Apabila ada di kalangan rakan-rakan menganjurkan Seminar Pluralism Agama, untuk menjelaskan kesesatan faham tersebut, sebahagian rakan-rakan yang lain , terutama yang berada di 'front-line' politik kepartian telah memberi respon yang negatif terhadap usaha tersebut. Ada juga di kalangan lain, umpama blogger yang berkepentingan, telah mengulas perkara ini dengan secara sinis tetapi celaru, baik dari kalangan bloggers yang menyokong kelompok pemerentah atau yang menyokong kelompok pembangkang.
Secara peribadi, saya mula-mula terdedah kepada trend sedemikian adalah ketika membaca buku The Cultural Side Of Islam, tulisan Marmaduke Pickthall kira-kira 35 tahun yang lalu, ketika itu saya berumur 15 tahun, saya telah membeli buku tersebut di kedai buku Perkim , Jalan Ipoh, Kuala Lumpur (bukan di Bangunan Perkim yang ada sekarang). Dengan rahmat Tuhan sahajalah, saya yang masih tersangat mentah ketika itu telah merasakan fahaman tersebut tidak benar, saya sanggah walaupun tidak punya hujjah yang kuat.
Kemudian saya terdedah kepada tulisan Idris Shah tentang ajaran mistik 'sufism' yang secara zahirnya longgar ikatannya dengan shari'at, saya juga membaca tulisan non-muslim seperti Lobsang Rampha, yang mengandungi catitan-catitan penglaman kerohanian merentasi kepercayaan dan peradaban. Itu adalah di zaman persekolahan saya.
Kemudian saya berkesempatan membaca himpunan artikel dalam buku"The Sword Of Gnosis", yang dipinjamkan oleh guru saya, yang jasanya tidak terhitung pada saya, Ustaz Muhammad Uthman el-Muhammady. Ustaz Uthman adalah antara peribadi awal di tanahair kita yang menela'ah buku-buku dari kelompok perennialist, seperti Dr. Husein Nasr, Schoun, Burkchart, Martin Ling, Coomarasamy, Rene Guenon. Tulisan-tulisan sarjana ini telah meninggalkan kesan kepada gaya dan logik tulisan Ustaz Uthman, sehingga ayat-ayat dalam tulisan Ustaz Uthman kerap menggunakan rangkap-rangkap yang terdapat dalam tulisan sarjana-sarjana ini, bahkan ayat ustaz juga panjang-panjang sebelum diberinya noktah. Ustaz Uthman yang merupakan pencinta warisan Imam al-Ghazali , serta ulama silam yang lain termasuk ulama jawi, beliau telah dapat mengimbangi dan menyaring 'input' sarjana perennialist tersebut dengan ajaran-ajaran ulama silam. Alhamdulillah, saya sempat menumpang ilmu dan kefahaman ustaz dalam peringkat masa-masa terbentuk kefahaman agama saya.
Kemudiannya sahaja saya membaca kritikan tajam Ziauddin Sardar terhadap Schoun dalam "The Impact International'. Saya juga melayari internet dalam mencari lukisan-lukisan lakaran Schoun. Saya tidak dapat menimbang secara tepat bagaimana seorang yang bercakap tentang pengalaman kerohanian sedemikian rumit, telah mendapat kepuasan antara lain, dengan melukis gambar-gambar perempuan tanpa baju. Saya lebih jauh selesa dan merasa sejahtera memahami agama , dalam konteks amalan kerohaian dan hubungan antaragama melalui huraian lebai dan tok guru di kampong, yang saya tahu kehidupan mereka diusahakan untuk hidup mengikut syara', mencontohi sunnah Rasulullah sedayanya, walaupun dalam rupa yang sangat mudah tanpa ayat-ayat yang sukar difahami daripada spritual traditionalist yang sophisticated, dan yang huraian mereka ini penuh dengan kekeliruan itu.
Beberapa tahun berikutnya, terutama ketika saya 'berderat' di Kaherah, saya meminati hasil-kerja warisan Syaikh Dr. Abdul Halim Mahmud,Syaikh al-Azhar, Syaikh yang sangat saya kagumi ini menyanjung tinggi Rene Guenon, atau nama Islamnya Syaikh Abdul Wahid Yahya. Syaikh Abdul Halim mencatitkan pertemuan beliau dengan Guenon di Dokki, Kaherah. Beliau menyebut yang Guenon adalah al-Ghazali fi Asrihi (al-Ghazali bagi zamannya), disifatkannya sebagai daripada auliya Allah. Hal ini telah mendorong saya, pada ziarah saya yang kemudiannya ke Kaherah untuk bertanya kenalan Tariqah Shazaliyyah di mana letaknya kubur Guenon, kami ziarahinya di waktu malam. Letaknya tidak jauh daripada Masjid Syaikh Muhammad Zaki Ibrahim.
Saya juga pernah mendengar ungkapan pemimpin negara yang memaksudkan masing-masing agama mempunyai jalan-jalan sendiri ke syurga. Kemudian masyarakat kita juga dalam menghayati amalan toleransi agama telah diperkenalkan kepada konsep 'Kong Xe Raya'. seakan-akan sambutan Hari Raya itu cuba di tanggalkan nilai-nilai keagamaannya; sedangkan Hari Raya disambut sebagai penyudah kepada ibadat puasa, yang mana ibadat puasa itu difardukan untuk melahirkan sifat taqwa. Mana mungkin ruh Hari Raya yang sedemikian sarat dengan nilai-nilai kerohanian itu dapat dikongsi dengan mereka yang mempunyai tujuan lain di dalam kehidupan mereka.
Agama kita mengajar kita yang kebenaran lengkap yang hakiki hanya terdapat dalam ajaran Islam, tanpa kita menolak kebenaran serpihan memang terdapat dalam mana-mana ajaran agama dan aliran falsafah, sanjungan terhadap nilai-nilai luhur memang menjadi fitrah manusia, kecuali yang telah terlalu rosak .
Kebenaran dan kebaikan adalah suatu yang terpiawai, Allah yang menentukan apa yang benar dan apa yang baik untuk kita; ianya disampaikan melalui wahyu dan sunnah Rasul-Nya. Kebenaran dan kebaikan itu juga dapat dicerna dan diterima oleh aqal manusia secara tepat dalam batas-batasnya.
Agama menekankan aspek 'ghaib' yang ditunjangi semata-mata dengan iman melebihi aspek zahir yang dapat dinilai oleh pancaindera secara fizikal. Walaupun perkara ghaib yang diimani itu tidak kelihatan tetapi ianya lah menjadi intipati ajaran agama. Perkara kedua selepas keimanan adalah aspek ibadat, iaitu daya usaha kita untuk tunduk patuh kepada arahan Tuhan melalui meneladani Rasul-Nya sehingga terbentuknya kesedaran taqwa dalam diri dalaman kita. Dalam dua perkara ini kita jauh berbeza daripada mana-mana ajaran agama lain. Dalam dua perkara ini, tiada pluralism, walaupun mungkin terdapat pertindihan pada perkataan dan rupa.
Kemudian agama juga mengatur kita tentang ajaran dan amalan akhlaq pada diri dan dalam hidup bermasyarakat. Hal-hal zahir dari aspek ini mungkin sahaja terdapat persamaan dengan ajaran agama dan peradaban lain. Bahkan ada ciri-ciri kebaikan yang mereka miliki, yang kita sendiri telah kecicir.
Begitu juga dalam pengalaman dan pengamatan terhadap unsur-unsur kehidupan, semada di peringkat nilai mahupun di peringkat tindakan. Kita sering ketemu ungkapan yang sarat hikmahnya, membenarkan kebenaran yang diajar oleh agama kita dilafazkan oleh mereka yang bukan daripada kita, semada dari zaman purbanya sehingga ke zaman sekarang ini. Kebenaran pada tahap pengalaman dan pengamatan dapat dipetik dari mana-mana peradaban, sekiranya ianya sesuai dengan ajaran agama kita.
Dalam begitupun Rasulullah telah mengingatkan kita agar menghindari penyerupaan dengan mereka yang berlainan pegangan dengan kita, penyerupaan zahir mungkin sahaja mencairkan batas-batas perbezaan yang batin. Penjinakan secara zahir mungkin sahaja dapat menjinakkan kita kepada kebatilan batin mereka. Aliran pengaruh mengalir outside-in ke dalam jiwa kita walaupun tanpa kita sedari, hal ini akan sentiasa berlaku sehinggalah kita mempunyai keutuhan batin yang membolehkan aliran pengaruh mengalir inside-out. Oleh itu terdapatlah anjuran hijrah dan anjuran uzlah dalam syara kita, untuk mengelak pengaruh dan tekanan buruk luaran serta persekitaran dari merosakkan keimanan dan keindahan dalaman.
Terdapat juga anjuran Rasulullah supaya kita menyalahi golongan ahlu al-Kitab (yahudi dan nasrani) serta golongan musyrikun. Umpamanya kita berpuasa, mereka pun berpuasa; tetapi kita disyariatkan makan sahur dan segera berbuka puasa kerana mereka tidak bersahur dan melewatkan berbuka, sebagaimana yang terdapat di dalam hadith Abu Daud. Imam Ibn Taimiyyah mengatakan perbezaan sebeginilah yang menyebabkan agama kita menjadi terzahir di atas agama-agama lain , dan ini merupakan maksud para rasul dihantar, , menyalahi mereka itu adalah maksud terutusnya para rasul (lihat Iqtida' as-Sirat al-Mustaqim: m/s54)
Imam Ibnu Taimiyyah menyebut:
فأذا كانت الشريعة قد جاءت بالنهى عن مشاركة الكفار فى المكان الذى حل بهم فيه العذاب , فكيف بمشاركتهم فى الأعمال التى يعملونها واستحقوا بها العذاب؟
Maka apabila syariat (agama kita) telah menegah kita daripada mencampuri golongan kafir pada tempat mereka diazabkan (seperti bumi Babil ), maka bagaimana (tidak ditegah) menggauli mereka pada usaha-usaha mereka yang melayakkan dengan amalan itu turunnya azab?
Allah memerentah kita agar mengikut syara' dan menegah kita daripada mengikut hawa kemahuan golongan lain. Seperti pada ayat 18-19 surah al-Jathiyah, ayat 145 surah al-Baqarah, ayat 89 surah an-Nisa', ayat49 surah al-Maidah, ayat 67 surah at-Taubah dan selainnya.
Selain itu Allah memerentah kita agar berada bersama dengan golongan beriman dan benar yang patuh kepada-Nya:
يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله وكونوا مع الصادقين
"wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama dengan golongan as-siddiqin". [at-Taubah:119]
Dalam tafsir al-Baghawi disebut golongan as-siddiqin ini ialah golongan yang benar niat mereka,istiqamah hati-hati mereka dan amalan mereka, mereka yang mengakui kesalahan mereka tanpa memberi helah palsu .
Allah menyebut:
واصبر نفسك مع الذين يدعون ربهم بالغدوة والعشى يريدون وجهه ولا تعد عيناك عنهم تريد زينة الحيوة الدنيا ولا تطع من أغفلنا قلبه عن ذكرنا واتبع هوىه وكان أمره فرطا
Hendaklah kamu sabar berada bersama dengan golongan yang menyeru Tuhan mereka pada pagi dan petang, mereka menghendaki keredaaan-Nya, dan jangan kamu palingkan (tumpuan)mata kamu daripada mereka, kerana kamu mahukan perhiasaan dunia dan jangan kamu taati golongan yang Kami (Allah) lalaikan hatinya daripada memperingati Kami (Allah), serta mengikut hawa-nafsunya., adalah keadaan dia itu buruk sekali. [al-Kahfi:29]
Sudah tentu dalam konteks semasa 'perhiasaan dunia' itu termasuklah kekayaan, kemasyhuran, mendapat kuasa dan pengaruh.
Allah juga mengajar kita agar menganjurkan golongan selain kita kepada 'kalimah yang kita berkongsi bersama' antara kita dan mereka. Anjuran kepada kalimah yang kita kongsi bersama inilah yang dijadikan landasan untuk membariskan mereka berserta kita oleh setengah golongan, termasuk golongan yang cenderung kepada pluralism. Firman Allah:
قل يأهل الكتاب تعالوا ألى كلمة سواء بيننا وبينكم ألا نعبد ألا الله ولا نشرك به شيئا ولا يتخذ بعضنا بعضا أربابا من دون الله فأن تولوا فقولوا اشهدا بأنا مسلمون
Wahai golongan Ahlu al-Kitab (golongan kristian dan yahudi) , marilah kepada kalimah yang sama antara kami dan kamu: "iaitu kita tidak beribadat kecuali kepada Allah, kita tidak mensyirikkan dengan-Nya sesuatu apapun, dan jangan diambil sebahagian kita sebagai pujaan yang didewa-dewakan selain Allah". Sekiranya kamu berpaling (tidak bersetuju dengan saranan ini) , maka katakan kepada mereka "saksikanlah sesungguhnya kami adalah golongan muslimun". [ali-Imran :64]
Maka inilah maksud kalimah yang terdapat persamaan antara kita dan mereka , yang kita ajak mereka untuk berkongsi; iaitu kalimah Tauhid yang Khalis. bukannya kita mengiyakan kesyirikan mereka sekali-kali. Apa lagi mengingatkan ayat-ayat sebelum ayat ini yang menyebut keadaan Saiyyidina Isa yang tidak mempunyai bapa diumpamakan dengan kejadian Saiyyidina Adam. Kemudian Allah menyuruh Rasulullah mengajak golongan kristian yang mendustakan Risalah Baginda untuk bermubahalah; sama-sama berdoa agar Allah menurunkan laknat-Nya ke atas siapa di antara dua kumpulan ini yang sebenarnya berdusta.
Semoga Allah memberi saya daya dan upaya untuk menyambung catitan ini, insyaallah saya akan menyentuh soal plurality vs. pluralism dalam hidup beragama secara khusus yang telah disebut oleh Abu Iman, pengakuan golongan muslim democrat, kefahaman saya terhadap fathu az-zara'ie dan isu-isu berkaitan
No comments:
Post a Comment