Friday, October 22, 2010

Pimpinan No.2 PKR: Antara Zaid, Mustafa atau Azmin

Saya sendiri tertanya kenapa perlu kita lontarkan ke tengah perkara sebegini; sedangkan sekarang ini kita bukannya ahli PKR, ini soal dalaman parti itu. Kita juga mungkin tidak tahu hakikat sebenar yang berlaku di dalam parti, kerana kita hanya menonton dari luar. Tetapi apabila kita ingatkan yang kita mahu hanyalah kebaikan kepada PKR, sebagaimana kita juga mahukan kebaikan untuk PAS mahupun UMNO; sebahagian besar daripada penyokong parti-parti ini adalah mereka yang seagama , sebangsa dan paling kurang setanah-air dengan kita.

Kita mahu saudara-saudara kita yang bergiat di atas nama mana-mana parti sekalipun akan sentiasa beringat, yang kegiatan mereka ini akan ditayang dan dihisab di depan Allah Yang Maha Mengetahui. Pendirian, kefahaman dan kegiatan mereka di dalam aktiviti parti dan politik akan menambahkan catitan kebajikan mereka atau kalau tidak ianya akan membebankan mereka dengan kecelakaan dan penyesalan.

Lagipun PKR itu sendiri lahir daripada lanjutan bagi kegiatan demonstrasi jalanan hujung minggu di kawasan Jalan TAR dan sekitar Masjid Kg. Baru pada tahun 1998. Cetusan gerakan rakyat itu tidak disertai oleh pimpinan PKR yang ada sekarang ini semata-mata, bahkan didukung oleh rakyat yang marah kepada kezaliman yang sedang berlaku. Rakyat yang berlari dikejar oleh FRU, yang kepedihan mata disembur dengan air kuning yang gatal dari pancutan water canon. Maka agaknya rakyat itu di atas dasar cita-cita mahu melihat suasana politik yang lebih telus, adil dan bersifat kerakyatan itu masih mempunyai sedikit ruang untuk memperkatakan tentang pemilihan pimpinan PKR, takdirnya saya juga salah seorang daripada rakyat kerdil yang terlibat itu. Ya. walaupun kita bukan ahli PKR.

1-Kita mulakan dengan Zaid Ibrahim: Zaid merupakan seorang tokoh politik yang sudah established. Namanya mula menyerlah apabila dia mengalahkan Datuk Rustam Ahmad Maher sebagai ketua bahagian UMNO Kota Bharu. Zaid adalah seorang pemurah sehingga ianya ditafsirkan sebagai pengamal politik wang , jawatannya sebagai ketua bahagian digantung kerana itu. Dia pernah menjadi menteri, ada ucapan-ucapannya di parlimen yang mengganggu kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam.

Dia menyertai PKR dan dijadikan calon di Hulu Selangur, maka ketika itu timbullah bermacam-macam cerita dalam media massa dan media alternatif tentang Zaid. TGNA membuat kenyataan yang Zaid sudah bertaubat, tetapi tidaklah pula kita mendengar kenyataan taubat itu dari Zaid sendiri.

Soal minum dan kuda lumba itu adalah soal peribadi Zaid, tetapi soal pendiriannya tentang isu murtad adalah soal yang penting bagi ummah. Apakah agenda politik yang Zaid akan warnakan PKR?. Apakah dasar-dasar PKR itu sesuai dengan pendirian Zaid selama ini?.

Adapun soal ketelusan dan kebertanggung-jawaban pihak berkuasa dan keluhuran perlembagaan, itu bukan isu yang Zaid seorang sahaja yang menyatakannya, bahkan ianya diperkatakan oleh hampir semua pemimpin termasuk dari BN sendiri.

Terbaharu adalah isu penjualan bangunan UMNO Kota Bharu oleh Zaid kepada Pemuda PAS Kelantan, adakah tanah dan bangunan itu milik Zaid dari mula ceritanya?. Bagaimana boleh bangunan UMNO bahagian menjadi milik peribadi ketua bahagian?. Ya , itulah sebahagian daripada cerita sejarah Zaid.....

Pemimpin yang berkesan adalah pemimpin yang peribadinya mewakili mereka yang dipimpinnya, sekurang-kurangnya pada idelisma-nya. Kita kurang pasti peribadi Zaid mewakili
rakyat daripada kelompok mana di dalam PKR......

2- Keduanya Mustafa Kamil: Beliau ini semenjak zaman universitinya lagi adalah pengkagum DSAI. Sehinggakan dia bercakap slang 'sengau' semacam DSAI, juga pada gaya penampilannya.
Dia adalah antara saki-baki orang ABIM dalam PKR.

Dari segi pimpinan, ada yang mengatakan dia tidak 'politically sharp' dan visi pimpinan -nya tidak begitu jelas, performace-nya hanya biasa. Dia bertanding untuk jawatan no.2, adapun kekurangan yang dikaitkannya dengannya itu tidaklah begitu fudamental. Political reading dan visi parti PKR telah diwarnai hampir sepenuhnya oleh DSAI. Kalau sebelum inipun, Dr. Syed Husein sebagai orang no.2 ,bukan berperanan sebagai ideolog parti, tetapi dia berperanan sebagai elemen penstabil parti, tokoh yang disegani kerana akhlaqnya yang sopan, serandang kepada ketua umum dan presiden parti. Untuk tugasan itu, Dr.Syed Husein amat berkesan. Apakah Musatafa tidak mampu untuk berperanan pada tahap sedemikian?.

Sehingga sekarang Mustafa tidak tertonjol sebagai seorang yang pelahap politik, antara 3 calon ini, dia kelihatan lebih mempunyai image yang dia punya tulang-belakang, principle-centered. Sekarang ini sahamnya tinggi atau rendah bukan kerana dia budak DSAI, bukan pula kerana di -endorsed oleh Pemimpin Umum. Mungkin sahaja dia punyai kelemahan, tetapi dia bertanding untuk jawatan no.2, yang sebenarnya no.3 dalam PKR.

Mustafa masih mempunyai image Islamic, DSAI memerlukan pembantu kanan yang mempunyai image sedemikian, terutama selepas kes-kes mahkamah dan tuduhan demi tuduhan yang dilaluinya. Tuduhan itu sekarang ini bukan hanya ditelan oleh musuh-musuh politiknya, bahkan ianya mula diragui oleh sebahagian rakan-rakan lama beliau sendiri. Kemenangan Zaid atau Azmin kalaupun tidak menambah buruk image DSAI, tetapi masih tidak membantu.

Mustafa mewakili sebahagian daripada inspirasi penyokong gerakan reformasi yang dicetuskan pada tahun 1998 dulu. Kita mahukan orang yang image-nya bersih daripada salah-guna kuasa dan kedudukan, serta punya pembawaan diri yang berakhlaq. Antara 3 calon ini, maka Mustafa lah yang tertonjol.

3-Azmin Ali: Azmin Ali adalah salah seorang daripada 2 pegawai kanan DSAI ketika dalam kerajaan. Pegawai tidak semestinya berkongsi inspirasi boss-nya. Seorang lagi pegawai kanan DSAI dulunya adalah Ezam, mereka berdua bersama-sama menyelamatkan diri ke Jakarta. Hanya kemudiannya Ezam masuk ISA, tetapi tidak Azmin. Ezam lebih berkesan daripada Azmin sebagai penceramah, tetapi Azmin lebih berjaya mendapat kepercayaan DSAI. Itulah yang zahirnya.

Mungkin banyak sekali sumbangan Azmin kepada perjuangan DSAI dan PKR, tetapi Azmin juga banyak mengundang liablities kepada DSAI. Ummu Hafilda, tokoh penting dalam menjatuhkan DSAI dalam kerajaan dulu itupun daripada keluarga Azmin. Ya memang , Azmin tidak boleh disalahkan atas perbuatan orang lain, walaupun perbuatan ahli keluarganya sendiri.

Kemudian ada tuduhan liar tentang Shamsidar, itupun bukan salah Azmin malah ianya menyusahkan Azmin sendiri. Perkara ini diungkit semata-mata menunjukkan kaitan Azmin-DSAI yang begitu rumit. Azmin juga dulunya diberitakan rapat dengan keluarga Tun Dr.Siti Hasmah.

Tidak sedikit rakan akrab DSAI yang merungut begitu susah untuk menemui DSAI ketika beliau di dalam jawatan, antara tuduhan mereka ialah Azmin yang berperanan. Azmin sehingga kini, mereka masih menyebut yang Azmin seakan-akan mengambil kesempatan dari jawatannya itu.

Kemudian pasca hari-hari reformasi, tidak sedikit nama-nama besar yang menyokong perjuangan DSAI mengundur diri, nama yang kerap dikaitkan sebagai antara penyebab adalah Azmin. Azmin digambarkan gagal menjadi penstabil dalam parti, sehingga kini rahsia ini telah dikongsi oleh bukan setakat orang dalam sahaja bahkan oleh lingkaran orang luar parti.

DSAI digambarkan terlalu terikat dengan Azmin, entah apa ikatannya itu. Agaknya sudah sampai masanya isu nilai dan perenan diketengahkan mengatasi isu kaitan peribadi. DSAI perlu merungkai sebahagian ikatan lama yang mungkin menjadi 'puaka' kepada parti. Kalaupun Azmin akan menang dalam pemilihan ini, biarlah bukan kerana DSAI yang endorse pancalonannya, bukan kerana Jawatankuasa pemilihan yang bias, bukan kerana banyak perwakilan yang dibeli dengan kebendaan, tetapi kerana memang yang menang itu mambawa inspirasi perjuangan.

Allah mengingatkan kita yang mungkin ada perkara yang kita sukai, tetapi ianya buruk kepada kita dan ada perkara yang kita benci, tetapi baik kepada kita. Semoga penat lelah berkejaran di Jalan TAR dulu akan diterjemahkan oleh barisan pimpinan PKR yang principle centered , bukan mereka yang oppurtunis.

Aduhai kenapa kita terjerumus dalam perbincangan politik..... agaknya ianya adalah hambatan nostalgia lama semata-mata. Ya mungkin sahaja masih ramai yang menyimpan simpati dengan perjuangan DSAI dan PKR, hanya mereka terkilan dengan apa yang telah dan sedang berlaku..

1 comment:

  1. amat cantik ulasan2 yang diberi sayang sekali nama penulis tidak berani menampilkan diri,

    ReplyDelete