Monday, November 29, 2010

Fi Amanillah Cheng Ho II

Setelah berakhirnya persinggahan Expo Cheng Ho di Kelantan, kita di sini masih segar dengan maklumat baru tentang tokoh pelayaran besar ini. Cheng Ho merupakan pelayar yang paling terbilang dalam ribuan tahun catitan sejarah China. Cheng Ho membuka lembaran baru kepada kesedaran kita tentang dekatnya hubungan China -Gugusan Melayu pada zaman dahulu-kala. Tetapi semua itu adalah catitan sejarah, peristiwa yang telah berlaku dan berlalu....

Apakah yang kita dapat gagaskan daripada maklumat baru dan kesedaran ini? Apakah yang patut dicadangkan agar Kelantan akan mampu meniti di atas sentimen Cheng Ho untuk memanafaatkan negeri ini?

1-Kita belajar dari Cheng Ho yang beliau adalah bekas tawanan perang yang telah dikasi, bagaimanapun kemampuannya telah mengangkat kedudukannya di sisi Maharaja setingkat ke setingkat, sehingga diberi kepercayaan untuk mengepalai Armada Laut yang demikian gah. Kemampuan dan potensi pada mana-mana manusia hendaklah disuburkan sehingga ianya akan menyerlahkan tahapnya yang sebenar.

2- Cheng Ho mengekalkan anutan agamanya dalam apa sahaja posisi yang dia berada. Bahkan dicatitkan beliau telah ke Makkah, sedangkan sebahagian anak kapalnya terdiri daripada mereka yang bukan Islam. Adapun Maharaja China ketika itu juga bukan seorang Muslim (walaupun seorang pengkaji asal Taiwan, Yusuf, mengatakan yang Maharaja Ming ketika itu juga seorang penganut Islam, tetapi pendapatnya ini agak gharib). Rupanya seorang anak tawanan perang yang membesar di dalam istana, kemudian menjadi laksamana tidak perlu bertolak-ansur tentang anutannya untuk menempa nama.

3-Cheng Ho mempamirkan kemahiran pengurusan yang tinggi dan berkesan, kerana bukan mudah untuk mengetuai 28 ribu anggota armada untuk belayar sedemikian jauh membelah samudara. Cheng Ho perlu mempunyai pembantu yang memiliki pelbagai kemahiran dan kebolehan untuk menjayakan ekspedisi yang bersaiz besar ini. Kita di Kelantan perlu belajar keberkesanan pentadbiran dari cerita Cheng Ho ini, kita sudah memiliki tukang-tukang syarah yang ramai dan menghiburkan, tetapi kita masih kekurangan pentadbir yang mempunyai amanah dan keupayaan tinggi.

4-Cheng Ho mempunyai upaya untuk meneruskan dan meningkatkan pencapaian usahanya, tanpa keupayaan ini Cheng Ho tidak mungkain mampu belayar berkali-kali meredah samudra. Kita di Kelantan perlu belajar untuk memiliki keupayaan ini, keupayaan untuk bukan setakat menjadi peneroka bahkan diikuti dengan usaha penerusan. Sebagai contoh, Expo Cheng Ho telah menerokai peluang baru yang tidak pernah terduga sebelum ini, maka menjadi kewajiban pula untuk kita merancang dan berusaha untuk terus memanafaatkan penerokaan yang telah kita lakukan. Sebahagian masyarakat muslim di China telah meletak harapan kepada Kelantan, maka janganlah urusan birokrasi dan hambatan lainnya akan membantutkan harapan tinggi tersebut

5-Potensi dari penerokaan Cheng Ho ini sangat luas, mungkin seluas potensi di zaman beliau dahulu-kala itu. Katakan, sekiranya kita adakan jaringan antara negara-negara yang disinggahi Cheng Ho dalam pelayarannya, itu sudah cukup baik untuk memulaikan jaringan perdangan, perniagaan, pelancongan yang sangat luas. Cheng Ho telah singgah di Taiwan, Vietnam, Cambodia, Thailand, Malaysia, Indonesia, Sri Langka, India, Yaman, Iran, Negara-negara Teluk, Saudi Arabia, Masir, Kenya, Somalia, Maldives dan lainnya.

6- Perlu diadakan post-mortem untuk Expo Cheng Ho ini, kenal-pastikan apa-apa kekuatan dan peluang yang perlu manafaatkan, dipertahankan dan diperkembangkan. Perlu dikenal pasti kelemahan, pembaziran dan kekurangan agar di masa hadapan kita akan berusaha dengan cara yang lebih berkesan.

Akhirnya dengan rendah hati dan kegembiraan yang sangat saya ingin rakamkan terima-kasih dan penghargaan kepada pencetus dan penjaya Expo Cheng Ho yang penuh bermakna ini. Semoga Allah memberi balasan berlipat-ganda di dunia ini dan di akhirat kelak, semoga Allah ampunkan segala kelemahan dan kelalaian kita semua

Marilah kita hadiahkan al-Fatihah untuk Cheng Ho, semoga kita diganjari Allah dengan usaha memperingati tokoh muslim yang terbilang ini.

No comments:

Post a Comment