Monday, October 26, 2009

Liz Murray: Lambang Kekuatan Tekad Seorang Anak Malang

Liz Murray mewakili seorang yang mempunyai tekad yang kukuh dan dengan tekad itulah beliau telah berjaya keluar dari kepompong persekitarannya dengan cemerlang. Liz Murray dilahirkan dari pasangan ibu-bapa yang ketagihan dadah. Bapanya sebelum itu adalah seorang pelajar peringkat PhD dalam bidang saikologi di NYU. Bertemu ibunya di disco dan kedua-duanya telah memusnahkan kehidupan mereka dengan dadah. Ibunya telah dihinggapi Aids, TB, schizophrenia dan menjadi buta. Liz memerhati bagaimana kedua orang tuanya menyuntik diri mereka dengan dadah dan kadang-kadang darah mereka tersembur di lantai dan dinding. Dia terpaksa mengasuh ibunya di ketika sepatutnya dia diasuh.

Dia berkata:

My parent were'nt around because they were getting high, other people's parents aren't around because they're in a career and their children come second. Neglect is neglect and if you turn that inside out, love is love, and we would be smart not to get fixated on circumstances.

Selepas ibunya meninggal, dia menjadi anak jalanan(homeless) di Bandaraya New York. Hidup dengan tidur di bawah jambatan, mencari sisa makanan dan mendapat bahan bacaan termasuk ensaiklopedia terbuang dari tong-tong sampah.

Didorong oleh tekad untuk keluar dari kongkongan penderitaan yang begitu mencengkam, keperitan hidup sebagai anak jalanan, beliau telah memohon untuk belajar di Humanities Prepatory Academy. Chelsea, Manhattan. Guru kanan di situ, Perry Weiner telah memberi beliau peluang untuk belajar di situ. Beliau telah membawa ayahnya, yang ketika itu berada di rumah perlindungan bagi warga jalanan yang menderitai aids, untuk bertemu Perry . Mereka terpaksa mereka-reka alamat rumah dan nombor telepon bagi memenuhi borang penerimaan. Peluang belajar ini merupakan peluang memecah kongkongan persekitaran yang dideritainya. Beliau telah menamatkan pengajian menengahnya dalam masa dua tahun yang biasanya mengambil masa empat tahun. Beliau juga tammat pengajian sebagai pelajar terbaik.

Beliau telah berjaya dalam permohonan untuk mendapatkan biasiswa tajaan The New York Times yang diberikan kepada 6 pelajar pilihan setiap tahun. Beliau telah menyambung pengajian di Havard University. Beliau mengatakan:
I was able to internalize the sucess & have it be a part of me once I realized that I was enough with or without it.

Bagaimana Liz meninggalkan Havard untuk berada bersama ayahnya yang semakin kronik penderitaannya akibat Aids pada tahun 2003. Dia menyambung pelajaran di Columbia University, iaitu yang paling hampir dengan apartment ayahnya. Ayahnya meninggal pada tahun 2006. Liz kembali ke Havard pada tahun 2008 dan telah memperolihi ijazah dalam saikologi pada bulan jun 2009. Liz telah mendaftar pengajian bagi peringkat sarjana di Havard Summer School pada ogos 2009. Dia merancang untuk menyambung pula ke peringkat PhD dalam bidang clinical psychology. Dia mengatakan:
Sucess is about choosing to be enough and knowing that you're enough without the awards or money or acolodes

Inilah kisah kekuatan dalaman yang seorang anak jalanan yang melonjakkan empunyanya untuk keluar dari kepungan keperitan dan mengatasi pengalaman hariannya. Seakan-akan kehidupan Liz yang digambarkan dalam otak kesedarannya lebih gagah daripada kehidupan Liz yang dilalui pada setiap hari. Dia tidak menyalahkan ibu-ayahnya, tidak menyalahkan suasana persekitarannya, tidak menyalahkan keterbatasan untuk dia berupaya, semua yang menjadi rintangan itu telah dijadikan sumber kekuatan baginya. Subhanallah, Maha suci Tuhan yang memberi kekuatan dalaman pada manusia sehingga jika dia memanafaatkannya, maka ianya tiada tertanding oleh faktor persekitaran!

Kisah ini menegkembalikan kisah yang saya baca 30 tahun yang lalu, kisah tentang kehidupan dan kematian Malcom-X. Bagaimana Malcom-X, yang dibesarkan di jalanan tanpa pendidikan formal yang teratur dapat menjadi seorang pemidato pejuang kaum kulit hitam yang sangat berkesan. Bagaimana pula beliau dapat meninggalkan kumpulan Black Muslim yang dipimpin oleh Elijah Muhammad, yang sebelum ini merupakan pengkalan yang sangat berkesan kepadanya dari segi ideologi, pengaruh dan kedududkan. Bagaimana beliau menemui ajalnya di atas pentas dalam rangkanya untuk menerangkan ajaran Islam yang sebenarnya, ajaran yang menolak penindasan dan tidak melandaskan perjuangan di atas kekuatan warna kulit. Allah memilih kematian yang sebegitu mulia baginya di tengah masyarakat yang tegang dengan isu pertentangan sosial(semada kaum kulit putih mahupun kulit hitam) dan Islam belum lagi disebut-sebut di amerika sebagaimana sekarang.

Saya teringat kepada kenalan saya, Mendiang Kian Lee, dia sebenarnya adalah rakan kepada Allahyarham mertua saya. Dia gigih menulis kaligrafi cina hampir setiap hari, teruatama sebelum subuh. Dia telah menghadiahkan kepada saya sebuah lukisan cina yang dibuat di atas bidai bilahan buluh. Terdapat lukisan rumpunan buluh yang tumbuh di pinggir air yang ditumbuhi oleh bunga teratai yang berbunga mekar. Dia menjelaskan kepada saya yang pelukis cina suka menjadikan buluh sebagai simbol lukisan kerana hidup kita perlu mencontohi buluh, simple & straight foreward. Kita perlu menjalani hidup umpama teratai, walaupun tumbuh dalam persekitaran yang airnya keroh malah kotor, tetapi tetap ianya berbunga cantik dan berwarna bersih!

Saturday, October 24, 2009

Perpaduan Menuntut Kesabaran & Ketahanan Jiwa

Perpaduan adalah suatu nikmat yang bukan mudah untuk diperolihi tetapi agak mudah untuk hilang. Ianya bukan sahaja salah suatu syarat untuk memperolohi kemenangan bahkan ianya adalah salah suatu daripada matlamat daripada hidup bermasyarakat. Perpaduan membawa berkat dan perpecahan sebaliknya membawa bala'.

Sejenak kita renungkan kembali kisah perjuangan Saiyyidina Musa dan Saiyyidina Harun, dalam mereka menghadapi getir pertentangan dengan kuasa serta kekuatan kerajaan Firaun dan menangani kedegilan serta kejahilan Bani Israel itu sendiri. Mereka berdua adalah petunjuk hidayah yang kita jadikan pedoman dalam melayari lautan kehidupan. Allah berfirman:

"Sesungguhnya telah Kami (Allah) berikan kepada Musa dan Harun al-Furqan(Taurat yang membezakan kebenaran daripada kebatilan) dan cahaya serta sebagai petunjuk kepada golongan muttaqin. (iaitu) Orang-orang yang takutkan Tuhan mereka dalam ghaib, sedangkan mereka gementar gerun daripada Hari Qiyamat": (Al-Anbiya:48-49)


Ketika baginda berdua berjaya memimpin Bani Israel menyeberangi Laut Merah dan ketika Firaun yang dulunya gagah berkuasa telah lemas ditelan lautan, Saiyyidina Musa kemudiannya telah naik untuk bermunajat kepada Allah di atas Bukit Tursina. Baginda mewakilkan kepada Saiyyidina Harun untuk memimpin Bani Israel, Allah menyebut tentang perkara ini:

"Telah Kami janjikan kepada Musa 30 malam dan Kami sempurnakan dengan 10 (malam tambahan), Maka sempurnalah perjanjian Allah itu selama 40 malam. Berpesan Musa kepada saudaranya Harun: 'engkau gantikanlah aku pada mengurus kaumku dan lakukan pengislahan dan jangan engkau ikut jalan orang-orang yang fasid' : (Al-'Araf:142)


Apabila Saiyyidina Musa kembali daripada munajat di Bukit Tursina, baginda telah dapati sebahagian Bani Israel telah terpengaruhi dengan ajakan jahat Samiri sehingga mereka telah menyembah patung anak lembu. Saiyyidina Musa menjadi tersangat marah dengan kemungkaran yang telah berlaku sepeninggalan baginda. Baginda memegang dengan kerasnya kepala saudaranya Saiyyidina Harun, sehingga Saiyyidina Harun merayu:

"Wahai anak ibuku! sesungguhnya kaum itu tekah menganiayai aku, hampir mereka membunuh aku, maka janganlah engkau gembirakan musuh dengan perbuatan engkau terhadap aku, dan jangan engkau jadikan aku bersama dengan golongan yang zalim itu" : (Al-'Araf:150)

Saiyyidina Musa mempunyai naluri yang sangat sensitif kepada apa yang dipandangnya sebagai kesalahan, baginda sangat cepat untuk memberi respon. Naluri inilah yang menyebabkan baginda tidak kesampaian untuk bersama-sama Saiyyidina Khaidir melebihi daripada 3 tindakan Saiyyidina Khaidir yang telah ditegur baginda. Perkara ini jelas sebagaimana yang dirakamkan dalam Surah al-Kahfi.

Saiyyidina Harun adalah seorang Nabi yang fasih berhujjah, keistimewaan yang dimiliki baginda inilah yang dikira sebagai asset kepada kerja dakwah yang dipimpin oleh Saiyyidina Musa. Nabi Musa berdoa secara khusus memohon agar baginda dibantu oleh Nabi Harun kerana kelebihan yang dimiliki oleh baginda ini. Bagaimanpun kefasihan hujjah dan kejelasan penerangan Nabi Harun tentang kesesatan Samiri dan perbuatannya tidak dapat menyelamatkan sebahagian daripada Bani Israel daripada terjerumus dalam kesyirikan bersama Samiri.

Al-Quran telah melengkapkan rakaman peristiwa ini dari sudut yang agak berlainan:

"Kemudiannya Samiri mengeluarkan kepada mereka sebentuk anak lembu (dari logam) yang mengeluarkan suara. Lalu mereka berkata 'inilah Tuhan kamu dan Tuhan Musa, tetapi dia terlupa.

Tidakkah mereka melihat bahawa anak lembu itu tidak menjawab percakapan yang dutujukan kepadanya. Ia tidak memiliki kuasa untuk mendatangkan kemudaratan dan kemanafaatan ke atas mereka.

Sesungguhnya Harun telah berkata kepada mereka sebelumnya: "wahai kaumku, sesungguhnya kamu telah difitnah dengannya (patung anak lembu) . Sesungguhnbya Tuhan kamu adalah Ar-Rahman, maka ikutlah aku dan taatlah kepada suruhanku"

Jawab mereka itu: "kami akan tetap menyembahnya sehingga Musa kembali kepada kami!"

(Tatkala Musa kembali) Dia berkata: 'Hai Harun! apa yang menghalang engkau (dari mencegah mereka) ketika engkau melihat mereka telah sesat.

Sesungguhnya engkau tidak mengikut aku, adakah engkau mengingkari suruhan ku?'

Jawab Harun: ' Hai anak kepada ibuku, Janganlah engkau tarik janggutku dan jangan juga kepalaku, Sesungguhnya aku bimbang engkau tuduh aku: 'engkau telah memecah-belahkan Bani israel dan engkau tidak mengamati perkataanku" (Taha:89-94)

Kita dapat bayangkan kesulitan yang dihadapi oleh Saiyyidina Harun, baginda mengingkari kesesatan yang dibawa oleh Samiri tetapi baginda tidak sanggup melakukan tindakan yang akan dituduh sebagai memecah-belahkan Bani Israel. Baginda bertahan penuh kesabaran sehingga kembalinya Saiyyidina Musa yang memang mempunyai kekuatan untuk menentukan kata-putus tanpa menjejaskan perpaduan Bani Israel.Tidak semua pemimpin mempunyai kekuatan untuk membuat kata putus yang akan dipatuhi oleh pengikut sebagaimana yang ada pada Saiyyidina Musa.

Hanya kadang-kadang kita tidak sabar dan tidak mempunyai ketahanan diri. Guru kami pernah mengatakan yang beliau kadang-kadang mengambil masa yang agak lama untuk mula menegur seseorang kerana sesuatu yang tidak sepatutnya, terlebih dahulu beliau akan menyediakan suasana yang kondusif sehingga apabila teguran itu dibuat, ianya akan meninggalkan kesan.

Kita juga teringat dalam perbincangan ulama tentang kewajiban menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar, ulama menyebut ianya tidak menjadi wajib sekiranya perbuatan kita itu dikira-kira tidak meninggalkan kesan, atau akan mengundang kemungkaran yang lebih dahsyat, atau dapat membahayakan keselamatan kita. Semua keuzuran ini tidak pula mengangkat kewajiban kita dalam membenci serta mengingkari kemaksiatan, hanya ia mengangkat kewajiban kita daripada bertindak secara zahir.

Kehadiran kita di dunia adalah untuk kita mentaati Allah dalam menjayakan kehidupan beragama, kehidupan secara perseorangan atau secara kolektif mesti diorentasikan agar memenuhi tujuan kewujudan kita itu. Dalam konteks kisah di atas inilah, Saiyyidina Musa berdoa kepada Allah:

"Musa berdoa:'Wahai tuhanku, sesungguhnya aku tiada memiliki (menguasai) kecuali diriku sendiri serta saudaraku (Harun), sebab itu maka pecahkan/ceraikan antara kami dan antara kaum yang fasik" (al-Maidah:25)

"Musa berdoa:"Ya Tuhanku, ampunilah aku dan saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam rahmat -Mu, sesungguhnya Engkaulah sepenyayang-penyayang yang penyayang" (al-'Araf:152)

Pengikut baginda berdua kemudiannya bertaubat dan perpaduan dalam kehidupan beragama terjalin semula, al-Quran menyebut:
"Tatkala mereka (Bani Israel) menyesal dan mereka sedar yang mereka telah sesat, mereka berkata: ' jika Tuhan kami tidak merahmati kami dan tiada mengampuni kami niscaya kami tergolong dari orang-orang yang rugi" (al-'Araf:149)

Allah melarang keras kita daripada berpecah:

"Janganlah kamu menjadi seperti orang yang berpecah-belah dan bersilang fahaman (ikhtilaf) selepas datang kepada mereka keterangan. Dan bagi mereka azab yang pedih disebabkan apa yang mereka kufurkan" (Ali-'Imran:105)

Allah menyebut agar kita berpadu berdasarkan kejelasan ajaran agama. Kita tahu jalan yang kita lalui dan ke mana matlamat kita. Kita berjalan di atas jalan syara' dan kita menuju kepada matlamat keredaan Allah:

"Sesungguhnya inilah Jalan-ku (agamaku) yang lurus, maka kamu ikutilah ia dan jangan kamu ikut jalan-jalan yang selainnya nanti berpecah-belah kamu daripada Jalan-Nya. Demikian Allah mewasiatkan kepada kamu moga-moga kamu bertaqwa" (al-An 'am:153)

Perpaduan yang diperentahkan oleh Allah dijelaskan:

Berpeganglah kamu sekelian kepada Tali Allah dan janganlah kamu bertpecah-belah dan ingatlah akan nikmat Allah (terutama iman dan Islam) kepada kamu. Ketika kamu telah bermusuh-musuhan, lalu dipersatukan hati-hati kamu, sehingga kamu menjadi bersaudara dengan nikmat-Nya. Sebelum ini kamu telah berada di pinggir lubang neraka, lalu ditarik-selamat kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu, agar kamu mendapat petunjuk

Hendaklah wujud di antara kamu suatu golongan yang mendakwah dengan kebaikan dan melarang daripada kejahatan , mereka adalah golongan yang berjaya.

Jnganlah kamu seperti orang-orang yang berpecah-belah dan berselisih faham selepas datang kepada mereka keterangan-keterangan, bagi mereka itu balasan azab yang besar" (ali-'Imran :103-105)

Allah menyifatkan perpaduan itu sebagai nikmat yang mahal dan merupakan anugerah-Nya yang sangat bernilainya :

Dan Dia (Allah) yang menyatukan hati-hati kamu, sekiranya engkau belanja segala yang ada di dunia, kamu tidak mampu menyatukan hati-hati mereka, tetapi Allah lah yang menyatukan antara mereka. Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana (Al-Anfal:63)

Rasulullah sangat memberi perhatian dalam ikhtiar untuk menjaga perpaduan, sehingga antara lain, terdapat beberapa hadith yang Rasulullah telah mengambil berat dalam meluruskan saf sembahyang. Membetuli saf sembahyang adalah amalan walaupun kelihatan kecil, tetapi penting dalam membawa keberkatan perpaduan kepada ummah. Lurus tumit kaki dalam saf sembahyang untuk menghadap Allah akan membawa lurus kaki hati kita dalam menjalani kehidupan mencari reda-Nya. Lihatlah huraian kitab Dalilu al-Falihin, antara lain tentang perkara ini.

Oleh itu marilah kita syukuri perpaduan dalam kehidupan beragama yang ada, serta kita perkukuhkan amalan-amalan agama yang telah sedia tersemai dalam masyarakat kita. Kita hindari bibit/benih perpecahan yang mampu berpunca dari soal-soal huraian agama sesuka rasa, ketaksuban kepada kelompok, semangat kepartian yang melampau. Agaknya tulisan Badiuzzaman Said Nursi 'Sincerity & Brotherhood' dapat membantu, atau tulisan Maulana Zakaria al-Kandalawi 'Islamic Politics'.

Sunday, October 18, 2009

Sanjungan Ummah Terhadap Saiyyidina Rasulullah

Saya terbaca sebuah posting dalam sebuah blog di bawah entry 'Fanatik Dalam Islam'. Saya mula-mulanya merasa 'panas telinga' dengan kenyataan dalam tulisan ini yang telah menyentuh Saiyyidina Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam, kemudian saya terasa sayu. Saya panas telinga dan kemudian terasa sayu kerana saya tidak tahu semada kenyatan itu lahir daripada keberanian yang tidak terkawal atau ianya keterlanjuran yang terlepas pandang serta dianggap lekeh. Mungkin sahaja kenyataan itu kecil dan tidaklah penting manapun, tetapi apabila ianya menyentuh peribadi utama yang teramat-amat penting, yakni peribadi semulia-mulia makhluk Allah, Saiyyidu al-Mursalin, maka kenyataan itu perlu dipandang dengan serious dan diadili di atas neraca aqidah dan adab Islam. Saya salin kenyataan yang dimaksudkan ini:

Fanatik sering dikaitkan dengan sikap dan juga semangat Asabiyyah. Ibn Khaldun turut mengupas tentang peranan asabiyyah dalam kitabnya Muqaddimah Ibn Kahldun. Ringkasnya, kupasan beliau menyatakan bahawa fanatic asabiyyah hanya dibenarkan sebagai temporary mekanisme untuk proses pembentukan Negara Islam. Setelah proses yang diidamkan berjaya, unsur fanatik asabiyyah wajar dihindar serta dilupuskan sama ada secara berperingkat ataupun sebaliknya. Islam menganjurkan pendidikan yang mampu membuahkan kasih-sayang serta rasa hormat terhadap pemimpin selama mana tindak-tanduk mereka bukan merupakan satu kemungkaran dan juga maksiat. Agihan tugasan dan jawatan sesama anak beranak dan juga kroni juga diamalkan oleh Rasulullah yang mengutamakan Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Othman bin Affan dan juga Ali bin Abi Talib. Meskipun diutamakan oleh Rasulullah dan mereka ini tidak tergolong dalam kalangan ma'sumum tetapi mereka semua sentiasa berusaha menghindarkan diri masing-masing daripada segala bentuk kemungkaran dan kemaksiatan. Membela anak beranak yang berjawatan tinggi dalam kepimpinan kerajaan yang berperangai tidak senonoh adalah satu kemungkaran. Lebih-lebih lagi jika tindak tanduk mereka itu menyusahkan rakyat jelata dan boleh merugikan sesebuah pentadbiran Islam.

Sayang sekali selepas berakhir zaman khulafa al-rasyidin, sikap fanatic asabiyyah anak beranak di kalangan para pemimpin Islam mulai berubah menjadi trend yang diwarisi secara zaman berzaman. Fenomena ini jelas bermula dengan kebangkitan kerajaan Islam Bani Umaiyyah hingga ke saat ini.


Kalau kita bertanya secara ikhlas pada beberapa perkara asas, adakah penulis ini:

1- memahami maksud dan penggunaan istilah 'fanatic'

2- memahami perbincangan kepentingan dan kedudukan asabiyyah dalam kehidupan beragama dan berkerajaan dalam tulisan Ibn Khaldun.

3-memahami konteks penggunaan istilah 'cronyism'

4- memahami sistem kerajaan beraja secara dinasti dan memberi kedudukan yang setimpal kepada sistem ini dalam sepanjang sejarah manusia dan ummah khususnya. Vis-a-vis dengan sistem khalifah dan kaedah perlantikan pemimpin secara syari'ie sebagaimana yang terdapat dalam kitab para ulama.

5-berlaku jujur dalam cuba memahami huraian kemasyarakatan oleh Ibnu Khaldun, bukan sekadar menumpang namanya dan nama karyanya dalam usaha meluncur pemikiran kita sendiri.

Itu adalah soalan-soalan sampingan sahaja. Sebenarnya yang menjadi persoalan utamanya ialah kefahaman dan sikap serta adab kita terhadap apa-apa perilaku dan perbuatan serta perkataan yang thabit daripada Saiyyidina Rasulullah sallahu alaihi wasallam.

Dalam kitab-kitab aqidah selepas perbincangan hal-hal yang berkaitan Ilahiyyat (ketuhanan), ianya akan disusuli oleh perbincangan tentang kerasulan. Dalam bab kerasulan itu (dalam kitab yang agak besar sedikit) akan dibincangkan tentang kedudukan Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam. Serta bagaimana kita sebagai ummah baginda perlu kasih dan cinta kepada baginda, bagaimana kita beri'tiqad yang perkataan, ikrar dan perbuatan Rasulullah sallahu alaihi wassallam menjadi ikutan dalam segala aspek kehidupan kita. Bagaimana Allah memelihara baginda daripada melakukan maksiat dan dosa ketika baginda menjalani kehidupan di dunia, pemeliharan Allah terhadap baginda dengan menentukan baginda datang dari silsilah keturunan turun-menurun yang bersih, memelihara baginda semenjak kelahiran baginda sebagaimana yang terdapat dalam Surah ad-Duha. Kita tidak menthabitkan sebarang keburukan pada rupa paras baginda dan pada peri laku serta perkataan baginda, bagindalah sebaik-baiknya dari segi kejadian dan sebaik-baiknya dari segi akhlaq. Kita tidak bercakap tentang baginda kecuali dengan semangat pengkaguman dan menyaksikan kesempurnaan dan kecantikan pada baginda, disertai kecintaan dan rindu untuk menatap wajah baginda terutamanya di akhirat kelak.

Bagaimana mungkin tergamak kita katakan Rasulullah membuat sesuatu perbuatan yang sekiranya dilakukan oleh orang kebanyakanpun, ianya dikira salah dan tidak patut. Bagaimana tergamak dan sampai hati kita katakan yang Saiyyidina Rasulullah mengamalkan 'cronyism' dengan melantik Saiyyidina Abu Bakar, Saiyyidina 'Umar, Saiyyidina Uthman dan Saiyyidina 'Ali untuk mengisi jawatan dan tugasan?. Tidakkah kita merasa sayu dan hiba membaca tuduhan ini dibuat atas nama 'menghayati agama' dan 'seruan ke arah kebaikan'?. Aduhai, semoga Allah menunjukkan kita kebenaran sebagai kebenaran serta diberi kita upaya untuk berada di atas kebenaran, serta ditunujukkan kebatilan sebagai kebatilan serta diupayakan kita untuk menjauhi kebatilan.

Istilah 'cronyism' dapat disusur penggunaannya dalam bahasa Inggeris seawal 1811. Kemungkinan ianya berasal daripada perkataan Irish, Comh-Roghna (sebut: ko-rone) yang bermaksud rakan karib atau kawan sebaya. Bagaimana pun istilah ini telah digunakan untuk memaksudkan antara lain:
1-The practise of appointing friends to high level , especially political post regardless of their suitability.
2-Favoritism shown to friends and associates by appointing them to positions without regards for their qualification.
3-Close friend, trusted companion or partner in a criminal organization
4-A term to describe an individual who is able to exploit connections with leader to gain wealth and economic position
5-favoritism, especially in giving political appointment
6-cronyism is contrary in practise and principle to meritocracy

Secara sepintas lalupun, kalau kita melihat secara adil, dimanakah kita boleh thabitkan yang Rasulullah sallahu alaihi wassallam mengamalkan cronyism?. Adapun perlantikan Saiyyidina Abu Bakar,Saiyyidina Umar, Saiyyidina Uthman dan Saiyyidina Ali sebagai khalifah kemudian daripada baginda itu bukannya perlantikan dan keputusan yang dibuat oleh baginda. Bahkan ummah, khususnya ahli Madinah-lah yang melantik Saiyyidina Abu Bakar, sebagimana yang kita tahu peristiwa diSaqifah Bani Saadah. Adapun Saiyyidina Umar telah ditunjukkan oleh Saiyyidina Abu Bakar sebelum baginda menghembus nafasnya yang terakhir dan dipersetujui oleh ummah. Saiyyidina Uthman telah dilantik oleh ahlu al-halli wa al-aqdi dan Saiyyidina Ali telah diberi bai'ah secara meluas selepas Saiyyidina Uthman dibunuh secara zalim.

Adapun perlantikan dan pembahagian tugasan kepada mereka semasa Rasulullah sallahu 'alaihi wassallam masih hidup, adakah terdapat mana-mana sahabat yang ada semasa itu atau ulama yang datang kemudian mempersoalkan kewajaran tugasan yang diberi oleh Rasulullah sallahu 'alaihi wassallam kepada mereka berempat atau mana-mana perlantikan sahabat yang lain?. Mereka dilantik kerana mereka adalah layak dan sepadan untuk menjawat tugasan tersebut. Ummah ini di kalangan jumhur ahlu as-Sunnah berfahaman yang sebaik-baik daripada ummah ini selepas Rasulullah adalah Abu Bakar, kemudiannya Umar, kemudiannya Uthman dan kemudian Ali kemudiannya yang 6 orang lagi yang telah dijaminkan syurga oleh Rasulullah sallahu alaihi wassalam, keluarga baginda yang terdekat, serta muhajirin yang awal,serta ansar, serta ahli perang Badar dan seterusnya.

Jadi dari wajah manakah dapat dikatakan Rasulullah sallahu alaihi wassallam terlibat dalam cronyism?. Agaknya ada dua peristiwa yang secara jelas menunjukkan amalan cronyism tidak wujud di zaman awal Islam. Peristiwa pertama ialah selerainya daripada Peperangan Tabuk, Rasulullah sallahu 'alahi wassallam telah membahagi-bahagi harta rampasan perang (ghanimah) kepada penduduk Makkah sehingga golongan Ansar terasa seolah-olah merteka dipinggirkan. Ketika berperang dan berkorban, maka golongan ansar lah yang diutamakan dan ketika pembahagian ghanimah, nampaknya orang-orang Makkah, iatu orang daripada tempat asal Rasulullah yang mendapat keutamaan, Sungutan mereka itu sampai kepada Rasulullah sallahu 'alaihi wassallam. Baginda menghimpunkan golongan ansar dan menyatakan kepada mereka 'apakah mereka tidak merasa puas hati ketika orang lain kembali ke rumah mereka dengan membawa unta, kambing dan lain-lain harta rampasan, sedangkan orang ansar kembali ke Madinah bersama Rasulullah sendiri. Di mana puncak yang mereka daki, di mana lembah yang mereka turuni, Rasulullah ada bersama-sama mereka . Apakah kemulian yang dapat mengatasi kemulian untuk bersama-sama Rasululullah!. Itulah keutamaan peribadi Rasulullah dan itulah keutaman golongan ansar yang sentiasa berjuang untuk menegakkan Islam.

Peristiwa kedua adalah peristiwa sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam Ibnu al-Arabi, imam mufassir dalam kitabnya al-'Awasim mina al-Qawasim (Immunity from The Back-Bone Breakers) tentang tuduhan terhadap Khalifah ke tiga, Saiyyidin aUthman yang baginda melantik ahli keluarganya bagi jawatan pentadbiran, baginda membelanjakan harta untuk ahli keluarganya. Saiyyidina Uthman dalam khutbahnya kepada penduduk Madinah menjawab tuduhan itu dengan mengatakan sebahagian perlantikan ahli anggota keluarganya itu telah dibuat semenjak pemerentahan Saiyyidina Umar lagi, yang terlantik itu layak dan baginda sekadar menyambung perkhidmatan mereka. Adapun pembelanjaan harta baginda terhadap ahli keluarga itu dibuat menggunakan hartanya sendiri,bukan daripada baitu al-mal. Baginda sebelum menjadi khalifah lagi memang menggunakan sebahagian harta peribadinya untuk dibahagi-bahagi kepada kaum-kerabatnya, baginda sekadar meneruskan amalan itu. Jumhur ahlu as-Sunnah berpendirian sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn al-Arabi ini yang Saiyyidina Uthman tidak menyalahkan kedudukannya sebagai khalifah dalam melantik dan membahagi-bahagi harta bait al-mal di kalangan kaum kerabatnya.

Kemudian penulis juga mengulang-ulangi sikap 'fanatik asabiyyah' yang dikatakan jelas bermula dengan kebangkitan kerajaan Bani Uamiyyah hinggalah ke saat ini. Hanya apakah kena untuk kita mengatakan yang sejarah khairu ummah, ummataan wasatan ini diwarnai hampir seluruhnya oleh sikap fanatism?

Istilah fanatik yang asalnya perkataan Latin 'fanaticus' telah diberi pengertian:
1- Behaviour of a fanatic will be viewed as violating prevaling sosial norms.
2-A person whose enthusiasm or zeal for something is extreme or beyond normal limits (irrational ethusiasm)
3-Often intense uncritical devotion.
4-According George Santayana : "redoubling your effort when you have forgotten your aim"
5-According to W. Churchill: "A fanatic is one who cant change his mind and won't change his subject".

Ummah ini dari sewal-awalnya lagi sentiasa tidak pernah sunyi daripada golongan ulama yang mukhlisin, daripada 'abidin yang muqarrabin, daripada mujahiddin dan murabitun yang berdiri di atas kebenaran tanpa terusik pendirian mereka. Adakah kemungkaran 'fanatism' terbiar begitu sahaja sehingga seakan-akan telah tergambarhampir seluruh sejarah tamaddun ummah ini telah ditelan bulat-bulat oleh sikap buruk ini. Fanatism tentunya berlawanan/ anti-thesis kepada kebenaran dan kemurnian. Mungkin di sepanjang sejarah ummah ini terdapat golongan yang fanatik, tetapi mereka bukannya ' main stream ummah'/ sawadu al-'azam ummah ini. Ummah ini adalah ummah yang Rasulnya adalah Pembawa Rahmat ke seluruh alam, Rasul yang diutuskan kepada seluruh manusia dari sewalnya sehingga ke yang terakhir, Rasul yang memegang Syafaat al-Kubra di akhirat. Ummah kepada Rasul ini ini adalah ummah yang paling ramai menghuni syurga.

Marilah kita beradab terhadap Saiyyidina Rasulullah sallahu alaihi wassallam di peringkat batin dan zahir. Janganlah kita mengaitkan baginda dengan perilaku yang dipandang serong hatta dibuat oleh orang kebanyakan. Janganlah kita seakan-akan golongan jahiliyyah yang merah padam muka mereka kebencian apabila mendapat perkhabaran kelahiran anak perempuan tetapi sanggup mengatakan kepada Allah yang malaikat itu adalah anak perempuan Allah. Rasulullah adalah pembawa rahmat, sehingga berselawat ke atas baginda pun dikira suatu ibadat yang menghampirkan diri kita kepada Allah, mendapat keampunan dan memperolihi kebajikan yang banyak.

Mulianya peribadi Rasulullah sallahu 'alaihi wassallam sehingga Allah sendiri dan para malaikat-Nya berselawat ke atas baginda!

Catitan Hujung:
catitan ini telah dibuat di bawah dorongan emosi yang memungkinkan tergelincir kalam, terlajak kata serta terlari dari sasaran. Semoga Allah menyempurnakan kekurangan jiwa kita , mengampunan keterlanjuran kita dan menambatkan serta menambahkan kerinduan kita terhadap Rasul-Nya sehingga kerinduan dan keasyikan terhadap baginda membawa kita dalam memperolihi kecintaan dan keredaan daripada-Nya.

Thursday, October 15, 2009

Awas Menantu Melintas

Dalam al-Quran Allah menyebut (yang terjemahan maksudnya kurang lebih):
"Hai orang-orang yang beriman sesungguhnya di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu ada yang menjadi musuh kamu, maka berwaspadalah terhadap mereka. Dan jika kamu memaafkan , melepaskan (tidak menghukum) dan mengampuni mereka, sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang". [at-Taghabun:14]

Allah juga berfirman 9yang maksudnya kurang-lebih):
"Ketahui oleh kamu sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu adalah fitnah (ujian dan godaan), dan sesungguhnya Allah yang di sisi-Nya balasan yang agung" [al-Anfal:28]

Allah memberi peringatan:
"Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu terlalai (lengah) kerana harta-benda dan anak-anak kamu daripada mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat demikian. maka mereka adalah orang yang rugi" [al-Munafiqun:9]

Allah memberi peringatan yang berulang dalam surah at-Taubah pada ayat 55 dan 85:
"Janganlah engkau ta'ajub dengan harta-benda mereka dan jangan dengan anak-anak mereka. Sesungguhnya Allah menyiksa mereka dengannya dalam kehidupan di dunia dan ketika nyawa mereka dicabut sedang mereka adalah orang yang kafir"


Fitnah atau ujian daripada anak-anak kita sendiri adalah suatu yang sukar untuk kita lulus, terutama kita sebagai orang tua telah terbelenggu oleh kasih-kasih dan kasihan belas terhadap mereka. Kita mahu melihat mereka senang dan sejahtera, kemahuan itulah juga yang dapat menggagalkan kita untuk memberi pertimbangan secara yang paling wajar dan bertindak dengan cara yang paling tepat. Sebagai orang tua, kita diuji oleh kerenah dan fa'il anak-anak ketika mereka kecil dan membesar. Sedangkan apabila mereka dewasa, ujian terhadap kita menjadi semakin besar dan berat. Ada masalah yang mereka bawa semenjak sebelum baligh yang belum selesai, ditambahpula masaalah baru yang timbul ketika mereka telah dewasa. Antara masalah mereka adalah soal cari-makan dan hasarat menghimpun kekayaan dan kedudukan/status . Masaalah bertemu jodoh (mencari menantu) dari segi keserasian pasangan dan dapat membantu untuk mereka menjalani kehidupan yang patuh kepada ajaran agama.

Anak kita adalah anugerah Allah tanpa campur-tangan kita, mereka datang dengan paras rupa dan kecenderungan serta tabiat sebagaimana yang ditentukan oleh Allah. Kita berkewajiban berusaha untuk melentur dan mendidik mereka supaya menjadi manusia yang patuh kepada agama. Peranan kita seumpma mid-wife(bidan) yang menyampaikan anak-anak kepada kesempurnan potensi-potensi yang mereka sedia miliki.

Walaupun soal menantu adalah juga 'fitnah' anak-anak tetapi ianya berlainan. Biasanya menantu datang kepada kita sebagai seorang yang dewasa dengan memiliki nilai dan hati-budi yang sudah terbentuk. Kita dan anak kitalah yang memilih menantu berdasarkan ciri-ciri yang menjadi keutamaan kita. Tidak sebagaimana anak yang datang tanpa perlu kita membuat keputusan tentang rupa-paras dan tabiat mereka. Menantu adalah orang asing yang kemudiannya menjadi anggota keluarga kita, sehingga kadang-kadang cara kominikasi mertua-menantu menjadi begitu kompleks, hinggakan terpaksa 'pukul anak, sindir menantu'.

Sesudah seseorang itu menjadi menantu kita, katakan kita tidak berkenan malah meluat dengan pembawaannya, kita tidak dapat membuat keputusan secara 'direct',. Kita perlu timbang kedudukan anak kita serta resiko yang mungkin timbul, maklumlah semenjak dahulu-kala lagi ada anak yang berpendirian:

Nasi lemak buah bidara
sayang selasih hamba lurutkan
buang emak buang saudara
kerana kasih hamba turutkan

Maksudnya menantu ini adalah orang asing yang menjadi pilihan kita untuk dijadikan anggota kaum kerabat, dia datang sebagai seorang yang dewasa yang punyai nilai dan hati-budi yang sudah terbentuk. Kita terikat dalam membuat keputusan yang drastik berkaitan dengan menantu kerana hubungannnya dengan anak kita dan cucu kita; walaupun kita teramat tidak setuju dengan sikap atau tindakannya. Bagaimanapun , banyak menantu yang membantu mertuanya dalam menjalani kehidupan ke arah yang lebih baik, banyak juga menantu yang telah menjadi hantu.

Saya teringat seorang jiran saya pada tahun 70'an telah berpesan tentang ilmu jangan mengharap:

Harapkan anak tahunya nak,
Harapkan ayah takutnya payah,
harapkan bining naik pening, (bining adalah sebutan Kelantan bagi bini/isteri)
harapkan mertua sampai tua
harapkan menantu jadi hantu
harapkan sain tinggalnya kain (sain adalah kawan dalam sebutan Kelantan)
harapkan raja tahunya nak saja (nak saja maksudnya hendak secara percuma)
harapkan kerajaae sampai re-ae ( ra-ae maksudnya sakit urat-saraf)
harapkan orang luar tinggallah seluar
Maka harapkan Tuhan, baru bertahan

Menantu jadi hantu bukanlah fenomena paranormal, ianya kerap dicatitkan terutama dalam kes menantu kepada golongan yang berkuasa atau golongan yang berharta atau golongan berkedudukan. Ada menantu yang jadi dedalu kepada mertua, perangai parasitic-nya telah mencemarkan nama baik mertua. Ada menantu yang sekadar umpama tumbuhan epyphyte, dia menumpang host-nya, yakni mertuanya tanpa mencederakan hostnya. Ada menantu yang baik dan berkesan, dia menjalin hubungan symbiotic, umpama aur dengan tebing dengan mertuanya. (Ada seorang rakan saya yang telah menjadi menantu bagi keluarga seorang Tuan Guru pondok yang dihormati di Kelantan, dia mengatakan kelebihan menjadi menantu kepada orang yang mulia ini adalah umpama kelebihan kulit kambing yang dijadikan kulit al-Quran, walaupun ianya adalah semata-mata kulit kambing, tetapi manusia berwudu untuk menyentuhnya kerana ianya telah menajdi kulit kepada mushaf al-Quran: saya rasa terpingga-pingga mendengar justikasinya ini)

Dalam sejarah orang-orang yang berkuasa pula , semenjak dahulu-kala lagi sehingga ke zaman sekarang, peranan menantu kepada tokoh-tokoh yang berkuasa bukanlah kepalang. Ada menantu yang membantu menguatkan kedudukan mertua dan ada yang menjadi sokong pembawa rebah.


Kita mungkin masih ingat peranan menantu Dick Cheney, Philip Perry dalam perang Iraq. Kita masih ingat Levi Johnston yang hampir-hampir menjadi menantu Sarah Palin, bekas calon timbalan presiden Amerika. Kita juga tidak lupa Fazir Azwar Mohd Noor, menantu Tan Sri Rafidah Aziz. Apa lagi Khairi Jamaluddin menantu Pak Lah yang begitu hangat dijadikan topik perbincangan di kalangan UMNO dan luar UMNO.

Kisah menantu yang menjadi classical case dalam rekod semasa adalah 2 orang menantu Saddam Hussein, Lt. Gen Hussein Kamal al-Majid, yang mengetuai bahagian persenjataan tentera Iraq, yang kemudian telah mendapat suaka politik daripada kerajaan Jordan. Di Jordan beliau telah berkerjasama dengan M16, CIA dalam 'mengkhianati' mertuanya. Kemudian Saddam mengisytiharkan pengampunansecara resmi bagi menantunya yang menyebabkan Hussein Kamal kembali ke Baghdad, yang rupanya perangkap untuk menerima hukuman mati daripada mertuanya. Dia dihukum bunuh pada 23Februari 1996.

Seorang lagi menantu Saddam adalah Jamal Abdullah at-Tikriti yang sempat lari ke Syria apabila mertuanya digulingkan. Bagaimanapun beliau telah diserah kepada pihak berkuasa tentera Amerika di Baghdad dan telah dijatuhkan hukuman bunuh. Dua menantu yang banyak persamaan, keduanya lari ke luar negeri dan kembali ke Baghdad untuk menerima hukuman mati, yang berbezanya seorang pembelot kepada mertua dan seorang lagi mati kerana perjuangan bersama mertua. Iktibar kisah kedua menantu Saddam ini, ialah tidak semua menantu boleh dipercayai. Ada menentu yang baik dan patuh kepada mertua ketika mertua masih berkuasa, untuk menumpang sekaki kelebihan dan pengaruh mertua. Ada juga jenis menantu yang memang setia kepada mertua, tanpa mengira di masa mertua berkuasa atau ketika survival mertua telah terancam. Mungkin jenis inilah yang Ahmad Nisfu tuturkan sebagai "bagus, menantu bapa !"

Arnold Schwarzenegger , seorang pengiat filem yang tekenal di Hollywood kemudiannya menjadi orang politik sehingga berjaya menjadi governor California. Dia naik dengan cepat dalam politik kerana dia adalah menantu kepada Eunice Kennedy Shriver. Ibu mertuanya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyakinkan masyarakat California dan pimpinan White House demi peningkatan karier politik menantunya, ibu mertua ini telah menulis beberapa pucuk surat kepada Presiden Bush sendiri untuk menyakinkan Bush tentang kelayakan menantunya untuk menjawat jawatan penting itu.

Tetapi semua kisah-kisah ini masih jauh ketinggalan daripada kisah hebat Mahmoud Ahmadinejad di Iran. Dia adalah menantu yang baik, dia telah melantik mertuanya Asfandir Rahim Mashaie sebagai Naib Presiden. Perlantikan mertuanya oleh menantu ini telah menimbul sedikit kontraversi dalam lingkungan politik di Tehran. Dia juga telah melantik abang iparnya Ismail Ahmadi sebagai ketua pasukan polis. Sebelumnya ketika penggal pertama beliau menjadi presiden, beliau telah melantik iparnya Alireza Ahmadi sebagai Menteri Pelajaran. Dia juga melantik birasnya, Masoud Zaribafan sebagai setiausaha Kabinet. Di samping telah melantik Dawood Ahmadinejad sebagai pengarah 'president's inspector office' dan iparnya Hussein Shebeiry sebagai pengarah Yayasan Reda.

Iran pernah dijadikan sumber inspirasi dan 'qudwah' bagi gerakan-gerakan politik di dunia Islam pada tahun awal 80'an, mungkin ada sehingga sekarang. Ada yang terlalu mengkagumi kejayaan Revolusi Iran sehingga mereka menganut faham Shiah. Dalam hal-hal perjuangan menentang pemerentahan yang zalim serta didukung oleh kuasa besar dunia agaknya adalah kerelevenan untuk mereka mencontohi Iran, bagaimanapun harap-harapnya dalam amalan lantik-melantik mertua, ipar, biras, besan dan menantu (walaupun mereka berkebolehan) secara begitu berluas-luasa ini, diharap tidak dijadikan contoh ikutan pada mana-mana tokoh dan pertubuhan di tanahair kita .......

catitan kaki: nampaknya menantu mampu menghantui mertua tidak kira siapa mertua mereka, semada pemimpin negara, ketua masyarakat, hartawan, ulama, cendiakawan atau orang biasa di tepi-tepi jalan kehidupan. Saya merasa sedikit ketakutan memandangkan saya juga memiliki anak-anak dan insyaallah bakal menerima menantu. Semoga Allah menyelamatkan kita semua dari fitnah akibat kerumitan serta masaalah apabila menantu pilihan bertukar menjadi hantu.... Ya Rab Sallimna

Sunday, October 11, 2009

Isu Niqab: hijab yang mungkin terselak

Syaikh al-Azhar, Dr. Tantawi ketika membuat lawatan di salah sebuah sekolah perempuan telah menegur seorang pelajar perempuan yang menutup muka, kenapa dia perlu menutup muka sedangkan di sekolahnya semua pelajar perempuan. Guru pelajar tersebut menjalsakan yang pelajar tersebut memang membuka tutup mukanya (niqab) ketika di dalam kelas tetapi memandangkan kewujudan rombongan Syaikh al-Azhar yang terdiri dari lelaki itulah yang menyebabkan pelajar tersebut menutup mukanya ketika berada di dalam kelas. Syaikh al-Azhar mengatakan yang dia lebih faham tentang ajaran Islam daripada pelajar tersebut, lebih faham tentang Islam daripada kedua ibu-bapa pelajar tersebut. Jangan tutup muka!

Nampaknya bukan sahaja kerajaan sekular Peranchis yang bertindak menafikan hak menutup muka wanita Islam di pusat pengajian, bahkan di bumi Sungai Nil , dan oleh bukan orang lain, bahkan Syaikh al-Azhar sendiri yang mahu mengharamkan tutup muka di pusat pengajian. Itulah hebatnya pimpinan ulama bagi sebuah institusi ulama pula!

Peristiwa yang menyentuh perasaan orang Islam di serata dunia ini telah dilanjutkan kupasannya di tanahair kita, oleh tidak lain kecuali Murshidul 'Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sendiri. Aduhai Tuan Guru yang kita hormati......!

Kenapa perlu melatah sebelum kita mengetahui back-ground bagi kenyataan Syaikh Tantawi ? Syaikh Tantawi memang mempunyai pendapat yang tersendiri, antara yang termasyur ialah tentang bank interest, hubungan dengan Israel dan lain-lain. Sepatutnya isu ini dikupas mengikut neraca syari'at: apakah menutup muka itu sesuatu perkara yang tidak dibincangkan dalam kitab feqah, atau adakah ianya adalah pendapat shaz (terpecil) di kalangan ulama? Atau ianya tiada mempunyai nas sandaran kepada al-Quran dan Sunnah? Kalaulah ulama, seumpama Syaikh al-Azhar atau Murshidul 'Am pun bercakap tentang pemakaian tutup muka mengikut konteks dan bukannnya berdasarkan teks, maka alamatnya ummah kita berada dalam krisis ilmu yang perlu dirawati segera.

Ulama perlu mempunyai pendirian dan bersikap adil. Syaikh Tantawi dikritik oleh ulama di Masir sendiri antara lain kerana perbezaan yang sangat jelas di antara ketentuan dalam kitab tafsir yang dikarangnya dengan kenyataan-kenyataannya selepas menajdi mufti dan Syaikh al-Azhar. Dua gaya tulisannya dalam dua kapasiti yang berbeza ini sangat berlainanisinya.

Adakah Tuan Guru Nik Abdul Aziz pun mempunyai rekod yang mungkin hampir sama dalam isu berkaitan wanita? Lihatlah pendiriannya dalam buku tafsir beliau tentang sebab-sebab wanita tidak harus dijadikan calon pilihanraya dalam tahun 1990'an, sebab-sebab itu masih tidak berubah dalam masyarakat kita, tetapi Tuan Guru telahpun berubah pendiriannya.

Kalau dulu Tok Guru berkeras yang musabaqah al-Quran untuk qari sahaja, kerana suara wanita adalah aurat,sehingga tiadalah wakil qari'ah dari Kelantan, pegangan yang agak strict, Sekarang bukannya setakat Tok Guru mengatakan tutup muka itu tidak wajib, bahkan Tok Guru menzahirkan ketidak-setujuannya terhadap amalan wanita yang tutup muka. Tidak berapa lama dulu, SIS dan kumpulan wanita yang lain marah kepada Tok Guru kerana menyalahkan wanita yang tidak menutup aurat dan bermekap sebagai penyebab berlakunya jenayah rogol. Tok Guru pernah dikatakan mengatakan wanita yang tidak cantik patut diutamakan dalam pemilihan untuk mengisi jawatan kerajaan, kerana yang cantik boleh mendapat suami yang berjawatan. Memang pandangan yang strict. Entahlah, bila timbul kupasan isu niqab ini , saya tidak dapat memahami consistency-nya; kalau strict, biarlah istiqamah strict-nya....

Kalaulah ulama berubah pendirian kerana menemui nas yang baru atau mendapat kefahaman terhadap nas secara baru, atau perubahan dalam sebab musabbab yang menjadi sandaran kepada sesuatu hukum itu diputuskan, maka ianya suatu kewajaran. Imam as-Shafi'ie ada memberi pendapat lama dan pendapat baru. Tetapi perubahan pendapat itu dapat dikupas secara ilmiyyah dan bertanggung-jawab, tiada celanya Imam as-shafi'ie kerana membaharui pendapatnya sendiri. Tetapi sekiranya perubahan itu mengikut selera sendiri-sendiri atau selera politik kepartian, maka ulama itu boleh dikatakan tidak kecap/kemas fahaman dan penghayatannya.

Kita orang awam menjadi mangsa, kita umpama pelayar di tengah lautan di malam hari yang gelap, kita belayar berpandukan suluhan rumah api, sekiranya rumah api itu sendiri berubah-rubah kedudukannya, maka alamat sesatlah kita. Rumah api adalah 'syuhada' ( point of reference) kita, mereka adalah ulama . Aduhai malanglah kita sekiranya ianya berubah-rubah.....
Kita semua maklum bahawa Tuan Guru yang kita kasihi berasal dari keluarga Tuan Guru Haji Nik Mat Alim, seorang tokoh yang mendahului masyarakatnya dalam amalan pemakaian niqab dikalangan wanita keluarganya. Kita juga tahu hingga sekarang ada kaum kerabat Tuan Guru Haji Mat Alim yang masih mengamalkan amalan ini. Semoga Allah memberinya pahala, kepadanya kerana mendahului dengan amalan yang baik lalu dikuti oleh orang lain kemudiannya. Kita semua juga tahu Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyanjungi ayahandanya, jadi dalam konteks bagaimana agaknya kenyataan Tuan Guru boleh terkeluar?

Ketika Syaikh Tantawi dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz membayangkan ketidak-wajaran bagi wanita menutup muka, WHO dan kementerian Kesihatan menggalakkan perempuan, bahkan lelakipun (tidak kira mereka memakai skirt dan shorts sekalipun) menutup sebahagian muka mereka kerana bimbangkan jangkitan H1N1. Bukankan memakai tutup muka ini juga membahayakan keselamatan awam?. Mustahilkah perompak bank menggunakan topeng itu ketika merompak? Tetapi kerana bahaya H1N1 ini sangat dibimbangi, sehingga kini tiada seorang polis atau sesiapapun yang mengatakan saranan tutup muka itu akan diambil kesempatan oleh penjenayah, lalu mendesak agar ianya diharamkan!

Saya membuat catitan ini dalam semangat kasih-sayang dan disertai sanjungan yang tinggi kepada Tuan Guru Menteri Besar Nik Abdul Aziz, kasih-sayang itulah yang mendorong saya berkata benar, walaupun ianya tidak dalam nada bersetuju dan memuji. Saya yakin Tuan Guru dapat menerimanya dengan selapang-lapang dada kerana Tuan Guru juga kerap melahirkan ketidak -setujuan kepada fahaman orang lain termasuk terhadap fahaman-fahaman ulama yang lain. Sekiranya saya tersalah, kepada Tuan Guru, saya harapkan dapat meluruskan kesilapan saya. Semoga Allah merahmati & meredai kita semua.

Friday, October 2, 2009

Adakah Yang Digelar Aqidah Orang Politik?

Tidak lah kerap saya mengikuti tulisan Raja Petra, bagaimanapun dalam salah suatu tulisannya yang agak baru, saya telah menemui istilah yang selama ini saya teraba-raba. Beliau membezakan antara poltical activist daripada politician. Lebih kurang yang saya garap, Political activist adalah individu yang berminat untuk melihat perubahan (ke arah kebaikan) berlaku di dalam masyarakat , sementara politician adalah individu yang berminat untuk mendapatkan kuasa politik (semada untuk dirinya atau kelompoknya). Kedua kelompok ini mungkin berkongsi (over-lapped) di beberapa aktiviti dan pandangan, dalam hal-hal yang lain (terutama tentang kepentingan dan matlamat memegang kuasa serta keutamaan dari segi nilai dan faham) mereka berbeza jauh.

Agaknya secara kasar, politician akan berusaha melaksanakan kebaikan dan untuk kelihatan baik demi mendapat serta mengekalkan kuasa. Political activist mengkhayalkan perubahan atau pengekekalan politik diperlukan untuk
melaksanakan kebaikan . Jadinya perbezaannya adalah semada kebaikan itu dijadikan jalan atau dijadikan matlamat. Mungkin sahaja bagi politician mereka tetap mengatakan matlamat terakhir mereka juga adalah kebaikan, tetapi secara praktisnya kebaikan mereka tidak berakhir di situ, kecuali untuk meraih sokongan. Selepas mendapat sokongan, ramai daripada kalangan mereka, tanpa mengira parti, tidak mengutamakan kebaikan demi kebaikan, hanya kebaikan untuk meraih lebih kuasa .

Teringat saya tentang apa yang ditulis tentang Imam Hassan al-Banna dalam salah suatu muktamat adalah dua perkara yang berbeza jauh. Ada keduanya berjumpa pada seseorang dan ada kalanya seorang ahli politik dengan sepenuh makna tetapi dia bukan ahli mana-mana parti. Dan ada ahli parti dengan sepenuh makna tetapi dia tidak tahu tentang politik apa-apapun.

Politik pernah digambarkan sebagai sesuatu yang sangat sangat central dan sesuatu yang tidak dapat tidak dalam agama. Sebagai contoh apa yang dinyatakan oleh Haji Hadi dalam amanat-nya yang masyur itu dan juga kenyataan-kenyataan pemimpin PAS yang lain.

Sehingga seakan-akan ada gambaran dalam masyarakat yang politik itu mempunyai huraian aqidahnya yang tersendiri. Antaranya huraian aqidah sunni, athari, shi'ah, muktazilah(rasionalis yang melampau) tidak lagi dianggap pokok-pokok fahaman yang perlu digarap, dilurusi dan diselaraskan, tetapi memberi sokongan kepada mana-mana parti politik itu yang dianggap memperjuangkan sesuatu cita-cita politik itulah syarat terasas untuk dapat berkongsi apa yang dianggap perkara aqidah. Seakan-akan duduk dalam sebuah organisasi parti yang sama itu bererti berkongsi aqidah yang sama, atau lebih dahsyatnya rosaklah aqidah seseorang sekiranya tidak bersama menyokong parti-parti tertentu..

Sekiranya terdapat dua parti politik yang berbeza yang mempunyai inspirasi politik serta perlembagaan yang hampir sama; maka kedua parti itu tetap akan diasingkan 'aqidah' mereka berdasarkan faktor adakah mereka bersama-sama dengan kita dalam pakatan percaturan politik atau menentang kepentingan kita. Yang menentang kita itu maka aqidahnya salah.....


Orang parti juga biasanya menjatuhkan hukum ke atas seseorang berdasarkan penonjolan semasa seseorang itu, misalnya hukum ke atas Ibrahim Ali. Sudah tentu hukum penilaiannya bukan atas nilai-nilai dan gaya yang intrinsic yang kekal bersama Ibrahim Ali walaupun di parti mana dia berada; tetapi Ibrahim dihukum kerana positioning-nya dan peranannya yang semasa itu. Ibrahim dalam BERJASA, kemudian UMNO, kemudian S46, kemudian UMNO lagi, kemudian hampir PKR, kemudian BEBAS rakan PAS, kemudian BEBAS condong ke UMNO lagi.

Mungkin nilai dan gaya Ibrahim tidak pernahpun berubah, mungkin aqidah dan fahaman Ibrahim tetap kekal sama, pragmatisme-nya memang begitu, mungkin keutaamaan Ibrahim dan strategy-nya tetap serupa, yang berubah hanyalah positioning-nya dalam kancah politik. Kenapa aqidah Ibrahim perlu dijatuhkan hukuman berbeza-beza , sekan-akan mengikut lompatannya? Kalau perlu diberi hukum, sepatutnya dinilai kegemarannya dan kebolehannya untuk melompat dan menyesuaikan diri dalam watak yang berbeza. Adakah bakatnya itu terserlah dalam mana watak mana sekalipun yang dijalaninya, kenapa dia perlu dihukum atas watak-watak yang dilakuninya?. Contohnya P.Ramli di era 60'an dan Rosyam Noor sekarang ini adalah dua pelakun yang berbakat besar, itulah sepatutnya hukuman yang kita simpulkan tentang mereka, jangan adili dan dihukumi P.Ramli dan Rosyam Noor berdasarkan pendirian watak-watak yang dilakuni oleh mereka. Ada kala mereka lakunkan watak garang, ada watak kelakar dan ada watak sedih, memang watak mereka berbeza mengikut jalan cerita tetapi bakat, kebolehan dan gaya penampilan mereka tetap mempunyai persamaan.

Kecelaruan dalam memahami dan menghayati huraian agama dalam konteks kepartian inilah yang menyebabkan Badiuzzaman Said an-Nursi menjauhi politik kepartian. Inilah juga membina sikap Maulana Abu Hassan an-Nadwi terhadap aktiviti politik.

Ikhwan al-Muslimin telah menjelaskan dengan terperinci pada website Ikhwan on-line yang parti tajaan mereka bukanlah parti agama, tetapi 'civil party', dengan maksud dalam skop politik ianya mendukung butiran perlembagaan nasional dan tidak mengaitkan hukum-hukum agama dalam meraih sokongan. Mereka mengakui parti mereka berinspirasikan ajaran Islam dan budaya rakyat Masir. Keanggotaannya terbuka kepada golongan muslim dan bukan muslim. Cita-cita mereka untuk mendirikan agama dalam masyarakat akan diteruskan dalam kerja-kerja dakwah mereka di atas platform Ikhwan al-Muslimin, dan bukannya platform parti politik mereka. Mereka membuat garis pemisah antara kegiatan dan matlamat parti mereka yang dihadkan oleh butiran perlembagaan dan peraturan negara daripada kerja-kerja dakwah yang tidak mempunyai sempadan.

Berbalik kepada penyertaaan seseorang dalam mana-mana organisasi parti, bolehkah kita bersikap lapang dada:

1- ada orang yang menyertai parti kerana peluang sumber kekayaan, sebagai contoh, untuk kontrak projek atau untuk konsesi balak.

2-ada orang menyertai parti kerana ruang dimanafaatkan untuk kebajikan, sebagai contoh: untuk menerapkan nilai dan amalan yang baik dalam masyarakat atau untuk mendukung cita-cita menegakkan sistem Islam dalam masyarakat.

3-ada orang menyertai parti kerana takut kena tukar tempat kerja atau takut diboikot oleh ahli kariah masjid. Ada orang menyertai parti kerana pemimpin parti tertentu itu berkenan di hati atau kerana ahli keluarganya memang penyokong parti tertentu.

4-Ada orang menyertai parti kerana ada orang lain yang tolong daftarkan keahliannya atau kerana mendapat imbuhan dari parti tersebut.

5-Ada orang menyertai parti kerana perjuangan bangsa atau perjuangan agama, atau perjuangan keadilan serta persamaan walaupun parti-parti mereka itu dari segi amalannya tidaklah selantang cakap-cakap mereka.

6-Ada orang menyertai parti kerana mahu masuk syurga atau mahu terus kekal merdeka atau mahu hak-hak asasi terus dibela

7-Ada orang yang tidak ingin menyertai mana-mana parti, tidak juga menyokong mana-mana parti.Kalau di Indonesia dipanggil GOLPUT (golongan putih) Harapnya golonngan ini tidak ramai kerana kalau mereka ramai sukarlah sedikit calon wakil rakyat untuk duduk selesa dan dipuja!

Jadi apa bentuknya aqidah orang politik, apa bezanya dengan aqidah orang tidak politik? Kecuali pada kebanyakan halnya ialah pada peluang dan kesempatan.......