Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam bersabda:
ان حقا على الله ان لا يرفع شيئا من امرى الدنيا الا وضعه
"Sesungguhnya menjadi ketentuan Allah yang tiada diangkat sesuatu dari perkara dunia kecuali Dia menurunkannya" (Bukhari, Abu Daud, Nisaie, Ahmad)
Maulana Zakaria al-Kandahlawi menyebut dalam kaitan dengan hadith ini:
"Kerana sebab inilah, sekiranya kamu renungkan dunia dan sejarahnya, kamu tilik pada zaman-zaman yang berbeza dalam sejarah, serta kamu pertimbangkan zaman kita sekarang dengan pandangan untuk menyiasat, kamu akan melihat kebenaran kata-kata ini. Kamu akan melihat apabila seorang itu telah masyhur dengan kelebihan dalam bidang yang tertentu, nantinya kamu akan melihat dia dipandang rendah dalam perkara yang sama. Kamu akan melihat orang yang telah dipuji dan disorak-sokong di dalam akhbar, poster dan kain rentang, kemudian akan dicerca dan dipersoalkan dalam akhbar dan poster juga. Seorang yang menempa nama baik di kalangan golongan tertentu dan di perjumpaan-perjumpaan umum, akan ditolak, dicemuh dan dihina dalam perjumpaan-perjumpaan seumpama itu juga.Kamu akan dapati perubahan sikap ini mungkin mengambil masa yang pendek atau mungkin lama untuk ianya terjadi dalam sesetengah hal, tetapi saya hampir yakin perkara ini berlaku tanpa pengecualian dari ketetapan ini".
Kita ada dapati terdapat message yang sama banyak dalam al-Quran dan Hadith Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam. Antaranya Allah menyebut:
تلك الدار الأخرة نجعلها للذين لا يريدون علوا فى الأرض ولا فسادا والعاقبة للمتقين -القصص83
"Demikian Hari Akhirat, Kami(Allah) jadikannya bagi mereka yang tidak mengendaki ketinggian(kemegahan) di dunia dan tidak kefasadan, dan akibat yang baik itu bagi mereka yang bertaqwa".
Adapun mereka yang sombong dan berbangga dengan kelebihan dan kemegahan dunia, mereka beranggapan:
وما أظن الساعة قائمة ولئن رددت ألى ربى لأجدن خيرا منها منقلبا الكهف 36
"Dan aku tidak percaya yang qiyamat akan berlaku, dan sekiranya aku dikembalikan (juga) kepada Tuhanku, niscaya aku akan dapati tempat kembali yang lebih baik daripada kemegahanku di dunia ini"
Ini kerana mereka mengira yang kemegahan dan kehebatan di dunia ini yang telah mereka perolihi itu kerana keredaan Tuhan terhadap mereka. Allah menempelak sikap songsang ini dengan menyebut :
فاما الأنسان أذا ما ابتلاه ربه فاكرمه ونعمه فيقول ربى أكرمن وأما أذا ما ابتلاه فقدر عليه رزقه فيقول ربى اهانن
الفجر15-16
Maka apabila manusia diujinya oleh Tuhannya, lalu dimuliakannya, diberikan nikmat, maka dia berkata :"Tuhanku telah memuliakan aku". Dan apabila Tuhan mengujinya, lalu dikurangkan rezkinya, maka dia berkata;"Tuhaku telah menghinakan aku".
Sekiranya kita berusaha untuk mendapat ketinggian dan kemegahan di dunia, maka sebaliknya kita akan kehilangan ketinggian di sisi Allah dan di Hari Akhirat.
Manusia sehingga hari inipun masih ramai yang mendakwa yang kemegahan, kemewahan, kesejahteraan mereka dalam kehidupan dunia ini membayangkan yang kehidupan mereka telah direstui Tuhan, sementara orang yang terhina, terpinggir, terhimpit masalah dan kemiskinan serta dihinggapi pelbagai penyakit sebagai orang yang tidak mendapat tempat di sisi Tuhan.
Allah berfirman:
ولكم فى القصاص حيوة يأولى الألبب لعلكم تتقون -البقرة 179
" Dan bagi kamu dalam melaksanakan hukum qisas itu terdapat kehidupan , wahai mereka yang mempunyai mata-hati, semoga kamu bertaqwa".
Ayat ini membincangkan tentang hukum qisas pada jenayah pembunuhan, bunuh di balas bunuh. Hukuman balas bunuh itu sebaliknya akan memberi kehidupan. (yakni kesejahteraan bagi kehidupan akan lebih terpelihara).
Allah berfirman:
ومن نعمره ننكسه فى الخلق أفلا يعقلون - يس68
Dan Kami(Allah) tingkatkan umurnya, serta kami (kurangkan) kembali upaya pada anggota badannya, Tidakkah kamu berfikir?
Ayat ini menjelaskan apabila umur kita meningkat tua, maka sebaliknya keupayaan fizikal dan mental kita kembali lemah. Semakin tua, semakinlah kembali lemah.
Indahnya dan bermaknanya bidalan orang tua-tua kita yang memperingatkan kita soal conget-cakdung kehidupan ini , kata mereka: "ikutlah resam padi, semakin berisi semakin tunduk, jangan diikut resam lalang, semakin hampa semakin menegak".
Begitu juga dengan pengalaman hidup di dunia ini, begitu juga dengan tanggapan orang terhadap kita. Lihatlah tokoh-tokoh besar dalam sejarah: umpama Imam Ibnu 'Arabi, di satu sudut dihormati sebagai Syaikhu al-akbar, di sudut lain diselar sebagai zindiq. Imam Ibnu Taimiyyah, di satu kumpulan digelar Syaikhu al-Islam, di satu kumpulan lain dia di sesatkan.Imam al-Ghazali, di kalangan pengemarnya di dipanggil Hujjatu al-Islam, di kalangan yang memusuhinya, kitab-kitabnya dibakar.
Dalam masyarakat kita, umpamanya Tun Mahathir, di kalangan peminatnya dia dipanggil negarawan agung yang sangat berjasa, di kalangan pembencinya dia dingati sebagai Maha Firaun yang banyak mencemarkan institusi-institusi kenegaraan . DSAI, di kalangan pengkagumnya dia dilihat tokoh reformis yang kebal diuji, sementara di kalangan pembencinya dia dianggap pembelot negara yang berakhlaq buruk. Datin Sri Rosmah Mansor, di kalangan peminatnya dia dilihat sebagai 1st lady pencetus idea-idea yang bernas dan praktikal, di kalangan pengeritiknya dia dilihat sebagai seorang isteri yang busy-body dan keterlaluan.
Begitu juga dengan populariti DSAI, kemuncak sokongan terhadapnya adalah ketika dia secara fizikalnya terpenjara, Dan apabila dia semakin giat menyusun percaturan dan bergerak dalam masyarakat, semakin kerap kita mendengar berita yang rakan-rakannya meninggalkannya. Semakin dia berusaha untuk mendapat sokongan antarabangsa dan rakyat berbilang bangsa dan agama, maka semakin itu kita dengar kawan-kawan lamanya mula berpandangan sinis terhadapnya. Aduhai susahnya untuk memahami mekanisma conget-cakdung ini !
Ada pula orang yang berjaya dalam kerjaya, tetapi bermasaalah dalam kehidupan keluarga. Ada orang yang tidak mendapat pendidikan formal yang sempurna, tetapi berjaya dalam bidang ekonomi. Ada orang yang sangat berkesan dalam bidang lakunan, tetapi gagal dalam kehidupan yang sebenar. Ada orang yang terlantik menjadi ketua, tetapi mempunyai upaya fikir yang lembab. Ada orang yang berpengetahuan agama, tetapi lemah dalam mentadbir. Ada orang yang lemah fizikalnya (umpama Stephen Hawking atau Hellen Keller) tetapi kuat daya akalnya.
Fenomena ini dikenali sebagai Yin-Yang dalam peradaban China. Perkara yang seumpama ini juga dibincangkan dalam beberapa buku-buku management dan self -improvement semasa. Bagaimanapun sebagai muslim, kita sewajibnya berusaha mencari reda Allah, kita tidak gadaikan reda Allah kerana mencari reda makhluk. Kita berusaha untuk kehidupan akhirat, kita sepatutnya tidak meninggikan kepentingan dunia sehingga memudaratkan akhirat kita.
Pesan Guru kami, kadang-kadang perkara dunia ini umpama bayang-bayang, semakin laju kita kejar ia, semakin laju ia lari daripada kita. Semakin laju kita lari daripadanya, semakin laju pula ia mengejar kita. Ingin saya tambah pada pesanan itu: dan apabila kita diam, agaknya ia pun diam.
Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim congetkan kami kepada Mu dengan Kelembutan Rahmat-Mu, dan jangan congetkan kami kepada selain-Mu kerana beban dosa kami serta hijab lalai kami !
No comments:
Post a Comment