Hari masuk hari ke dua bulan Muharram, bulan yang mempunyai kedudukan yang istimewa terutama pada sepuluh awalnya, serta kemuncaknya pada Hari Ashura. Banyak peristiwa yang besar-besar berlaku pada hari Ashura', sehingga kita disunnatkan berpuasa untuk membesarkan hari tersebut. Hari Ashura mempunyai sejarah yang manis seperti kemenangan beberapa orang Rasul ke atas musuh Islam pada hari ini, juga ianya mengandungi peristiwa sedih yang sangat menyayat hati ummah, iaitu peristiwa shahidnya Saiyyidina Husein di Karbala'. Imam Ibnu Taimiyyah menyebut dalam kitabnya "Huququ ahli al-Bayt" [naskhah yang saya ada ada ditahqiq oleh Syaikh Abdul Qadir Ahmad 'Ata] agar kita sentiasa mempunyai dua keadaan batin, bersyukur di atas nikmat, bersabar dengan bala' pada setiap masa . Ianya dizahirkan dengan peristiwa-peritiwa besar yang berlaku pada hari Hari Ashura.
Masyarakat kita pula sering mengaitkan kedatangan bulan Muharram dengan peristiwa Hijratu ar-Rasul, walaupun peristiwa besar itu tidak berlaku pada awal bulan Muharram, hanya mungkin disebabkan mengambil sempena yang bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Hijriyyah. Oleh itu mengikut kemunasabahan itulah , sukalah dicatitkan sedikit peringat untuk diri sendiri dan rakan-kenalan tentang aspek niat pada amalan hijrah.
Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:
انما الاعمال بانيات وانما لكل امرى ما نوى فمن كانت هجرته الى الله ورسوله فهجرته الى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها او امرأة ينكحها فهجرته الى ما هاجر اليه (البخاري دان مسمم
Sesungguhnya segala [nilai] amalan tergantung pada niat,dan bahawa sanya pada setiap orang [mendapat] apa yang dia niatkan. Maka sesiapa yang hijrahnya bagi Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu bagi Allah dan Rasul-Nya, Dan sesiapa yang hijrahnya kerana [pertimbangan] dunia atau seorang perempuan yang ia ingin kahwini, maka hijrahnya bagi apa yang ia berhijrahkan.
Imam Nawawi menyebut banyak di kalangan ulama salaf memulakan penulisan kitab mereka dengan hadith ini, memandangkan pentingnya diluruskan niat kita bagi Allah di dalam segala amalan. Kita akan ditilik Allah berdasarkan niat yang tersirat di hati kita. Perbuatan dan tindakan kita hanya merupakan kenderaan bagi niat tersebut, maka kita mungkin mempunyai kenderaan yang sama dengan yang lain, Dalam banyak keadaan , kenderaan tidak semestinya mempamirkan tujuan pemandunya. Ada 4 wheels drive, digunakan untuk bersiar-siar dalam bandar, dan ada motorsikal Honda 50cc yang digunakan untuk memunggah kepingan getah dari ladang yang berbukit.
Maulana Zakariyya al-Kandahlawi menyebut usul penting yang perlu kita ambil-kira dalam buku tentang pendekatan politiknya iaitu Al-Eti'dal:
ألا مور بمقاصدها والشئ الواحد يتصف بالحل والحرمة باعتبار ما قصدله
Semua perkara bergantung pada maksud [tujuan]nya, sesuatu yang sama itu disifatkan [hukumnya semada] halal dan haram dengan i'tibar pada apa yang dimaksudkan dengannya.
Kita sepatutnya menilai seseorang, semada kepercayaan atau kenyataannya atau sesuatu peristiwa mengikut neraca shariat Sekiranya kita dapati yang ianya bertentangan dengan shariat, maka hendaklah kita mengingkari kemungkaran tersebut mengikut keupayaan kita. Selemah-lemah keupayaan ialah kita ingkarkan dengan hati kita. Maksudnya kita ikhlaskan keingkaran kita itu bagi menjunjung Suruhan Allah, tanpa bercampur perkiraan yang lainnya. Sekiranya keiklasan itu wujud , maka bertindaklah mengikut keupayaan yang lebih lagi semada dengan lidah atau dengan perbuatan.
Kita akan mengingkari kemungkaran tanpa mengira dari mana datangnya, keengkaran kita terhadap sesuatu kemungkaran itu semata-mata didorong oleh suruhan Agama, hatta ke atas diri, keluarga, jamaah dan kelompok kita sendiri atau status seseorang itu . Maulana Zakariyya menyebut sepotong hadith:
الا لايمنعن رجلا هيبة الناس ان يقول بحق اذا علمه
Beringatlah, kehebatan seseorang manusia itu tidak sepatutnya menegahkan seseorang dari mengatakan yang sebenar apabila diketahuinya.
Seperkara lagi, dalam membuat teguran kita hendaklah menjaga adab-adabnya. Adab yang paling asas ialah menghadirkan sungguh-sungguh keikhlasan hati kita kerana Allah, kita tidak terdorong oleh desakan dan kecenderungan lainnya. Ulama kerohanian sangat menekankan adab kita dengan Allah, adab dengan Rasul-Nya, adab sesama ummah, semada pemimpin atau orang awam, adab dengan manusia lain, adab dengan haiwan, adab dengan alam sekitar. Maulana Zakariyya mendatangkan ungkapan ulama kerohanian:
,ومن تهاون بالاداب عوقب بحرمان السنة ومن تهاون بالسنة عوقب بحرمان الفرائض ومن تهاون بافرائض عوقب بحرمان المعرفة
Barang siapa yang meringan-ringankan adab akan mengakibatkan dia terhalang daripada amalan sunnat, barang siapa yang meringan-ringankan amalan sunnat akan mengakibatkan dia terhalang daripada amalan-amalan fardu, sesiapa yang meringan-ringan amalan fardu akan mengakibat dia terhalang daripada makrifah.
Kita kembali merenung apa yang sedang berlaku dalam masyarakat kita, sedemikian banyak kemungkaran, kepura-puraan dan shubhah yang berlaku. Kita sememangnya lemas untuk bernafas lega . Bagaimana kita perlu berperanan sebagai seorang yang berpegang kepada keluhuran ajaran Islam?.
Sedemikian banyak kepalsuan yang dipakaikan dan dicelup dengan warna agama. Dari penjelasan yang berkaitan dengan aqidah, tasauf dan penahaman feqah secara khusus, belum dikira isu-isu masyarakat, politik, kepentingan bangsa dan negara.
Biarlah pencatit yang sangat terhad ilmu dan fahamnya ini berterus-terang, yang dia mengingkari ajaran kerohanian walaupun atas nama tariqah atau tasauf, apabila menyimpang dari keluhuran pegangan ahlu as-Sunnah wa al-Jamaah, umpama pegangan pengikut Arqam atau dakwaan Aurad Ismailiyyah (walaupun berubah nama) anjuran Syaikh Mahmud al-Qadahi. Yang menyimpang, kita katakan menyimpang. Tidak ada masaalah untuk kita patuh kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam hal-hal sebegini.
Pencatit ini juga mengingkari faham Pluralisme Kebenaran Agama (termasuk faham perrenialism) dan Islam Liberal, walaupun ianya semakin menjadi suatu trend dalam masyarakat. Agama yang di sisi Allah hanyalah Agama Islam. Sesiapa pada zaman ini yang menolak kerasulan dan shariat Saiyyidina Muhammad tidak berada di atas Jalan Keselamatan.
Pencatit ini juga mengatakan yang dia cintakan bangsanya, bangsa Melayu. ini berdasarkan kefahaman yang cintakan bangsa itu ada lanjutan kepada cintakan kaum kerabat, orang tua dan anak buah. Cintakan tanahair itu merupakan lanjutan daripada cintakan rumah-tangga, kampong halaman. Semua kecintaan ini tidak pernah dihalang oleh Islam, hanya Islam mengajar dan menetapkan bahawa segala kecintaan yang lain selain kecintaan kepada Allah, Rasul-Nya dan berjuang di Jalan-Nya hendaklah patuh dan merendah kepada kecintaan kepada yang tiga ini.
Dalam kegusaran kita melihat ada pihak yang mempertengahkan isu plurisme kebenaran agama, semada secara sedar atau tidak; ada pihak yang mencemuh agenda bangsa sebagai sesuatu yang bertentangan dengan Islam; ada pihak yang terlalu jinak dengan pemimpin ajaran yang difatwakan sesat secara resmi, kita perlu bertindak secara ditetapkan oleh shara, baik secara luaran walaupun secara batinnya. Tambahannya ada pula dituduh dengan salahlaku seksual secara melampau dan sebaliknya ada pula yang dikatakan terlibat dalam jenayah qazaf. Kita didengarkan dengan beraneka versi yang bukan sahaja berlainan bahklan bertentangan.
Akhirnya saya memperingatkan diri saya dan rakan kenalan dengan pesanan Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani, seorang hukama bangsa kita yang terbilang di kitab Fatawa al-Fataniyyah:
(Dan dengan sebab) tiada sah niat dan tiada ikhlas qasad itu, dibala'kan beberapa banyak mereka itu yang menzahirkan menegah daripada mungkar, padahal tiada membangkitkan [mendorong] akan dia atas menegah daripada mungkar itu melainkan semata-mata segala kehendak yang fasid atau barang yang bercampur seperti dengki dan riya'. Dan beberapa yang melawani oleh yang kena engkar akan yang mempunyai engkar [yang menegur kemungkaran] itu dengan sebab benci nya akan dengki dan riya'nya. Maka tiada memberi faedah engkar itu melainkan menambahkan perpanjangan fitnah dan mudarat. Wa iya zubillahi ta'ala,
Semoga kita akan mendapat anugerah kejernihan hati dengan kemurnian ikhlas , memperolihi pertunjuk dengan mengutamakan shara' daripada pertimbangan fikiran dan kepentingan diri dan kumpulan, memperolihi reda dengan patuh kepada Allah dan Rasul-Nya, serta dikurniakan Allah kebijaksanaan siyasah dalam meninggikan agama, ummah dan bangsa.
BAGUS ARTIKEL INI REFRESHING
ReplyDelete