Sunday, January 30, 2011

Kehormatan dan Kepentingan Golongan Yang Terpinggir

Kita mungkin sahaja tidak ternampak kehormatan dan perhatian yang perlu kita berikan kepada golongan yang berada di pinggiran masyarakat. Mereka tidak mempunyai nama-nama besar, tanpa jawatan penting, bukan dari keluarga ternama, bahkan mereka adalah 'orang biasa' pada neraca kita.

Rupanya Islam datang mengajar kita sesuatu pengajaran yang sukar untuk kita pelajari dari sumber lain. Kita akan terlupa pandang kepada golongan yang kita nampak bersusuk 'kerdil' dari segi pengaruh dan kuasa yang ada pada mereka. Ada mereka dengan tiada mereka dalam banyak keadaan hampir serupa, bahkan kadang-kadang kehadiran mereka hanya sekadar menambahkan bilangan. Kuantiti bukan kualiti.

Dalam Riyadu as-Solihin, Imam an-Nawawi mendatangkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Saiyyidina Abu Hurayrah.

أن أبا سفيان أتى على سلمان وصهيب وبلال فى نفر فقالو : ما أخذت سيوف الله من عدوالله مأخذها, فقال أبو بكر رضى الله عنه: أتقولون هذا لشيخ قريش وسيدهم؟ فأتى النبي صلى الله عليه وسلم فأخبره, فقال : يا أبا بكر لعلك أغضبتهم لقد أغضبت ربك , فأتاهم فقال: يا أخوتاه أغضبتكم؟ قلوا: لا, يغفر الله لك يا أخىز

Sesungguhnya Abu Sufyan (berseorangan) melalui Salman, Suhaib dan Bilal yang berada bersama. Mereka mengatakan: "kenapakah 'pedang-pedang Allah' tidak mengambil dari musuh Allah ini apa yang patut diambilnya?". Maka berkata Saiyyidina Abu Bakar: "adakah (patut) kamu berkata seumpama ini kepada pemimpin kepada kaum Qurasih dan ketua mereka?". Kemudian Saiyyidina Abu Bakar mendatangi Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam dan mencerita hal itu kepada baginda. Baginda bersabda: "wahai Abu Bakar!, mungkin sahaja engkau telah menyebabkan mereka itu marah, dan sekiranya engkau menyebabkan mereka itu marah, niscaya Allah (juga turut) marah kepada engkau". Lalu Saiyyidina Abu Bakar mendatangi semula mereka tadi dan beliau berkata: " wahai saudara-saudara, adakah kamu telah marah kepadaku?". Mereka menjawab : "tidak semoga Allah mengampuni engkau wahai saudaraku"

Peristiwa ini berlaku selepas Perjanjian Gencatan Senjata Hudaibiyyah dimeterai antara muslimin dan kaum Quraish, sedangkan Abu Sufian ketika itu masih belum memeluk Islam. Beliau merupakan ketua bagi masyarakat Makkah dan ketua perang ketika mereka menyerang muslimin di Madinah.

Sedangkan ketiga orang sahabat yang berhimpun itu adalah hamba-hamba yang telah dimerdekakan; Saiyyidina Salman berasal daripada Parsi, Saiyyidina Suhaib daripada Rom dan Saiyyidina Bilal daripada Habsyah.

Saiyyidina Abu Bakar menegur mereka di atas komen mereka yang keras terhadap Abu Sufian, teguran ini disebabkan hasratnya agar Abu Sufian akan mendapat 'good impression' tentang Islam dan muslimin, serta ini akan mendorong beliau dan pengikutnya untuk berjinak dengan Islam dan akhirnya menyertai kaum muslimin. Tetapi Saiyyidina Abu Bakar tidak merasa tenang dan tenteram dengan teguran yang telah dibuatnya lalu beliau pergi menjumpai Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam untuk mendapat penjelasan yang sepatutnya.

Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam memahami hasrat dan dorongan bagi teguran yang telah buat oleh Saiyyidina Abu Bakar, walaupun begitu masih Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam mengingatkan Saiyyidina Abu Bakar yang kemarahan tiga orang bekas hamba yang beriman itu akan mengundang kemurkaan Allah ke atas beliau. Tahap kedudukan mereka yang agak terpinggir di dalam masyarakat itu tidak mempunyai nilaian di sisi Allah, bahkan Allah melihat kepada ketaqwaan mereka. Kedudukan politik yang tinggi yang dinikmati oleh Abu Sufian itu tidak dapat meminggirkan kepentingan tiga orang sahabat bekas hamba tadi, bahkan perkiraan berdasarkan 'potential' kepada ummah sekiranya Abu Sufian itu memeluk Islam juga tidak dapat meminggirkan 'the existing fact', yang tiga sahabat tadi telah beriman dan memberi sumbangan besar kepada Islam dan ummah,

Lihatlah bagaimana halusnya akhlaq yang diajar oleh Rasulullah kepada kita. Lihatlah juga bagaimana Saiyyidimna Abu Bakar tidak mempertahankan tindakannya yang membuat teguran terhadap ketiga sahabat tadi, bahkan beliau terus menemui mereka dan mengakui kesilapan beliau. Ketiga sahabat tadipun tidak pula berkecil hati terhadap teguran Saiyyidina Abu Bakar kerana mereka memahami apa yang telah mendorong beliau membuat teguran. Kesemua mereka ini adalah mereka yang berjiwa besar, mereka adalah umpama bintang-bintang yang menunjukki arah jalan bagi pengembara yang bermusafir di jalan kebenaran.

Kedudukan seseorang atau golongan itu terpinggir atau berada hampir kepada paksi hanyalah terletak di atas cara kita membuat penilaian. Kedudukan itu sebenarnya ditentukan berdasarkan perspective dan orientation 'logic' kita. Logic kita pula sepatutnya logic yang dibina atas dasar ajaran Allah dan Rasul-Nya.

Maka janganlah kita meremeh sesiapapun yang kelihatan berada di pinggiran berdasarkan logic sendiri. Lihatlah apa yang mencetuskan gelombang besar di Tunisia, kemudian berjangkit ke Masir dan tempiasnya turut dirasai di negara-negara lain. Ianya dicetuskan oleh seorang pemuda penganggur yang membuka gerai kecil tanpa lesen dari Majlis Perbandaraan, gerai kecil di tepi jalan. Pihak berkuasa tidak melihat 'kuasa' dan 'pengaruh' yang akan ada pada pemuda ini. Mereka meremehkan rayuan beliau, dan lihatlah akibat dari kuasa dan pengaruh tindak-balas pemuda pinggiran tersebut terhadap pemimpin-pemimpin serta keluarga mereka yang berada di kawasan piuncak dan paksi kuasa di negara masing-masing. Aduhai seorang pemuda yang menganggur , seorang peniaga kecil jalanan mampu menggugat kekuatan kerajaan serta menteri-menterinya, mampu melemahkan kuasa polis dan tentera, mampu mengerakkan ratusan ribuan penunjuk perasaan.

Marilah kita belajar dari apa yang telah dipesan oleh Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam kepada kita, marilah kita kita mengambil iktibar dari apa yang sedang berlaku di Afrika Utara, Hendaklah kita menyantuni golongan yang kita anggap pinggiran selayaknya, sebagaimana yang dituntut oleh ajaran agama kita.

Tentunya ramai di antara kita yang ingin melihat Islam terserlah di tanahair kita merasa terkilan sekiranya benar berita bisik-bisik yang mengatakan ada pemimpin yang sampai menyelar golongan peniaga kecil dengan gelaran yang tidak sepatutnya keluar dari pemimpin yang memakai wajah Islam seumpama ungkapan 'biawak pasir', "berfikir dengan kepala lutut' atau sejenisnya walaupun mungkinnyapeniaga-peniaga kecxil ini mengada-adakan masaalah sekalipun. Sekiranya bisik-bisik ini benar, kita terlintas yang mungkin inilah juga susuk pemimpin yang pernah nampak riang ceria melayani Maya Karim pada suatu masa dahulunya. Kita tidak mengharapkan kecerian dan keriangan yang sebegitu ketika beliau berdepan dengan peniaga-peniaga kecil-kecilan ini, tetapi paling kurang janganlah dikasari mereka dengan ungkapan-ungkapan yang hanya mempamirkan keangkuhan si penutur sahaja. Apalagi ungkapan itu dituturkan dalam majlis ilmu dan dibuat secara public. Ya Allah ampuni keterlanjuran kami!

Semoga Allah memberi kita sedikit kekuatan yang dianugerahi kepada Saiyyidina Abu Bakar, yang telah mengakui keterlanjuran beliau (walaupun didorong niat yang baik) untuk menemui semula ketiga sahabat bekas hamba untuk mengakui keterlanjuran beliau.

Ya Allah rahmatilah kami dengan menyertakan kami dalam faham dan amal yang Engkau telah anugerahkan kepada Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam serta para sahabat baginda.

No comments:

Post a Comment