Minggu lepas saya bercadang untuk ke Kuala Lumpur, bertujuan untuk bertemu, bersalam dan menumpang berkat Syaikh Said Ramadan yang berada di Ibu Negara itu ketika. Tetapi tiket penerbangannya, yang terendah antara Airasia, Mas dan Firefly masih terlampau tinggi, 2 ways ticket hampir mencecah RM600. Saya hanya mampu mengeluh ; keciciran peluang untuk menatap wajah ulama yang sangat saya kagumi ini.
Sejak tahun 1980'an lagi, saya mempunyai cita-cita untuk menemui ulama seperti Maulana Abu Hassan an-Nadwi, Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Syaikh Said Ramadan al-Bouti dan Syaikh Said Hawwa. Allah menganugerahkan nikmat-Nya kepada saya dapat bertemu Maulana Abu Hassan an-Nadwi di Kuala Lumpur, dan 20 tahun yang lalu saya meminta dari DSAI, ketika itu beliau adalah Menteri Pendidikan untuk membawa Syaikh Said Ramadan al-Bouti ke Kelantan (beliau berada di KL sempena Seminar Imam as-Shafi'e), DSAI bersetuju. Syaikh datang ke Kelantan diiringi oleh Ustaz Razali Nawawi. Alhamdulillah di atas nikmat Islam, Iman dan nikmat selainnya.
Saya tidak berkesempatan untuk bertemu Syaikh Abdul Fattah dan Syaikh Said Hawwa di dunia ini. Empat tokoh besar ini meninggalkan kesan pada pemikiran saya, saya melihat mereka sebagai ulama rabbani. Saya juga sangat meminati hasil-kerja Syaikh Dr. Abdul Halim Mahmud dan Syaikh Abdul Qadir Ahmad 'Ata.
Kedatangan Syaikh Said Ramadan bersama anakandanya Syaikh Dr. Taufiq Ramadan ke Kuala Lumpur adalah berita gembira kepada saya, dalam 2 ziarah saya ke Damsyik, saya menziarahi Dr. Taufiq. Saya sangat terhutang budi kepada penjelasannya tentang beberapa isu dakwah, saya memang bersetuju benar dengan pendekatannya dalam berpegang kepada Aqidah Imam Abu Hassan as-Sha'arie, beramal mengikut mazhab Imam as-Shafi'ie, menghormati ulama tasauf, dan mengelak dari politik kepartian .
Ketika berada di rumahnya, saya memohon untuk memasukki bilik datuknya, Mulla Ramadan, bilik itu di'preserve' sebagaimana ketika datuknya masih hidup, walaupun rumah itu di renovate.. Kami dibiarkan untuk beberapa lama berada di bilik itu, saya berusaha mengambil berkat dari bekas peninggalan Syaikh Mulla Ramadan dengan berbaring di atas katilnya, bersimpuh di atas sejadahnya dan duduk di atas kerusi bacaannya. Saya hanya sekadar menghadiahkan minyak urut yang saya ramukan menggunakan beberapa essential oils kepada Syaikh Said Ramadan melalui Dr.Taufiq.
Saya sangat kasihkan Syaikh Said Ramadan, semoga kasih saya itu kasih kerana Allah. Lihatlah betapa cermatnya dia mengendalikan perasaannya dalam buku 'Bagaimana Mendakwah Manusia Kepada Islam". Lihatlah bagaimana keluarga mulia ini diasuh dalam suasana subur kerohanian dan cinta ilmu dalam bukunya "Haza Walidi" [Inilah Ayahanda ku]. Alhamdulillah dari Dr. Taufiq, kami di talqinkan Hizb Imam an-Nawawi.
Berselang 2,3 hari, Syaikh Dr. Zulkifli Bakri datang ke Kota Bharu dan beliau menghubungi saya, beliau memberitahu yang beliau telah bertindak menjadi penterjemah kepada dua sesi ceramah Syaikh Said Ramadan di Kuala Lumpur, saya katakan saya terhibur dan terubat dari rasa terkilan dari tidak sempat bertemu Syaikh Said Ramadan dengan bertemu Dr. Zul yang telah menjadi penterjemah kepada syaikh yang sangat saya sanjung tinggi itu.
Insyallah saya akan mencatitkan apa-apa yang saya faham dari huraian Syaikh Said Ramadan dalam entries yang menyusul. insyaallah.
No comments:
Post a Comment