Akibat ada saja kerja yang perlu saya tangani pada hari-hari sabtu, maka kerapnya halaqah membaca kitab Riyadu as-Solihin karangan Imam an-Nawawi di masjid kecil di kampong berjiran tidak dapat dapat saya sempurnakan akhir-akhir ini. Bilangan orang kampong yang hadir sangatlah terbatas di masjid itu, tetapi ianya membawa erti yang besar kepada kehidupan saya. Saya telah tolong membaca kitab-kitab agama di masjid itu yang dihadiri oleh penduduk sekitarnya sejak hampir 20 tahun yang lalu, saya sangat mengharapkan agar Allah menilik usaha kecil saya ini dengan Tilikan Rahmat, dan menganugerahkan saya hemmah dan keikhlasan dalam meneruskan kerja ini.
Minggu lepas kami berkesempatan membaca hadith yang ke 8 dalam Bab Kelebihan Du'afa dari Kalangan Muslimin serta Fuqara dan Orang yang Lemah باب فضل ضعفة المسلمين والفقراء والخاملين
Hadith ini agak panjang , jadi saya datangkan terjemahannya lebih kurang:
Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Tiada berkata-kata bayi dalam buaian (di kalangan Bani Israel) kecuali 3 orang: Isa Ibn Maryam dan Juraij, adalah Juraij seorang lelaki yang kuat beribadat, dia tinggal di dalam binaan khas untuk peribadatan. (Suatu hari) ibunya mendatanginya (di tempat dia beribadat), sedangkan dia sedang bersembahyang. Ibunya memanggil : "Wahai Juraij !", Juraij berkata (di dalam hatinya) : "Wahai Tuhan, ibuku atau sembahyangku?" Lalu dia meneruskan sembahyangnya. Lalu ibunya pulang. Kemudian esuk harinya, ibunya mendatangi dia lagi, sedangkan dia juga di dalam sembahyang. Ibunya memanggilnya: "Wahai Juraij !".Juraij berkata: "Wahai Tuhan, ibukukah atau sembahyangku?". Lalu dia meneruskan sembahyangnya. Kemudian keesukannya pula, ibunya sekali lagi mendatangi dia, sedangkan dia juga di dalam sembahyangnya. Ibunya memanggilnya: "Wahai Juraij !" Juraij berkata: "Wahai Tuhan, ibukah atau sembahyangku?". Dia meneruskan sembahyangnya. (Ibunya terasa hati) lalu dia berdoa : "Ya Rab, jangan Engkau matikan dia sehingga dia (terpaksa) menatap wajah perempuan yang jalang"
Orang ramai di kalangan Bani Israel bercakap-cakap tentang keutamaan Juraij serta ibadatnya. Terdapat seorang perempuan jalang yang cantik paras rupanya. Dia berkata orang ramai; "sekiranya kamu mahu, aku akan timpakan fitnah ke atasnya (yakni Juraij)". Perempuan itupun berusaha untuk menggoda Juraij, tetapi Juraij tidak mengendah atau melayannya. Lalu perempuan itu mendatangi seorang pengembala kambing yang menternak berhampiran dengan tempat ibadatnya Juraij, , perempuan itu telah berjaya membuatkan pengembala itu mengikut kehendaknya, lalu pengembala tersebut menyetubuhi perempuan itu, dia pun hamil.
Ketika dia melahirkan kandungannya, dia mengatakan: "anak ini dari Juraij". Maka orang ramaipun menyerang tempat ibadat Juraij, mereka mengeluarkannya, mereka meruntuhkan binaan tempat ibadatnya, mereka memukulnya (ada riwayat yang mengatakan yang Juraij dikat tali dilehernya lalu diarak di khalayak ramai). Juraij bertanya : "apa sebenarnya pekerjaan kamu ini?". Mereka menjawab: "engkau telah berzina dengan pelacur ini sehingga dia melahirkan anak dari engkau !".
Juraij bertanya: "di manakah kanak-kanak itu?". Lalu mereka membawa kanak-kanak tersebut. Juraij berkata; "benarkan aku bersembahyang sebentar". Lalu dia bersembahyang. Selesai dia dari sembahyangnya, dia mendekati kanak-kanak tersebut, lalu disentuh (dengan jari-jarinya) perut kanak-kanak tersebut dan dia bertanya: "wahai anak, siapakah bapa engkau?". Lalu kanak-kanak itu menjawab: "sifulan, pengembala".
Lalu orang ramai tadi memeluk Juraij, menyapu-nyapunya serta mereka berkata: "kami akan bina untuk kamu tempat ibadat daripada emas (sebagai ganti)" Juraij menjawab: "tidak, binalah daripada tanah sebagaimana sebelumnya". Lalu mereka lakukan (sebagaimana yang diminta Juraij).
Sewaktu seorang bayi sedang menyusu di dada ibunya, lalulah di depan mereka seorang lelaki di atas haiwan tunggangan, dia seorang yang bergaya dan berpakaian eluk. Ibunya berdoa: " Allahumma, jadikan anakku seumpama orang ini". Lalu bayi itu melepaskan tetek, dia berppusing ke arah lelaki tersebut dan melihatnya, lalu dia berdoa: "Allahumma, janganlah jadikan aku seumpamanya". Kemudian dia berpusing semula ke tetek dan kembali menyusu. [Abu Hurairah yang meriwayatkan hadith ini mengatakan "aku terbayang Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam menghisap jari telunjuknya ketika baginda menyampaikan cerita ini"]. Kemudian baginda berkata: Kemudian lalu seorang hamba perempuan, orang ramai memukulnya sedang mereka berkata: "engkau telah berzina, engkau telah mencuri !". Perempuan itu berkata: "hasbunallahu wa ni'ma al-wakil" حسبى الله ونعم الوكيل
Ibunya berkata: "Allahumma, janganlah jadikan anakku seumpamanya". Bayi itu berhenti menyusu dan memerhati perempuan tersebut, maka dia berkata: "Allahumma, jadikan aku seumpamanya".
Dalam hal yang sedemikian, ibunya menanyakan bayi tersebut kenapa disanggahi apa yang didoanya, dia berkata: "Ketika lalu seorang lelaki yang kelihatan eluk panampilannya, maka aku doakan: "Allahumma, jadikan anakku seumpamanya", maka engkau berdoa: Allahumma, jangan jadikan aku seumpamanya". Sedangkan ketika lalu seorang hamba perempuan, sedang orang ramai memukulnya dan mereka berkata; "engkau telah berzina, engkau telah mencuri".Lalu aku berdoa :"Allahumma, janganlah jadikan anakku seumpamanya", maka engkau berdoa: "Allahumma, jadikan aku seumpamanya".
Lalu bayi itu menjawab: lelaki tersebut adalah seorang yang megah-sombong. Itulah sebabnya aku berdoa : "Allahumma, jangan jadikan aku seumpamanya". Dan hamba perempuan itu pula yang mereka katakan: "engkau telah berzina, engkau telah mencuri". Sebenarnya dia tidakpun berzina, tidakpun mencuri. Itulah sebabnya aku berdoa: Allahumma, jadikan aku seumpamanya". [Bukhari dan Muslim]
Saya cuba memahami sedikit sebanyak pengajaran dari hadith ini dengan memanafaatkan kitab Dalilu al-Falihin, syarah bagi Riyadu as-Solihin.
Antaranya pengajaran dari hadith ini:
-manusia suka menilai berdasar khayalan mereka berasaskan yang zahir kepada mereka. seumpama ummah Nabi Musa ketika melihat kemewahan Qarun, mereka mengimpikan kekayaan seumpama yang dimiliki Qarun, berlainan dengan sikap ahli ilmu di kalangan mereka yang sedar bahawa pahala dari Allah itu jauh lebih berharga dari segala kekayaan itu.
-tuduhan terhadap seseorang manusia itu berzina seolah-olah datang bersekali dengan beberapa 'petunjuk/evidences yang membenarkan tuduhan tersebut. Dalam kisah Juraij, seumpamanya ada perempuan jalang yang cantik, dia mendakwa dia akan menundukkan Juraij, dia memang mendatangi tempat ibadat Juraij, dia kemudiannya mengandung dan melahirkan anak yang didakwanya anak Juraij. Begitu juga dengan kisah bayi tersebut, seorang hamba perempuan yang dianggap murahan, telah dipukul secara beramai-ramai kerana tuduhan berzina dan mencuri.
-tuduhan berzina walaupun terhadap peribadi-peribadi yang mulia dapat diterima oleh orang banyak. Tuduhan zina adalah tuduhan yang amat dahsyat, yang menghancur nama baik seseorang serta nama baik keluarga. Malangnya orang ramai , termasuk yang beriman, yang sebelumnya memuji seumpama Juraij kerana kewara'annya juga dapat pula menerima tuduhan yang Juaraij telah berzina dengan perempuan jalang. Begitu juga ibu kepada bayi di dalam hadith ini, beliau adalah seorang wanita yang beriman, sehingga beliau berdoa agar anaknya janganlah Allah jadikan anaknya seumpama hamba perempuan, kerana percaya kepada tuduhan yang hamba itu telah berzina dan mencuri. Begitu juga dengan segelintir sahabat di Madinah yang mempercayai tuduhan terhadap Saiyyidatina Ai'syah dalam peristiwa Ifik. Apalah lagi sekiranya tuduhan sedahsyat itu dituduh kepada orang seumpama kita yang sekerdil ini, semoga Allah menyelamatkan kita semua.
-kepatuhan kepada ibu merupakan tuntutan yang begitu berat di dalam syara'. Sehingga terdapat perbahasan panjang di kalangan ulama tentang permasalahan seumpama yang dialami oleh Juraij, apakah perlu dihentikan sembahyang demi menjawab panggilan ibu. Nampaknya ulama mazhab Imam as-Syafi'ie mengatakan perlu keluar dari sembahyang sekiranya dipanggil oleh ibu seandainya sembahyang itu adalah sembahyang sunnat dan tidak menjawab itu menyakiti hatinya. Sekiranya ianya sembahyang fardu, maka perlu diteruskan sembahyang kecuali bagi Imam al-Haramain yang mengatakan sehingga sembahyang fardupun perlu dihentikan kecuali masa bagi sembahyang itu telah kesuntukan. Doa ibu sangat dimustajabkan Allah.
-kita sepatutnya bersembahyang ketiika didatangi kesusahan dan fitnah. Sembahyang merupakan tali-penghubung kita dengan Allah dan kaedah kita untuk mendapat kekuatan dan memperolihi pertolongan dari Allah. Apabila terdapat sesuatu hal yang menyedihkan Rasulullah, baginda segera bersembahyang. Sebagaimana Allah memerentah kita agar berlindung dengan bersabar dan bersembahyang.
-Allah akan menolong hamba-Nya yang patuh dan benar hati mereka kepada-Nya, Allah akan mengeluarkan hamba-Nya yang benar-hati dengan selamatnya dari fitnah, kadang-kadang terkemudian masa bagi perlepasan dan pertolongan dari Allah terzahir, dan ianya mempunyai hikmah bagi mendapat pahala untuk keteguhan hati dan keyakinan yang tidak goyah kepada-Nya.
-melazimi zikir terutama ketika ditimpa musibah sebagaimana hamba perempuan tersebut telah menghadapi siksaan itu dengan hati yang berserah kepada Allah. Antara zikir yang perlu dibaca ketika ditimpa musibah dan ujian yang dahsyat ialah : hasbunallah. Ucapan zikir itulah yang dibaca oleh Saiyyidina Ibrahim ketika dilontar ke dalam api besar yang marak membakar, ucapan zikir itulah juga yang dibaca oleh Rasulullah dan para sahabat yang serba kekurangan secara fizikalnya ketika terkepung kelaparan dan kesejukan semasa peperangan Khandak.
-terdapat keadaan yang perbezaaan daripada kemahuan ibu itu adalah perbuatan yang lebih utama. Iaitu ketika kita bersama kebenaran, dan perbezaan itu dilakukan mengikut tuntutan syara' dan dilakukan secara beradab.
-kita digalakkan berdoa kepada Allah untuk memperolihi kebaikan dan meminta perlindungan dari keburukan mengikut kemunasabahan peristiwa yang berlaku. Bayi tersebut berdoa agar Allah jadikan dia seumpama perempuan yang dituduh dengan perbuatan zina dan mencuri, maksudnya dia berdoa agar Allah memberi keimanan dan keteguhan hati kepadanya seumpama perempuan tersebut. Bukannya minta dibala'kan seumpama perempuan itu telah dibala'kan. Kita ditegah oleh syara' dari berdoa mengharapkan bala'.
-Rasulullah telah menyampaikan kisah ini dengan berkesan, sehingga meninggalkan kenangan yang terpahat di ingatan Saiyyidina Abu Hurairah yang mana baginda sehingga menghisap jari telunjuknya bagi penghayatan kisah ini. Kita perlu mencari jalan agar dakwah kita berkesan kepada pendengarnya. Kisah ini turut diriwayatkan dalam banyak kitab-kitan hadith oleh imam-imam selain Imam Bukhari dan Imam Muslim. Kita perlu mengambil pelajaran dari message penting yang terkandung di dalamnya
Wallahu 'alam
No comments:
Post a Comment