Setelah kita menerima exclusive-nya kebenaran dalam kehidupan beragama;maka ini menjadikan kita bersedia untuk menerima sikap dingin malah penentangan golongan selainnya. Kita ulang-ulangkan dalam lafaz takbir kedua hari raya bahawa Allah benar pada janji-Nya, Allah sendiri akan menolong hamba-Nya (yang berusaha di atas kebenaran), Allah akan memperkukuhkan tentera-Nya, Allah akan menghancurkan gerombolan lawan secara sendirian-Nya.
Dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang membawa maksud yang sama, antaranya ayat 8 surah al-Anfal, ayat 32, 33 & 48 surah at-Taubah, ayat 82 Yunus, ayat 14 surah al-Ghafir, ayat 8 dan 9 surah as-Saf, ayat 70 surah al-Mukminun.
Tidak mungkin kita menerima pluralism dalam menentukan Kebenaran yang Menyelamatkan. Kita beriman dengan penuh keyakinan yang Kebenaran yang Menyelamatkan hanya terdapat dalam ajaran agama Islam. Islam datang sebagai agama yang sempurna dan sesuai untuk seluruh masa dan zaman. Kita beriman kepada Risalah Islam yang bersifat perennial, kita menolakkan faham perennialism, yang menganggap semua agama dalam bentuk tradisionalnya masih berlaku Kebenarannya sampai bila-bila. Sekiranya terdapat unsur perennialism dalam kesemua agama dalam bentuk traditional-nya, maka unsur itu ialah unsur Tauhid. Unsur Tauhid yang murnilah yang telah menjadi fokus utama bagi semua perutusan para rasul dan nabi di sepanjang zaman; unsur Tauhid merupakan tuntutan fitrah manusia dan pemenuhan ikrar manusia dengan Allah di alam arwah lagi. Tidak mungkin aqal yang dibina di atas dasar Tauhid dapat menerima dakwaan yang kepelbagaian kepercayaan dan amalan syirik itu hanya berbeza daripada Tauhid yang Khalis secara horizontal, yang mana secara vertical-nya kesemua ajaran tersebut bercantum pada kemuncaknya, seakan-akannya kesemuanya mendapat reda perkenan-Nya!
Tidak sepatutnya timbul seakan-akan terdapat fahaman menolak kepelbagaian ( plurality) agama di kalangan ummah ini, sebagaimana yang seakan-akan cuba digambarkan dalam tulisan Abu Iman dalam blognya. Tiada manusia yang sihat akan menolak hakikat yang ditentukan oleh Allah, yang mana sebahagian manusia mendapat hidayah, sebahagian lain akan tersesat daripada hidayah. Sebahagian manusia akan memasukki syurga dengan rahmat-Nya, sebahagian akan terhumban ke neraka dengan keadilan-Nya. Sebahagian akan beriman dengan para Rasul dan Hari Akhirat sementara sebahagian akan kfur kepada para Rasul dan Hari Akhirat. Menolak plurality beragama bermaksud menolak ketentuan yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran.
Allah menyebut:
لا اكراه فى الدين قد تبين الرشد من الغى فمن يكفر بالطاغوت ويؤمن با لله فقد استمسك بالعروة الوثقى لا انفصام لها والله سميع عليم
Tidak ada paksaan untuk (memeluk) agama Islam, sesungguhnya telah jelas kebenaran daripada kesesatan. Maka sesiapa yang kufur kepada taghut serta beriman dengan Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada Tali yang kukuh, yang tidak akan terputus. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui [al-Baqarah:256]
Ayat ini diikuti dengan ayat yang menyatakan Allah adalah Pelindung bagi orang yang beriman, Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kegelapan kepada Cahaya, sementara syaitan adalah pelindung bagi orang-orang kafir, dia mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan-kegelapan, nanti mereka akan dihumban ke dalam neraka.
Beriman yang Kebenaran yang Menyelamatkan hanya terdapat di dalam Islam, telah menyebabkan Rasulullah begitu 'tertekan' dengan penolakan dakwah oleh golongan kuffar. Allah menyebut persoalan ini dalam 99-103 surah Yunus. Sehingga Allah menyatakan:
افانت تكره الناس حتى يكونوا مؤمنين
Apakah engkau (hendak) memaksa manusia sehingga jadilah mereka itu beriman?
Bagaimana mungkin kita ummah Rasulullah, ummah dakwah boleh dengan senang hati menerima kekufuran seadanya?. Kita bukan mahu memaksa sesiapapun untuk memeluk Islam, tetapi kita wajib menyediakan suasana yang condusive untuk manusia memeluk ajaran yang akan menyelamatkan mereka di dunia ini dan di Akhirat kelak. Kita tidak boleh berpada hanya dengan meraih sokongan golongan bukan Islam kepada kita dalam usaha kita untuk menambahkan pengaruh dan kuasa kita di dunia ini, kerana itu hanyalah perbuatan mementingkan diri dan kelompok kita semata-mata. Apakah keselamatan yang lebih utama selain daripada Keselamatan daripada murka Allah, apakah bencana yang lebih dahsyat selain daripada bencana syirik dan kekufuran?.
Kita menyeru mereka kerana didorong oleh rasa kasih-sayang kita terhadap mereka, kasihan belas kita terhadap mereka, agar mereka selamat daripada terhumban di dalam kebinasaan. Sebagaimana yang Allah memerentah Rasul-Nya menyebut:
قل لا أسئلكم عليه أجرا الا المودة فى القربى
Katakanlah: "aku tidak meminta kamu atas usaha dakwah ini sebarang balasan, kecuali ianya didorong oleh kasih-sayang kekeluargaaan" [23:Yunus]
Sebagaimana nasihat seorang lelaki yang beriman kepada penduduk kota di dalam ayat 20-21 surah Yasin yang bermaksud 'ikutilah orang-orang yang tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (atas usaha dakwah mereka), sedang mereka adalah orang-orang mendapat pertunjuk'(di atas agama yang benar).
Keinginan kita agar Kebenaran yang Menyelamatkan ini akan dianuti oleh seramai mungkin manusia tanpa mengharapkan sebarang balasan daripada mereka; dalam pada itu kita tidak akan menzalimi orang-orang yang berlainan agama dan menolak dakwah kita. Bagi mereka dengan agama mereka, bagi kita dengan agama kita kecuali jelas mereka mengancam kesejahteraan agama dan ummah ini.
Allah mengajar kita:
لا ينهاكم الله عن الذين لم يقاتلوكم فى الدين ولم يخرجوكم من دياركم أن تبروهم وتقسطوا اليهم أن الله يحب المقسطين أنما ينهاكم الله عن الذين قاتلوكم فى الدين واخرجوكم من دياركم وظاهروا على أخراجكم أن تولوهم ومن يتولهم فأولائك هم الظالمون
Allah tidak menegah kamu untuk berlaku baik dan berlaku adil terhadap mereka yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negeri kamu. Sesungguhnya Allah mencintai mereka yang berlaku adil.
Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai rakan kamu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, serta membantu golongan lain untuk mengusir kamu. Dan barang siapa yang mengambil mereka sebagai rakan, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim. [al-Mumtahanah: 8-9]
Allah menyebut yang Dia mencintai sifat adil dan sifat baik orang Islam walaupun terhadap orang bukan Islam, tetapi Allah murka terhadap sifat zalim orang Islam sekiranya sehingga sanggup mengambil golongan yang memusuhi agama serta berusaha untuk mengusir keluar golongan Islam dari negeri, (terdorong kerana perkiraan dan keuntungan dunia)
Allah juga menyebut agar kita melayani baik golongan bukan Islam agar mereka mendapat ruang kesempatan untuk memahami agama yang mulia ini. Firman-Nya:
وأن أحد من المشركين استجارك فاجره حتى يسمع كلام الله ثم ابلغه مامنه ذلك بانهم قوم لا يعلمون
Dan jika seorang dari musyrikin meminta perlindungan keselamatan kepada engkau, maka lindungilah dia, supaya dia berpeluang mendengar Kalamullah. Kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman baginya. Yang demikian itu kerana mereka adalah golongan yang tidak mengetahui [at-Taubah:6]
Abu Iman dan beberapa sahabat yang dikasihi lainnya menyebut suatu istilah yang agak baru bagi masyarakat kita 'fathu al-zara'ie'; kata Abu Iman kaedah ini disebut oleh Imam Qurafi, Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah dan Imam al-Haramain. Kita sebelum ini biasa dengan istilah saddu az-zara'ie; seakan-akan dua kaedah ini bertentangan. Sekadar untuk memahami apa yang dilontarkan oleh Abu Iman, saya mencari dan menjumpai kitab at-Turuq al-Hukmiyyah fi Siyasati As-Syar'iyyah karangan Imam Ibn al-Qayyim. Saya juga menemui kitab Ghiyatu al-Umam secara on-line karangan Imam al-Haramain. Bagaimanapn setakat ini saya belum menjumpai istilah tersebut dalam dua kitab ini.
Agakan saya adalah maksud daripada istilah yang 'bombastic' ini yang diledakkan dalam masyarakat kita sebenarnya tidak lain daripada apa yang telah dihuraikan oleh ulama zaman berzaman ketika membicarakan kewajiban amru bi al-ma'ruf dan nahyu 'an al-mungkar. Iaitu kita dilarang mencegah sesuatu kemungkaran sekiranya ianya akan mengundang kemungkaran yang lebih besar. Hal ini juga dibincangkan dalam banyak bab-bab feqah, umpamanya ianya haram untuk menyetubuhi isteri yang kedatangan haidh sebelum dia mandi, tetapi sekiranya ditahan seseorang itu daripada menyetubuhi isterinya yang berkeadaan sedemikian akan menyebabkan dia akan berzina, maka janganlah dilarang. Begitu juga halnya dengan perbuatan mengeluarkan mani menggunakan tangan adalah haram. Atau umpama seorang itu menyara hidupnya dengan menjual biawak atau kura-kura sebagai makanan kepada orang bukan Islam, hukumnya haram. Tetapi sekiranya dia tertegah daripada aktiviti itu akan menyebabkan dia akan mencuri atau mengalami kemudaratan, maka janganlah ditegah sehingga kita menjumpai alternatifnya. Keadaan ini tidak khusus dan tidak juga bersangkut-paut secara ketatnya semada kita memegang kuasa atau kita tidak punya kuasa.
Indahnya sejarah perundangan Islam yang menyentuh tentang pemerentahan dan tanggung-jawab pemerentahan ialah ianya turut ditafsir oleh secara intensif oleh ulama-ulama yang jauh daripada tumpuk kekuasaan dan perundangan resmi pihak berkuasa. Mereka menafsir perundangan pemerentahan dan tanggung-jawab yang berkaitan dalam rangka memahami nas-nas al-Quran, sunnah dan athar salaf as-soleh. Hal ini benar termasuklah Imam al-Haramain, seorang ulama yang tidak terlibat dengan urusan pemerentahan . Bahkan Imam al-Haramain menyanggahi beberapa fahaman yang diketengahkan oleh Imam al-Mawardi, seorang qadi resmi pihak berkuasa sezaman dengannya yang juga menulis tentang perkara yang sama.
Pendekatan ulama ummah ini adalah secara textual, mereka memahami nas-nas yang thabit dan berusaha untuk menerapkannya ke dalam masyarakat. Bukannya contextual, yang menimbangkan apa yang berlaku dalam masyarakat dan mencari justification daripada nas-nas yang dijumpai untuk membenar yang diingini dan menidakkan sesuatu yang tidak berkenan.
والحمد لله على نعمة الاسلام التى هى اعظم النعم ام كل خير كما يحب ربنا ويرضى
No comments:
Post a Comment