebajikan kerana mereka adalah golongan yang mengimarahkan Masjid al-Haram, menyediakan minuman bagi pengunjungnya, menyediakan selimut Kaabah. Lalu Allah menurunkan ayat ini, menafikan apa yang mereka dakwa sebagai layak untuk dikira sebagai kebajikan.
Masjid di imarahkan dengan maksud beribadat kepada-Nya secara ikhlas tanpa kesyirikan, maka bagi orang yang mengakui yang dirinya dengan kekufuran sudah tentu tidak mempunyai kelayakan untuk mengimarahkan masjid. Berkata al-Hassan: mereka tidak mengatakan "kami adalah orang kafir", tetapi perkataan mereka yang menunjukkan kekufuran mereka itulah yang menjadi saksi bahawa mereka adalah golongan kafir. Yakni mereka tidak menganut Islam.
Sementara Allah menyebut kemudiannya sifat-sifat orang yang mengimarahkan masjid, mereka yang beriman dengan Allah, beriman dengan Hari Akhirat, mereka mendirikan sembahyang dan mereka menunaikan zakat. Ulama membuat pertanyaan kenapa kepercayaan kepada kerasululan Saiyyidina Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam tidak dijadikan antara sifat-sifat golongan ini?. Lalu mereka menjawab ianya sudah terangkum dalam lafaz mereka yang mendirikan sembahyang, kerana sembahyang sebagaimana di dalam syara' itu hanyalah bagi pengikut Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wasallam sahaja. Dan lagi antara maksud mendirikan sembahyang itu ialah mendirikan sembahyang secara berjamaah.
Maka golongan yang mengimarahkan masjid, yang mempunyai sifat-sifat yang disebut itu menatijahkan sifat yang tidak takutkan sesuatu selain Allah. Semakin dia mengimarahkan masjid, dan semakin sebatinya sifat-sifat itu dalam darah dagingnya, maka semakin meningkatlah keyakinannya kepada kekuasaan Allah sehingga semakin terhakislah kebimbangannya terhadap yang lain. Kesedaran rohaninya yang takutkan Allah itu menyebabkan ketakutan-ketakutan yang lain jadi terpinggir.
Bila Allah menyebut 'semoga mereka memperolihi pertunjuk' bermaksud merekalah golongan yang memang mendapat pertunjuk dari Allah. Tiada suatu halangan dan rintangan pun yang dapat menyekat daripada kehendak Allah. Semoga Allah mentaqdirkan kita semua tergolong dalam golongan yang mengimarahkan masjid-masjid Allah; dijadikan kita hanya takut kepada-Nya, termasuk dalam menjelaskan kebenaran yang kita fahami. Semoga kita tidak takut kepada kehilangan kuasa, kita tidak takut kepada tidak tercapainya kuasa, kita tidak takut kehilangan penyokong, kita tidak takut reaksi orang bukan Islam, kita tidak takut kepada semua ketakutan yang diperkirakan setakat di dunia melebihi takutnya kita kepada Allah.
Allah berfirman:
والذين اتخذوا مسجدا ضرارا وكفرا فتفريقا بين المؤمنين وارصاد لمن حارب الله ورسوله من قبل وليحلفن ان ارنا الا الحسنى والله يشهد انهم لكاذبون لا تقم فيه أبدا لمسجد أسس على التقوى من أول يوم أحق أن تقوم فيه فيه رجال يحبون أن يتطهروا والله يحب المطهرين أفمن أسس بنيانه على تقوى من الله ورضوان خير أم من أسس بنيانه على جرف هار فاهاربه في نار جهنم والله لل يهدى القوم الظالمين التوبة :-110-108-
Dan orang-orang yang mengambil (membina) masjid untuk memberi mudarat (kepada mu'min) dan kerana kekufuran dan untuk memecah-belahkan di antara orang mu'min serta menunggu ketibaan golongan yang memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak sebelumnya lagi, mereka sesungguhnya bersumpah: "kami mahu tidak lain kecuali kebaikan". Dan Allah menyaksikan yang mereka adalah pendusta. Dan jangan kamu berdiri (beribadat) dalam masjid itu untuk selama-lamanya, Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan sejak hari pertamanya adalah lebih patut bagi kamu berdiri (beribadat) di dalamnya. Di dalamnya ada lelaki-lelaki yang menyukai untuk menyucikan jiwa mereka. Dan Allah menyukai orang-orang yang suci jiwa mereka. Maka apakah orang yang mengasaskan binaan (masjid)nya di atas ketaqwaan kepada Allah dan keredaan-Nya itu yang lebih baik, atau adakah orang-orang yang mengasaskan binaannya di jurang yang runtuh, lalu bangunan itu runtuh-jatuh bersama ke dalam neraka. Dan Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang zalim.
Di dalam ayat-ayat ini Allah menyebut yang masjid dibina oleh orang beriman berasaskan ketaqwaan kepada Allah dan mencari keredaan-Nya,
Berlainan dengan orang munafiq yang juga membina masjid tetapi bertujuan menimbulkan kemudaratan kepada ummah, mempunyai tujuan-tujuan selain ketaqwaan dan mencari keredaan Allah, memecah-belahkan perpaduan dan kesatuan ummah, serta menjadi tapak bagi musuh Islam untuk merancang bagi melemahkan agama dan ummah. Bagaimanapun mereka mendakwa secara zahirnya yang tujuan mereka adalah semata-mata untuk kebaikan.
Allah melarang kita daripada beribadat di dalam masjid sebegini, kita juga tidak sepatutnya menguruskan masjid yang sudah dibina dengan tujuan-tujuan jahat tersebut. Allah memerentah kita agar memakmurkan masjid yang dibina di atas dasar taqwa.
Masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan kepada Allah akan berperanan sebagai ruang kerohanian yang di mana terdapat lelaki-lelaki yang berzikir kepada Allah (semada bersembahyang, beri'tikaf, membaca al-Quran, mempelajari ilmu agama, berusaha dalam kerja-kerja mendekati diri kepada Allah). Aktiviti di dalam masjid dijalankan dengan maksud untuk membersihkan jiwa kita, itulah tujuan asas zikrullah. Dan Allah menyukai golongan sebegini, Allah menyukai tempat yang sebegini. Tempat yang paling Allah sukai di bumi adalah masjid. sehingga ianya di gelar 'Rumah Allah".
Lihatlah bagaimana Allah menyebut tentang peranan masjid :
فى بيوت أذن الله أن ترفع ويذكر فيها اسمه يسبح له بالغدو والأصال رجال لا تلهيهم تجارة ولا بيع عن ذكرالله واقام الصلواة وايتاء الزكوة يخافون يوما تتقلوب والبصار ليجزيهم الله أحسن ما عملوا ويزيدهم من فضله والله يرزق من يشاء بغير حساب النور:-38-36-
"Di dalam bangunan (masjid) yang diizinkan Allah supaya disanjungkan- Nya dan berzikir di dalamnya dengan menyebut Nama Allah, bertasbih kepada-Nya pagi dan petang. Terdapat padanya lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jualbeli daripada berzikir kepada Allah dan mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, mereka takutkan Hari yang bergoncang-goncang segala hati dan penglihatan mata. (Pada Hari itu) Allah membalasi mereka dengan apa yang terlebih baik daripada apa yang mereka kerjakan, dan Allah menambah untuk mereka daripada kurniaan-Nya. Allah menganugerahkan rezki kepada sesiapa yang Dia kehendaki tanpa terhisab"
Allah memerentahkan kita agar membesarkan syiar agama ini dengan berhias zahir dan batin kita setiap kali untuk ke masjid:
يابني ءادم خذوا زينتكم عند كل مسجد الاعراف:31
Wahai anak Adam, اberhiaslah oleh kamu setiap kali kamu pergi ke masjid.
Dalam apa perkiraan sekalipun, kita hendaklah sentiasa mengingatkan diri kita dan ummah ini yang masjid itu didirikan kerana Allah, aktiviti yang dilakukan di dalamnya hendaklah menjurus kepada tujuan tersebut. Janganlah dicampur adukkan tujuan kerana Allah dengan tujuan-tujuan selain Allah. Allah memperingatkan kita:
وأن المساجد لله فلا تدعوا مع الله أحدا الجن:18
"Dan sesungguhnya masjid-masjid adalah untuk Allah, maka jangan kamu seru bersama Allah yang lain apapun".
Oleh itu marilah kita membesarkan syiar agama kita, termasuklah kita menjaga kesucian dan adab masjid. Janganlah dipolitikkan institusi masjid untuk kepentingan mana-mana pihak sekalipun kecuali untuk kepentingan Islam. Dengan asas inilah diharapkan masjid kita akan menjadi suatu ruang teduhan yang dapat melindungi kita daripada kebengitan zaman yang penuh fitnah ini, sehingga setiap orang mu'min akan merasa aman ketika berada di dalam masjid. Aman daripada keriuhan duniawi, aman daripada perkiraan dan pertelingkahan keduniaan seperti kuasa dan harta, aman untuk beribadat kepada Allah.
Semoga kita akan dibangkitkan sebagai golongan yang hati mereka sentiasa tergantung kepada masjid, mereka melazimi masjid dan ketika berada di luar masjid sekalipun, hati mereka meronta-ronta rindukan masjid. Mereka yang akan dilindungi pada Hari yang tiada lindungan kecuali Lindungan Allah .
Masjid Al Falah di USJ Taipan, menghadiri dan memberikan "Tazkirah" serta menyampaikan angpow dalam satu majlis Iftar Ramadhan minggu lalu. Siapa sebenarnya Hannah Yeoh ini ?
ReplyDeleteDia merupakan seorang Tokoh Muda Kristian yang komited. Buktinya pada 4 Sep 10 @ jam 1830 - 2200, di Sunway Pyramid Convention Centre, SUNWAY, satu Program Motivasi Kristian telah diadakan.
Ia bertajuk "Change Your World - You make the Difference" anjuran Christian Creative & Music Ministry of Eagle Point Church beralamat No.2, Jln Rajawali 3, Puchong Jaya.
Hadir lebih kurang 1,400 org remaja brumur 16 - 25 tahun. Yang memberikan pengisian ceramah adalah "ustazah" Hannah Yeoh dan Edward Lee - Adun DAP Bkt Gasing.
Ternyata dalam menjalankan dakwah Kristianisasi, Hannah Yeoh lebih bijak dari Hassan Ali, Imam dan Nazir Masjid USJ Taipan. Tazkirahnya telah berjaya memecah belahkan umat Islam. Sampai bilalah, EXCO Pas, Imam Pas dan Nazir Pas ini terus ditipu dengan licik oleh Mubaligh Kristian ini !
Rakyat menunggu dengan penuh prihatin samada Hannah berjaya di Islamkan oleh Nik Aziz dan Hassan Ali atau Hannah akan mengkristiankan remaja Islam USJ Taipan ! Tahniah atas kedangkalan akal Nik Aziz, Hassan Ali dan kuncu-kuncunya. - warisan2057.blogspot.com
2010 September 7 05:30