Tuesday, February 21, 2012

Renungan Berikutan Episod Iktiraf Israel Oleh DSAI

Walaupun episod yang tercetus berikutan 'keterlanjuran' kenyataan DSAI dalam temubualnya dalam WSJ tentang sokongannya terhadap usaha untuk menjamin keselamatan Israel itu telah banyak mengundang tindak-balas spontan yang negatif; ianya juga mendorong kita untuk merenung dan menyemak semula beberapa perkara yang tercatit dalam peradaban ummah kita.

Kita tidak sedikitpun berniat untuk memberi justification kepada kenyataan DSAI, kerana beliaulah yang mengetahui maksud ungkapan beliau yang sebenar, apa lagi rakan-rakan politiknya telah berusaha keras untuk 'membetuli' apa yang telah tertutur itu. Hanya janganlah harapnya setiap perilaku dan kenyataan pemimpin itu akan 'dimaksumkan' oleh penyokong-penyokongnya. Kalau sikap ini diamalkan, maka sipemimpin itu akan terlepas peluang untuk membaiki keterlanjurannya. Ketaksuban dan asabiyyah kepartian akan semakin menebal menaungi dari suluhan kebenaran sehingga membantut bercambahnya amalan muhasabah dan mengakui keterlanjuran diri.

Antara perkara-perkara yang membangkit keinginan saya:

1-Pristiwa Perjanjian Hudaibiyyah

Pada tahun 6 Hijrah , Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam telah bermimpi bertawaf di Kaabah, mimpi ini sebagai isyarat yang Rasulullah dan para sahabat akan memasukki Makkah, [lihat tafsir Surah al-Fath:28].

لَّقَدْ صَدَقَ ٱللَّهُ رَسُولَهُ ٱلرُّءْيَا بِٱلْحَقِّ لَتَدْخُلُنَّ ٱلْمَسْجِدَ ٱلْحَرَامَ إِن شَآءَ ٱللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لاَ تَخَافُونَ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُواْ فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَلِكَ فَتْحاً قَرِيباً

Sesungguhnya benarlah mimpi Rasulullah, yang kamu akan memasuki Masjid al-Haram, Insyaallah secara aman, dengan keadaan bercukur kepala atau memendekkan rambut, kamu tidak merasa takut, Maka Allah mengethui apa yang kamu tidak mengetahui, maka Dia jadikan selain daripada itu kemenangan yang sudah hampir

Para sahabat terutama di kalangan muhajirun terlalu gembira dengan khabaran yang gembira ini, mereka terlalu rindukan Kaabah dan Makkah. Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersama para sahabat berjumlah 1'500 orang telah menuju Makkah pada bulan Dhu al-Qaidah untuk menunaikan Umrah, mereka tidak bermaksud untuk berperang.

Kaum Quraish di Makkah begitu gelisah mendengar berita ini, mereka bersedia untuk berperang demi menghalang Rasulullah dan para sahabat memasukki Makkah. Setiba rombongan ini di Hudaibiyyah, mereka tertahan memandangkan ketegangan yang timbul. Pada peringkat awal, Saiyyidina Umar telah dipertimbangan untuk dihantar mewakili Rasulullah bagi menemui pembesar-pembesar Quraish, tetapi memandangkan kerabatnya dari Bani 'Adiy Bin Ka'ab sudah tiada di Makkah untuk melindunginya, maka Saiyyidina Uthman dipilih memandangkan keluarganya masih ramai di Makkah dan mereka berpengaruh.

Rasulullah berpesan agar disampaikan kepada pemimpin Quraish yang orang Islam datang untuk bukan untuk menyerang Makkah, tetapi untuk semata-mata menunaikan umrah serta mengambil kesempatan untuk mengajak mereka untuk memeluk Islam. Saiyyidina Utman telah menemui pembesar Quraish termasuk Abu Sufian, disampaikan apa yang perlu disampaikan. Abu Sufian berkata sekiranya Saiyyidina Uthman mahu bertawaf di Kaabah, maka beliau dibenarkan bertawaf. Tetapi Saiyyidina Uthman menjawab yang beliau tidak akan tawaf sebelum Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bertawaf walaupun perlu menunggu selama setahun.

Tersebar berita di kalangan ummah yang Saiyyidina Uthman telah dibunuh oleh pembesar Quraish, Rasulullah mendengar berita tersebut telah memanggil para sahabat agar berbai'ah kepada baginda untuk menyatakan kesediaan bagi berperang menuntut bela ke atas pembunuhan Sayyidina Uthman. Baginda menerima bai'ah para sahabat ketika berada di bawah naungan sebuah pokok di kawasan itu. Peristiwa ini dikenali sebagai Bai'atu ar-Redwan.

لَّقَدْ رَضِيَ ٱللَّهُ عَنِ ٱلْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ ٱلشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأنزَلَ ٱلسَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحاً قَرِيباً

Sesungguhnya Allah telah reda daripada kaum mukminin ketika mereka berbai'ah di bawah pokok, maka Allah mengetahui apa yang ada di dlam hati-hati mereka , maka Allah turunkan sakinah [ketenangan] ke atas mereka dan Allah akan memberi mereka kemenangan yang sudah hampir

Pada masa yang sama, seorang dari bani Khuza'ie, Budail bin Warqa' telah mendatangi kumpulan orang Islam ini dan mengatakan bahawa dia baru datang dari kaum Quraish, dia dapati mereka sedang bersiap-sedia untuk menyerang dan menghalang Rasulullah dan orang Islam memasukki Makkah. Rasulullah bersabda yang kedatangan mereka bagi menunaikan umrah dan bukan untuk berperang, baginda mengharapkan, kaum Quraish yang telah banyak terjejas kerana peperangan- dapat menimbangkan mahu menangguh perang -dengan diadakan perjanjian damai untuk masa yang tertentu- mereka patut membiarkan Rasulullah dan orang Islam diasingkan daripada orang banyak ketika mereka memasukki Makkah- atau jika mahu orang Islam masuk ke Makkah bersama dengan orang banyak- dengan demikian itu boleh diadakan perjanjian gencatan perang untuk beberapa masa- sekiranya mereka menolakkan tawaran-tawaran ini, maka Rasulullah bersedia memerangi mereka di atas perkara ini sehinggaleher baginda terpancung-- dan Allah akan menyempurnakan urusan-Nya.

Budail menawarkan diri untuk menyampaikan apa yang diucapkan oleh Rasulullah tersebut kepada pembesar-pembesar Quraish. Sebahagian orang Quraish yang sedang bersiap-siap untuk menyerang orang Islam itu tidak dapat menerima khabar tawaran dari Rasulullah, tetapi yang berfikiran di kalangan mereka telah membenarkan Budail untuk menyampaikan perutusan dari Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam.

Urwah Bin Mas'ud at-Thaqafi telah mengatakan kepada Quraish yang tawaran dari Rasulullah itu adalah sangat munasabah, dia meminta kaum Quraish menerima tawaran daripada Rasulullah, dan beliau menawarkan diri untuk mewakili Quraish bagi menemui Rasulullah. Quraish bersetuju dan beliaupun segera menemui Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam.

Urwah mengatakan sekiranya tercetus peperangan, maka seandainya tentera Islam yang menang, maka Rasulullah meninggalkan sesuatu yang luarbiasa, seorang yang menghancurkan bangsanya sendiri, seandainya tentera Quraish yang menang , para sahabat akan menyelamatkan diri bertempiaran lari dari Rasulullah seumpama debu ditiup angin. Saiyyidina Abu Bakar tersangat marah mendengar ucapan ini. Urwah juga cuba memegang janggut Rasulullah sebaimana lazim adat orang arab ketika berbual, tetapi dihalang dengar teguran oleh Saiyyidina Mughirah bin Shu'bah. Sekembalinya kepada kaum Quraish, Urwah memberitahu kepada Quraish: yang dia telah mengunjungi raja-raja, kisra (Parsi), qaisar (Rom) dan najashi (Habsyah), dia tidak pernah melihat pengikut raja-raja ini menghormati raja mereka sebagaimana para sahabat menghormati Rasulullah. Apabila Rasulullah meludah, ludah itu akan segera disambut oleh para sahabat dan dilumurkan di muka dan badan mereka- apabila baginda memberi arahan, mereka akan mendahului arahan baginda daripada urusan masing-masing- apabila baginda berwudu', mereka berebut-rebut untuk mendapat air lebihan wudu' baginda- apabila baginda berkata-kata, mereka merendahkan suara mereka di sisinya- mereka tidak menatap tepat wajah baginda kerana membesarkan baginda. Oleh itu tawaran daripada baginda kepada Quraish itu sangatlah wajar diterima.

Pihak Quraish bersetuju untuk berunding dengan dihantar Suhail bin 'Amru. Saiyyidina 'Ali telah ditugaskan untuk mencatitkan butiran perjanjian tersebut. Rasulullah menyuruh Saiyyidina Ali mula menulis:Bismillahi ar-Rahmani ar-Rahim. Suhail membantah yang dia tidak mengenal ar-Rahman dan minta ditulis :Bismika Allahumma. Rasulullah bersetuju, kemudian Rasulullah menyuruh Saiyyidina Ali menulis: ini adalah perkara yang dipesetujui di antara Muhammad Rasulullah.. Belum sempat habis aya itu, Suhail membantah dengan mengatakan: "demi Allah , sekira kami mengetahui [menerima] yang engkau ini adalah rasulullah, tentunya kami tidak menghalang engkau dari Baitullah, dan kami tidak memerangi engkau, oleh itu tulislah Muhammad bin Abdullah". Rasulullah menjawab "sesungguhnya aku adalah Rasulullah sekalipun engkau mengingkari aku, tulislah (wahai Ali) Muhammad Bin Abdullah". Rasulullah mencadangkan Saiyyidina Ali menulis: orang Islam akan diberi ruang kebenaran di Baitullah untuk bertawaf. Suhail segera menyampuk : "Janganlah sehingga orang-orang Arab akan mengatakan yang aku memerima syarat ini dan bersetuju kerana terpaksa - oleh itu kamu hanya dibenarkan memasukki Makkah pada tahun yang akan datang".

Suhail pula yang meletakkan syarat: "sekiranya terdapat lelaki daripada kalangan kami yang mendatangi kamu sedang dia menganut agamamu, hendaklah dia dipulangkan kepada kami". Para sahabat yang berada di majlis itu mengatakan: "Subhanallah, bagaimana mungkin dipulangkan seseorang yang datang kepada kami sebagai muslim kepada kaum musyrikin?".

Di waktu itu juga sampai Saiyyidin Abu Jandal Bin Suhail, seorang muslim yang berjaya meloloskan dirinya dengan kaki yang berantai dari azab yang teruk kerana siksaan musyirikin Makkah. Saiyyidin Abu Jandal merayu: "wahai orang-orang Islam, apakah kamu mahu memulangkan aku kepada musyrikin sedangkan aku mendatangi kamu semua sebagai seorang muslim, tidakkah kamu melihat apa yang telah aku lalui (dari azab siksaan mereka)?". Suhail segera berkata: " inilah wahai Muhammad , perkara pertama yang engkau perlu tunaikan daripada perjanjian ini, dia ini hendaklah engkau pulangkan kepada aku. Sekiranya kamu tidak bersetuju, maka Wallahi, aku tidak akan bersetuju untuk perjanjian damai ini selama-lamanya". Rasulullah menjawab: "aku belum lagi menulis syarat itupun, oleh itu kecualikan dia ini". Suhail menjawab "Aku tidak akan memberi engkau pengecualian".
Rasulullah menerima syarat Suhail itu.

Dengan suasana sebegini, Saiyyidina Umar keumudiannya menemui Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam dengan emosi bertanya : "bukankah tuan hamba ini seorang Nabi yang benar?". Rasulullah menjawab : "sudah tentu". Umar meneruskan "bukankah kita berada di atas kebenaran dan musuh kita di atas kebatilan?". Rasulullah menjawab: "sudah tentu". Umar menyambung :"kenapa kita sanggup merendahkan kemulian agama kita?". Rasulullah menjawab : Aku adalah Rasulullah, aku tidak akan mengingkari-Nya, Dia-lah Penolong aku". Umar menanyai lagi : "bukankah tuan hamba mengatakan kepada kami, yang kami akan mendatangi Baitullah dan mentawafinya?" Rasulullah menjawab: " sudah tentu, apakah aku ada memberitahu engkau yang kita akan mendatangi Baitullah pada tahun ini?" Umar menjawab "tidak". Rasulullah menegaskan "Sesungguh engkau akan sampai kepada Baitullah dan engkau akan tawaf padanya".

Saiyyidina Umar telah menemui Saiyyidina Abu Bakar yang kebetulan tidak berada di majlis perundingan tersebut. beliau telah menanyakan Saiyydina Abu Bakar : " wahai Abu Bakar, bukankah dia seorang Rasulullah?". "Sudah tentu". "Bukankah kita berada di atas kebenaran?". "Sudah tentu". "Musuh kita berada di atas kebatilan?" . "Sudah tentu". "Maka kenapa kita membenarkan agama kita direndahkan, sekiranya begitu?". " Wahai lelaki (Umar), sesungguhnya baginda adalah Rasulullah, baginda tidak akan mengingkari Tuhannya, Dia (Allah) Penolong baginda, maka hendaklah engkau bersabar dengan tindakan baginda ini- Wallahi baginda berada di atas Kebenaran". "Bukankah baginda memberitahu kita yang kita akan sampai ke Baitullah dan akan mentawafi-nya?" Apakah baginda menyatakan yang engkau akan sampai ke Baitullah pada tahun ini?". "Tidak". "Maka sesungguhnya engkau akan sampai juga ke Baitullah dan mentawafi-nya".

Rasulullah dengan penuh kasih-sayang berkata kepada Abu Jandal: " Abu Jandal, bersabarlah, Allah akan memberi jalan keluar kepada engkau dan kepada mereka yang tertindas, sekarang perjanjian damai telah termeterai, kami tidak boleh melanggarinya".

Seusai peristiwa ini terjadi, Rasulullah mengarahkan para sahabat agar menyembelih haiwan kurban di situ juga, tetapi kesedihan dan perasaan remuk hati di kalangan para sahabat telah menyebabkan mereka tidak segera bertindak. Rasulullah mengulang-ulangi arahan itu tiga kali, sehingga baginda merasa gelisah kerana tiada tindak-bals dan para sahabat. Baginda masuk ke dalam khemah baginda dan meluahkan kerisauan baginda kepada Ummu al-Mukminin Saiyyidatina Ummu Salamah. Ummu Salamah menenangkan baginda dan mengusulkan agar baginda jangan menyuruh mana-mana sahabat, sebaliknya baginda sendiri hendaklah menyembelih haiwan, mencukur kepala dan memecat pakaian ihram baginda. Rasulullah melakukan sebagaimana yang diusulkan oleh Saiyyidatina Ummu Salamah, dan rupa-rupanya para sahabat sudah lama mengintai-intai dari khemah masing-masing untuk melihat apa perbuatan Rasulullah dan mereka segera mengikut baginda. Allah meredai mereka semua.

Rasulullah dan para sahabat berada di Hudaibiyyah selama 3 hari selepas Perjanjian itu dipersetujui. Di tengah perjalanan balik ke Madinah, Allah menurunkan ayat:

إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحاً مُّبِيناً * لِّيَغْفِرَ لَكَ ٱللَّهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطاً مُّسْتَقِيماً * وَيَنصُرَكَ ٱللَّهُ نَصْراً عَزِيزاً

Sesungguhnya Kami memenangkan engkau dengan kemenangan yang nyata, Allah akan mengampuni bagi engkau dari kesalahan mu dari apa yang terdahulu dan terkemudian, dan Dia akan menyempurnakan nikmat-Nya ke atas kamu, dan Dia memberi engkau pertunjuk ke Sirat al-Mustaqim , dan Allah akan membantu engkau dengan bantuan yang kukuh-gagah

Kekesalan dan rasa terhina yang dialami oleh orang Islam kerana butiran Perjanjian Hudaibiyyah itu ketika itu telah disifatkan oleh Allah sebagai kemenangan yang nyata, Rasulullah segera memanggil Sayyidina Umar dan memaklumkan tentang turunnya ayat ini, Umar bertanya adakah ianya adalah suatu kemenangan?. Rasulullah menegaskan yang ianya adalah kemenangan. Umar dapat diyakinkan dengan jawaban Rasulullah itu.

Setiba mereka di Madinah, mereka dapati seorang muslim dari Makkah bernama Utbah bin 'Ubaid, yang dikenali sebagai Abu Basir telah berjaya lolos dari siksaan musyrikin Makkah, dia telah dijejaki oleh dua orang Quraish yang menuntut agar dia dipulangkan ke Makkah. Rasulullah berpesab kepada Utbah : "Allah akan menolong engkau". Di dalam perjalanan ke Makkah, Utbah telah membunuh seorang dari Quraish tersebut, yang seorang lagi kembali ke Madinah dan mengadu kepada Rasulullah. Utbah juga menuju Madinah semula dan beliau memberitahu Rasulullah yang baginda telah memenuhi janji, dan beliau kemudian berundur dan menetap di suatu kawasan pinggir pantai Laut Merah, Dhu al- Hulaifah. Abu Jandal dan saahabat-sahabat yang berjaya lolos dari penyeksaan Quraish telah berhimpun di situ. Mereka akan menyerang membunuh dan merampas kafilah perdagangan Quraish yang lalu berdekatan. Hal ini telah sangat-sangat menyusahkan aktiviti ekonomi dan kehidupan Qurasih, lalu mereka sendiri mengusulkan yang mana-mana muslim yang berjaya lolos dari Makkah tidak perlu di kembalikan.

Di dalam perjanjian tersebut, disebut dalam persetujuan bahawa mana-mana lelaki , tidak disebutkan perempuan. Maka mana-mana pelarian perempuan yang beriman sampai ke
Madinah memang tidak dipulangkan sebagaimana terdapat di dalam ayat:

يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا جَآءَكُمُ ٱلْمُؤْمِنَاتُ مُهَاجِرَاتٍ فَٱمْتَحِنُوهُنَّ ٱللَّهُ أَعْلَمُ بِإِيمَانِهِنَّ فَإِنْ عَلِمْتُمُوهُنَّ مُؤْمِنَاتٍ فَلاَ تَرْجِعُوهُنَّ إِلَى ٱلْكُفَّارِ لاَ هُنَّ حِلٌّ لَّهُمْ وَلاَ هُمْ يَحِلُّونَ لَهُنَّ وَآتُوهُم مَّآ أَنفَقُواْ وَلاَ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ أَن تَنكِحُوهُنَّ إِذَآ آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ وَلاَ تُمْسِكُواْ بِعِصَمِ ٱلْكَوَافِرِ وَاسْأَلُواْ مَآ أَنفَقْتُمْ وَلْيَسْأَلُواْ مَآ أَنفَقُواْ ذَلِكُمْ حُكْمُ ٱللَّهِ يَحْكُمُ بَيْنَكُمْ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya datang kepada kamu mukminat yang berhijrah (kepada kamu), maka ujilah mereka, Allah mengetahui keimanan mereka. Sekira kamu mengetahui yang mereka adalah mukminat, janganlah kamu pulangkan mereka kepada kuffar, mereka (mukminat) tidak halal bagi merea (kuffar), dan mereka (kuffar) tidak halal mereka (mukminat)......

Kesan dari Perjanjian yang dipandang berat sebelah serta merendahkan kemulian Islam itu sangat-sangat kuat, sehingga ulama mengatakan tiada satupun peperangan yang disertai oleh Rasulullah mempunyai kesan yang sedemikian hebat. Dua tahun awal perjanjian itu telah menyaksikan begitu ramai orang-orang arab memeluk Islam, melebihi jumlah daripada 20 tahun yang sebelumnya. Bahkan keadaan aman itu telah membuka peluang untuk orang arab termasuk Quraish untuk bergaul dengan muslimin, mereka menyaksi akhlak mereka dan mengakui pegangan mereka. Rasulullah juga telah menghantar surat-surat kepada pemimpin-pemimpin besar di rantau itu untuk mendakwah mereka kepada Islam.

Apabila kita lakukan sesuatu mengikut perentah Allah dan mengikhlaskan diri kepada-Nya, Allah akan memberi kemenangan, Allah berfirman:

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

"mungkin kamu membenci sesuatu sedangkan ianya baik bagi kamu, mungkin kamu menyukai sesuatu sedangkan ianya buruk bagi kamu, Allah Maha Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui"

Perdamaian ini juga berjaya mengislamkan peribadi-peribadi besar yang tidak terpanggil kepada Islam kerana kekuatan perang. Saiyyidina Khalid al-Walid dan Saiyyidina 'Amru bin al-'As yang keduanya adalah pahlawan perang Quraish telah memeluk Islam.

Peristiwa dirakamkan dengan begitu baik oleh Maulana Abu Hasan an-Nadwi dalam bukunya "as-Siratu an-Nabawiyyah", tulisan yang paling terperinci merakam peristiwa ini ialah tulisan Maulana Shibli Nu'mani dlam bukunya "Sirat-Un- Nabi" yang terjemah kepada bahasa Inggeris oleh M.Tayyib Bakhsh Budayuni. Dan yang paling halus mengupas hikmah dan pengajaran dari peristiwa penting ini ialah Syaikh Muhammad bin Umar Bahraq al-Hadrami di dalam kitabnya "Siratu an-Nabiyyi al-Mukhtar".

Syaikh Muhammad menyebut tentang perbezaan tanggapan kerohanian bagi seorang yang mendapat ilham dari Allah umpama Saiyyidina Umar berbanding dengan maqam seorang siddiq yang lebih tinggi, umpama Saiyyidina Abu Bakar. Saiyyidina Umar menyatakan ketidak-puas hatinya kepada Rasulullah itu didorong oleh pertimbangan cukup wajar dan munasabah, sedangkan penerimaan Saiyyidin Abu Bakar tanpa soalan itu pula adalah cerminan kejernihan dan kekuataan yakin yang ada padanya.

Sekiranya:

Kita berada di ketika itu- alangkah sukarnya kita untuk betindak sewajarnya. Kita manusia biasa yang sentiasa mahu menang setiap masa, apalagi atas perkara agama; kita tidak reti untuk mengalah demi untuk menang.

Agama kita agama yang benar, agama yang mengatasi segala ketinggian, Islam membekalkan kita harga diri dan kemuliaan- walaupun ketika kita tertindas dan lemah.

Berat untuk kita bayang sekiranya kita bersama kumpulan tersebut, kumpulan sahabat yang sangat cinta dan kasih kepada Rasulullah yang menuju Makkah dengan kerinduan untuk tawaf di Kaabah, kumpulan yang mempunyai keyakinan yang mereka akan tawaf pada tahun itu kerana kebenaran mimpi Rasulullah. Berat untuk kita bayangkan sekiranya kita bersama kumpulan tersebut, yang siap berbai 'ah di bawah naungan pokok untuk berperang menuntut bela di atas berita kematian Saiyyidina Uthman. Kemudiannya kita terpaksa mengiktiraf penguasaan Quraish di Makkah yang telah mengotori ruangan Kaabah, sesuci-suci tempat dan kiblat kita dengan berhala-berhala yang beratus buah.

Berat untuk kita bayangkan sekiranya kita bersama kumpulan tersebut, yang menyaksikan Rasulullah begitu mengalah kepada syarat-syarat yang dikenakan oleh seorang musyrik. Berat lagi untuk kita bayangklan kita terpaksa menyaksi penyerahan Abu Jandal yang berparut dengan kesan-kesan seksaan angkara kezaliman Quraish kerana memenuhi syarat perjanjian tersebut.

Rasulullah bertindak kerana wahyu, Rasulullah menjunjung perentah yang datang dari Allah. Agaknya sekiranya peristiwa seumpama ini berlaku kepada mana-mana kumpulan orang Islam selain kumpulan yang bersama Rasulullah ini, maka kumpulan itu akan pecah, pemimpinnya akan tersingkir.

Rasulullah bersetuju berdamai dan mengiktiraf tuntutan musyrikin Quraish bukan berhenti di situ,bahkan ianya hanyalah sebuah persinggahan sementara. Dari persinggahan itu, walaupun sesulit mana untuk ditelan, ianya akan bergerak ke depan dengan bimbingan Allah. Ia adalah seakan ruang sempit yang membawa kepada lapangan yang luas kemudiannya. Pengiktifan Rasulullah itulah yang kemudiannya berjaya meleyapkan kekuasaan dan penguasaan Quraish di Makkah.

Pengiktirafan terhadap Israel oleh badan-badan Islam dan individunya sepatutnya bukan merupakan perhentian kekal, tetapi persinggahan sementara: dari situ langkah-langkah lain perlu diambil secara terancang serta berserah kepada Allah. Ada masa mengalah itu akan membawa kemenangan, rasa sombong dengan kekauatan diri pula ada masanya meruntuhkan kekuatan kita. Sudah tentu kumpulan yang menentang perkara-perkara seumpama ini (mengiktiraf Israel) termasuk mereka yang sangat-sangat ikhlas kepada Islam dan perjuangan ummah. Hal ini perlu juga diperakui.

Saya bercadang untuk membincangkan isu ini dari beberapa sebutan lain yang terdapat dalam warisan ummah ini. Semoga Allah mempermudahkan saya menyelesaikan apa yang saya rancangkan. [sekiranya faham saya tersasul dalam memahami peristiwa besar dan mulia ini, saya mengharapkan teguran dari mereka yang buduman]

No comments:

Post a Comment