Saya terlintas dua perkara selain Perjanjian Hudaybiyyah yang telah saya sebutkan dalam cacatan sebelum ini: iaitu peristiwa Ibnu Sayyad dan pengajaran dari sepotong hadith. Adakah ada ruang untuk bertasammuh sekiranya kita meletakkan tanda-aras pemikiran kita berpandukan pengajaran daripada peristiwa dan hadith tersebut?
Kita diajar agar sentiasa mempunyai dua tahap tanda-aras: yang tinggi untuk diri kita, untuk membantu kita dalam meningkatkan pembentukan diri. Maka untuk tanda-aras ini, kita sepatutnya bertegas tanpa banyak tolak-ansur kerana nafsu dan syaitan itu di dalam tanggung-jawab kita untuk melawan kedua-duanya.
Yang rendah untuk menilai orang lain, agar kita mempunyai ruang yang lega untuk bersangka-baik kepada saudara-saudara kita. Maka untuk tanda-aras ini kita diminta banyak bertolak-ansur, kita memperluruskan orang lain bukan kerana kebencian dan dengki tetapi kerana desakan kasih sayang dan tanggung-jawab dakwah. Allah Maha Pengampun dan syurga masih terlalu luas untuk menghiburkan kita semua.
1. Peristiwa Ibnu Sayyad ;
Maulana Fazlul Karim yang menterjemahkan Mishkat al-Masabih ke dalam Bahasa Inggeris menyebut daam catitan sebelum memasukki bab tentang Ibn Sayyad yang beliau tidak memahami sepenuhnya kepentingan sebutan Ibn Sayyad sebagai tajuk khusus dari segi kepentingan sejarahnya.
Ibnu Sayyad adalah seorang kanak-kanak yang lahir dari kalangan keluarga yahudi, Bani Maghalah, di Madinah. Ibu-bapanya berkahwin selama 30 tahun tanpa mendapat sebarang zuriat sehinggalah beliau dilahirkan, beliau bermata satu dan mempunyai kebolehan membuat telah-telahan yang agak luar biasa. Di waktu itu, umurnya baru menfhampiri usia baligh, beliau mendakwa beliau adalah seoarang rasul.
Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam telah pergi untuk mengintai kanak-kanak ini, serta baginda juga bersoal jawab dengan beliau. Sebenarnya timbul kebimbangan di kalangan muslim di Madinah pada masa itu yang Ibn Sayyad itu adalah Dajjal, kerana ciri-ciri yang ada pada beliau itu.
Saiyyidina Umar meminta izin daripada Rasulullah untuk memenggal leher Ibn Sayyad, Rasulullah menjawab yang sekiranya dia adalah Dajjal, tentunya Umar tidak mempunyai kuasa untuk membunuhnya, dan sekiranya dia bukan Dajjal, apakah kebaikan dalam membunuhnya.
Ummah ini sangat-sangat diingatkan tentang fitnah Dajjal; bahkan semenjak Saiyyidina Nuh lagi bahaya Dajjal telah diperingatkan kepada ummah baginda. Dajjal adalah fitnah besar yang akan merosakkan keseluruhan kehidupan beragama , Dajjal mempunyai keupayaan yang tersangat luar biasa. Dajjal hanya akan dibunuh oleh Saiyyidina Isa 'alaihi as-Salam.
Walaupun timbul kebimbangan yang Ibn Sayyad adalah Dajjal, makhluk yang sangat-sangat diperingatkan bahaya ancaman dan tipu-dayanya kepada ummah; tetapi Saiyyidina Umar telah ditegah daripada membunuhnya, kerana Dajjal sudah ditakdirkan hanya akan dibunuh oleh Saiyyidina Isa.
Apabila nampak kita tidak bertindak atau tidak mengeluarkan kenyataan yang mengancam pihak lawan, bukan bererti kita membenar dan reda dengan keberadaan dan kekuataan musuh. Kalau sekiranya ianya mungkar yang nyata sekalipun, kita diminta oleh syara' agar terlebih dahulu menimbangkan adakah pencegahan perkara mungkar itu tidak akan membawa kemungkaran yang lebih parah: atau mungkinkah ia akan mengundang lebih meluasnya kemungkaran tersebut. Kita diminta memastikan hakikat sebenar perkara yang kita hadapi, agar kita dapat bertindak secara berkesan. Di waktu yang sama, kita diwajibkan menjalankan tanggung-jawab sebagai anggota kepada ummah yang dirahmati ini, sedangkan natijah tindakan kita ditentukan oleh Allah secara semutlak-mutlaknya. Ketentuan Allah yang mengatur segala sesuatu, kita sangat berharap agar Allah menentukan kita melakukan kerja-kerja kebajikan.
Kita tidak bertindak terhadap sesuatu kemungkaran bukan semestinya kerana kita merestui kemungkaran tersebut; ada kemungkaran yang perlu didepani secara berperingkat, ada kemungkaran yang yang semakin dilawan , maka semakin pula ia menjadi tetapi jika dibiarkan ianya akan mati beragam begitu sahaja. Ada kemungkaran yang kita mampu menyediakan persiapan-persiapan yang perlu untuk ditangani oleh orang yang datang terkemudian. Ada pula kemungkaran yang akan sirna kerana suluhan cahaya pertunjuk.
Saya teringat kepada kisah yang saya baca dalam catitan seorang 'nun/ tok chi' dari Saigon; dia sangat menghormati ketua sami di kuil buddha yang dia dilatih. Ketua sami ini mempunyai peribadi dan sikap yang sangat memuaskan sebagai ketua sami. Sehinggalah Saigon jatuh ke tangan tentera kominis, sudah termaklum bagaimana zalimnya pihak tentera kominis bertindak terhadap kuil-kuil buddha dan kepada sami-sami, mereka bukan sahaja dibunuh tetapi dibunuh secara zalim. Sebaik sahaja pihak kominis menguasai Saigon, si ketua sami itu telah bersusah-payah pergi menjumpai ketua pemerentah kominis bagi Saigon, dan menyatakan ketaatan dan sokongan beliau kepada pemerentahan kominis.
Tindakan beliau ini tidak dapat difahami oleh sami-sami lain termasuklah si sami perempuan tadi, dia tidak dapat mengadunkan rasa hormatnya yang tinggi kepada ketua sami ini dengan tindakan ketua sami yang bersusah-payah menjumpai ketua pemerentah kominis untuk menyatakan kesetiaan dan sokongan terhadap pemerentah kominis.
Si sami perempuan ini berusaha dalam semadi-nya untuk memahami kemunasabahan perbuatan ketua sami tersebut, dia tidak dapat menemui jawaban. Sehinggalah selepas begitu lama, dan beliau telahpun berpindah dari Saigon dan berkhidmat di kuil buddha di Amerika, baharulah beliau mendapat faham dalam semadi-nya tentang tindakan ketua sami tadi.
Seandainya ketua sami itu tidak bersusah-payah pergi untuk menyatakan sokongan dan kesetiaannya kepada ketua pemerentah kominis Saigon, beliau serta kuilnya akan dicurigai dan dicap sebagai musuh oleh pihak pemerentah. Kehidupan beragama serta pendidikan yang dijalankan di kuil akan pastinya terganggu dan tergugat. Tetapi usahanya untuk menyatakan sokongannya kepada pihak pemerentah itu, walaupun hanya sekali tetapi telah menyelamatkan kuilnya. Tindakannya telah menyelamatkan pendidikan yang akan melahirkan sami-sami buddha di masa hadapan. Tindakannya itu sebenarnya adalah pengorbanan bagi pihaknya, dia terpaksa menekan rasa marah dan kecewanya demi melestarikan pendidikan ajaran buddha, yang tentu bagi perkiraannya pendidikan itu jauh lebih penting daripada melayani perasaan peribadinya.
Sekiranya kita membaca catitan tentang pemikiran Maulana Ahmad Husein Madani, ulama India yang sangat dihormati keilmuannya serta wara'nya dalam parti Congress India ketika India menuntut kemerdekaan. Kita dapat mengerti kenapa Maulana mengambil sikap yang sedemikian, kenapa beliau memperjuangakan politik demokrasi yang dipimpin oleh golongan majoriti Hindu dan menolak gagasan pembentukan Pakistan yang memisahkan orang hindu dari muslim. Kita akan nampak tindakan Maulana itu dilakukan di atas pertimbangan kepentingan agama dan ummah. Bukannya dia reda ummah Islam dipinggirkan dari puncak pimpinan atau menerima secara rela pimpinan golongan bukan Islam. Pilihan baginya yang ada adalah keburukan mana yang lebih ringan.
Apa yang menjadi asas bagi segala perbuatan kita ialah keikhlasan kita kepada Allah serta kepatuhan kita kepada suruh dan larang-Nya. Semoga kita tidak gopoh dalam urusan yang sepatutnya kita cermat serta melakukannya dengan penuh tertib secara beransur-ansur; semoga kita menyegerakan dalam urusan-urusan yang sepatutnya kita tidak bertangguh dan menunda-nunda.
[ Saya bercadang untuk medatangkan suatu sudut yagng lain dalam perbincangan ini, memandangkan keadaan dan kesihatan yang kurang memberi ruang, saya mengambil keputusan untuk menyiarkan setakat ini dahulu, insyaallah kita sambung semula perbincangan dari sudut yang berbeza itu. Jika tidak, maka lamalah tergendala catitan ini sebelum ianya tersiar ]
kita hamba punya ikmu yang teramat rendah, tidak sesinar nyalaan sebatang lilin pun. ilmu maha kuasa Allah yang melebihi sinar sang suria. mana mungkin ketaksuban hamba kepada sesuatu boleh melampaui kehendak dan ketentuan Allah. hamba itu sentiasa dekat kepada syirik.
ReplyDelete