Sekadar menambah sedikit apa yang saya telah sebutkan di bahagian akhir Pluralism & Plurality Agama I. Iaitu soal muslim democrat. Secara ringkasnya democrate merujuk kepada : a person who believes in or support democracy.
Mungkin juga sekarang ini isu pluralism agama agaknya dilayani oleh muslim political practitioner secara yang sangat santun serta berlapik-lapik sehingga kebenaran sukar terserlah kerana strategy muslim democrat yang mahu mempunyai wajah Islam berserta wajah democrate sekali gus.
Allah berfirman:
وان تطع اكثر من فى اللارض يضلوك عن سبيل الله ان يتبعون الا الظن وان هم الا يخرصون
Dan jika kamu mengikut kebanyakan manusia yang di bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkan kamu dari Jalan Allah. Mereka tidak lain kecuali mengikut persangka belaka, dan mereka tidak lain hanya berdusta. [al-An'am:116]
Allah berfirman:
وما اكثر الناس ولوحرصت بمؤمنين
Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman- walaupun engkau sangat mengingininya. [Yusuf:103]
Allah berfirman:
فلا تك فى مرية انه الحق من ربك ولاكن اكثر الناس لا يؤمنون
Maka itu janganlah engkau ragu-ragu tentangnya (al-Quran dan agama Islam). Sesungguhnya ianya benar-benar dari Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia tidak beriman [Hud: 17]
Ayat-ayat ini menunjukkan majoriti manusia (iaitu kaedah demokrasinya) di muka bumi tidak akan menerima kebenaran Islam walaupun kita gigih berusaha. Sekalipun mereka menolak kebenaran Islam, kita hendaklah teguh berpegang kepada kebenaran yang datang daripada Allah ini, tiada kompromi dalam soal ini. Kita tidak akan bersikap pragmatik sehingga melanggar had-had yang ditentukan oleh agama, walaupun ianya mengganggu impian kita untuk memperolihi kekuasaan ataupun harta.
Ayat-ayat ini juga menunjukkan pada dasarnya kebenaran ditentukan oleh Allah; aqal manusia yang beriman akan mengiyakan dan patuh kepada kebenaran tersebut. Pendapat manusia hatta yang membentuk pandangan majoriti itu sekalipun hanyalah sebenarnya kefahaman di peringkat sangkaan dan agakan. Sekiranya kita meninggalkan Kebenaran yang mutlak kerana mengikut pandangan majoriti manusia (secara demokrasi), atau untuk memuaskan majoriti manusia, maka kehidupan beragama kita akan binasa.
Keberadaan sebahagian individu daripada ummah ini dalam kancah politik demokrasi ada kalanya perlu; bahkan kadang-kadang usaha ini dapat banyak membantu ummah dalam kehidupan mereka. Ummah perlu memenafaatkan sistem demokrasi untuk dakwah, untuk membaikki sebahagian infra-struktur yang melibatkan kepentingan ummah. Ketika berada dalam gelanggang demokrasi, kita perlu patuh kepada norma-norma demokrasi; kita perlu bergerak dalam gelanggangnya mengikut peraturan yang ditentukan.
Begitu juga agaknya bagi sesetengah muslim yang berada di negara kominis, perlu bagi sebahagian mereka melibatkan diri dalam parti kominis, menganggotai politburo, untuk mencari ruang yang dapat membuka luang kebaikan kepada ummah serta mengurangkan kemudaratan kepada ummah. Tentunya agak janggal untuk kita memanggil saudara kita yang terlibat dalam gelanggang politik di negara kominis sebagai muslim communist, sejanggal kita mengelar kita muslim democrat bagi kita yang terlibat dalam politik di negara demokrasi.
Tetapi untuk menjadi seorang democrate yang menyakini dan memperjuangkan demokrasi sebagai matlamat hidup bermasyarakat adalah suatu isu yang berbeza. Sudah tentu bagi saudara-saudara kita yang terlibat dalam proses politik secara demokrasi tidak sepatutnya mengkhianati dan menyalah-guna amalan-amalan demokrasi, tetapi bukan bererti kita adalah penganut demokrasi. Yang kita terlibat itu adalah aturcara secara demokrasi bukan memeluk faham dan menyanjung ideal-nya. Kerana demokrasi adalah salah satu dari dua belah bagi sekeping syiling yang sama, sedangkan suatu belah lainnya bagi syiling itu adalah sekularisme.
Sistem demokrasi adalah umpama sebuah pasar terbuka (open market), semua pihak dari faham yang beragam boleh mengiklan dan menjual fahaman masing-masing. Tiada suatu faham, tiada suatu pegangan yang mengatasi atau mempunyai kelebihan daripada yang lainnya, kecuali nilai-nilai demokrasi serta amalannya lah yang berkuasa ke atas semua. Termasuk kita yang mengiklankan perlaksanaan syariah duduk sama rendah , berdiri sama tinggi dalam 'open market' ini dengan kumpulan-kumpulan lain termasuk kumpulan yang menjaja atheism dan humanisme.
Kita laungkan Islam adalah ajaran agama yang lengkap, yang tertinggi hingga tiada yang mengatasi ketinggiannnya, kita herdik mereka yang mengatakan politik bukan daripada urusan agama. Tetapi kita sendiri bergelumang luar dan dalam di dalam sistem politik yang bukan daripada ajaran Islam, bahkan sistem politik yang bertunjangkan masyarakat purba Roman. Sistem politik yang dikembang-biak oleh negara-negara barat yang kita isytiharkan sebagai negara-negara yang sekular dan kadang kala anti agama. Apakah kita yakin yang kita dapat tegakkan agama kita dengan cara ini?
Bagaimana agaknya hendak kita patuh kepada saranan Allah dalam usaha kita menegakkan kebenaran agama?:
قل هذه سبيلى ادعوا الى الله على بصيرة انا ومن اتبعنى وسبحان الله وماانا من المشركين
Katakanlah inilah Jalanku, aku berserta pengikutku menyeru kepada Allah di atas basirah, Maha suci Allah, bukanlah aku daripada orang musyrikin [yusuf:108]
Kita semua beriman yang walaupun terdapat pelbagai kepercayaan dan pegangan, tetapi satu-satunya agama yang diterima Allah adalah Islam
شهدالله انه لا اله الا هو والملائكة واولو العلم قائما بالقسط لااله الا هو العزيز الحكيم ان الدين عند الله الاسلام
Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan kecuali Dia, serta para malaikat dan orang yang berilmu (pun turut bersaksi ), Tuhan yang menegakkan keadilan. Tiada Tuhan kecuali Dia yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana. Sesungguhnya satu-satunya agama di sisi Allah adalah Islam. [18-19: Ali 'Imran]
Kita diarahkan oleh Allah agar memenuhi keseluruhan hidup kita dengan menghayati ajaran Tauhid dan ikhlas beribadat kepada-Nya. Kita yakini usaha-usaha agama semada di peringkat diri mahupun di masyarakat luas bermaksudkan untuk mendapat reda-Nya dalam rangka ubudiyyah kita kepada-Nya. Kita berusaha untuk menjalankan tanggung-jawab kita kepada Allah mengikut apa yang diperentah-Nya dan Rasul-Nya. Kita sedar yang menentukankan natijah amalan kita adalah Allah, termasuklah rahmat bagi mendapat tampuk pemerentahan:
قل اللهم مالك الملك تؤتى الملك من تشاء وتنزع الملك ممن تشاء وتعزمن تشاء وتذل من تشاء بيدك الخير انك على كل شيئ قدير
Katakanlah: Ya Allah Penguasa bagi Pemerentahan, Engkau memberi pemerentahan kepada siapa yang engkau kehendaki dan Engkau cabut pemerentahan daripada siapa yang engkau kehendaki, Engkau muliakan siapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau hinakan siapa yang Engkau kehendaki, di Tangan Engkaulah segala kebaikan, Sesungguhnya Engkau berkuasa di atas segala sesuatu [ali 'Imran:26]
Kita juga beriman yang Allah tidak menyalahi syarat-syarat yang diletakkan-Nya untuk menunaikan janji-Nya, walaupun yang kita kemuncak matlamat kita adalah untuk mendapat keredaan-Nya, bukan pemenuhan janji tersebut:
وعدالله الذين امنوا منكم وعملوا الصالحات لستخلفنهم فى الارض كما استخلف الذين من قبلهم وليمكنن لهم دينهم الذى ارتضى لهم وليبدلنهم من بعد خوفهم امنا يعبدوننى لا يشركونبى شيئا ومن كفر بعد ذلك فأولئك هم الفا سقون
Allah telah berjanji bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh , bahawa Allah akan menjadikan mereka khalifah di muka bumi, sebagaimana orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah dijadikan khalifah, dan Allah akan mengukuhkan bagi mereka agama mereka, agama yang Dia redai bagi mereka, dan Dia akan menukarkan bagi mereka selepas ketakutan (kebimbangan) mereka dengan keamanan. Mereka beribadat kepada Aku, mereka tiada mensyrikkan-Aku dengan suatu juapun. Dan barang siapa yang kufur selepas yang demikian itu, maka mereka itu adalah golongan yang fasiq. [an-Nur:55]
Semoga keyakinan kita terhadap kefahaman 'berpolitik' yang diajar oleh al-Quran dan diteladani oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam serta salaf as-soleh akan bertunjang kuat di dalam kesedaran kita. Marilah kita (walaupun tidak mempunyai bahagian dalam pemerentahan berkerajaan) ulangi doa Saiyyidina Yusuf Alaihi as-Salam:
رب قد ءاتيتنى من الملك وعلمتنى من تأويل الاحاديث فاطر السموات والارض أنت ولي فى الدنيا والاخرة توفنى مسلما والحقنى بالصالحين
Tuhan, sesungguhnya Engkau telah menganugerahi kepadaku pemerentahan, dan Engkau telah mengajar kepadaku takwil (tafsir) kepada peristiwa yang berlaku (semada dalam mimpi atau dalam alam nyata), Engkau yang menjadikan langit dan bumi, Engkau adalah Pelindungku di dunia dan di Akhirat, matikanlah aku sebagai seorang muslim, sertakanlah aku bersama golongan solihin.
Amin Ya Rab!
No comments:
Post a Comment