Tuesday, October 12, 2010

Imlan Adabi: Tulislah dengan Jujur & Bertanggung-jawab

Saya membaca kolom Imlan Adabi yang bertajuk ; "Antara Amalan Jumud, Taksub Dan Dun Galas" yang tersiar dalam Berita Harian 13hb.Oktober 2010.

Saya menjadi sedikit marah dan geram ketika membaca tulisan beliau, kenapa ditulis sesuatu yang mungkin beliau sendiri tidak tahu perkara yang sebenar?. Atau terdapat agenda tersirat lain yang mendorong beliau menulis?.

Antara lain beliau mencatitkan:

1-"Tanpa sedar, sejak kecil lagi sebahagian besar anak Melayu terperangkap dalam lingkaran jumud, taksub dan taklid. Mereka belajar mengaji al-Quran di surau, masjid atau di rumah Imam. mereka tidak diberi pilihan untuk bertanya kenapa membaca Quran, mengenal hadis dan mendirikan solat".

Kenyataan beliau ini mempersoalkan methodologi pendidikan agama yang terdapat dalam masyarakat kita, terutamanya pendidikan tradisonal.

Kalau kita bertanya sdr. Imlan adakah beliau sendiri ketika kecilnya telah bertanya kepada ibu bapanya, guru pra-sekolah dan sekolah rendahnya kenapa beliau diajar untuk mengenal a,b,c , kenapa beliau kena hafal sifir, kenapa dikatakan spectrum cahaya itu terdiri daripada 7 warna, kenapa dikatakan air mendidih pada 100 celcius, kenapa dinamakan ukuran suhu itu celcius, kenapa dikatakan cahaya itu bergerak paling laju. Kenapa kita dikatakan berdarah panas, kenapa dikatakan dikatakan bumi kita berada dalam solar system.

Kemudian ketika belajar bahasa, Imlan mungkin bertanya kenapa digunakan penambahan 'ter' pada sebahagian tempat, dan 'ber' di bahagian lain. Kenapa 'one' itu di sebut 'one', bukan one (sebutan melayu)? Kenapa 'c' dalam sebutan inggeris ada yang disebut sama dengan 'k' dan ada yang disebut 'c'. Kenapa I (bagi saya) dihuruf-besarkan?. Maka Imlan si anak kecil itu akan bertanya banyak perkara sehingga melebihi sianak yang bertanya "burung apa?" dalam iklan Hari Raya Petronas.

Apakah murid yang menerima berapa ukur lilit bumi, berapa jarak bumi dan matahari, berapa batanng gigi dan tulang dalam tubuh manusia itusebagaimana di dalam buku teks akan menjadi jumud, taksub sehingga perkembangan iktellektualnya terbantut?. Itu kita bercakap tentang 'exact science' dan 'experimental science' yang selayaknya berlaku soal-jawab secara intensif. Tetapi kebanyakan kita pada peringkat awal pendidikan akan menerima huraian yang berotoriti tanpa banyak tanya kecuali sekadar untuk memahaminya. Sehinggakan kita tidak juga bertanya hatta tentang istilah-istilah harian, kita sekadar mengikut apa yang telah established. Kita tidak tahu kenapa beras yang dimasak dinamakan nasi, kenapa menghirup air dinamakan minum, menghirup udara dinamakan bernafas, menghirup asap tembakau dinamakan merokok.

Memang menjadi suatu ketetapan dalam kajian sains dan cabangan ilmu yang lainnya, yang kita sepatutnya bermula dengan memahami theory yang telah ada, kemudian barulah kita mengemukakan pemahaman kita yang berbeza dan mengeritik theory yang selama ini diterima pakai. Kita bermula dengan 'taqlid', kemudian memahami hujjah di sebalik perkara yang ditaqlidkan itu, kemudian mungkin sahaja kita akan berijtihad berdasarkan keupayaan kita memahami primary sources untuk menengahkan penafsiran kita yang tersendiri.

Di atas dasar apa yang Imlan mengatakan anak-anak kita terhalang daripada menanya kenapa perlu membaca al-Quran, kenapa perlu mengenal hadith, kenapa perlu mendirikan solat? Paling asasnya ibu-bapa atau guru agama pastinya menjawab kita perlu membaca al-Quran, kita perlu mengenal hadith, kita perlu bersolat kerana kita beragama Islam, Allah dan rasul-Nya yang memerentah kita.

2-"Jika ada anak Melayu yang berani bertanya kepada ayah dan ibu, atau guru agama, mereka akan dimarahi kerana melakukan tindakan yang dianggap luar biasa. Tradisi bertanya dan mempersoalkan sesuatu amalan bukan resam Melayu. Melakukan sesuatu yang dianggap bukan amalan masyarakat dianggap berdosa"

Saya tidak tahu mungkin Imlan bercakap tentang pengalaman beliau sendiri, tetapi adalah sesuatu yang tersilap sekiranya pengalaman peribadinya telah dijadikan seolah-olah fenomena bagi semua orang. Saya belum pernah mendengar seseorang kanak-kanak kecil dituduh berdosa kerana 'jenayah'nya bertanya soal-soal agama!

Saya mengakui kadang-kadang memang sukar untuk kita menerangkan sesuatu huraian tentang agama kepada anak-anak kecil hatta orang awam yang tidak mempunyai pendedahan kepada perbincangan kitab kerana ianya memerlukan penelitian dan persediaan akal selayaknya. Cubalah Imlan lihat perbincangan tentang cara menyusun dalam berfikir (rationalization) dan soal-soal maqulat yang dibincangkan dalam bab-bab awal kitab usuluddin bertulisan jawi. Ada sebahagian kitab ini ditulis dalam bentuk soal-jawab, umpama kitab ditepi kitab Muqaddimah al-Kubra , terjemahan jawi oleh ulama Acheh.

Pendekatan ilmu usuluddin oleh ulama Melayu sebagaimana yang terdapat dalam kitab-kitab jawi telah dikritik oleh golongan baru kerana dikatakan terlalu mengutamakan aqal, terlalu mendasarkan hukum aqal dan logik. Sehingga disebut terdapat khilaf di dalam kitab-kitab ini semada iman secara taqlid itu tidak sah atau tidak untuk golongan awam. Begitu juga cuba Imlan tela'ah kitab tinggalan Tok Kelaba tentang sembahyang, yang dua jilid, jilid satunya sahaja sudah mencapai 300 mukasurat. Tulisan kitab besar ini ditulis dalam bentuk soal-jawab. Kadang-kadang soalan yang dikemukan itu agak ganjil untuk dibahas.

Begitu jugalah Imlan boleh baca rujukan-rujukan agama yang digunakan oleh masyarakat Melayu yang ditadah di balaisah, surau dan masjid, semada dalam soal feqah, usuluddin mahupun tasauf. Kemudian bolehlah kiranya Imlan nyatakan di mukasurat mana, dalam kitab jawi yang mana yang terdapat dorongan agar jangan bertanya sehingga budaya bertanya di kalangan masyarakat Melayu hilang hatta di kalangan anak-anak mereka. Kita hendaklah bertindak adil, apalagi terhadap warisan intelelktual bangsa kita sendiri.

3- Justeru, ramai anak Melayu yang pandai membaca al-Quran sejak kecil dan tidak terkecuali juga mampu menghafaz ayat suci tanpa memahami maknannya. kita diajar membaca al-Quran, bukan mengenal sejarah dan iltizam ajaran Islam. Kita diajar menjadi pengikut, bukan pemikir

Alhamdulillah kita bersyukur kalau benar ramai anak Melayu pandai membaca al-Quran, membaca al-Quran walaupun tanpa memahami isi kandungannya merupakan ibadat dan akan diberi ganjaran oleh Allah. Kita membaca al-Quran walaupun tanpa memahami ertinya dapat merasai yang kita sedang melakukan sesuatu untuk menghampiri Allah, suasana kerohanian dapat dinikmati. Apa lagi untuk menghafaz ayat-ayat al-Quran yang merupakan Kalam Allah, sudah tentu akan mengundang banyak keberkatan sekiranya dilakukan secara ikhlas dan menghitung-hitung angurerah Allah.

Untuk mengetahui makna al-Quran, semenjak dahulu lagi sebahagian anak-anak Melayu akan diajar untuk menguasai tatabahasa arab, mereka diajar nahu dan saraf arab. Kemudian mereka akan menadah kitab-kitab tafsir semada tafsir dalam bahasa arab atau tafsir dalam jawi seumpama tafsir yang ditulis oleh Syaikh Abdul Rauf Singkel.

Sudah tentu keupayaan menguasai bahasa arab dan tata-bahasanya merupakan persiapan yang penting dalam memahami tasir al-Quran, mengetahui asbabun nuzul dan ayat mansukh dan nasikh serta tafsiran salaf amat penting dalam membantu kita memahami tafsiaran ayat-ayat al-Quran. Masyarakat Melayu setakat yang kita ada maklumat tidak pernah menghalang anak bangsa dalam semua perkara ini, kecuali mereka menolak tafsiran yang dibuat oleh orang yang tidak mempunyai persiapan yang memadai atau membelakangkan tafsir-tafsir yang muktabar.

4-Tradisi tidak mengenal makna dan hakikat ayat al-Quran menjadikan sebahagian umat Islam memperalatkan kitab suci untuk tujuan lain. Ada yang membaca sebaris ayat lalu digunakan untuk mantera dan jampi serapah. Ada juga ayat al-Quran diperdagangkan di pentas politik menyebabkan timbul isu solat dua imam, pulau memulau dan kafir-mengkafir
sesama ummah


Apa yang Imlan maksudkan dengan istilah tradisi di sini?.Tradisi biasanya difahamkan sebagai sesuatu amalan atau kefahaman yang diwarisi , atau bersanad, atau kecenderungan memahami sesuatu berdasarkan authority di dalam sesuatu bidang.

Memang ada sebahagian daripada ummah ini yang menggunakan ayat-ayat al-Quran sebagai bacaaan rawatan., apakah perkara ini dilarang sama-sekali?. Adakah amalan-amalan seumpama ini timbul kerana mereka tidak memahami makna dan hakikat ayat al-Quran?.

Kalaulah Imlan berlaku adil terhadap amalan ini, beliau sepatutnya membezakan penggunaan ayat-ayat al-Quran dalam rawatan yang diharuskan di dalam syara' dan yang diharamkan. Sudah cukup banyak kitab-kitab yang ditulis tentang perkara ini semada di dlam kitab arab mahupun kitab jawi. Antara kitab yang tersebar dalam masyarakat kita ialah Tayyibu al-Ehsan tulisan Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain, kitab Mujarabat yang dinsibahkan kepada muridnya, Awang Kenali, atau Mujarabat Tok Ku Embun Terangganu, atau Taj al-Muluk. Sementara terlalu banyak kitab-kitab arab yang dirujuk oleh pengamal perubatan mengikut kaedah ini, bahkan penggunaan beberapa ayat-ayat tertentu untuk merawat memang terdapat di dalam hadith-hadith sahih dan hasan.
Sehingga kita akan dapati Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah juga ada menulis tentang minuman untuk memudahkan beranak menggunakan beberapa ayat al-Quran dan doa. Sedangkan membaca al-fatihah dan ayat Kursi untuk tujuan penyembuhan memang established dalam masyarakat Islam.

Salahguna ayat al-Quran di atas pentas politik bukan sepenuhnya dilakukan oleh golongan yang tidak memahami maksud ayat al-Quran, bahkan isu kafir mengkafir, dua imam, dan pulau memulau telah dicetuskan oleh golongan yang berpendidikan. Golongan awam hanya dipengaruhi oleh golongan berpendidikan. Adalah tidak adil untuk menyalahkan 'tidak mengenal makna dan hakikat al-Quran' yang menyebabkan gejala-gejala tidak sihat telah berakar-umbi di kalangan ummah.

5-Di sebuah kampong di Salor, Pasir Mas, pernah penduduknya memanggil guru agama untuk mempersembahkan pulut kuning dan asap kemenyam di hujung sawah supaya tanaman subur, Amalan tradisi ini bertele-tele sehingga dekad 7-'an

Pertamanya Kg Salor, atau daerah Salor tidak berada di Jajahan Pasir Mas, Salor berada di Jajahan Kota Bharu. Daerah Salor pernah mempunyai banyak pondok-pondok pengajian, ada dulunya pondok di Teuk Kandis dan ada di Salor sendiri, Terdapat tokoh ulama yang terkenal umpama Tok Jerulong, Tok Guru Hj Cik Leh Tua Salor yang mengajar di Masjid al-Haram Makkah, Tok Guru Hj Cik Leh Muda Salor yang merupakan rakan karib Tok Kenali dan muridnya Syaikh Ahmad al-Fatani. Ada Tok Guru Hj Cik Man, yang kemudiannya membuka pondok di Lubuk Kawah, Temerloh. Sehingga dikatakan Tuan Tabal pernah mengungkapan 'kalau nak tenguk keluasan ilmu Tok Guru Hj Samad Salor, tenguklah keluasan laut".

Jadi kenyataan yang mengaitkan guru agama di Salor dengan perbuatan menyembahkan pulut kuning dan asap kemenyam di hujung bendang itu mesti dipertanggung-jawabkan. Kalau ianya dilakukan oleh dukun atau tok bomoh, ianya agak mudah diterima, tetapi mengaitkan tokoh guru agama adalah perkara yang lain. Apa yang Imlan maksudkan dengan istilah 'menyembahkan'?. Adakah menyembahkan untuk hantu dan jin?

Kalau kita takdirkan perkara itu berlaku (yakni guru agama terlibat), adakah mungkin kemenyam atau bauan lain itu dibakar bukan sebagai penyembahan tetapi menyediakan ruang yang berbau segar yang kondusif untuk berdoa dan sebagainya. Adakah mungkin juga pulut kuning itu bukan untuk sembahan tetapi untuk jamuan kepada yang hadir dalam majlis sembahyang hajat atau berdoa tersebut?.

Seumpama ibu-bapa suatu masa dahulu ketika menghantar anaknya untuk memulai mengaji al-Quran atau setelah anaknya khatam al-Quran akan menghantar pulut kuning ke rumah guru. Guru itu biasanya akan menjamu murid-murid yang lain dengan pulut tersebut. Itu adalah pengalaman peribadi saya sendiri. Semoga ALlah merahmati ruh guru al-Quran saya ketika kanak-kanak dahulu, Gemulah Pak Da Awang. (Ayahnya Dr. Idris Awang, Mantan pensyarah APIUM). Ianya tiada kena mengena dengan sebarang upacara penyembahan.

6-Kemudian Imlan menulis panjang lebar tentang Almarhum Pak Chu Hassan Lati, yang dianggap sebagai seorang wali oleh penduduk Kelantan. Semada dia seorang wali atau tidak itu, kita serahkan kepada Allah. Ianya tidak sesuatu yang wajib dari segi 'itiqad, tetapi kita beri'tiqad yang Allah memang mempunyai hamba-hamba yang soleh, wali-wali-Nya, di dunia ini.

Nama Pak Chu Hassan menjadi sebutan ramai apabila beliau bertindak tegas menghalang lembu kerbau daripada ditembak ketika dikatakan adsa kes penyakit mulut dan kuku di Kelantan. Beliau kemudiannya telah menaiki pentas ceramah PAS.

Menjelang pilihanraya di waktu itu, saya diberitahu Cikgu Mat Fakhruddin, seorang pakar strategist PAS zaman itu telah mencadangkan agar Pak Cu Hassan dijadikan calon menentang YM Teng Razaleigh. Hujjahnya Pak Chu mempunyai keupayaan memberi saingan kepada Tengku Razaleigh di kawasan pendalama. Saingan ini akan mengikat Tengku Razaleigh di Gua Musang, menyebab beliau tidak akan berkempen di tempat-tempat lain. Strategi ini terbukti berjaya, walaupun Tengku Razaleigh menang sebagaimana yang telah dijangka oleh kedua-dua pihak tetapi Tengku Razaleigh terperangkap di Gua Musang. Kalaulah diletakkan calon lain selain Pak Chu, Tengku Razaleigh akan selesa untuk berkempen di tempat-tempat lain tanpa perlu menumpu tenaga di Gua Musang.

Saya tidak tahu Imlan mengira strategi ini bijak atau tidak. Maklumlah cara berfikir Imlan tidak sama dengan kebanyakan pemikiran orang Melayu yang melalui pendidikan agama secara tradisional.

7-Imlan mengaitkan amalan jumud, taksub dan taklid yang berleluasa dengan pencapaian buruk dalam akademik pelajar-pelajar Melayu di universiti. Pelek sungguh analisa Imlan yang ini!.
Adakah orang cina yang mempunyai kepercayaan yang lagi pelek-pelek, yang memang bertaklid-buta dalam upacara keagamaan mereka lebeih tercorot berbanding dengan pelajar melayu?Apakah kemunduran pelajar India disebabkan kepercayaan dan amalan agama hindu yang mereka amalkan?.
Adakah pelajar berasal daripada Perlis, yang menolak taqlid, yang beragama secara progresif, yang hidup beragama tidak jumud telah mencapai keputusan peperiksaan yang jauh lebih cemerlang daripada negeri-negeri melayu yang lain? Ataupun bilangan pelajar di universiti telah di dominasi oleh pelajar-pelajar dari perlis, pensyarah-pensyarah pun kebanyakannya dari Perlis?

Hanya itupun yang kita orang berpendidikan agama secara tradisional ini tahu yang kedua-dua mufti Perlis dalam 3-4 tahun ini adalah orang yang datangnya dari luar Perlis, kenapa pengajaran agama yang tidak jumud itu juga tidak melahirkan mufti-mufti dari negerinya sendiri? Imlan mungkin ada jawaban, kita sekadar mampu bertanya....

2 comments:

  1. Saya tidak membaca artikel tulisan Imlan Adabi ini dalam akhbar (kerana saya sudah terlalu lama tidak membaca akhbar atas sebab peribadi), tapi jika daripada petikan di atas ini kita fahami, penulisannya cukup dangkal, bersangka buruk dan sangat menghinakan jika ia ditulis oleh orang yang faham agama. Ust Di dah menjawab dengan cara yang paling baik. Mungkin kalau saya yang jawab lebih kasar rasanya.

    Islam terlihat lemah kerana orang yang mengaku Islam sendiri tidak faham Islam. Ilmu itu milik Allah s.w.t. Jika kita tidak dekat denganNya, kita x akan dapat faham agama. Rugi jika kita ini bersolat, puasa, zakat, baca Quran dan segala ibadah yang lazim dibuat oleh Muslim sebagai jalan pengabdian, Allah s.w.t. tidak bagi kita faham agama, takut2 ibadah kita jatuh sia-sia. Apa yang nak kita bentangkan kelak bila berhadap di depan Allah s.w.t.?
    Berpegang lah kpd Hadis Rasulullah s.a.w. mafhumnya, "Jika Allah s.w.t. mahukan kebaikan kepada kamu, ia akan kurniakan faham agama". renunglah...

    Saya tak pasti jika 'Imlan Adabi' ini nama sebenar atau samaran. Malulah menggunakan nama 'Adabi' kerana ia bermaksud org yg sgt tinggi adab kesopanan & halus pekerti. Sopan & halus pekerti hanya terbit drp org yg faham agama......

    ReplyDelete
  2. salam tuan,

    imlam membuat analisa secara emosional bukan dengan rasional. tidak menyeluruh dan terburu2 melompat membuat kesimpulan.

    hujah balas yang bagus tapi harus link kan kembali kepada imlam supaya tidak kelam penulisannya di masa hadapan. :-)

    LCS

    ReplyDelete