Tuesday, June 30, 2009

Pesan Guru Kami (Jangan diikut Tuan-Tuan Guru)

Semoga Allah mempermudahkan saya untuk membuat catitan terhadap pesan-pesanan yang disampaikan oleh guru kami (semoga Allah mencucuri rahmat -Nya ke atas ruhnya, dan memanfaatkan kami dengan ilmu dan amalnya)yang sangat kami hormati. Saya bercadang untuk berkongsi kata-kata yang penuh kebijaksanaan yang pernah diungkapnya. Saya bimbang umur yang memamah saya akan mengakibatkan saya akan terlupa kepada pesanan-pesanannya, jadi sebelum itu terjadi saya berdoa agar Allah mempermudahkan saya untuk mencatit pesanan-pesanan beliau.

Pesanan 1: Jangan Ikut Tok-Tok Guru

Beliau acap kali memperingatkan kami supaya jangan mengikut tuan-tuan guru; kalau hendak ikut tuan guru mungkin sampai tuan guru mengggaru-garu dalam sembahyang, kitapun turut menggaru-garu dalam sembahyang sebagimana yang dibuat oleh tuan guru.

Apa yang kita wajib ikut itu ialah ajaran daripada Allah dan Rasul-Nya, serta pengajaran dari salaf as-soleh yang disampaikan oleh tuan-tuan guru baik secara lisan atau perbuatan. Jadi yang kita ikut itu adalah perentah Allah, sunnah Rasul-Nya serta jalan salaf as-Soleh melalui tuan-tuan guru kita.

Kita melaksanakan adab dalam hubungan kita dengan tuan-tuan guru dengan cara secermat mungkin, tetapi tidak menghalang kita untuk meletakkan kebenaran di atas segala sesuatu, termasuk mengatasi penghormatan kita terhadap tuan-tuan guru.

Apabila terdapat perkataan atau perbuatan tuan guru yang jelas secara zahir-zahirnya bertentangan dengan ajaran agama, maka kita mesti berusaha untuk mencari sandaran nas syari'at kepada perkataan dan perbuatan tuan-guru itu. Kemudian kita juga berusaha untuk memahami perkataan dan perbuatan itu berdasarkan takwil yang diterima syari'at. Sekiranya kita tidak menjumpai nas dan tidak dapat memberi takwil yang terpakai, maka kita sepatutnya tawaquf dari menyokong perkataan dan perbuatan tuan guru itu. Sekiranya memang jelas ianya bersalahan dengan ajaran agama, maka kita salahkan perkataan dan perbuatan tersebut walaupun ianya datang dari seorang tuan guru. Amanah ilmu dan kesetiaan kepada kebenaran yang ada pada kita itu mesti mengatasi sikap asobiyyah kepada tuan guru kita. Dalam waktu itupun kehormatan kita dan adab kita kepada tuan guru tersebut mesti dijaga.

Dalam Islam tiada ada kelas rahib (rahban) , yang ada adalah golongan ulama. ulama adalah pemegang amanah para rasul, mereka adalah pewaris Nabi. Ulama perlu diberi nasihah, sebagaimana yang disebut dalam hadith. Maksud nasihah kepada ulama, adalah dengan kita mengikuti ajaran yang disampaikan mereka kepada kita, beradab terhadap mereka, membesarkan kedudukan mereka serta menyapa dengan sopan tentang kegelinciran mereka, menyedari mereka adalah manusia yang mempunyai kelemahan-kelemahan manusiawi. Penghormatan kita terhadap mereka tidak dapat dicarikkan oleh kelemahan-kelemahan yang ada pada mereka, dan penghormatan itu tidak pula membutakan kita daripada membezakan perkataan dan perbuatan mereka yang mereka sampaikan bersumberkan punca-punca ajaran agama daripada perkataan dan perbuatan mereka yang terdorong oleh perkiraan dan kelemahan manusiawi dalam diri mereka.

Tidak timbul sekali-kali dalam pesanan guru saya tersebut anjuran supaya kita membebaskan faham agama kita daripada huraian-huraian ulama muktabar dalam mazhab feqah, dalam pegangan aqidah ataupun ajaran kerohanian. Beliau sendiri adalah seorang yang sangat patuh-setia kepada huraian ulama mazhab Imam as-Syafi'ie, menolak anjuran bertalfiq (mencampuri qaul-qaul dari mazhab yang berbeza) dan sangat berpegang kepada kitab-kitab turath yang muktabar. Tetapi yang dianjurnya agar kita beribadat mengikut huraian mazhab Imam, memegang huraian aqidah dan mengikut perjalanan kerohanian berdasarkan faham bukan sekadar ikut-ikutan. Dan kita sedia menolak perkataan dan perbuatan seorang tuan guru sekiranya ianya bertentangan dengan ajaran agama

Semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang melimpah ruah.

Monday, June 29, 2009

Dua Keburukan Yang Bertentangan

Dalam ungkapan lama, terdapat kata "sekiranya dua kelompok ini rosak, maka rosaklah manusia seluruhnya; dan apabila dua kelompok ini baik, maka baiklah manusia seluruhnya , iaitu penguasa dan ulama".

Ungkapan ini seakan-akan membayangkan bahawa jasad masyarakat sangat dipengaruhi oleh hatinya, hati masyarakat itu adalah golongan umara dan ulama. Kegelinciran kedua golongan ini bukan setakat mengakibatkan mereka akan tersembam, bahkan masyarakat ramai juga akan turut rebah.

Ulama yang jujur dan benar akan dapat mempertahankan kemurnian nilai-nilai agama dan amalan baik dalam masyarakat, setakat yang terdaya dalam keterbatasan mereka ketika masyarakat dibala'kan oleh penguasa yang zalim. Tetapi sekiranya ulama yang terseleweng, apalagi terikat kemahuan mereka kepada perkiraan dunia, maka siapakah lagi yang akan menjernihkan faham dan meluruskan amalan dalam masyarakat?

Ketika Maharaja Akbar memerentah India, baginda mengharamkan penggunaan nama Muhammad dan Ahmad, mengharamkan penyembelihan lembu. dan kemuncaknya memperkenalkan agama baru, Din Ilahi. Dalam kesukaran yang sedemikian itu, Allah telah membangkitkan seorang ulama yang tulus, Maulana Ahmad Sirhindi, yang mengajak manusia untuk kembali berpegang teguh dengan Tali Allah dan Jalan Rasul-Nya. Maulana Ahmad Sirhindi tanpa jemu dan takut mengajak ummah supaya melakukan islah dan beliau menunjukkan sifat yang sangat jelas yang beliau tentang itu adalah kemungkaran dan bid'ah dalam urusan agama, beliau tidak sedikitpun berkecenderungan untuk bertenggek bagi mendapat kekuasaan. Kesukaran yang dihadapi oleh ummah beransur ringan terutama selepas kematian Maharaja Akbar. Anaknya Jehangir dan cucunya Shah Jehan telah terkesan dengan dakwah yang dibawa oleh Maulana Ahmad Sirhindi, dan kemuncaknya adalah apabila cicitnya Aurengzeb menaiki takhta, baginda merupakan seorang pemerentah yang patuh kepada syariat, seorang ahli ibadat sehingga disebut sinis sebagai Namaz Ji ( master of prayers).

Kita sangat sukar untuk mengerti tabiat kejayaan usaha islah. Bagaimana agaknya kita dapat menerima kejayaan dakwah Saiyyiduna Ibrahim, walaupun kita sendiri menjadi saksi ke atas keberkesanaan dakwah baginda sehingga hari ini, yang telah dilakukan oleh baginda pada ribuan tahun yang lampau?. Kita semua tahu yang Saiyyiduna Ibrahim diperentah Allah agar menyeru manusia kepada ibadat Haji dari atas Jabal Qubais yang kontang, berseorangan melaungkan seruan. Rupa-rupanya laungan seruan itu telah disampaikan ke pelusuk-pelusuk yang sangat jauh. Manusia dari serata dunia menyahut seruan itu dan mendatangi Makkah dengan segala kesukaran perjalanan yang memenatkan.

Adalah suatu keburukan untuk memisahkan amalan dan aktiviti politik dari ajaran dan nilai-nilai agama. Apa lagi dari agama Islam, yang di dalam terkandung segala pengajaran. Imam al-Haramain mengatakan sekiranya syariat menuntut dan mengatur kaedah untuk mengurus orang yang sudah mati, sudah tentu syariat itu akan lebih menuntut dan mengatur kaedah untuk mengurus orang yang hidup. Pemisahan politik daripada sumber agama ini berlaku kerana dorongan sikap cintakan kehidupan dunia; sehingga tergamak meminggirkan dan kadang-kadang membuang terus ajaran-ajaran agama dari ruang-ruang kehidupan seharian. Agaknya aliran fahaman sebegini digelar secularism sekarang ini. Ianya dapat diklasifikasikan dari sikap hubbu ad-dunya (cintakan dunia) sehingga kepada pegangan ilhad menolak kewujudan Tuhan.

Begitu juga adalah suatu keburukan untuk meng-agamakan apa-apa yang tidak mempunyai sumber daripada agama, apalagi dengan sesuatu yang ruhnya bertentangan dengan ajaran agama secara terang-terangan. Islam datang sebagai agama yang lengkap dan sempurna daripada Allah, ia tidak perlu kepada tempelen-tempelen asing yang dikenakan secara paksa ke atasnya, lalu mahu dianggap tempelen itu sebagai sebahagian daripada ajaran dan amalan Islam itu sendiri.

Pesan guru kami ketika membincangkan hadith yang mengumpamakan Agama Allah sebagai bangunan; nabi-nabi terdahulu masing-masing meletakkan bata-bata kepada bangunan, Rasulullah datang melengkapkan bata untuk mengisi semua kelopongan. Maka bangunan agama itu telah sempurna, tanpa sebarang lopong. Sekiranya hendak dibawa masuk faham dan amalan lain yang bukan bersumberkan ajaran Islam ke dalam struktur agama, maka ada bata-bata yang sedia ada yang perlu dirombak dari bangunan, untuk menyediakan lopong kepada bata yang diimpot itu menempel kepada bangunan agama.

Dalam tamaddun kristian, terdapat apa yang dikenali sebagi Protestant Works Ethics, iaitu ajaran yang menganjurkan yang kesenangan, kemewahan, kekayaan di dunia ini adalah sebenarnya mengejar kebaikan di dunia yang didakwa dituntut dalam ajaran kristian. Tiada lagi konsep berpada-pada dengan kehidupan dunia. Seakan-akan ketinggian di dunia bukanlah anti-thesis kepada kehidupan kerohanian dan ketinggian di akhirat. Sekurang-kurangnya mengikut Fritjof Chapra, dalam bukunya The Turning Point, inilah ajaran yang menjustifikasikan kerakusan yang berlaku di barat sehingga mengakibat kerosakan kepada masyarakat dan alam.

Amaran Rasulullah tentang kita ummah ini yang akan mengikut ummah kristian dan yahudi sehingga ke lubang biawak memang berlaku dalam semua segi, bermula daripada pemikiran dan pembawaan perseorangan sehingga kepada sistem bermasyarakat dan berkerajaan. Agak sumbang sekarang ini untuk berbicara tentang penghayatan konsep zuhud dan qanaah atau kehinaan kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat, walaupun dalam majlis-majlis keagamaan.

Malangnya faham dan nilai-nilai asing yang diimpot ke tengah-tengah ummah ini telah dipakaikan make-up untuk mengambarkan yang faham dan nilai-nilai ini adalah faham dan nilai-nilai Islam. Islamization Prosess telah cuba dilakukan termasuk kepada perkara-perkara yang jelas ruh dan zat-nya bukan Islami, inilah adalah petaka yang sangat parah menimpa ummah. Satunya sikap meminggirkan agama, keduanya perkara-perkara yang asing pun ingin dipersembahankan dengan wajah yang diberi make-up Islami.

Secara tidak sengaja kita menerima saranan musuh-musuh kita yang kononnya Islam itu jauh daripada sempurna, apa tidaknya satunya ia dipinggirkan kerana sikap sekular, keduanya seakan-akan agama masih memerlukan unsur-unsur luar untuk melengkapi ajarannya.

Dalam hadith Sahih Muslim, Rasulullah dilapurkan berdoa ketika tahajud baginda agar Allah memberi baginda pertunjuk dalam apa-apa yang diperselisihkan di kalangan manusia. Marilah kita hidupkan semula amalan doa itu terutama ketika ramai daripada ummah ini sedang berada di persimpangan tiga, satunya lurus, satunya kanan dan satunya kiri. Ya Allah selamatkanlah kami, sejahterakan hati kami!

Sunday, June 28, 2009

Keutamaan Dalam Penghidupan

Dalam dunia politik semenjak zaman dahulu-kala, kebanyakan ahli politik berkemahuan untuk:
1) mendapat kuasa,
2) mengekalkan kuasa,
3) menghapuskan saingan dalam kuasa
4) menggunakan kuasa yang ada

Sekiranya ada ahli politik yang tidak mempunyai kemahuan tersebut, dia seolah-olah canggung dalam dunianya. Sehingga itulah, dunia politik menjadi kotor kerana kemahuan-kemahuan tersebut kerap dikejar secara yang tidak wajar. Sehingga berlakulah pembunuhan, peperangan, tohmahan palsu, tipu-daya yang penuh kelicikan hampir di sepanjang sejarah manusia.

Manusia kerap terlupa tujuan asalnya menceburi politik, yang dikatakan untuk menegakkan agama, mendaulatkan negara, memartabatkan bangsa dan membela ibu-pertiwi atau menegakkan keadlan sejagat. Kerakusan kepada kuasa mampu membutakan dan memadamkan segala pertimbangan yang asal, itupun sekiranya tujuannnya yang asal adalah murni.

Sekiranya penceburan dalam arena politik pada hari ini tidak dikira sebagai perbuatan dosa di sisi Allah, walaupun yang berwajahkan kebajikan sudah dapat dikira cukup baik. Apalagi untuk dianggap sebagai amalan yang mendapat pahala di sisi Allah, yang merupakan sesuatu yang terlebih amat sulit. Keikhlasan dalam dunia politik adalah sesuatu sifat yang amat sukar dicari; sebagaimana ikhlas dalam pengertian yang diberi oleh Imam Nawawi yang mempunyai tiga peringkat: (1)peringkat ikhlas hamba abdi- yang melakukan sesuatu amalan kerana takutkan balasan azab dari Tuhannya semata-mata, (2) peringkat ikhlas pedagang- yang melakukan sesuatu amalan kerana tamakkan ganjaran keuntungan dari Tuhannya (3)peringkat lelaki- yang melakukan sesuatu amalan bukan kerana takutkan azab dan bukan tamakkan keuntungan bahkan semata-mata memenuhi peranan sebagai makhluk ibadat. Aduhai sukarnya untuk menjaga keikhlasan dalam ketiga-tiga peringkat ini dalam kehidupan kita.

Bagaimana sukar sekalipun untuk ahli politik, bagaimana sukar sekalipun untuk kita yang bukan ahli politik, apa yang mesti kita pahat dalam kesedaran kita adalah yang Allah jadikan kita sebagai makhluk ibadat. Untuk beribadat kepadanya semata-matanya. Jaya dan gagal kita dalam kehidupan kita diukur dari jaya dan gagalnya kita dalam menjalani kehidupan beribadat kepada Allah, dan erti kata kita sujudkan keseluruhan hidup kita dalam pengabdian kepada Allah.

Ketika Rasulullah dan para sahabat diasak hebat oleh tentera Quraish yang lebih besar jumlahnya dalam peperangan Badar, Rasulullah bermunajat kepada Allah agar Allah memenangkan ummah ini, sekiranya ummah ini terhapus, tiadalah lagi golongan yang akan beribadat kepada Allah. Baginda tiada memohon demi kesejahteraan politik kota-negara Madinah, tiada memohon demi kelangsungan ekonomi ummah. Seolah-olah munajat ini memberio isyarat kepada kita yang kelangsungan kita sebagai ummah bergantung atas kelangsungan ibadat kita.

Marilah kita secara sedar mempelajari semula cara-cara ibadah yang sahih sebagaimana yang sepatutnya kita warisi daripada Rasulullah melalui huraian ulama mukatabar, kita pelajari amalan-amalan baik yang perlu kita hiasi hati-hati kita selayak sebagai tempat tilik Allah, kita pelajari sifat-sifat buruk yang boleh mengotorkan hati kita , kerana ia menjadi punca terlindungnya kita dari cahaya kebenaran. Marilah kita hayati kemanisan bersama Allah dalam munajat kita kepada-Nya, melebih seronoknya daripada bersembang-sembang sesama makhluk. Marilah kita sedarkan diri kita yang dunia ini adalah persinggahan yang sangat sementara, serta ianya adalah terlalu hina untuk dijadikan tujuan dalam kehidupan berbanding dengan panjangnya perjalanan Akhirat dan kemulian yang Allah janjikan kepada hamba-hamba-Nya yang patuh.

Marilah kita usahakan, kita doakan agar kita akan mentabiatkan bangun di hujung setiap malam, membaca al-Quran setiap hari, serta berzikir kepada Allah dengan zikir yang banyak dan berselawat kepada Rasul yang mulia pada setiap kesempatan. Marilah kita renung dan menginsafi kesalahan dan kelemahan yang ada pada diri kita.

Kerana semua inilah makna kehidupan, kerana inilah yang membezakan kita daripada golongan yang tidak beriman, kerana inilah kita singgah di dunia, Dari mihrab kesedaran ibadat sebeginilah kita, insyaallah, jika perlu akan memasuki siyasah, iqtisad, suluk dan aktiviti lainnya dengan hati yang sejahtera dan akan membuahkan manafaat kepada diri sendiri, ummah dan alam ini.

Sunday, June 21, 2009

Sejarah Tidak Mati

Masyarakat ramai tertunggu-tunggu untuk melihat perjalanan dan arahtuju yang akan diredah oleh pelopor Kerajaan Perpaduan. Nampaknya semakin hari, isu ini semakin berkecamuk. Sebagai contoh, ada tokoh yang bercakap, kemudian dia arah supaya orang lain tutup mulut, kemudian dia sendiri pula yang buka mulut.

Perkembangan politik hari ini ini juga telah membuka semula lembaran sejarah tokoh-tokoh PAS pada suatu masa dahulu, tokoh yang telah meninggalkan kita dan tokoh yang masih aktif dalam politik. Macam-macam cerita yang menarik, yang berceritanya pula adalah golongan veteran yang dulunya juga sama muda dengan tokoh-tokoh yang menjadi watak-watak dalam cerita. Antaranya:

(1)Cerita selepas PAS dinyahkan daripada BN, ada tokoh yang tidak mahu meninggalkan kerusi yang disandangnya dalam kerajaan BN. Ada yang terus kekal dalam jawatan dan ada pula yang terpaksa ditarik-tangan untuk dipulangkan ke negerinya.
(2)Cerita ada tokoh yang kini kembali aktif dalam politik yang telah menghadiri mesyuarat di JKR 10 , rumah kediaman resmi MB Kelantan, pada era yang sama. Dikatakan mesyuarat itu dipengerusikan oleh Dr. Mahathir, yang dijemput adalah tenaga-tenaga yang dikira dapat membantu dalam meruntuhkan kerajaan PAS di Kelantan.
(3)Cerita bagaimana ada golongan pensyarah Nilam Puri yang sebelumnya memegang jawatan-jawatan penting dalam Dewan Ulama PAS telah menyertai BERJASA dan berkerja melawan PAS.
(4)Cerita bagaimana peritnya pimpinan PAS yang tidak mampu menangani gelombang fitnah yang datang bertalu-talu; sehingga terdapat rusuhan jalanan dan ada rumah pemimpin PAS dikepung. Kemudiannya PAS kalah teruk dalam pilihanraya
(5)Cerita bagaimana gigihnya tenaga-tenaga PAS yang setia kepada parti membina semula kekuatan parti itu, keperitan mereka dalam usaha mereka yang tidak diketahui oleh golongan muda yang datang selepas 1990 di Kelantan.

Inilah masa yang sangat sesuai bagi penulis dan pengkaji untuk merakamkan kisah-kisah yang menarik itu sementara aktivis veteran, saksi hidup kepada kejadian-kejadian itu masih bersama kita. Sebelum ini banyak kisah-kisah seperti ini telah disorok, kerana takut-takut ada tokoh yang akan diaibkan sedangkan mereka masih merupakan tonggak penting kepada parti.

Hendaknya jangan ditambah kuah kepada nasi cerita sebagaimana sepatutnya. Tetapi catitkan apa yang sebenarnya sahaja. Masih teringat ungkapan penyair Nahmar Jamil: Aku cuba bunuh dirimu, tapi engkau tidak mati, kerana engkau adalah sejarah, sejarah tidak mati

Friday, June 19, 2009

MUQABALAH POLITIK TANAHAIR

Ini adalah tulisan awal dalam blog ini yang cuba melontarkan suatu perbincangan melalui suatu sudut yang tidak lazim tentang Kerajaan Perpaduan (UG). Ianya lontaran pemikiran tanpa matlamat, sekadar lintasan dalam cuba usaha memahami apa sebenarnya 'engine' yang mengerakkan usaha-usaha yang telah dibuat dan sedang dirancang untuk mencapai matlamat penubuhan UG.

1-Terangganu Factor:
Dalam PAS Terangganu, ramai maklum terdapatnya kem-kem pemimpin PAS yang berbeza tetapi mereka semua disatukan di bawah pimpinan TGHH. Perselisihan antara war-lords kem-kem ini agak ketara. Tetapi sekarang ini semua war-lords ini bersatu dalam usaha menjayakan UG. Sedangkan ketika al-Fadil Ustaz Harun Taib bertanding untuk jawatan timbalan presiden dulu, memang jelas ada war-lords dari Terangganu yang sanggup 'menikam dari belakang' Ustaz Harun Taib, sehingga beliau kecundang dan bertolak balik ke Kuala Terangganu sebelum pengumuman keputusan pemilihan dibuat.

Apakah common factor yang ada pada hari ini yang telah berjaya menyatukan war-lords ini? Kalau di Kelantan, aliran perdana pimpinan PAS negeri adalah aliran yang agak sederhana, berlainan pula dengan aliran perdana pimpinan PAS Terangganu, mereka meredah aliran keras. Mungkin kita masih ingat bagaimana terpesonanya kita dengan amanat Haji Hadi, bagaimana seronoknya kita mendengar cerita Ustaz Harun Taib dengan Tuan Guru Haji Abbas, bagaimana budak-budak alumni MISG lepasan USA yang berhasrat menubuhkan persatuan alumni mendengar fatwa Ustaz Bakar Cik. Bagaimana pimpinan kerajaan Kelantan pada awal 1990'an didesak oleh sebahagian pemimpinan PAS Terangganu agak melaksanakan hudud tanpa lengah.

Jadi apakah common factors yang telah menyatukan war-lords ini? Ini adalah agakan saja. Semua mereka ini mempunyai pengalaman mentadbir sebuah kerajaan negeri, yakni kerajaan Terangganu selama sepenggal. TGHH sebagai Menteri Besar dan yang lain-lainnya sebagai exco. Mungkin sahaja pengalaman mereka itu telah berjaya menyedarkan mereka betapa susahnya mentadbir sebuah kerajaan, malah lebih sukar untuk melestarikan pentadbiran kerajaan tersebut. Itu baru kerajaan negeri, maka logiknya tentu terlalu besarlah kesusahan mentadbir sebuah negara. Untuk menang sebuah pilihanraya tidaklah begitu sukar, terutama ketika PAS boleh menumpang arus popular semasa, umpama arus Reformasi pada tahun 1999 dahulu. Kemenangan itu dengan mudah dipatahkan oleh UMNO dalam pilihanraya berikutnya sebagaimana pada tahun 1961 dan 2004.

Berlainan dengan PAS Kelantan, dalam apa kelemahan yang ada pada mereka itupun, mereka merasakan untuk mentadbir sesebuah kerajaan tidaklah terlalu sukar atau berada diluar jangkauan. Mereka mentadbir Kelantan berbelas-belas tahun di zaman Datuk Muhammad Asri, mereka kembali mentadbir Kelantan di bawah TGNA untuk sekelian lamanya pula. Jadi untuk mentadbir negarapun mereka agak tidaklah begitu sukar sehingga tidak terpikul.

Inilah agaknya dua corak mentali yang berbeza, yang dibentuk oleh pengalaman dan dididik oleh sejarah mereka sendiri. Satunya keras tetapi performance-nya cepat patah-turun, yang satu lagi agak anjal tetapi dapat bertahan lama. Tidaklah menghairankan kenapa yang cepat-patah turun itu mudah hilang self-confidence-nya. Keperitan-keperitan masa lalu masih menghantui dalam sub-concious tanpa disedari. Sekiranya ada yang memberitahu yang mereka mempunyai self-confidence yang agak rendah, mereka akan menafikan sekeras-kerasnya . Mereka masih kelihatan dan bergaya macho, mereka memang tidak sedar yang mereka masih diusik oleh 'kuwung' kekalahan yang mudah dulu-dulu itu.

2-Kebimbangan Hilangnya Kuasa Melayu-Muslim.
Ini adalah suatu kebimbangan yang realistic; bukan direka-reka terutama apabila dilihat DAP semakin gagah di Parlimen dan di DUN negeri-negeri, walaupun PAS juga semakin gagah. Bahkan Menteri Besar PAS mentadbir 3 negeri.
Macam jugalah DAP, ketika kita mendengar slogan-slogan pemimpin mereka, seolah-olah tiada lagi penekanan kepentingan kepada mana-mana bangsa. Cita-cita murninya adalah untuk Malaysian Malaysia. Tetapi sebahagian tindak-tanduk politik mereka masih membayangkan yang mereka memperjuangkan kepentingan kaum-kaum tertentu.

PAS pun agaknya begitu juga, ketika TGHH berucap, dia pernah mengatakan seorang Cinapun boleh jadi PM bagi negara ini. Sedangkan Lim Kit Siang , secara realistinya akur yang PM negara ini hendaklah dilantik dari kalangan Melayu. Jadi rethorik-rethorik politik yang mengambarkan PAS telah mengatasi kepentingan lingkup bangsa itu adalah masih sekadar halawa telinga.

Ibn Khaldun dalam Muqaddimah mengatakan seorang Nabi yang dikuatkan oleh wahyu dan mukjizat masih memerlukan dukungan bangsanya dalam memartabatkan dakwah dan Islam, maka apa lagi kita yang tiada diturunkan wahyu dan tidak punya mukjizat, sudah tentu lebih memerlukan dukungan asabiyyah kaum kita. Dalam al-Quran sendiri terdapat lebih daripada 50 ayat yang merakamkan para anbiya menyeru ' Ya qaumi' (wahai kaumku!). Tetapi semua ini dalam rangka hairaki, Islam mesti berada di atas segala pertimbangan yang lainnya.

Bagaimanapun sekiranya kita teliti jumlah DUN dan parlimen yang dimenangi oleh calun-calun Melayu-Muslim dari UMNO, PAS, PKR di Semenanjung bagi pilihanraya 2004, iaitu pilihanraya kemuncak kegemilangan UMNO berbanding dengan pilihanraya 2008, iaitu pilihanraya tercoruk UMNO; maka kita akan dapati kerusi yang dimenangi oleh calun Melayu-Muslim tidak berkurangan. Sekadar kawasan-kawasan bertukar parti! Yang jelas berkurangan hanyalah kerusi UMNO.

Kenapa pengurangan kerusi UMNO mesti dikhuatiri? Selama ini UMNO lah dihumban dengan segala punca-punca kelesuan Islam di tanah-air? Hairan ketika UMNO kuat, UMNO dicerca sebagai satu-satunya penyebab kelemahan Islam dan Melayu. Tetapi ketika UMNO lemah pula, timbul kebimbangan kepentingan Islam dan Melayu akan terhakis! Ini adalah mantiq kelas tinggi, kita orang awam tentu tidak akan mampu memahaminya.

3-Peribadi Anwar Yang Meragukan
Round pertama Anwar dituduh dengan tuduhan jenayah Liwat, TGHH menulis kitabnya Qazaf. Buku itu secara indirect menyokong Anwar yang mendakwa dia dianiayai oleh suatu komplot konspirator politik yang jahat dan melanggari batas-batas perundangan. Memang nampak dengan jelas yang tuduhan-tuduhan yang dibuat ke atas Anwar itu keterlaluan untuk diterima oleh akal yang sihat. Antaranya, Anwar dituduh meliwat seorang Sindi(bai), Anes Munawwar, tarikh kejadian yang penting itu berlaku boleh berganjak-ganjak, bahan bukti DNA yang dirakamkan pada tilamnya yang diarak berhari-hari keluar masuk mahkamah kemudiannya dianggap tidak relevan dan lain-lain kejanggalan.

Tetapi agak berlainan pada round kedua, ada rakan-rakan Anwar sendiri yang mula ragu-ragu dan mungkin merungut "kot-kot, mungkin". Inilah bahananya, apabila kita ulang-ulangi phrase yang sama berkali-kali, ada manusia akan menelannya.

Tambahannya pula Anwar juga kelihatan selesa dalam majlis-majlis antarabangsa yang ada hubung-kait dengan kuasa-kuasa besar dunia. Anwar ditawarkan kedudukan yang agak istimewa yang tidak pernah terbayang akan ditawarkan kepada mana-mana pemimpin dari negara ini. (Agaknya sekiranya pemimpin-pemimpin lain ditawarkan dengan tawaran yang diberi kepada Anwar, mereka juga bukan sekadar tidak akan menolak bahkan akan diisytiharkan dengan penuh kemegahan dalam media-massa kita tanpa sebarang prejudice). Timbul pula kebimbangan Anwar adalah alat kuasa asing yang sengaja diimplant untuk merosakkan masa hadapan negara tercinta ini!

Jadi bagi mereka Anwar tidak patut diberi peluang untuk mengetuai pentadbiran negara walaupun sehari. Kalau sekiranya kita bertanya bagaimana pula dengan barisan pemimpin negara yang ada sekarang ini, adakah mereka bersih, adakah akhlak mereka tiada cela, adakah kefahaman Islam mereka lebih baik daripada Anwar? Adakah mereka tidak diumpan oleh kuasa-kuasa besar dengan komisyen yang lumayan dalam transaksi antara negara?

Apakah sifir yang kita hendak pakai: (1) kita bimbang, kita syak, kita rasa ada kemungkinan Anwar kot-kot begitu dan begini..... (2) sedangkan kita tahu yang ada pemimpin penting negara kita yang masih tidak bersih sepenuhnya dari tuduhan jenayah, kita tahu komisyen yang diterima oleh individu yang mempunyai kaitan rapat dengan pemimpin kita agak terlalu tinggi, kita tahu tentang itu dan ini....... Apakah sifir logik yang kita hendak pakai, adakah munasabah kita guna pertimbangan yang kot-kot (walaupun tidak syarie) dan kita ketepikan apa yang kita tahu.....

Kalaulah begitu pertimbangan kita, maka munasabahlah kita bersama-sama usahakan UG, kita padukan parti-parti yang ada agar tidak ada lagi parti pembangkang (mungkin lepas ini tidak ada lagi pilihanraya? kerana banyak bahayanya dan inilah sebenarnya punca segala perpecahan). Demi perpaduan ini, kita korbankan perpaduan dalaman parti. Alangkah syahdunya pengorbanan ini!

Wednesday, June 10, 2009

Allah memperingati Ulama

"Wahai orang-orang yang beriman sesungguhnya ramai daripada golongan ahbar dan rahban yang memakan harta manusia secara batil, mereka menghalang manusia daripada Jalan Allah. dan orang yang menghimpunkan harta kekayaan daripada emas dan perak sedangkan mereka tidak menginfaqkannya pada Jalan Allah, maka berilah berita gembira untuk mereka dengan azab yang pedih" [at-Taubah:34]

Ahbar dan Rahban adalah golongan ulama dari kalangan pengikut Yahudi dan Nasrani.


"Adakah tidak menegahkan mereka(iaitu pengikut masing-masing) oleh golongan Rabbaniyyun dan Ahbar dari menuturkan perkataan dosa dan dari mereka memakan makanan yang haram ?, buruk sekali apa yang mereka (golongan Rabbaniyyun dan Ahbar) telah usahakan" [al Maidah:63]


"Bacakanlah kepada mereka perkhabaran orang yang telah Kami anugerahkan kepadanya ayat-ayat Kami, lalu dia menanggalkanya, diikutnya syaitan , maka jadilah dia daripada golongan yang sesat. Sekiranya Kami kehendaki nicaya Kami mengangkatnya, tetapi dia kekal di bumi dan mengikut hawa-nafsu, maka umpama dia itu sebagai anjing, jikalau engkau halau, dijelirkan lidahnya atau engkau biarkan, dijelirkan lidahnya juga, demikianlah perumpamaan golongan yang mendustakan ayat-ayat Kami, berkisahkanlah dengan kisah itu agar mereka (dapat) berfikir [al-'Araf:136-136]


Kisah ini antara lain berkaitan dengan Bal'am Bin 'Amir di zaman Saiyyidina Musa . Dan Umayyah bin Ubay al-Thaqafi di zaman Rasulullah; kedua orang ini mempunyai ilmu tentang kebenaran tetapi mereka menyimpang dari jalan yang benar itu. Sekiranya melihat pada ilmu yang ada pada mereka itu, selayaknya Allah mengangkat darjat mereka, tetapi mereka memilih untuk kekal rendah dengan unsur-unsur pengaruh keduniaan serta mengikut nafsu mereka. Sehingga Rasulullah menyifatkan Umayyah sebagai :syair (puisi)nya beriman, hatinya kufur".

Imam Al- Baghwi dalam menafsirkan ayat ini dengan mendatangkan perkataan Imam 'Ata' :"mereka itu (walaupun daripada golongan yang mempunyai ilmu ) mengkehendaki dunia dan mematuhi syaitannya, inilah sedahsyat-dahsyat ayat ke atas ulama, kerana sesungguhnya Allah telah mengkhabarkan yang Dia telah menganugerahkan ayat yakni Ismu al'Azam-Nya, dengan doa yang mustajab, dan dengan ilmu serta hikmah, tetapi dia memilih untuk bersama dengan perkara-perkara duniawi dan mengikut hawa-nafsu, lalu ditukarkan nikmat yang telah dianugerahkan-Nya kepadanya dengan dicabut-balik nikmat tersebut daripadanya. Siapakah yang dapat selamat daripada kedua perkara bahaya ini(iaitu kecenderungan kepada dunia dan mematuhi kehendak nafsu) kecuali orang yang dipelihara oleh Allah sahaja?

Imam mufassir ini juga mendatangkan hadith Rasulullah yang bermaksud:
"Tidaklah dua ekur serigala yang lapar yang datang kepada kumpulan kambing lebih merosakkan bagi kumpulan itu daripada kerosakan ke atas agama kerana sikap seseorang yang sangat mementingkan harta kekayaan dan kedudukan mulia "

Sikap mementingkan harta kekayaan serta kedudukan akan menyebabkan seseorang itu, walaupun dia seorang yang mempunyai pengetahuan agama yang luas , tidak akan mendengar lagi kepada lojik hujjah dan dalil sebagaimana firman Allah:
"Sekiranya kamu mendakwahkan mereka kepada hidayah, mereka tidak akan mengikut kamu, sama sahaja bagi kamu samada kamu mendakwahkan mereka atau kamu berdiam-bisu" (al-'Araf:193)

Ada Imam mufassir yang memahami ayat : ("Kami anugerahkan kepadanya ayat-ayat Kami") ini dengan dua pengertian:1-Allah mengajarnya hujjah bagi Tauhid, difahamkan dalil-dalilnya, sehingga dia menjadi alim dalam perkara tersebut ("lalu dia menanggalkanya") bermaksud dia bertukar dari sikap mencintai Allah kepada sikap memaksiati Allah, dari mencari rahmat Allah kepada kemurkaan Allah, iaitu bertukar secara total.
2- Apa yang disebut oleh Abu Muslim pada ayat (Kami anugerahkan kepadanya ayat-ayat Kami) bermaksud: telah dijelaskan kepadanya ayat-ayat Allah tetapi dia menolak dan berlepas daripadanya, maksud ini terkena di atas setiap orang kafir yang tidak beriman kepada dalil-dalil yang didatangkan dan kekal di atas kekufuran, bandingkan dengan ayat ( Wahai orang-orang yang telah diberi al-Kitab, berimanlah kepada apa yang kami turunkan (al-Quran) yang membenarkan pengajaran yang telah ada pada sisi kamu sebelum Kami hapuskan muka-muka kamu") [an-Nisa:47]

Atau sebagaimana firman Allah: (Sesungguhnya Kami telah tunjukkan kepadanya ayat-ayat Kami keseluruhannya, lalu dia membohonginya dan engkar) [Taha:56) Ayat ini tentang Firaun yang telah datang kepadanya Nabi Musa dan Nabi Harun dengan dalil-dalil kebenaran yang jelas, tetapi dia membohongi dan ingkar kepada kebenaran.

Perbezaan di anatara dua pendapat ini ialah: oorang yang dimaksudkan pada pendapat yang pertama adalah seorang yang alim tentang hukum agama Allah dan pengetahuan ilmu Tauhid, tetapi dia sendiri mengeluarkan dirinya; sementara pada pendapat kedua orang yang diberikan dalil-dalil dan keterangan tetapi dia menolaknya. Pendapat pertama lebih utama daripada pendapat yang kedua memandangkan perkataan ansalakha (menanggalkan) antara lain menunjukkan yang seseorang itu pernah berada dalam keadaan tertentu lalu dia keluar daripada keadaan itu, lagipun memang thabit yang ayat ini turun berkenaan seorang manusia yang sebelumnya adalah seorang alim dengan agama Allah, kemudian dia keluar daripada keadaan itu kepada kekufuran dan kesesatan.

Allah membandingkan golongan ini dengan anjing yang terjelir lidahnya, anjing adalah haiwan yang dipandang buruk, seburuk-buruk anjing pula adalah yang terjelir lidahnya, itulah ibarat yang buruk bagi golongan yang diberi ilmu dan kefahaman agama tetapi cenderung kepada keuntungan dunia. Golongan yang mempunyai ilmu agama ini sepatutnya mempunyai sikap mencukupi dari bermatlamat kejelekan harta yang ada pada manusia, tetapi ada yang cenderung kepada mengejar kemewahan dunia, menjatuhkan dirinya di dalam urusan seumpama itu, keadaannya seumpama keadaan yang terjelir lidah kerana tabiat dan kelaziman yang buruk bukan kerana sekadar hajat dan darurat.

Monday, June 8, 2009

Bapa Kencing Berdiri

Orang tua kita menyebut dalam kata-bidalan mereka: "bapa kencing berdiri, anak kencing berlari". Maksudnya kalau orang yang dianggap sebagai orang tua, tempat kita mencari panduan dan petunjuk telah melakukan sesuatu yang tidak wajar, maka apakah yang kita dapat harapkan sikap dan pendirian daripada anggota masyarakat yang awam .

Al-fadil Datok Ustaz Muhammad Daud al-Iraqi, mantan Ketua Dewan Ulama PAS serta al-Fadil Datok Dr. Harun Din pemegang Timbalan Murshidul 'am PAS ketika menjawab kemusykilan tentang kenyataan mereka yang disifatkan fitnah ke atas peribadi dan maruah orang lain, kedua-duanya seolah-olah sekata dalam kesepakatan dalam jaqwaban mereka yang mereka tidak bermaksud memfitnah sesiapa, hanya kenyataan mereka itu adalah sekadar peringatan dan penjagaan daripada sifat buruk itu yang mungkin terjadi.

Kaedah usul feqah mana yang mereka guna? Sikap hazar mana yang menghalalkan mereka mengeluarkan kenyataan yang sebegitu lancang tanpa bukti walaupun mencarikkan maruah orang lain ? Adakah ini sikap golongan ulama yang layak menjadi pewaris Nabi? Adakah ini sikap ulama yang mesti diberi kepercayaan untuk memimpin ummah?

Bagaimana agaknya sekiranya ada orang yang menyebarkan berita kononnya Dr.Harun Din ada skandal dengan pesakit mental yang kerasukan hantu yang datang berubat di Daru as-Syifa'-nya? Dan apabila disoal, si pembuat cerita itu dengan selamba meminta maaf seraya berkata "saya hanya bimbang takut-takut hal yang sedemikian akan terjadi, memandangkan terdapat pengamal perubatan tradisional (tok bomoh macam Dr. Harun din) yang ada skandal dengan pesakit, saya tidak tuduh Dr. Harun, kalau beliau terasa, saya minta maaf "

Begitulah juga halnya dengan maruah dan nama baik orang lain, Islam tidak mengajar kita untuk melakukan perbuatan salah yang sedemikian walaupun kita tidak bersetuju dengan orang itu. Berlakulah adil! Dr. Harun Din dan Ust. Mat Iraq tidak ada lesen untuk melakukan perkara tersebut, tanpa dithabitkan salahnya, dan wajib mereka bertaubat.

Al-fadil Ustaz Mat Iraq mengatakan sekiranya ulama diberi peluang untuk memimpin, maka akan terserlahlah kebolehan mereka. Ustaz Mat sebenarnya telah diberi cukup cukup peluang untuk menyerlahkan kebolehan pimpinannya kerana beliau telah diberi peluang untuk memimpin PAS baik di peringkat kawasan, negeri dan pusat. Apalagi hasratnya agat presiden, timbalan presiden dan salah seorang daripada naib-presiden mestilah ulama telah tercapai. Masyarakat Malaysia, khususnya orang Islam apalagi penyokong PAS sekarang menanti untuk melihat kebenaran kata-kata Ustaz Mat Iraqi.

Ustaz Mat Iraq digelar Iraqi bukan sahaja beliau belajar diBaghdad, Iraq tetapi juga diharapkan paling kurang beliau mempunyai kelakian semacam mantan presiden Iraq, Saddam Hussein, yang menghadapi hukuman mati dengan tabah dan berani. Bukan semacam penduduk Iraq di zaman Sayyyidina Hussein, mereka mendesak dan meminta agar Saiyyuidina Hussein mendatangi mereka, mereka akan menyokong beliau tetapi apabila Saiyyidina Hussein terkepung ketika dalam perjalanan menuju mereka di Karbala, mereka tidak menolong Saiyyidina Hussein dan ahli keluarga Rasulullah yang terkepung itu.Itu sikap yang tercela!

Dr. Harun Din memang dipercayai sebelum ini oleh anggota masyarakat, sekiranya Dr. Harun Din kata ada kumpulan jin yang nak kenderaan bus atau truck untuk berpindah tempat, walaupun seorangpun dari ahli anggota masyarakat yang nampak jin tersebut, tetapi mereka percaya kepada kata-kata Dr. Harun Din. Kalau pihak hospital meng-diognos melalui ujian-ujian yang tertentu yang seorang pesakit itu sebagai pesakit TB, tetapi Dr. Harun Din mengatakan pesakit tersebut sebenarnya kena santau, keluarga sanggup mengeluarkan pesakit itu dari hospital untuk dibawa berubat kepada Dr. Harun Din. Walaupun mereka tidak nampak kuman TB mahupun racun santau, tetapi mereka lebih percayakan Dr. Harun Din daripada apa yang dianalisa oleh para doktor melalui simptom-simptom yang mereka temui.

Saya masih ingat kali pertama saya mendapat peluang menatap wajah Dr. Harun Din, ketika itu beliau terlantar di Hospital Sri Pantai kerana terkena serangan jantung, hal ini berlaku pada akhir tahun 1980'an. (ketika itu masyarakat kita sibuk membincangkan fenomena mushaf al-Quran kehilangan tulisan ayat-ayat al-Quran).

Dr. Harun Din kelihatan masih lemah, dan beliau menunjukkan seakan ada tanda goresan dalam bentuk garisan yang memanjang di dadanya. Beliau mengatakan dalam pengalaman separuh sedar, seakan-akan dadanya telah dibedah oleh makhluk tertentu. Bagaimanapun kesihatan beliau beransur pulih selepas pembedahan itu. Saya kemudiannya mendapat berita pembedahan separuh sedar itu hilang kesannnya, Dr. Harun Din kemudiannya ke Australia untuk dibedah oleh doktor-doktor dari kalangan manusia di sana.

Saya tidak sedikitpun terbetik di hati untuk mempersoalkan kesahihan pengalaman yang dilalui oleh Dr. Harun Din dan saya sendiri menjadi saksi atas tanda-tanda goresan di dada beliau itu, tetapi kenapa sekarang Dr. Harun Din perlu merungkai dan meruntuh kepercayaan yang telah sekian lama dibina? Kenapa Dr.Harun Din perlu turun kepada taraf membuat tohmohan kepada orang lain secara palsu dan bacul serta kemudian bersembunyi di sebalik mainan kata-kata seakan-akan itu adalah sebenarnya nasihat?

Kalaulah tokoh-tokoh ulama sebesar nama Dato'Prof Dr. Harun Din dan Dato' Ustaz Muhammad Daud al-Iraqi yang sebutan huruf dal-nya berbunyi arab itupun sanggup 'kecing berdiri', bagaimanalah kita orang awam yang menjunjung slogan pimpinan ulama kencing? Alamatnya kita kencing berlari sambil mengejar pelangi!

Monday, June 1, 2009

Jangan Undur ke Belakang

Jangan Undur Ke Belakang

Guru saya kerap menggunakan istilah "meningkat ke bawah, maju ke belakang" yang membawa makna seolah-olah ada peningkatan tetapi sebenarnya semakin merendah, seolah-olah ada kemajuan tetapi sebenarnya semakin terundur : beliau menyebut ungkapan ini dalam kaitan dengan amalan-amalan kerohanian dan keagamaan, atas maksudnya langit melambangkan ajaran Samawi dana alam syurga, sementara bawah mengisyaratkan keduniaan dan neraka, adapun depan maksudnya kebenaran dan cahaya sementara belakang maksudnya kepalsuan dan kegelapan.

Izinkan saya menggunakan ungkapan guru ini dalam konteks yang agak berbeza daripada yang telah digunakan oleh guru saya yang sangat saya hormati itu. Saya maksudkan pada pengalaman dan pengamatan tahap kehidupan harian kita.

Memandangkan kita namakan blog ini sebagai blog Muqabalah, saya ingin memulakan suatu perbincangan tentang sejarah penglibatan masyarakat kita dalam bidang politik kepartian menggunakan nama Islam di tanah air kita ini.

Sudah tentu kita akan teringat kepada gerakan Hizbu al-Muslim yang digerakkan oleh Ustaz Abu Bakar Bakir di Bukit Semanggul pada era sebelum merdeka. Kita akan temui yang setiausaha kerjanya adalah Muhammad Asri Muda, bendaharinya pula adalah Yaakub bin Hitam ( abang Tun Musa Hitam), dan seorang lagi tenaga pentingnya adalah Ir. Ariffin. Hizbu al-Muslimin mempunyai dua lokasi gerak-kerjanya yang penting; satunya di Perak dan satunya di Johor Bharu (memandangkan Yaakub Hitam dan IR. Ariffin menetap di Johor).

Kemudian kita melihat kepada penubuhan PAS, ianya diketuai oleh Ustaz Ahmad Fuad , seorang ulama berfahaman kaum tua yang rapat dengan Datuk Onn Jaafar. Ketika Ustaz Ahmad Fuad melepaskan jawatannya pada tahun 1953, dia diganti oleh Dr.Abbas Elias, seorang doktor perubatan. Dr. Abbas adalah presiden PAS yang bertanggung-jawab mendaftarkan PAS sebagai pertubuhan politik pada 31 Mei 1955, iaitu seminggu sebelum pilihanraya yang didakan pada bulan jun pada tahun tersebut.

Kita dapat bayangkan pada era itu begitu ramai ulama yang besar-besar masih menganggotai PAS, lihatlah contohnya risalah kecil 'Muzakarah Ulama Se Malaya" yang mempamirkan besarnya pengaruh ulama kaum tua dalam PAS pada era itu. Tetapi ulama-ulama besar ini telah dapat menerima pimpinan seorang doktor perubatan sebagai presiden PAS, sedangkan masyarakat kita di waktu itu masih takutkan hospital!

Kita tidak mempunyai rekod sehingga kini yang menunjukkan golongan ulama ketika itu menolak kepimpinan Dr. Abbas kerana dia bukan seorang ulama, walaupun PAS ketika itu didukung oleh ratusan ulama yang hebat-hebat. Bahkan Ustaz Ahmad Fuad, seorang ulama, telah melucutkan jawatannya apabila cita-rasa politiknya untuk bersama Datuk Onn Jaafar telah ditolak oleh para perwakilan PAS ketika itu. Itulah sikap ulama dalam PAS serta perwakilan PAS ketika itu. Ulama PAS tidak terasa terancam dan bimbang takut-takut seorang doktor perubatan yang berpendidikan moden akan menyelewengkan arah-tuju perjuangan PAS.

Kerana kesibukan dengan tugasnya dihospital beserta beliau masih terikat kerana beliau adalah seorang kaki-tangan kerajaan, Dr. Abbas telah berundur dari menjadi presiden PAS.

Pengantinya yang dicari dan diangkat adalah Dr. Burhanuddin al-Helmi, seorang pengamal perubatan homeopati, yang meminati ajaran tasauf serta beramal dengan tariqah Naqsyabandiyyah. Begitupun, agaknya kerana terpengaruh dengan pendidikannya di India, beliau mempunyai faham feqah kaum muda dan terlibat dalam Debat Najis Anjing di Istana Kota Bharu. Bagaimanapun beliau dipilih untuk mengetuai PAS adalah kerana pengalaman dan penglibatan beliau serta penonjolan bakat kepimpinan beliau dalam gerakan perjuangan Melayu sebelum itu.Soal faham feqahnya itu dipinggirkan oleh ulama pondok ketika itu.

Dia dibantu oleh timbalannya, Zulkifli Muhammad, seorang yang pernah belajar di Universiti al-Azhar dan Universiti Amerika Kaherah, Zulkifli merupakan seorang intelek yang sangat tajam pemikirannya, seorang ahli sastera yang sangat tertonjol, sehingga beliau diamanahkan untuk mengasaskan Kolej Islam Kelang dan dilantik menjadi panel juri dalam menentukan pemenang penulis novel Melayu terbaik. Beliau bersama A.Samad Ahmad yang bermesyuarat di Port Dickson telah memilih novel Salina karangan Pak Samad, walaupun juri-juri yang lain menganggap novel itu tidak bermoral kerana watak utamanya adalah seorang pelacur. Tetapi bagi Zulkifli nilai seni dan jalan penceritaan novel tersebut sangat menarik secara nisbinya berbanding dengan novel-novel yang lain. Akhirnya pilihan beliau itulah yang telah dinobatkan sebagai pemenang.

Kemudian PAS kehilangan kedua-dua pemimpin utamanya, jawatan presiden telah disandang pula oleh Muhammad Asri Muda, seorang berpendidikan agama, muridnya Tuan Guru Hj Joned dan aktivis Hizbu al-Muslim. Bagaimanapun Muhammad Asri akhirnya dikritik hebat oleh sebahagian ahli-ahli PAS pada awal 1980'an bukanlah pada dasarnya kerana beliau tidak seorang ulama, tetapi mereka tidak bersetuju dengan beliau di atas perkara-perkara yang lain.

Berkebetulan zaman itu adalah zaman semangat Revolusi Iran tengah memuncak, maka timbullah ungkapan Pimpinan Ulama, mengikut corak pimpinan Khomeini di Iran, Majlis Syura diilhamkan oleh Wilayatu al-Faqih di Iran, sementara Murshid al-am, walaupun namanya dipinjam dari jawatan tertinggi dalam organisasi Ikhwan al-Muslimin, tetapi ianya juga seakan-akan Supreme Spiritual Leader di Iran.

Mengambil kira semua ini, apakah perlu ahli dan perwakilan-perwakilan PAS mengambil sikap undur ke belakang?. Mahu menyekat golongan yang tidak mendapat pendidikan formal di institusi pengajian berjurusan arab atau memegang jawatan-jawatan dalam bidang keagamaan dari dilantik untuk bersama menerajui pimpinan PAS.

Kalaulah sekira mahu, lantiklah seorang yang berpendidikan jurusan arab walaupun kemampuannya untuk memimpin dipersoalkan, visinya kabur serta track-recordnya lemah, maka majulah ke belakang, meningkatlah kebawah. Pejamlah kedua mata kepada sejarah ummah, dan sejarah organisasi sendiri!