Sunday, July 26, 2009

Berakhirnya Layar Kehidupan Yasmin Ahmad

Yasmin Ahmad adalah seorang seniman yang kreatif dan berani. Keupayaannya menceritakan dan merakamkan pengalaman peristiwa-peristiwa dalam hidupnya dengan adunan yang telah mengasyikkkan kita . Kini masyarakat pula menceritakan kehidupan Yasmin dengan penuh keghairahan, semada menyanjung beliau atau mengutuk beliau.

Menyanjung beliau kerana kreativiti beliau berkarya, mesej 1Malaysia yang mendahului pengisytiharan PM Najib, keupayaan beliau melahirkan pelakun-pelakun hebat daripada orang kebanyakan.

Mengutuk beliau kerana pengubahan jantina beliau, 'keterlanjuran' beliau dalam mempamirkan dan meraikan pluralism kepercayaan dalam masyarakat. Nampaknya Utusan Malaysia mendahului media-massa lain dalam mengeritik hasil-kerja Yasmin. Tidak hairanlah karya beliau lebih dihargai dan dipuji di luar negara berbanding dalam negara sendiri.

Zulkifli seorang penyayi yang bersuara lunak dalam tahun 70 'an ber-metamorphosis menjadi Yasmin pengarah iklan dan filem yang sangat kreatif. Agak sukar kita temui seorang yang dapat mempertahankan outstanding performance-nya dalam 2 bidang yang berbeza dalam kapasiti jantina yang berbeza pula!

Lihatlah bagaimana kehidupannya dikiaskan dengan watak Orkid (nama jenis bunga semacam namanya sendiri juga) dalam filem arahannya, seorang anak perempuan yang tomboy (ya keliru tentang naluri jantinanya), dengan kecenderungan kepada nyanyian dan muzik (termasuk dalam Talentime), dengan permasalahan penerimaan masyarakat terhadap penganut agama yang berbeza religious sphere dalam Mualaf. Bagaimana keluarga yang western-educated menghayati nilai dan adab resam barat selepas kembali ke tanahair. Itulah dunia yang pernah terdedah kepada Yasmin. (saya harap apa yang saya sebut ini tidak lari dari hal yang sebenar kerana saya hanya banyak bergantng kepada pembacaan bukan tontonan)

Agaknya pendirian Allahyarham Ustaz Zulkifli Muhammad bersama Pak Samad Ahmad DBP untuk memilih novel Salina sebagai pemenang pertandingan novel dalam mesyuarat panel yang diadakan di Port Dikson perlu diingatkan semula. Ahli panel lain menolak pemilihan Salina kerana watak utamanya adalah seorang pelacur, nilai-nilai moral di dalamnya agak celaru. Tetapi Zulkifli Muhammad mempertahankan pemilihan Salina atas dasar jalan cerita dan lengguk bahasanya yang menarik, pemilihannya dinilai berdasarkan nilai-nilai seni sastera. Akhirnya pendapat Zulkifli yang diangkat. Adakah kita juga layak mengambil sikap yang sama terhadap karya-karya Yasmin sebagaimana sikap Zulkifli, itupun sekiranya kita tidak bersetuju dengan nilai-nilai yang ingin ditonjolkan oleh beliau?.

Kita tidak tahu secara persis metamorphosis Yasmin dari segi biologi-nya; kita serahkan kepada Tuhan perkara itu. Tetapi kisah hidup Yasmin adalah sesuatu yang memang real; bukan dogengan. Bagaimana agaknya seorang yang dilahirkan sebagai lelaki atau khunsa yang mempunyai naluri untuk menzahirkan dirinya sebagai perempuan?. Kemahuan itu terlalu kuat mendesak, dalam masa yang sama keterikatan kepada kepercayaan agama masih juga kuat. Agaknya terdapat beberapa pilihan, (1) tidak melakukan apa-apa tindakan- sebagaimana yang terdapat dalam kampong-kampong tradisional: lelaki yang bersopan dan lembut yang terkenal sebagai tukang masak atau tukang hias dan tukang jahit. (2)melakukan perubahan mengikut kemahuan serta merungkaikan ikatan-ikatan agama: termasuk menjadi pelacur atau tidak langsung memperdulikan ajaran-ajaran agama atau bertukar agama. (3) melakukan perubahan mengikut kemahuan tetapi masih berpegang kepada kepercayaan dan amalan agama; maka yang dicarinya adalah huraian-huraian agama yang dikira sesuai, contohnya tafsiran agama secara liberal dan akomodatif. (4) melakukan perubahan mengikut kemahuan dan meminggirkan amalan-amalan agama, agama sekadar formaliti untuk mengisi borang dan urusan-urusan resmi.

Alhamdulillah kita tidak dilahirkan dalam kondisi yang sebegitu, kita dilahirkan straight; entah apalah tindakan kita sekiranya kita dalam keadaan mereka yang tersebut. Belum tentu kita akan mampu memagarkan kemahuan yang sangat mendesak-desak itu dengan batasan-batasan syara', alhamdulillah kita selamat dengan rahmat Allah; sekali-kali bukan kerana kekuatan kerohanian kita dan ketajaman akal kita.

Kepada golongan yang mempunyai kecenderungan dan atau berada dalam kondisi sebegitu pula, kita perlu bertanya diri kita apakah kita telah cuba memahami keadaan (1)biologi mereka, (2) saikoloji mereka (3) up-bringing mereka; kerana ini akan membantu kita dalam mengklasifikasi punca kecenderungan mereka . Apakah kita telah cuba memahami syara' yang berkaitan dengan golongan khunsa secara khusus?. Apakah bentuk dakwah tarhib dan targhib-nya yang telah kita sampaikan kepada golongan ini?. Atau kita akan mengiyakan semua itu atas nama hak asasi manusia atau kita akan terus mengutuk mereka tanpa mengetahui perbuatan mengutuk kita itu sebenarnya membawa pahala atau mengundang dosa?

Yasmin merupakan titik renungan kepada kita, sebagai anggota ummah yang dibangkitkan untuk seluruh manusia, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar serta beriman kepada Allah. Kita sebagai ummah yang menjadi bench-mark kepada akhlaq manusia lainnya. Kita yang melakukan sesduatu tindakan berdasarkan menjunjung Suruh Allah, bukan didesak oleh rasa kasih atau benci.

Allah mentakdirkan Yasmin meninggal dunia dalam umur yang relatifnya muda, ketika berada di kemuncak kerjaya kreatifnya, ketika mungkin beliau ghairah dan sangat bersemangat memandangkan konsepnya tentang 1 Malaysia kini ditutur oleh PM Najib sendiri. (ya sebagai contoh praktikal Zulkifli/Yasmin mengagihkan wang biasiswanya kepada kawan berbangsa cina yang tidak mendapat biasiswa ketika belajar di UK). Mungkin banyak perancangan dan idea Yasmin untuk memperkukuhkan konsep 1Malaysia.

Sekiranya Yasmin masih berada bersama kita dan masih berkarya. agaknya makin beranilah beliau melahirkan faham-fahamnya tentang kehidupan yang mempamirkan semangat 1Malaysia, semakin banyaklah trofi yang akan diraihnya, semakin kuatlah pula kutukan golongan yang mengutuk beliau. Tetapi Yasmin dan daya kreativitinya telah sampai ke station penamat. Beliau bertanggung-jawab di depan Tuhan tentang apa yang dipercayainya, tentang apa yang diamalnya dan kita pula pasti menyusul dan akan juga ditanya dan diperatnggung-jawabkan sebagaimana Yasmin dipertanggung-jawabkan tentang bagaimana kita mengenderai hidup kita.

Thursday, July 23, 2009

Menyalakan Lilin Meratapi Nasib Teoh Beng Hock (part2)I

Ustaz Harun Taib telah mengeluarkan kenyataan tentang kelakuan Dato Sri Nizar memegang lilin, katanya sepatutnya ia tidak harus dilakukan. Mengikut beliau, mungkin Nizar tidak terperasan tentang wujudnya ketetapan yang telah dibuat oleh Dewan Ulama Pas dalam kes seumpama ini.



Tidak harus dalam pengertian feqah bermaksud haram. Itu adalah jelas, Harun Taib bercakap tentang hukum, soal berkaitan dengan feqah atau mungkin juga soal aqidah. Penekanan kepada larangan penyerupaan dengan orang kafir ditekankan. Soal ini memang disentuh oleh para ulama kita dari zaman dahulu lagi. Pada awal kurun ke 20 telah timbul fatwa kafir kepada pemakai tali-leher, tie dan bow-tie, serta kepada pemakai topi yang bersudu (cap). Kerana semua pakaian tersebut di waktu itu masih merupakan syiar kepada bangsa yang tidak beragama Islam. Tetapi sekarang ahli akademik dalam bidang syariah, seperti Dr. Mahmud Zuhdi pun telah memakai tie dengan tanpa sedikit rasa bersalah! Sememangnya sebahagian daripada hukum agama berubah mengikut suasana dan persekitaran.



Begitu juga perbuatan menyambut birthday, valentine day, mothers' day, fathers' day, hari kemerdekaan, hari itu dan hari ini yang seumpamanya adalah sesuatu yang tidak disyariatkan oleh agama kita. Hari perayaan dalam Islam yang berulang-ulang setiap tahun hanyalah dua perayaan, 'aidu al-Adha dan 'aidu al-Fitri. Sehingga ada ulama yang menghukumkan bidaah sambutan hari-hari kebesaran lainnya seperti maulid ar-Rasul, isra mukraj dan nisfu sya'ban

Atau kita boleh katakan juga, agaknya Dr. Mahmud hanya mengambil kesempatan perbuatan Nizar itu untuk mencapai tujuan yang lebih besar. Seumpama Nizar menjadi anak yang dipikul oleh Dr. Mahmud, yang hendak disindir sebenarnya adalah mertua, yakni dalam kes ini adalah pihak kerajaan. Kita telah melihat bagaimana perayaan-perayaan yang sememang berbentuk dan bersemangatkan keagamaan secara khusus seperti krismas, deepavali, taipusam dan vesak disambut bersama oleh belbagai bangsa yang berlainan agama di atas nama perayaan kebangsaan dan ditaja oleh pihak kerajaan serta dihadiri oleh PM sendiri. Sehingga suatu masa dahulu memang dipopularkan konsep Xongsi Raya.


Bagaimana agaknya pendirian Dr. Zamri MB Perak menjelang krismas dan lain-lain perayaan keagamaan yang akan datang ini? Beliau secara pribadi telah sangat bersetuju dengan pandangan Dr. Mahmud (dalam kata lain, beliau telah masuk perangkap Dr. Mahmud) terhadap kelakuan Nizar yang sekadar memegang lilin, yang mungkin lebih merupakan tradisi orang cina dan barat dalam menunjukkan dan melahirkan simpati atau protes mereka. Tentu kita boleh agak yang Dr. Zamri tidak akan membuat kunjungan mesra kepada penganut-penganut agama lain, kerana beliau telah menerima fatwa Dr. Mahmud tersebut.

Bagaimana kalau kita perluaskan lagi perbincangan tentang larangan penyerupaan ini? .Sebagai contoh, tentu pengamal-pengamal demokrasi tahu yang undian secara meletakkan kertas ke dalam ballot-box bermula dari amalan gereja di zaman pertengahan ketika padri-padri memilih ketua padri. Apabila keputusan telah dikira dan dimuktamadkan , maka asap akan dikeluarkan dari cerowong sebagai tanda keputusan telah dicapai. Apa pula yang Ustaz Harun, Dr. Mahmud dan Dr.Zamri akan ulas? Atau mereka akan mengesyurkan kaedah cara buang undi yang berbeza daripada apa yang telah dijalankan selama ini?.

Apakah ideologi demokrasi itu sendiri, cara berfikir secara demokratis dan amalan demokrasi itu yang memang berasal dari peradaban Rom purba perlu dinilai semula dalam semangat agar kita berbeza dari golongan non-muslim? Sudah tentu cara berfikir serta nilai sesuatu peradaban jahiliah yang telah menjangkiti sebahagian ummah itu lebih parah dan merbahaya berbanding sekadar sesuatu perbuatan zahir, umpama memegang sebatang lilin dalam majlis memperingati dan memprotes terhadap tragedi kematian Teoh!

Apakah boleh dilaksanakan Islam secara menyeluruh, apa lagi di peringkat kenegaraan dalam acuan yang bukan Islami, seperti acuan demokrasi? Atau kita sekadar menumpang pentas yang ada dan dibenarkan oleh peraturan negara untuk menengahkan dan mempromosi dakwah agama kita kepada masyarakat?.

Ikhwan al-Muslimin telah membuat pendirian yang jelas yang mereka melibatkan diri dalam kancah pilihanraya sebagai civil party, bukan sebagai religious party. Dalam erti-kata mereka tidak mengagendakan perjuangan politik mereka di atas nama agama, malah dalam berpolitik, mereka mengikatkan diri mereka kepada aturan-aturan kenegaraan dan nilai-nilai kenegaraan sebagaimana yang ada di dalam sistem negara Masir. Mereka tawarkan kepada pengundi janji akan pertanggung-jawaban (reponsibilty) yang lebih, pentadbiran yang lebih efektif dan telus, pengelakkan daripad korupsi dan pembaziran, mengoptimakan resources , keadilan untuk semua dan lain-lain janji yang tangible. Mereka tidak menakutkan pengundi dan penyokong politik mereka dengan ancaman-ancaman azab Allah kerana tidak menyokong mereka atau kerana menyokong parti lawan.

Kerja-kerja untuk mendaulatkan Islam, mereka telah lakukan dan akan terus lakukan bukan di atas pentas kecil politik tetapi di atas kapasiti induk Ikhwan sebagai badan dakwah. Ikhwan hanya menggunakan pentas politik sebagai salah-suatu daripada pentas-pentas mempromosikan nilai-nilai yang berinspirasikan Islam , nilai-nilai yang bersesuaian dengan ajaran Islam dan sejarah rakyat Masir. (lihat artikel yang hampir 50 muka dalam Ikhwan Online). Disebabkan pendirian sebeginilah, penglibatan non-muslim dalam organisasi politik Ikhwan diterima, tetapi mereka tidak diterima sebagai anggota dalam badan induk Ikhwan, yang memang bersifat sebagai badan dakwah. Bahkan bukan semua anggota badan induk Ikhwan terlibat dengan kerja-kerja politik kepartian.

Pencatit masih teringat ketika mendengar seorang daripada hadirin telah bertanya kepada Mufti Masir, Syaikh Ali al-Jum'ah ketika rihat minum teh di sebuah hotel di Putrajaya beberapa tahun yang lalu. Beliau bertanya soalan yang seakan-akan jelas jawaban yang mahu didengarnya "apa hukum pemimpin Islam menghadirkan diri dalam perayaan krismas?". Syaikh Ali al-Ju'mah menjawab secara tafsil, iaitu kita kembali kepada qasad kehadirannya itu, (1)bukankan Rasulullah ketika sampai di Madinah telah bertanya orang Yahudi kenapa mereka berpuasa pada 10 muharam, lalu baginda dimaklumkan kerana mereka mengenang dan mensyukuri kejayaaan Saiyidina Musa selamat dari Fir'aun dan menyeberang Laut Merah. Lalu Rasulullah menyatakan yang kita lebih utama terhadap Nabi Musa daripada mereka, lalu baginda dan para sahabat pun berpuasa. (2) Islam tidak melarang kita meraikan jiran kita yang bukan Islam, tetapi dalam batas-batas yang tidak dilarang oleh syara. Menghadirkan diri ketika mereka bergembira itu termasuk dalam meraikan mereka. [ Begitu juga menyatakan simpati di atas kesedihan mereka ketika mereka ditimpa malang]. Bukankah Rasulullah sendiri bangun berdiri ketika mayat seorang yahudi diusung di depan baginda, ketika diberitahu oleh sahabat yang jenazah itu adalah seorang yahudi, Rasulullah menjawab dia juga adalah seorang manusia, selayaknya dihormati sebagai manusia. (3) Sekira kehadiran itu kerana ingin bersama dalam membenarkan kesyirikan mereka, dalam membesarkan dan syiar-syiar agama mereka, maka itu sudah tentu jelas haramnya dan boleh mengelincirkan aqidah seseorang.

Itulah lebih kurang apa yang saya masih ingat daripada jawaban Syaikh yang sangat alim itu. Orang yang bertanya nampaknya semakin tidak berpuas-hati, agaknya tujuannya tidak tercapai dan jawaban Syaikh menghala kepada arah yang di sebaliknya. Rakan saya seorang guru pondok, yang datang bersama untuk menumpang barakah para ulama yang hadir dalam perjumpaan tersebut, begitu kagum dengan jawaban Syaikh dan mengatakan itulah jawaban seorang faqeh!

Wednesday, July 22, 2009

Menyalakan Lilin Meratapi Nasib Teoh Beng Hock

Kematian Teoh Beng Hock telah menjadi tajuk utama dalam perbincangan rakyat negara kita. Bagaimana dia mati, semada dia membunuh diri atau dia dibunuh, atau dia terbunuh secara tidak sengaja?.

Krisis yang berlaku di dalam sistem berkerajaan di negara kita berpunca daripada terhakisnya keyakinan dan kepercayaan, trust , rakyat kepada institusi-institusi kerajaan. Episod ini bermula sejak 1998 lagi, iaitu apabila kes DSAI dibicarakan di mahkamah. Rakyat melihat dan menilai bagaimana pihak kerajaan, daripada polisnya, pejabat peguam negara dan hakim telah bertindak. Sebagai contoh, untuk sekian harinya anggota polis memikul tilam yang mempunyai bukti DNA masuk keluar daripada bangunan mahkamah, kemudian bukti itu diputuskan sebagai tidak relevan. Tarikh DSAI dituduh meliwat Azizan juga berubah-ubah.Mahkamah kita sangat meraikan perubahan-perubahan dalam tuduhan dan pembuktian oleh pihak pendakwa.

Keyakinan rakyat kepada institusi kerajaan belum pulih, walaupun untuk sedikit masa rakyat telah menaruh kepercayaan kepada Pak Lah pada awal pemerentahannya untuk mengembalikan integriti kepada institusi-institusi kerajaan. Tetapi Pak Lah sendiripun tidak berakhir sebagai Mr. Clean.PM Najib mengantikan Pak lah dalam menerajui negara dalam suasana yang perit, bukan sahaja imej kerajaan yang tercalar, bahkan imej PM Najib sendiripun teruk terjejas. Perspektif umum menghala untuk mengaitkan PM Najib dengan pembunuhan kejam menggunakan c4 Altantayu, komisyen pembelian senjata oleh kementerian pertahanan. Sehingga hari ini PM Najib belum berjaya merungkai kaitan tersebut, bahkan diamnya itu menguatkan lagi sangkaan masyarakat awam yang memeng PM tidak berupaya untuk membersihkan dirinya daripada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan.

PM Najib memulakan tindakan populis dengan memperkenalkan konsep 1 Malaysia, sayonaralah kepada pendekatan Islam Hadari Pak Lah yang mungkin dianggap eksklusif oleh penduduk bukan Islam. Hasil penyelidikan mengatakan tindakan-tindakan awal PM Najib adalah effectif, ia menunjukkan terdapat peningkatan ketara kepada sokongan yang diterima oleh PM Najib. Nampaknya keyakinan rakyat mula diraih semula walaupun ianya agar tercemar dengan pengambilan semula kerajaan Perak secara hambar daripada semangat demokrasi.

Ketika penduduk bukan Melayu mula mahu berjinak semula dengan kerajaan, tiba-tiba perkembangan yang menggalakkan ini dirosakkan dengan teruknya oleh berita kematian trajis Teoh Beng Hock. Wajah institusi kerajaan kembali diselaputi topeng zalim, kasar dan ganas. Luka lama berdarah kembali.Hampir tiada rakyat yang berfikiran kritikal dapat menerima Teoh Beng Hock membunuh diri, sekurang-kurangnya setakat dalih-dalih yang telah diketengahkan oleh institusi kerajaan dan pemimpin kerajaan adalah terlalu rapuh untuk dipertahankan.

Kewarasan ternampak semula, hanyalah apabila PM Najib sekembali dari Masir mengumumkan penubuhan Suruhanjaya di Raja dan Inkuis untuk menyiasat kes ini. Sudah tentu ramai yang tidak berpuas hati dengan setakat mengadakan inkuis terhadap kes sebab kematian Teoh, tetapi sekurang-kurangnya di situ terdapat kewarasan, PM Najib menyebut Teoh Beng Huat, sebagai Saudara Teoh dan berjanji akan memaklumkan sendiri keputusan Suruhanjaya kepada keluarga Teoh itu memang boleh meninggalkan kesan yang positif.

Dalam suasana kemualan rakyat terhadap institusi esekutif kerajaan yang tidak dilihat mereka sebagai non-partisan, dan dalam suasana kematian trajis Teoh, maka Datuk Nizar turut hadir dalam majlis memperingati (memprotes) kematian Teoh, beliau telah memegang sebatang lilin sebagaimana yang dilakukan hadirin lain.

Perbuatan Datuk Nizar, yang memang sebelum ini kerap kelihatan gopoh dan kurang sikap sebagai tokoh negarawannya, telah dikritik oleh Dato. Dr. Mahmud Zuhdi . Mengikut Dr. Mahmud, Dato' Nizar terlibat dalam upacara keagamaan orang-orang bukan Islam. Sekurang-kurangnya kita boleh menarik nafas lega, Dr. Mahmud dengan kenyataannya ini menunjukkan keprihatinannya terhadap kemurnian aqidah dan amalan Islam, selama ini kita kerap melihat Dr. Mahmud mengambil sikap lunak terhadap pemimpin dan dasar pihak berkuasa terutamanya di era Islam Hadari . Rupa-rupanya Dr. Mahmud masih ada sikap kritisnya!

Eluklah, agar tidak ada lagi selepas ini pemimpin Islam yang membina patung-patung besar walaupun bukan untuk disembah seperti helang besar di Langkawi, tiada ada lagi pemimpin yang memberi hormat takzim di depan tugu-tugu peringatan. Maklumlah nampaknya pemimpin UMNO sangat-sangat berkenan hati dengan fatwa Dr. Mahmud khususnya yang ini.

Hanya kita masih bertanya, apakah menghidupkan lilin itu adalah amalan keagamaan? Sekiranya sekadar adat-resam, sejauh manakah kita boleh raikan adat-resam sesuatu bangsa itu?

Adakah kita mahu seketat Syaikhu al-Islam Ibnu Taimiyyah dalam huraiannya yang terdapat dalam kitabnya Iqtida ila as-Sirat al-Mustaqim? Kita orang Islam dilarang dari menyerupai orang musyirikin dan 'ajam dari semua segi, termasuk pakaiannya, cara makannya, budaya hidupnya . Walaupun begitu, saya rasa Uncle SM Idris dari CAP dan Cikgu Azmi Hamid dari TERAS akan menyokong perlaksanaan saranan Syaikhu al-Islam ini tanpa banyak bantahan. Dr.Asri Zainal Abidin dan Dr.Mahmud belum tentu dapat menerima saranan Imam Ibnu Taimiyyah dalam soal ini dengan lapang dada sebagaimana agaknya dapat diterima oleh Uncle Idris dan Cikgu Azmi

Sunday, July 19, 2009

Pengajian Pondok yang Semakin Terhakis

Bahagian timur dan utara tanah air kita dahulunya mempunyai banyak pusat-pusat pengajian pondok. Kita tidak tahu dengan tepat asal-usul pengajian pondok, tetapi kita tahu kaedah pengajian pondok yang hampir sama di setiap pelusuk nusantara ini. Pondok mempunyai tuan guru, yang di sebahagian kawasan dipanggil Kiyai, baba atau tengku. Belajar secara talaqqi dalam pengajian halaqah. Teks yang digunakan akan dibaca dari ayat pertama pada muka yang pertama sehingga ayat terakhir pada muka terakhir. Sekiranya guru mempunyai sanad kitab yang dibacanya sehingga kepada pengarangnya, maka itu dianggap bonus. Pelajar-pelajarnya tinggal di kawasan pengajian yang dipanggil pondok, pesanteran atau dayah itu. Selain daripada mengaji kitab, pelajar juga dititik-beratkan dalam amalan-amalan ibadat, paling kurang dalam bersembahyang secara berjamaah.

Pengajian pondok menjadi semakin malap kerana saingan daripada sistem pengajian lain yang lebih menjamin pekerjaan kepada para pelajar, kerana sistem pondok yang sangat terikat kepada batang-tubuh gurunya (guru centric), kerana dipandang lapuk, kerana dianggap lubuk aliran kaum tua (yang pegangannya dan amalannya tidak bersifat salafi).

Pondok telah banyak berjasa kepada masyarakat Islam di tanah air kita, Pondok bukan setakat mengajar rubu' ibadat pada peringkat pemahaman teks, bahkan pondok menghidupkan suasana ibadat itu dalam masyarakat kecilnya; Sebagai contoh, jarang kedengaran pelajar pondok yang tidak tahu sembahyang jenazah, tidak tahu urusan jenazah yang lain, tetapi agak tidak janggal untuk kita temui pelajar pengajian Islam di peringkat universiti sekalipun yang agak kekok dalam mempraktikkan amalan-amalan tersebut.

Biasanya pelajar pondok diasuh untuk menguasai nahu dan saraf arab dengan nisbah yang jauh lebih detail daripada apa yang diajar di institusi pengajian moden, walaupun keupayaan pelajar pondok untuk berkominikasi dalam bahasa arab agak ketara lemah. Sistem pengajian pondok mempunyai kekuatan-kekuatannya yang tersendiri, walaupun memang diakui terdapat kelemahannya.

Agak memeranjatkan di Kelantan terdapat desas-desus yang satu-satunya pondok yang dikendali oleh kerajaan PAS Kelantan melalui Yayasan Islam Kelantan itu dikatakan akan diserahkan kepada sebuah KIAS , sebuah IPTS. Apa rationalnya pihak berwenang negeri, atau ahli exco-nya, Dato Nik Amar , secara khusus mahu menamatkan dan meniadakan satu-satu pusat pengajian secara pondok kendalian kerajaan yang ada itu?

Kalaulah desus-desas itu ada asasnya, sudah tentu ia membayangkan antara lain tanggapan Dato Nik Amar secara pribadi terhadap pengajian secara pondok. Tidaklah adil untuk kita sekiranya tidak menyebut yang Nik Amar lahir dan membesar dalam persekitaran pondok Panchur, walaupun beliau telah kemudiannya mengikut pengajian di universiti tempatan dan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di universiti di UK. Ertinya Nik Amar telah terdedah kepada pengajian secara pondok, secara sekolah arab-agama, secara di universiti tempatan, dan belajar di bawah selian orientalis di UK di peringakt sarjana. Sekiranya benar desus-desas itu sekalipun Nik Amar sedar apa yang dirancangnya.

Sebenarnya secara jujur, Nik Amar belum menunjukkan apa-apa pembaharuan yang ketara atau yang high-impact kepada pengajian agama di Kelantan sehingga kini. Beliau kelihatan sekadar menyambung tugas exco sebelumnya tanpa kreativiti yang tertonjol. Kalau ada pun, Nik Amar sekadar berjaya menyerahkan beberapa sekolah kelolaan YIK kepada Kementerian pada suatu masa dahulu; dan langkah itu tidak memerlukan daya kreativiti yang tinggi pun.

Timbul persoalan kenapa kerajaan Kelantan yang menonjolkan imej Serambi Makkah, Negeri Tadahan Wahyu pun tidak berminat untuk memulihkan suatu aliran pendidikan Islam yang telah banyak berjasa dan terbukti berjaya sebelum ini? Adalah suatu perkara yang maklum, bangunan lama sekalipun , ada gelegar yang perlu dibaiki, ada atap yang perlu ditukar, tetapi struktur utamanya yang masih utuh selayaknya dipelihara. Dalam zaman kepelbagaian aliran pengajian digalakkan dan diraikan, umpama home learning, e-learning, virtual university dan lain-lain, kenapa kerajaan Kelantan tidak dapat meraikan kewujudan sebuah pengajian secara pondok dengan kelainannya di bawah kelolaannya?

Apa uniknya mengaji agama di Kelantan sehingga layak dipanggil Serambi Makkah, kalau sekadar KIAS, apa istimewanya belajar agama di KIAS berbanding di UM, UKM, USIM, UDM dan lain-lain IPTA dan IPTS yang ada bercambah di pelusuk negara? Sangat diharapkan desus-desas itu tidak benar, semoga Nik Amar tidak sebagimana yang disangka oleh pelajar-pelajar pondok Kandis.

TGNA pernah dalam wawancaranya di akhbar tempatan mengatakan antara kekuatan Pas di Kelantan adalah kerana kewujudan pusat-pusat pengajian pondok, TGNA mengatakan beliau mahu menumpang kekuatan itu. Tentu Nik Amar juga faham waqie' itu, walaupun kita tidak tahu berapa kalikah Nik Amar telah membuat lawatan ke pondok-pondok di Kelantan dalam rangka untuk membaik-tingkat prestasi pondok-pondok tersebut, atau paling kurang untuk menyelami permasalahn tuan-tuan guru dan pengajiannya.

Kita tahu mungkin benar kecenderungan pribadi Nik Amar terhadap bentuk kefahaman dan huraian agama berdasarkan aliran yang digelar aliran salafi. Aliran yang menilai pegangan dan amalan agama secara tradisional terutama di kalangan warga pondok sebagai aliran dan ajaran islam yang tidak murni dan tulen. Tentunya kalau sekiranya terdapat kecenderungan tersebut sekalipun , Nik Amar sudah pasti akan mengambil sikap lapang-dada, menerima perbezaan dengan penuh adab dan mengetahui aliran mana yang dominan dalam kalangan ulama zaman berzaman. Huraian agama salaf--najdi adalah agak sempit untuk merangkumi ulama dan ummah yang terdidik di Al-Azhar. di Deoband, dalam jamaah tabligh, dalam Ikwan al-Muslimin, atau Jamaah al-Islami sekalipun.

Tenaga utama KIAS memang mempunyai imej sebagai berkecenderungan kepada aliran salafi-najdi; kita bimbang sekiranya Pondok Kandis diserahkan kepada KIAS; ianya akan membenarkan tanggapan terdapat usaha yang tersusun untuk mempinggirkan aliran Asya'irah-mazhabi kerana mahu menobatkan aliran salaf-najdi di Kelantan ini!

Rajab yang Mempunyai Keberkatan

Umumnya masyarakat Islam di tanah air kita menganggap peristiwa isra mikraj berlaku pada malam 27 Rajab setahun sebelum persitiwa hijrah Rasulullah ke Madinah. Walaupun tarikh peristiwa ini berlaku itu dipertikaikan oleh para ulama, pengajaran daripada peristiwa besar ini sentiasa relevan bagi kita, tanpa sangat terikat kepada tarikhnya.

Bulan Rajab adalah salah suatu daripada 4 bulan haram , selain daripada 3 bulan haji, di dalam taqwin Islam. Ianya dianggap bulan yang mempunyai keistimewaannya yang khusus. Walaupun kita sukar mencari hadith sahih yang menerangkan amalan-amaln khusus dan kelebihan bulan rajab secara tersendirinya, tetapi kita semua menerima kelebihan beribadat dalam bulan-bulan haram. Atau kita akan dapati kelebihan bulan rajab apabila kita mengamati kelebihan bulan syaaban. Rasulullah banyak berpuasa di dalam bulan Syaaban, melebihi puasa baginda daripada mana-mana bulan yang lain kecuali Ramadan. Di situ Rasulullah menerangkan kepada kita yang baginda suka beribadat ketika manusia ramai alpa, manusia ramai memberatkan ibadat dalam bulan Rajab dan Ramadan, dan terlepas pandang Syaaban. Peringatan Rasulullah itu sungguh cukup menunjukkan sikap para sahabat dan salaf as-soleh dalam memberi perhatian khusus kepada bulan Rajab.

Terdapat suatu trend yang suka membid'ahkan amalan-amalan ibadat yang dinilai mereka agak intensif, termasuklah berpuasa dalam bulan Rajab. Mereka akan berhujjah yang ibadat itu tidak mempunyai nas, atau hadithnya daif. Ada yang berhujjah dengan peringatan Rasulullah kepada Abdullah bin Amru, agar menyederhakan intensiti ibadat beliau yang sentiasa berpuasa tanpa henti, yang bersembahyang malam tanpa rehat, yang membaca al-Quran siang dan malam, yang kerana tumpuannya itu beliau tidak menyentuh isterinya serta kurang memberi perhatian kepada keperluan tubuh-badannya.

Tulisan yang terbaik oleh ulama semasa yang menangani trend ini ialah tulisan al-Alim al-Muhaddith Syaikh Abdul Fatah Abu Ghuddah. Selain daripada itu, kenapa umum tidak dapat memahami suasana di Madinah zaman Rasulullah yang begitu segar dan kondusif bagi ahli masyarakatnya berbuat ibadat? Sehingga-hingga Rasulullah terpaksa memperingati mereka tentang tanggung-jawab lain yang mereka juga perlu lakukan.

Kita hidup dalam masyarakat yang lalai, yang tidak menitik-beratkan ibadat bahkan masyarakat yang menjadikan kemajuan kebendaan itu sebagai matlamat tertinggi kehidupan bermasyarakat ini. Apabila golongan yang mahu memurnikan amalan daripada apa yang dianggap bid'ah ini berhujjah yang ibadat itu dan ibadat ini tidak mempunyai nas, hadith yang dijadikan sandaran itu daif; kita yang sememangnya malas ini akan menjadi lega, merasa diri kita yang segan beribadat itu lebih islamik daripada golongan yang beribadat berdasarkan anjuran ibadat itu hanya kepada hadith-hadith yang didakwa daif. Sehingga dalam keghairahan itu, kita kerap terlupa yang hikmah kejadian kita ini adalah untuk beribadat kepada Allah.

Ada pula yang berhujjah ibadat bukan setakat sembahyang, puasa, berzikir dan seumpamanya, bahkan berkelah, bersukan, bersosial, berpolitikpun adalah ibadat. Memanglah begitu untuk golongan yang mempunyai kesedaran kerohanian yang tinggi. Sedangkan bagi kita ini , sekiranya sembahyang kita, puasa kita , tilawah kita, zikir kita dikira ibadat oleh Allah kerana hadir hati kita, kerana wujud ikhlas kita, kerana khusyu' kita, maka itu adalah anugerah besar daripada Allah. Kalu sekiranya ibadat-ibadat sebegini pun, sukar untuk kita hadir hati, untuk kita murnikan keikhlasan, kita khusyu, maka bagaimana kita berangan-angan yang perkelahan kita, sukan kita, politik kita itu akan dikira sebagai ibadat?

Kita kadang-kadang tertanya apa matlamat sebahagian daripada golongan yang mahu melaksanakan usaha islah dan tajdid dalam ummah ini sekarang?. Mereka banyak membid'ahkan tanpa menyarankan apa yang sunnah. Dalam penghujjahan mereka, terbayang yang mereka mempunyai fahaman yang meremehkan para ulama silam, kelihatan keangkuhan mereka dalam mendaifkan hadith-hadith tertentu yang diterima oleh sebahagian ulama hadith lantaran mereka taksub kepada pendapat seorang pengkaji hadith semasa semata-mata. Kelihatan kecenderungan mereka kepada penggunaan fikiran mereka sendiri walaupun terserlah kecetekan jangkauannya. Ya Allah selamatlah kami daripada tipu daya syaitan yang mengambil rupa usaha pengislahan dan tajdid ini!

Friday, July 17, 2009

Manik Urai: Suatu Renungan( part2)

Kita membaca dalam banyak tulisan-tulisan yang tersiar dalam blogs, antara punca utama kemerosotan jumlah undi Pas di Manik Urai adalah kerana penolakan Pas Kelantan terhadap Unity Goverment beserta pemimpin-pemimpin yang berkecenderungan ke arah itu. Itulah yang cuba dijadikan sebab, agaknya oleh golongan Pas yang masih tebal cita-citanya untuk berbaik-baik dengan UMNO dan golongan yang tidak memahami citarasa penduduk tempatan.

Isu UG tidak banyak memberi kesan, penduduk Manik Urai tidak kisah fasal itu. Mereka lebih kisahkan fasal jambatan baru yang dijanjikan, mereka kisahkan jalan-jalan yang lebih selesa, mereka kisahkan peluang pekerjaan dan peluang menambah pendapatan. Mereka kisahkan 'concerns' yang dipamirkan oleh pemimpin-pemimpin negara dari peringkat tertinggi tentang kebajikan mereka. Penduduk kampong mana yang tidak berbangga dan kembang hidung serta rasa dihargai sekiranya TPM sendiri, menteri-menteri kabinet sendiri yang datang berkunjung ke teratak mereka?. Sebelum ini mereka hanya mampu melihat wajah-wajah pemimpin besar ini hanya dalam Tv, sebagaimana mereka juga akan berbangga sekiranya TGNA sendiri yang datang menziarah dan bertanya khabar tentang keperitan hidup mereka.Itu adalah sifat-sifat manusia, yang memang suka diberi perhatian!

Mereka pernah dengar nama dan tenguk gambar TGHH, mungkin juga pernah dengar nama Ustaz Harun Taib, tetapi agak jarang yang kenal Ustaz Nasharuddin, yang kenal Ustaz Bakar Chik, yang kenal Dr. Harun Din, yang kenal Nik Abduh. Nama-nama ini tidak berapa 'berjejak' bagi mereka. Datang atau tidaknya mereka ini kurang diberi perhatian, Tetapi aktivis parti peringkat kampong cukup kenal dengan Cik Gu Rahim, agak menghairankan Cik Gu Rahim memang popular di kalangan pengiat Pas di pendalaman Kelantan, mungkin kerana pernah dilontar ke kampong Kandek dan pernah bergiat di sini.

Sebuah badan penyelidik bebas telah membuat survey tentang kecenderungan pengundi di Manik Urai beberapa minggu sebelum pilihanraya ini diadakan. Mengikut kaji selidiknya kedudukan Pas di sini agak terancam, faktor utamanya kerana rakyat terasa mereka diabaikan. Faktor yang boleh menyelamatkan keadaan adalah sokongan pengundi yang berada di luar Kelantan kepada Pas, maka telah disyorkan agar risalah memujuk mereka supaya mengundi Pas telah dihantar ke alamat masing-masing. Keadaan on the ground di Manik Urai sendiri tidak begitu selamat untuk Pas.

Kalau pilihanraya 2008, rakyat Kelantan terasa terpanggil untuk menyokong Pas kerana mereka bimbang kerajaan pimpinan TGNA tumbang, terutama selepas Pas menang hanya dengan kelebihan dua kerusi, kekalahan Pas dalam PRK Pengkalan Pasir. Sebaliknya apabila Pas menang besar pada 1999, maka pada tahun 2004, rakyat Kelantan menghantar message kepada Pas agar lebih bertanggung-jawab dalam membela nasib rakyat. Volome message itu agak keterlaluan, sehingga Pas hampir-hampir tercabut daripada menjadi kerajaan.
Tetapi itulah corak pemilihan rakyat Kelantan: mereka takut kehilangan Kerajaan Pas tetapi muak dan meluat dengan tingkah-laku sebahagian pemimpin-pemimpinnya

Umno bijak menggunakan pendekatan "ambo nak duduk di serambi jah, tidak naik ke atas rumah", yakni kerajaan negeri akan terus dikuasai oleh Pas, Umno sekadar hendak memenangi Manik Urai , demi untuk membawa peruntukan pembangunan daripada kerajaan pusat untuk memajukan kawasan ini. TGNA yang dikasihi semua tetap kekal sebagi MB, Pas tetap kekal sebagai kerajaan, tetapi kemenangan Umno ini akan membawa kemudahan dan keselesaan kepada penduduk. Simple logic yang memang mudah dihadam.

Kedatangan DAP itu tidaklah membawa kesan yang besar, ianya tidak menyebabkan harga durian dan getah keping orang kampong jatuh, dan tidak menyebabkan lorong-lorong kampong berturap. Umno bawa cina dan india BN, Pas bawa cina dan india PR. Kalau Ustaz Nasharuddin datangpun senario ini tidak berubah. Rakyat mahu juga melihat apa yang tangible, bukan conceptual yang orang Pas sendiri pun tidak dapat memberi penjelasan yang memuaskan.

Agaknya kenyataan TGNA tentang Umno itu sama dengan kominis dan Ajaran Ayah Pin itu agak berat untuk ditelan dan dianggap keterlanjuran dalam politik oleh golongan atas pagar walaupun dari Manik Urai, pun begitu ianya disambut dengan penuh ghairah oleh golongan tegar Pas.

Isu UG pula menyebabkan Umno mendapat senjata dalam kempen dan propaganda mereka, daripada menyokong parti yang hendak bersama BN, baik undi Umno, yang memang ketua BN. Pemimpin-pemimpin Pas juga hendak ke sana.

Ketegasan pimpinan Pas Kelantan menolak UG dan bersikap agak sinis terhadap pelopor-pelopor UG telah membantu membina balik imej Pas sebagai parti yang berbeza daripada Umno. Umno telah digambarkan sebagai anti-thesis kepada Pas, senanglah bagi orang kampong untuk faham kenapa Pas lawan Umno. Agak memeningkan untuk orang kampong, bahkan untuk pemimpin Pas sendiri apabila mereka memutuskan untuk berlawan dengan Umno dalam pilihanraya ini, sekiranya di masa yang sama mereka juga mengisytiharkan yang mereka mahu terus berunding dengan Umno, mereka hanya sekadar menangguh agenda UG kepada masa yang sesuai.

Kemenangan 65 undi adalah kemenangan besar bagi Pas Kelantan, di kawasan yang mereka kalah pada pilihanraya 2004. Kemenangan ketika mereka dibantu separuh hati oleh kelompok yang mahukan UG, atau mungkin kelompok yang mahukan UG itu tidak akan terkilanpun sekiranya Pas kecundang di Manik Urai. Biarkanlah TGNA dan kumpulan yang menentang UG tahu yang gagasan mereka melemahkan parti, meredupkan masa depan agama dan bangsa! Tetapi nampaknya sangkaan sedemikian itu tidak menjadi. Ketegasan penolakan terhadap UG itulah yang menjelmakan 65 undi. Kata seorang kuat Pas secara berseloroh, angka 65 itu sangat significant, ianya menunjukkan kemenangan 6 rukun iman dan 5 rukun Islam ke atas tawaran kebendaan dan kemajuan oleh Umno! Saya sekadar tumpang ketawa mendengar lincahnya orang politik mampu membuat stunt dalam mana-mana keadaan sekalipun, asalkan kupasannnya berbunyi hebat dan grand!

Wednesday, July 15, 2009

Manik Urai: Suatu Renungan ( part1)

Keputusan pilihanraya Manik urai kali ini adalah sangat menarik untuk direnungi bersama, antaranya:

1- Pilihanraya kecil ini sepatutnya dibandingkan dengan PRK Pengkalan Pasir: banyak persamaannya. Antaranya kedua-dua pihak yang bertanding dapat menyaksikan bagaimana kemudahan asas di kawasan ini telah terabai. Ianya tidak ditangani dengan sebaiknya oleh wakil rakyat PAS sebelum ini dan juga oleh wakil rakyat UBN (yang menang pada piliharaya 2004). Pas datang dengan ceramah dan propaganda bertemakan membongkar penyelewengan kerajaan BN, sambil tumpang gagah kepada pimpinan TGNA. UMNO datang dengan janji-janji lunak pembangunan dan projek kemajuan, sambil tumpang gagah dengan stail pimpinan baru PM Najib.

Siapa yang menabur janji? TPM dan menteri-menteri kabinet sendiri, mereka berjanji akan bertungkus-lumus menyelesaikan projek-projek yang dapat memberi keselesaan kepada penduduk. Siapa yang tidak akan percaya? Semuanya kelihatan menyakinkan. Manik Urai seakan-akan akan bertukar menjadi sebuah kampong yang lengkap infra-strukturnya, nasib rakyatnya akan terbela.

Pas pula memburuk-burukkan BN, Pas tidak datang dengan janji-janji se-konkrit BN dalam usaha membangunkan Manik Urai, membela nasib rakyat di sini. Ada pula yang menakut-nakutkan rakyat supaya tidak menyokong BN dan mereka tiada pilihan kecuali menyokong Pas kerana itu adalah perentah agama. Islam telah dijadikan modal ceramah dan propaganda, rakyat tidak disediakan ruang untuk membandingkan (1)kecekapan pentadbiran Pas- berbanding Umno (2) perlaksanaan projek oleh Pas untuk kebajikan rakyat berbanding Umno (3) ketelusan dan pertanggung-jawaban pentadbiran Pas berbanding Umno (4) keprihatinan Pas kepada rakyat berbanding Umno.

Sehingga-hingga penekanan kepada rakyat agar menyokong Pas atas dasar agama boleh merimaskan, seakan-akan penyertaan Pas dalam pilihanraya itu adalah tuntutan dasar agama. Tidak menyokong Pas maknanya tidak menyokong Islam. Kalaulah itu yang mahu difahamkan kepada rakyat, tentu gaya kehidupan sebahagian wakil-wakil rakyat Pas tidak sebagaimana yang kita tonton pada hari ini. Mereka menang atas nama agama, wang gaji dan elaun mereka dapat atas nama perjuangan agama, adakah wajar wang itu dibelanjakan untuk sesuatu yang tidak berfaedah dari segi syara? Adakah wajar wakil rakyat yang menang atas nama perjuangan agama tidak mengoptimakan tugasannya sebagai wakil rakyat dalam parlimen, Dewan Negeri dan di kawasan masing-masing secara sebaik mungkin? Adakah tergamak mereka menggunakan kereta mewah, membina rumah yang melepasi had keperluan, sedangkan apa mereka dapat itu adalah harta wakaf perjuangan agama, itupun sekiranya kita telan bulat-bulat propaganda mereka ketika berkempen!

Pas sepatutnya lebih membumikan agenda perjuangan, biarlah banyak butiran yang berkisar tentang kehidupan harian rakyat. Kalaupun berpaksikan ajaran agama, bukankah agama kita menyebut golongan yang membohongi agama adalah golongan yang menherdik dan tidak memberi makan kepada golongan miskin, yang membiarkan anak yatim. Sudah tentu, tema kerajaan berkebajikan itu diperkasakan, ianya mudah difahami, senang dihadam oleh semua golongan dan boleh dinilai oleh rakyat dengan mata kasar. Biarkan rakyat mengatakan Pas adalah parti Islam kerana tingkah-laku wakil rakyatnya, kerana rancangan kebajikannya, kerana kecekapan (itqan) dalam mengurus dan mencari sumber, bukannya kerana penggunaan 'ana- anta' dan lain-lain sobekan luaran.

2-Manik Urai dibanjiri dengan huluran kebendaan menjelang pilihanraya. Nampaknya telah menjadi suatu kelaziman bagi parti politik yang mereka mahu menang, berkhidmat dan membantu rakyatpun untuk menang, hampir semua tindakan untuk menang. Maka mejelang pilihanraya raya umpama di Manik Urai, banyaklah tawaran kebendaan yang dihulurkan oleh kedua pihak, rakyat minta satu mungkin 2 yang dapat. Umno banyak menghulur, Pas pun banyak menghulur. Sama-sama hulur. Entah berapa banyak yang telah dihulur. Mungkin sahaja jumlah yang dihulur Umno melebihi apa yang pernah dihulur dalam masa sepenggal Umno memenagi Manik Urai, mungkin sahaja jumlah yang dihulur Pas melebihi apa yang pernah dihulur oleh Allahyarham Pak su Weil sebagai wakil rakyat.

Konsep menang untuk membantu rakyat, membela nasib rakyat adalah idealisme yang sebenarnya telah dilupakan. Konsep sekarang yang dianggap lebih praktikal ialah bantu rakyat untuk menang. Maka sogokan kebendaan menjadi pilihan kepada parti-parti yang bertanding. Agaknya besar manafaatnya sekiranya dapat dinaikkan bill-board besar-besar yang mengatakan: pendirian pengundi bukan untuk dijual-beli atau tolak parti yang membeli undi atau parti yang beli undi adalah bacul dan pengkhianat. atau lawan habis-habisan sikap berbaik-baik di musim berkempen sahaja. Agaknya mesej seumpama ini dapat menyedarkan parti yang berlawan dan pengundi tentang kemulian harga-diri mereka dan peranan sebenar wakil rakyat. Ianya juga mungkin dapat menolong memurnikan budaya pilihanraya di negara kita yang semakin berwajahkan kebendaan dan keprihatinan yang terlalu bermusim.

Tuesday, July 14, 2009

Pilihanraya Kecil Manik Urai; Suatu Kenangan

Nama Manik Urai bagi saya adalah begitu menarik, adakah ianya merujuk kepada manik yang digunakan sebagai perhiasan wanita atau sesuatu yang berkilau umpama manik dan berkeadaan terurai?. Nama yang bunyinya sungguh klasik.

Kawasan ini 30 tahun yang lalu adalah dikira sangat sukar untuk diterokai, belum ada jalan raya yang berturap, kenderaan utamanya adalah melalui sungai. Tetapi sekarang Manik Urai tiada bezanya dari kampong-kampong di pinggir bandar. Coverage line handphone pun tiada ada masaalah di kebanyakan tempat di Manik Urai.

Pilihanraya kecil Manik urai telah menjadikan Manik Urai sebagai sebutan bagi ramai orang, termasuk pemimpin-pemimpin tertinggi negara. Para pemimpin dari parti-parti yang berbeza berulang-alik ke kawasan ini, BN menjanjikan Manik Urai sebagai anak emas mereka, PAS pula menyebut Manik Urai berkat di bawah pimpinan Tok Guru.

Selain daripada gambar calun dan tokoh-tokoh parti yang bertanding, terdapat banyak juga kain rentang BN yang menunjukkan TGNA sedang bersalaman dengan Lee Kuan Yew, kain rentang PAS yang menunjukkan gambar Tun Mahathir yang mengandungi kata-kata Najib Gagal dalam 100 Harinya . Kita dapat memerhati teknik dan strategi perang saraf yang berwarna-warni dan menarik di sepanjang-panjang jalan.

Kebetulan pilihanraya ini diadakan pada musim durian meluruh, maka banyaklah longgokan durian untuk dijual di sana sini, bahkan buah-buahan lain dan perkara-perkara lain juga turut diperniagakan. Sungguh meriah.

Lorong-lorong kecil pula baru berturap, ada tempat yang batu-batu quarry masih bertimbun kerana terlebih dariapada yang dapat digunakan. Minggu-minggu sebelum pilihanraya ini menyaksikan penduduk Manik Urai dianugerahkan mulut masin, barang pinta barang jadi. banyak pihak begitu prihatin terhadap kebajikan dan keselesaan penduduk di kawasan ini yang mungkin sebelumnya terbiar. Yang sakit diziarahi, yang susah dibantu, pelajar diberi habuan, petani-penternak diberi anak ternakan dan baja. Tiada syak lagi slogan PM Najib rakyat diutamakan telah dihayati sepenuhnya dalam seminggu dua ini di Manik Urai oleh semua pihak yang berkepentingan.

Dalam banyak keadaan suasana hari mengundi agak terkawal kecuali beberapa insiden kecil yang tercetus akibat suasana panas kerana budaya juah-menjuah antara penyokong parti yang bertanding dari seberang jalan. Hal ini berlaku juga walaupun dalam kehadiran polis yang terlalu banyak bilangannya. Saiz pos polis di Laloh mengalahkan mana-mana pos parti-parti yang bertanding. Bilangan polis juga tidak kurang banyaknya di merata-rata tempat. Entah mesej apa yang hendak disampaikan oleh KPN Musa Hassan?

Kehadiran golongan bukan Melayu untuk menunjukkan sokongan kepada parti yang berlawan agaknya lebih ramai di pos-pos PAS daripada pos BN, mereka ini kelihatan begitu bersemangat.

Pilihanraya kecil ini diadakan ketika survey Merdeka Center menunjukkan populariti PM Najib sedang meningkat secara agak memberansangkan. PAS pula diamuk masalah dalaman dengan isu Unity Goverment yang belum berhabisan. Ketika tuntutan royalti petroleum oleh pihak Kelantan di suarakan. Dan TPM Muhyiddin hampir-hampir berkampong di Manik Urai sepanjang tempuh berkempen. Menteri-menteri mempunyai aktiviti kementerian masing-masing di kawasan ini.

Fauzi Abdullah telah diisytiharkan menang dengan majoriti yang sedemikian merosot, walaupun kemenangan dengan satu dua undi pun layak dianggap sebagai kemenangan besar apabila melihat kepada intensifnya kempen yang dilakukan, sengitnya usaha untuk memenangi hati rakyat, banyaknya wang ringgit yang tercurah semada dalam bentuk projek, bantuan, hadiah atau tidak kurang yang tersekat dalam poket-poket aktivis parti.

Persoalannya adakah kebajikan Manik Urai akan diterus diprihatin sebagai di waktu kempen, apakah ianya akan terus dijadikan anak emas, adakah ia akan berkekalan mendapat keberkatan pimpinan Tok Guru? Adakah yang sakit, mati dan kesusahan akan terus dibantu?

Yang jelasnya longgokan durian yang banyak kerana buah durian menjadi pada tahun ini akan agak sukar untuk dijual secara terus kecuali kepada peraih yang masuk keluar kampong dengan lori kecil. Jalan yang sesak di Sg Pas - Chucuh Puteri- Sg Sok- Laloh- Karangan akan mulai sunyi. Yang tinggal hanyalah poster-poster yang masih tertampal di sana sini sebagai tinggalan kemeriahan Manik Urai di musim ianya mendapat berkat dan ditatang sebagai anak emas.

Semua ini bermula dengan Pak Su Weil, semoga Allah mengampuni kekurangannya dan mengiranya daripada golongan yang mendapat rahmat-Nya!

Friday, July 10, 2009

Perjalanan Penat Yang Menyeronokkan

Di dalam kehidupan kita, ada beberapa perjalanan dan pengembaraan yang akan kita kenang kerana ianya membawa makna dan pengajaran kepada kita. Pergembaraan adalah sesuatu yang memenatkan, sehingga syariat ini menyediakan beberapa kelonggaran untuk orang yang bermusafir. Tetapi rontaan untuk mengembara sentiasa bergelonjak dalam perasaan kita, hanya rontaan itu tersekat kerana kekurangan wang, kesuntukan masa, ketiadaan kenalan dan kemudahan serta lain-lain pertimbangan.

Dalam al-Quran sendiri terdapat ayat-ayat yang mengesurkan 'intisyar', agar kita bertaburan di bumi untuk memerhati tanda-tanda kebesaran Allah, mengamati Sunnah Allah yang tiada berubah itu, melihat kesan azab kepada kaum yang pernah durhaka, Di dalam hadith pula terlalu banyak anjuran supaya kita berpergian, seperti berpergian kerana menuntut ilmu, berhijrah kerana menghidupkan amalan-amalan agama, berdakwah dan berjihad.

Dua perjalanan yang besar di dalam kehidupan Rasulullah yang sentiasa dikenang oleh ummah baginda:
1- perjalanan malam Isra Mikraj- pengembaraan jasad dan ruh baginda dari Makkah ke Masjid al-Aqsa, kemudiannya diperjalankan baginda sehingga Sidratu al-Muntaha. Baginda dipertontonkan dengan lokasi-lokasi yang mempunyai kepentingan dari segi sejarah dakwah dan amalan agama. Baginda diperlihatkan dengan ibarat-ibarat ganjaran baik-buruk perlakuan ummah baginda, baginda dibawa melawat syurga dan neraka, baginda dipermuliakan dengan berhadap wajah dengan Allah, dalam pengalaman kerohanian yang kemuncak, tanpa dapat disifatkan dan digambarkan pada paras penglaman manusiawi.

Sebelumnya ketika dalam perjalanan ini baginda diganggu oleh syaitan yang dizahirkan seumpama api yang menyala-nyala, baginda bertemu para rasul yang mendahului baginda, sehingga-hingga para rasul berhimpun dalam sembahyang jamaah yang diimami oleh baginda sebelum baginda diangkat ke Sidratu al-Muntaha. Baginda diangkat dari satu lapisan langit ke satu lapisan yang lain, disambut oleh penghuni langit dengan meriah sekali.

Semua pengalaman perjalanan yang penuh pengertian ini berlaku ketika baginda berkeadaan sangat tersempit, baginda baru pulang dari Taif selepas dilayan dengan buruk sekali oleh penduduknya, baginda kehilangan dua serandang peyumbang kekuatan baginda, isteri tersayang Saiyyidatina Khadijah dan bapa saudara yang sangat perihatin, Abu Talib. Penduduk Makkah sedang menunggu peluang dan ruang sahaja untuk membinasakan baginda dan Risalah yang di bawa baginda. Dalam kesempitan akibat tentangan dan penindasan penduduk Makkah itulah baginda diperluaskan pandangan dengan perjalanan Isra Mikraj, bukan setakat Makkah bahkan sampai ke Masjid al-Aqsa, bahkan sehingga melewati bumi dan melalui lapisan-lapisan langit dan kemuncaknya pertemuan di Sidaratu al-Muntaha. Melihat kenikmatan syurga yang dijanjikan kepada pendukung kebenaran, melihat kesempitan dan azab di neraka yang dijanjikan kepada yang menolak kebenaran. Alangkah murninya nikmat syurga yang perlu dibayar dengan pergorbanan dalam kepayahan hidup dunia yang akan segera berakhir ini, alangkah derita azab neraka kerana kedurhakaan kepada Allah dalam kehidupan di dunia yang segera binasa ini.

Inilah pengajaran yang dapat kita garap dari perjalanan yang bersejarah ini, perjalanan yang memberi harapan kepada kita ketika dalam kepayahan, perjalanan yang menjanjikan kemenangan ketika kita dalam penindasan, perjalanan yang membekalkan kekuatan dan kesungguhan untuk kita dalam menjulang panji-panji kebenaran. Perjalanan yang memperingatkan kita tentang keutamaan kehidupan kerohanian, memperkukuhkan kita dalam usaha pengembaraan kembali kepada Allah.

Rasulullah kembali dari perjalanan yang penuh pengertian ini dengan beberapa buah-tangan untuk ummah sepanjang zaman, antara yang terbesarnya ialah anugerah sembahyang fardu. Dalam memulakan sembahyang kita membaca doa iftitah, antara lain kita menyebut kalimah-kalimah Saiyyidina Ibrahim ketika mikraj kerohanian baginda dalam mengenali Allah: aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang menjadi langit dan bumi, sebagai seorang muslim yang hanif (murni ikhlas), dalam tahiyyat pula kita sebutkan lafaz-lafaz yang dituturkan dalam pertemuan kemuncak penuh makna di Sidaratu al-Muntaha.

Kita diperingatkan dengan perbuatan-perbuatan baik yang diganjari oleh Allah, kita diperingatkan dengan perbuatan-perbuatan durhaka yang akan dihukum oleh Allah. Kita didatangkan dengan kesimpulan yang kemuncak pencapaian hidup kita adalah mencapai reda Allah, dan jalannya tiada lain kecuali mentaati suruh-Nya dan meninggalkan larang-Nya serta menjadi kehidupan zahir dan batin di atas Sunnah kekasih-Nya.

Sebahagian ulama mengatakan perjalanan yang penuh kehebatan dan pengajaran itu berlaku di dalam bulan Rajab, bulan yang sangat diberi keutamaan oleh sebahagian daripada generasi awalan Islam, salaf as-Soleh dalam mempertingkatkan amal ibadat. Perbincangan yang menarik tentang keutamaan bulan Rajab terdapat dalam kitab karangan Imam Ibnu Rajab al-Hanbali.

2-Perjalanan kedua Rasulullah yang sentiasa diingati ialah Hijrah baginda beserta sahabat dari Makkah ke Madinah. Pentingnya perjalanan dan pemindahan ini kepada sejarah ummat sehinggalah Saiyyidina Umar dan sahabat lainnya bersetuju untuk menjadikan tahun hijrah itu sebagai permulaan bagi tahun Islam. Hijrah telah banyak dibincangkan, hanyalah kadang-kadang ia dikupas dalam media massa kita tanpa dimensi kerohaniannya. Allah mentakdirkan baginda dalam perjalanan penuh sejarah dan pengajaran ini telah ditemani oleh insan yang paling utama dalam ummah baginda, Saiyyidina Abu Bakar.

Kita juga punya perjalanan, perjalanan mendatar di muka bumi dan perjalanan mendaki secara ruhi-nya. Dalam sebarang perjalanan kita memerlukan bekal. Bagi kedua-dua perjalanan ini bekal yang terbaik adalah bekal taqwa.

Wednesday, July 8, 2009

Taoism Yang Menarik

Saya masih teringat agak berapa lama dulu, saya datang ke Kuala Lumpur tanpa membawa wang yang mencukupi. Bagaimanapun saya telah memasukki kedai buku di sebuah shopping complex dan melihat buku The Classical Texts Of Taoism, himpunan tulisan-tulisan klasik penganjur-penganjur Toa. Saya tidak dapat menahan diri daripada menghabiskan sebahagian duit saya untk membeli buku tersebut. Dan sehingga kini saya rasakan pembelian itu sungguh berbaloi. Kemudiannya saya mula mengumpul buku-buku yang berkaitan Taoism, antaranya Tao Of Power, Tao of Love, Tao of Relationship,Tao Of Sports dan Tao Of Islam.

Setakat pembacaan saya tentang hubungan gender dalam tamaddun Islam yang dibincangkan oleh penulis semasa, buku Tao Of Islam adalah sangat bermakna, penulisnya seorang sarjana berbangsa Jepun mengulas subject gender relation dalam perspektif tradisional Islam. Kata-kata pendahuluannya pula ditulis oleh seorang orientalis yang saya sangat kagumi, Annamarie Schimmel, Mendiang Mak cik Annamarie Schimmel sendiri juga menulis buku yang mengupas tajuk yang sama dalam tulisannya My Soul Is A Woman. Kedua tulisan wanita ini perlu dibaca untuk membantu kita melihat kesarjanaan ilmu yang objektif, tanpa didorong oleh motif-motif feminism, yang kerap bersifat apologetic kepada fahaman arus perdana barat, sebagai-mana yang kita dapati dalam tulisan-tulisan golongan modernist muslim sendiri, umpama kumpulan Sisters in Islam.

Buku Tao of Islam banyak menaqalkan pendapat-pendapat ulama Shiah, ini memandangkan beliau pernah melanjutkan pelajarannya di Iran. Kita akan dapati hubungan gender yang diketengahkan adalah hubungan lengkap-melengkapi, hubungan mencari kesempurnaan manusiawi dalam perjalanan balik kepada Tuhan, Maha Pencipta. Masing-masing ada peranannya, dan masing-masing diberi pertunjuk untuk mencapai kesempurnaan dalam potensi tersendiri bagi memenuhi tujuan penciptaan mereka sebagai makhluk ibadat.

Rendah tinggi kedudukan, hina mulia martabat manusia bergantung sejauh mana penghayatan mereka dalam menjayakan peranan mereka dalam mengenali Allah serta sebagai makhluk ibadat.

Tao mengajar kita tentang elemen-elemen pertentangan yang wujud secara harmoni tanpa konfliks, bahkan masing-masing memerlukan antara satu sama lain. Tao mengajar kita unsur-unsur yang berlawanan yang berperanan menguat dan menyempurnakan sesuatu kejadian. Tanpa malam, adakah siang. Tanpa hitam, adakah putih. Tanpa rendah, adakah tinggi?
Sehingga-hingga kita sedar yang kekuatan itu berada dalam kelemahan, kelemahan itu pula mampu menjadi sumber kekuatan. Di atas segala perlawanan dan pertentangan yang berpasang-pasangan ini ini terdapat kesatuan. Kesatuan itu hampir pula tidak dapat dimengertikan!

Kemudian saya juga bertemu dengan beberapa orang yang mendakwa pengamal Taoism yang sama penerbangan dari Chengmai. mereka baru balik dari bertemu Master Mantak di Chengmai, Mantak agak banyak menulis tentang Tao dan sexuality. Saya jadi keliru melihat bagaimana longgarnya Mantak dan pengikutnya dalam soal moral dan ethics yang berkaitan sexuality dan sexual activities, apalagi sekiranya berdasarkan neraca shariat kita. Saya juga terasa jauh apa yang dihurai oleh kumpulan ini daripada kefahaman yang saya dapat dari membaca teks-teks klasik Taoism. Seolah-olah sentiasa ada habuan nafsu yang didakwa dilakukan atas nama kesejahteraan dan keharmonian jiwa, tanpa sebarang gengkangan syariat.

Alhamdulillah, betapa besarnya nikmat Islam yang kita perolihi tanpa banyak bersusah-payah, alhamdulillah betapa sempurna dan murninya ajaran Islam yang kita warisi dari ulama kita, alhamdulillah, kita masih ada tulisan-tulisan agung yang menghuraikan hubungan gender oleh ulama silam kita dalam kitab-kitab feqah yang membicarakan soal munakahat, kitab tentang akhlaq seumpama Ihya oleh Hujjatu al-Islam Imam al-Ghazali dan kitab-kitab tasauf seperi Hikam oleh Imam Imam Ata'illah as-Sakandari dan Imam Abu Madyan. Ya Allah matikan kami di atas agama Islam yang Engkau redai

16hb Rajab 1430

Monday, July 6, 2009

Pesan Guru Kami (Memahami Tafsir al-Quran Secara Benar)

Guru kami kerap menyebutkan bahawa sekarang ini ada orang yang memberi tafsiran kepada al-Quran sesuka hati mereka. Katanya : "yang mengajarpun tidak cukup alat persiapan, yang belajar apakan lagi"

Dalam suatu pengajian selepas maghrib, beliau mengatakan ada orang yang menafsirkan ayat 77 surah al-Qasas secara tidak benar, iaitu ayat :
Hendaklah engkau tuntut dalam apa yang Allah anugerahkan kepada engkau pada Negeri Akhirat, dan jangan engkau lupa bahagian engkau daripada dunia, dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepada engkau dan jangan engkau lakukan fasad di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melakukan kefasadan.

Dia mengatakan bagaimana boleh ditafsirkan bahagian engkau daripada dunia sebagai kekayaan dan kesenangan?. Dia bertanya kepada siapa ayat ini dihadapkan?, Bukankah ayat ini adalah rakaman nasihat yang diberikan oleh golongan beriman dari kalangan Bani Israil kepada Qarun, ianya dihadapkan kepada Qarun yang telah dimaklumi hidupnya tersangat kaya dan terlalu mewah. Apa munasabahnya golongan yang beriman yang tertindas dan terancam oleh kekejaman Fir'aun telah memperingatkan Qarun yang kaya-raya dan memang melupai Allah agar jangan melupakan bahagiannya di dunia: dengan maksud kekayaan dan kesenangan?

Saya bertanya kepada beliau: jadi apakah tafsir yang sebenar kepada ayat tersebut?. Secara spontan dia menjawab :bukalah sendiri kitab tafsir !. Saya jadi terkilan dan tercabar, terutama yang dipersoalkan oleh beliau itulah kefahaman yang kita diajar selama ini, semanjak dari bangku sekolah. Sampai saya di rumah, saya telah melihat tafsir Imam al-Baghwi tentang ayat tersebut.
Saya jadi kaget dan terkedu ketika membaca kisah Qarun. Qarun seorang yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Saiyyidina Musa dan ahli ibadat yang sangat tekun sepanjang masa. Ketika beliau sedang berada dalam bilek ibadatnya, beliau telah disertai oleh seorang lagi yang jauh lebih tekun beribadat daripadanya. Tanpa beliau menyedari orang itu adalah iblis sendiri. Iblis mengesyurkan agar mereka berniaga sehari dalam seminggu, demi mendapat biayaan untuk makanan bagi seminggu, selepas lama berhujjah Qarun menerima cadangan itu. Kemudian iblis mengesyurkan agar mereka berniaga selama 2 hari seminggu agar mereka mempunyai lebihan pendapatan dan dengan itu dapatlah pula mereka bersedeqah, sememangnya pahala sedeqah itu begitu besar sekali. Qarun enggan pada mulanya kerana bimbang ibdatnya akan terganggu tetapi akhir akur kepada hujjah iblis. Kemudian iblis mengesyurkan agar mereka berniaga 3 hari seminggu, dengan itu mereka mempunyai makanan untuk seminggu, ada lebihan untuk bersedeqah dan ada lebihan lagi untuk menabung yang boleh digunakan untuk makan dan bersedeqah ketika mereka tidak berdaya berusaha. Qarun tidak bersetuju kerana sayangkan ibadatnya tetapi akhirnya dapat menerima logik iblis yang memang bijak menggoda. Iblis meninggalkan Qarun bersendirian selepas itu, Qarun semakin berjaya dalam perniagaannya sehingga beliau meninggalkan terus ibadatnya dan menjadi seorang yang sombong dan angkuh dengan keupayaan dirinya. Jadilah Qarun sebagai Qarun yang dikenali ramai!
Kepada Qarun itulah rakaman nasihat dalam ayat 77 surah al-Qasas itu ditujukan. Bagaimanapun saya menjadi sangat takut membaca kisah tersebut, menyedari niat saya berusaha tidaklah semurni niat Qarun, ibadat saya tidak mempunyai apa-apa timbangan berbanding dengan kesungguhan Qarun mengasingkan diri untuk beribadat. Kalaulah Qarun yang sedemikianpun dapat diperdaya oleh iblis, apalah saya yang serba kekurangan ini dapat menyelamatkan diri. Tanpa inayah daripada Allah, saya pasti binasa seumpama Qarun, tidaklah saya lebih baik daripadanya! Hanyalah pertolongan Allah sahaja yang dapat menyelamatkan saya.
Pada pengajian minggu berikutnya, saya memberitahu guru saya itu yang saya mulanya terkilan kerana beliau tidak memberi tafsiran kepada ayat yang dikatakan telah disalah-tafsirkan oleh sebahagian orang pada hari ini, tetapi selepas itu saya sedar dan ingin berterima-kasih atas jawabannya kerana jawaban yang tajam itulah yang memaksa saya merangkak dalam memahami tafsir dan cerita Qarun tersebut. Beliau tersenyum dan mengatakan sebahagian tafsir menyebut bahagian engkau daripada dunia bermaksud hayat engkau di dunia dan ada yang menafsirkan sebagai persedian kain-kafan untuk kematian engkau.
Begitulah cara guru menyampaikan ilmu, secara langsung dan secara tidak langsung. Secara yang kita rasa gembira dan secara yang kita terasa terkilan pada awalnya.
Perkenalan dengan guru saya ini merupakan antara anugerah istimewa Allah kepada saya; terutama ketika masyarakat sekeliling tidak dapat menilai ketajaman faham dan keluasan pemikiran yang dimiliki oleh beliau.
Sebulan sebelum beliau menemui ajalnya, saya telah bermimpi diberitahu orang yang guru saya telah meninggalkan dunia. Saya benar-benar menangis dengan amat sangat, sehingga isteri saya mengejutkan saya dari tidur kerana beliau tersedar akibat suara tangisan saya yang kuat. Kemudiannya saya memberitahu kepada beliau tentang mimpi saya dan mengatakan mengikut orang tua-tua sekiranya kita bermimpi sesesorang itu meninggal, ini bermakna dia akan hidup lama lagi. Guru saya sekadar tersenyum tanpa sebarang jawaban.
Ketika beliau benar-benar meninggal, memang saya benar-benar sedih dan pilu, rasa yang saya menjadi terlalu yatim. Kehilangan orang yang saya menumpang ilmu, orang yang saya meminta nasihat dan orang yang saya junjung tinggi dalam kehidupan saya. Saya menangis dengan tangisan yang panjang, sedangkan ketika ayah saya sendiri, bapa dan ibu mertua saya meninggal, tidak setitikpun air mata saya yang mengalir. Ketika mereka ini meninggal, apa yang ada dalam pemikiran saya ialah untuk memenuhi tanggung-jawab dan mengatur pengkebumian mereka.
Rupanya guru saya ini hidup lama dalam ingatan saya, kasih dan rasa kehilangannya masih tidak dapat saya pinggirkan. Dalam banyak suasana kehidupan yang saya lalui, kata-katanya masih menjadi panduan kepada saya. Semoga Allah merahmati ruhnya, semoga saya terus menumpang keberkatan ilmu dan amalnya di dunia ini dan di akhirat kelak.

Sunday, July 5, 2009

Ajaran Islam , Faham Kominis Dan Demokrasi

1-Baru-baru ini masyarakat kita memperkatakan isu isi ceramah TGNA di Manik Urai, yang katanya TGNA menyamakan Kominis dan Ajaran Ayah Pin dengan UMNO. Maka penyokong-penyokong UMNO naik angin marahnya, sehingga pemuda UMNO Kelantan telah membuat lapuran polis, sementara penyokong PAS tetap menyokong TGNA, sehingga apabila Mahyuddin Yasin mengatakan TGNA tidak perlu meminta maaf dengan UMNO tetapi perlu bertaubat kepada Allah kerana kenyataan itu, makin kencanglah penyokong PAS mempertahankan TGNA. Sehingga mereka mengatakan kenyataan Mahyuddin itu adalah tindakan orang jahil nak mengajar orang alim. TGNA, macam lazimnya, terus mempertahankan kenyataannya. TGNA mengibaratkan kenyataannya dengan peribahasa seperti rusa masuk kampong ; yang mana persamaan perbuatan lolor (terkendap-kendap) antara orang yang asing di sesuatu tempat dengan keadaan rusa yang sesat termasuk kampong; samanya hanya pada perbuatan lolor itu sahaja, dan ini telahpun memadai untuk dikatakan kepada orang tersebut seperti rusa masuk kampong!

TGNA memang diakui ramai sebagai seorang ahli balaghah dialek Kelantan yang tiada tandingnya. Tazkirah dan ceramahnya walaupun menyentuh tajuk yang agak kompleks dan rumit akan dimudahkan pemahaman untuk orang awam oleh beliau dengan begitu bersahaja. Kadang-kadang pemilihan perkataan dan istilah oleh beliau begitu menusuk pemahaman dan terlekat lama dalam pemikiran; adakah pemilihan perkataan dan istilah itu tepat mengenai sasaran maknanya atau keterlaluan dalam mempermudahkan sesuatu sehingga tersasar dari maksud yang selayaknya.

Polemik pengggunaan perkataan dan istilah oleh TGNA telah berlanjutan semenjak agak lama, tetapi yang mendapat liputan meluas di peringkat nasional adalah ketika beliau membela novel SHIT oleh Sasterawan Negara Dato' Shahnon Ahmad, kemudian ketika beliau menterjemahkan sifat Allah Al-Jabbar, termasuklah juga penggunaan istilah barua dan terompah kayu terhadap golongan berpendidikan agama dalam parti lawan.

TGNA bukan sahaja menggunakan perkataan dan istilah yang mampu menggugat ahli parti lawan, tetapi beliau juga pernah menyentuh sensitiviti golongan ulama pondok dalam beberapa isu yang berkaitan huraian aqidah berdasarkan aliran dominan Asya'ariyyah-Maturidiyyah dan tanggapan terhadap aspek kemanusian susuk Rasulullah. Tetapi hal ini tidak begitu merebak hangatnya kepada masyarakat luas kerana perbezaan ini diselimuti oleh sokongan pihak yang tidak bersetuju itu kepada parti yang sama. Alhamdulillah!

2-Saya teringat arwah ibu mertua pernah berkisah bagaimana Allahyarhamah Shamsiah Faqeh dan beberapa pemimpin PKM Melayu lain menghadiri diri dalam masyarakat kecil Pondok Lubuk Kawah, Temerloh. Tuan Guru Hj Abdul Rahman, pengasas pondok tersebut yang merupakan datok kepada ibu mertua saya, bukannya menyokong perjuangan PKM, tetapi ramai anak-buahnya yang terpengaruh dengan perjuangan PKM di atas dasar perjuangan membela nasib bangsa dan menuntut kemerdekaan. Menjadi suatu trend di kawasan Temerloh ketika itu di kalangan orang-orang yang bersemangat perjuangan untuk menyertai Golongan Haluan Kiri mengangkat senjata. Mereka telah mendapat pendedahan politik dan tiupan semangat daripada pelarian politik Indonesia dan cendiakawan Melayu tempatan (termasuk penulis dan pelakun veteran terkenal tanahair).

Kita hendaklah faham yang sebahagian pendukung Melayu Gerakan Haluan Kiri (termasuk PKM) adalah penganut Islam yang taat beribadat, contohnya sepupu Allahyarham bapa mertua saya, Almarhum Man Bukit, orang kanan Shamsiah Faqeh (Shamsiah sendiri adalah anak seorang ulama yang tersohor) ketika berjuang mengangkat senjata di dalam hutan Pahang adalah seorang yang menjaga ibadatnya. Kita semua juga tahu yang Almarhum Rashid Maidin mengakhiri hari-hari kehidupannya dengan mengajar kanak-kanak al-Quran.

Kominisme telah difahami oleh sebahagian besar penyokong Gerakan Haluan Kiri sebagai sistem politik dan ekonomi yang adil dan membela golongan yang tertindas; agaknya tidak jauh halnya dari sekarang ini apabila tidak sedikit golongan Islamis yang memahami demokrasi itu sebagai sistem politik dan sistem masyarakat yang terbaik. Faham-faham politik dan sistem sosial serta ekomomi ini dianggap tidak bertentangan dengan ajaran dan amalan agama, bahkan selari dengan ruh ajaran Islam. Di suatu masa dahulu, terutama di zaman pemerentahan Presiden Naseer di Masir, terdapat ilmuan-ilmuan Islam yang menulis tentang kesesuian ajaran Islam dengan dasar ekonomi sosialisma (ishtirakiyyah). Sehingga golongan ini menganggap Saiyyidina Abu Zar al-Ghifari sebagai seorang pengamal sosialisma. Sekarang ini pula terdapat ilmuan Islam yang menulis tentang kesesuaian ajaran Islam dengan dasar politik demokrasi. Mereka menyamakan parlimentary system dengan amalan syura dan peranan ahlu al halli wa al aqdi dalam Islam.

Guru kami dalam usahanya memahamkan kami tentang kesempurnaan syariat Islam pernah mengungkapkan: "Sesiapa yang mengatakan demokrasi sesuai dengan Islam, serupalah dengan orang yang mengatakan sistem kominis sesuai dengan Islam, kerana kedua-dua faham ini adalah rekaan manusia. Islam tidak memerlukan sistem lain untuk berdiri". Begitu pun, kita harus cermat membezakan diantara penganut faham demokrasi daripada pengguna democratic instruments dalam mencapai matlamat perjuangan masing-masing. Lihat antara lain tulisan yang menarik tentang hal ini: Democratic Islamists? oleh Erica Miller (2006) yang mengupas penglibatan golongan agama dalam politik tanahair kita.

Guru saya juga ketika mentafsirkan ayat 42 Surah al-Baqarah :
Dan jangan kamu pakaiankan (campur-adukkan) al-Haq (kebenaran) dengan kebatilan dan jangan kamu sembunyikan al-Haq sedang kamu mengetahuinya.
Mengikut beliau sekiranya Imam Ibnu Kathir mengatakan antara percampur-adukan al-Haq dan kebatilan pada zaman beliau adalah perlaksanaan undang-undang yang mengabungkan syariat Islam dengan peraturan Mongol oleh pihak penjajah tartar; mungkin sahaja di zaman kita ini pula ianya adalah percampur-adukan di antara Islam dan demokrasi. Saya tidak pernah berjumpa sebelum dan selepasnya seorang alim yang berpendidikan secara tradisional sepenuhnya tanpa pendedahan pendidikan moden yang memahami sistem-sistem politik,ekonomi dan sosial sebagaimana yang ada pada guru saya ini. Kalaupun beliau didedahkan kepada sistem-sistem politik moden ketika mengikut kursus pendek selama dua minggu pada tahun 1950'an di Makkah sekalipun , tetapi ketajaman pengamatannya telah jauh melangkaui pemahaman aktivis politik yang berpendidikan tinggi itu sendiri. Subhanallah!

3-Pemahaman guru saya itu tidak akan menjadi pemahaman arus perdana, hujjah penolakannya terhadap sitem-sistem yang bukan Islam itu juga sukar untuk difahami apa lagi untuk diterima oleh orang lain. Beliau pun tidak pernah berharap pemahaman beliau akan diterima ramai, baginya ini zaman yang penuh kecelaruan dan faham yang gharib itu tidak semestinya salah.

Saya rasa sekiranya pemuda UMNO memahami hujjah guru saya ini, tentunya mereka tidak akan melenting dengan kenyataan TGNA, bahkan mereka mungkin boleh menjawab secara bergurau: UMNO dan PAS 2x5, 5x2. Yang ketara bezanya hanyalah pada angka mana di depan dan angka yang mana di belakang.

Kita diajar oleh agama untuk mengatakan kebenaran, sehingga disifatkan seafdal-afdal jihad adalah berkata benar di depan penguasa yang zalim. Istilah penguasa itu, mengikut Maulana Abu Hasan an-Nadwi dalam tulisannya sebagai muqaddimah kepada buku tulisan Maulana Manzor Numani , juga bermaksud antara lainnya adalah aliran pemikiran yang dominan yang menguasai masyarakat ketika itu.

Kita diajar oleh agama kita agar tidak bersangka buruk terhadap kumpulan lain sesama Islam, kita raikan perbezaan selagi ada ruang dalam syara' untuk diraikan. Kita tidak memandang diri kita lebih baik daripada manusia lain, kerana kita tidak tahu bagaimana akhir hidup kita dan bagaimana akhir hidupnya, kita tidak tahu martabat seseorang di sisi Allah. Sekiranya kita menegur dan menentang kesalahan seseorang, bukan bererti kita merasa kita lebih baik daripadanya, tetapi kita melaksanakan kewajiban amru bilmakruf wa nahyu annil mungkar. Kita harapkan kita dan semua saudara kita akan dapat keampunan dan rahmat daripada Allah. Kita yakin syurga dan rahmat Allah Allah terlalu luas walaupun untuk semua.

Perbezaan politik, apa lagi politik kepartian, mungkin sahaja disebabkan perbezaan pendedahan dan pengalaman, mungkin didorong perbezaan keutamaan dan helah serta peluang, mungkin kerana pengaruh sekeliling dan kepentingan. Perbezaan ini tidak merupakan perbezaan yang mutlak, tetapi kewajiban menjaga akhlaq Islam dalam semua keadaan adalah ajaran Islam yang mutlaq, sehingga Rasulullah bersabda " sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemulian akhlaq".

Friday, July 3, 2009

Terkenang Kisah Yang Lama

Bab I-
Pada tahun 1982, kawan-kawan dari IRC yang balik bercuti musim panas dari UK telah membuat temujanji untuk menziarahi Ustaz Yahya Osman (yang kami panggil di belakangnya sebagai Akhuna Yahya) di Institut an-Nur, di Kota Bharu. Saya hanya sekadar turun ke Kota Bharu dalam menyertai mereka.

Ustaz Yahya adalah seorang tokoh yang dihormati di kalangan aktivis-aktivis Islam, semada dalam PAS, mahupun organisasi lain dalam dan luar Negara. Beliau dikenali di kalangan pimpinan tertinggi, ahli Maktab al-Irshad, bagi Ikwan di Masir. Walaupun susuk tubuhnya bersaiz kecil, bakat dan kebolehannya besar berbanding dengan tokoh-tokoh lain. Kelemahannya pula beliau tidak petah bersyarah dan dikatakan mudah ‘bengkeng; walaupun dalam banyak keadaan perwatakannya lembut dan sangat bersopan.

Pada pertemuan itu, Ustaz Ya telah menekan peri-penting istiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam. Beliau mendatangkan kisah Saiyyidina Rasulullah yang didatangi oleh bapa saudara kesayangannya Abu Talib. Abu Talib telah menyampaikan tawaran-tawaran dari pimpinan Quraish, termasuk tawaran kepimpinan kepada Rasulullah, lalu Baginda menjawab, “sekiranya diletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku sebagai tawaran agar aku meninggalkan urusan ini, aku tetap menolak sehingga Allah menentukan, semada aku binasa dalam memperjuangkannya atau akau memperolihi kejayaan”

Ustaz Ya kemudian membaca ayat 32 dari Surah at-Taubah yang menunjukkan sikap orang-orang munafiq dan lemah iman:

“Sekiranya ada keuntungan yang hampir dan perjalanan yang dekat, niscaya mereka akan mengikut engkau (Ya Rasulullah), tetapi dirasakan jauh bagi mereka perjalanan yang sukar itu, Nanti mereka akan bersumpah dengan nama Allah “sekiranya kami termampu, sudah tentu kami keluar bersamamu”. Mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahuii tentang sesungguhnya mereka adalah golongan pendusta

Terasa berderau darah saya ketika itu kerana penerangan Ustaz Ya itu agak tegas dan keras. Tiada istilah kompromi dalam peringatannya itu. Saya tidak memeluk sepenuhnya sikap yang dihujjahkan oleh Ustaz Ya. Saya diberitahu oleh rakan-rakan yang antara tokoh yang menganjurkan sikap yang lebih tegas daripada itu adalah Allahyarham Ustaz Wan Jamil dalam mukhayyam yang telah diadakan di Pulau Perhentian (antara yang hadar adalah Sdr. Dr Abdul Rahim Ghouse. Itu setakat yang masih diingati). Tetapi saya sedar itulah kefahaman yang dikongsi oleh ahli PAS yang menyebabkan mereka mampu sabar dengan kekalahan demi kekalahan dalam pilihanraya, dan inilah juga kefahaman yang telah menggerakkan ahli-ahli PAS untuk berkerja keras sehingga Pas mendapat kemenangan pada pilihanraya 1990 di Kelantan. Kata seorang daripada mereka: “ setiap malam keluar menjaja bulan

Pada era itu, semangat juang PAS secara khusus dan semangat pemuda-pemuda aktivis lain telah dihangatkan dengan kuliah-kuliah Ustaz Abdul Hadi Awang, sehingga saya juga telah diheret sama oleh kawan-kawan yang balik bercuti dari UK untuk bersembahyang jumaat di Masjid Rusila. Sebagai orang muda ketika itu, kita bersemangat sungguh! Kawan-kawan UK itupun belum dipandang serong oleh sebahagian pemimpin PAS dek kerana mereka adalah anggota IRC.

Suasana fahaman dan penghayatan Islam di kalangan orang-orang muda pada era itu bersifat harakiyyah yang agak terlebih. Semuanya mahukan haraki, hatta mahu belajar agama pun dengan ulama haraki. Sehingga melihat golongan orang tua kita sebagai golongan yang kurang memahami Islam yang syamil dan kamil. Kami diberi faham yang tujuan utama daripada penghayatan Islam adalah untuk menegakkan Negara Islam dan meruntuh jahiliyyah. Huraian aqidah dibincangkan pula berdasarkan huraian Rububiyyah, Uluhiyyah; yang dengan mudahnya dapat dihuraikan dan disyarahkan untuk mengatakan seorang itu masih syirik dari segi Uluhiyyah walaupun dia seorang muslim yang taat beribadat dan kental tauhid Rububiyyah-nya! Sehingga ada pula golongan terutama di kampong-kampong yang tidak memakan sembelih , tidak bersembahynag di belakang imam dan tidak beraqad nikah dengan orang yang berlawanan parti. Isu takfir di era itu perlu diakui memang benar, walaupun tidak meluas!

Kemudian masa telah berubah, Ustaz Ya pun kemudiannya menjadi ahli exco Negeri Kelantan dalam kerajaan Perpaduan Ummah. Saya pun tidak lagi menghadiri majlis-majlis seumpama itu selepasnya.

Sebelum era pimpinan ulama, antara slogan PAS yang kerap digunakan adalah alif, ba, ta :agama, bangsa dan tanahair. Kalau di Kelantan, ianya lebih popular dari slogan yang datang pada tahun 1090 iaitu “beri kain pakai, beri gula kacau, beri duit ambil, bila mengundi pangkahlah PAS”. Maksudnya PAS bertukar wajah dari wajah nasionalis-Islamis bertukar menjadi internationalis-Islamis. Perubahan wajah PAS ini dipengaruhi kuat oleh dua faktor yang berlaku hampir serentak; pendedahan meluas kepada pendekatan Islam Haraki dan semangat Revolusi Iran.

Hanya sekarang, mungkin sahaja banyak daripada ahli-ahli PAS yang datang selepas kemenangan PAS di Kelantan pada tahun 1990, tidak berkesempatan untuk berkongsi suasana yang hangat dengan semangat kefahaman yang sebegitu. Suasananya susah dan adventureous bagi aktivis parti, sehingga yang berkerja dengan pihak kerajaan telah ditukar keluar negeri atau ke kawasan-kawasan pendalaman.

Bagi menghadapi pilihanraya 1990, PAS telah mengemukakan konsep Tahalluf as-Siyasi; Konsep kerjasama politik dengan parti S46 dan parti-parti lain (peringkat awalnya termasuk dengan CCC). Bagaimanapun akibat strategi itu, beberapa pemimpin PAS, dari kalangan ulama telah menentang dan ada golongan kecil dari kalangan mereka yang keluar dari PAS dan membentuk Islah.

Kemudian PAS bekerja-sama dengan Keadilan dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat, sehingga pada tahun 1999, PAS dapat menawan Terangganu selain mempertahankan Kelantan. Semenjak PAS terkeluar daripada BN pada tahun 1978, PAS sentiasa konsisten dalam mencabar pengaruh BN, semada bersendirian atau dalam pakatan parti-parti. Era ini mempamirkan kehebatan pimpinan Almarhum Ustaz Fadil Noor yang bersifat relatifnya sederhana dan terbuka.

Ekuran dari peristiwa penangkapan Anwar Ibrahim dan Reformasi serta banyak disokong oleh stail pimpinan Ustaz Fadil Noor, ramailah juga anggota-anggota NGO Islam menyertai PAS, bahkan mereka diberi kesempatan untuk mewakili PAS dalam pilihanraya dan menjawat pimpinan parti. Kemudiannya mereka merupakan golongan profesional yang lantang menyuarakan kepentingan-kepentingan PAS semada dalam ceramah mahupun tulisan. Kehadiran dan sumbangan mereka kepada PAS dialu-alukan.

Berikutan keputusan pilihanraya 2008 yang agak mengejutkan, banyak pihak dalam politik dan di luar politik yang mula berfikir di luar kotak fikiran yang lazim. Ada yang bimbang tentang kelangsungan ketuanan Melayu dan kedudukan agama Islam. Kebetulan memang terdapat usaha terancang oleh pihak tertentu yang bertujuan melanjutkan usia kerajaan pimpinan Pak Lah Badawi; maka bercambahlah idea muzakarah-muqabalah antara UMNO dan PAS di kalangan sekelompok kecil pemimpin tertinggi PAS dan UMNO.

Bab II-
Semua perjalanan dan perkembangan dalam pendirian dan arus di dalam PAS ini agak sukar untuk disambungkan secara licin dalam suatu bab, terutama di tengah-tengah perjalanan sejarahnya ianya disulami oleh kenyataan Tuan Guru Haji Hadi yang kemudian dimasyhurkan sebagai Amanat Haji Hadi, ianya dilatar-belakangi oleh kanta kefahaman yang melihat dunia hanya di dalam warna putih-hitam; tiada ruang kelabu untuk mengisi di antara keduanya. Buku Maulana Maududi dan As-Syahid Sayyid Qutb adalah makanan ruji ketika itu. Bahkan Ustaz Nakahie dan Ustaz Harun Taib, pimpinan ulama PAS yang tertonjol ketika itu telah menghukum haram kepada keadaan `berbilang jamaah’. Bagi mereka hanya kewujudan PAS sahaja yang syari’ie di negara kita ini, kumpulan-kumpulan Islam yang lainya tidak harus ada.

Sementara ustaz-ustaz yang telah transit di dalam kumpulan serpihan Islah kemudiannya menyertai UMNO pada tahun awal tahun 1990’an, mereka ini ketika memegang jawatan dalam PAS telah mengambil jalur yang keras dan keterlaluan dalam menyesatkan UMNO dan anggotanya. Terdapat orang awam yang termakan dengan corak pembawaan mereka. Hanyalah selepas mereka menyertai UMNO, mereka masih tetap mengekalkan sikap keras dan keterlaluan mereka, tetapi sasaran mereka kali ini adalah PAS dan pemimpinnnya. Dalam ceramah di bandar Pasir Mas sempena pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, Ustaz Muhammad Nur Idris begitu lantang menyesatkan PAS, dan antara lain dia menyatakan yang beliau, Ustaz Mustafa Taib dan rakan-rakannya yang lain telah sedar tentang penyelewengan PAS dan menyertai UMNO, dan sedikit masa lagi Ustaz Harun Taib pula akan sedar dan akan bersama dalam UMNO. Sesuatu yang hampir mustahil pada fikiran kita di waktu itu kerana kita terbayangkan ketegasan yang terpamir pada sikap Ustaz Harun Taib. Mana mungkin Ustaz Harun Taib boleh berkompromi dengan UMNO, lagikan dengan gurunya, Tuan Guru Hj Abbas pun, beliau bertegas!

Apa yang satu masa dahulu dituduh sebagai pemahaman dan pemikiran yang tidak jelas (kerana pemikiran yang jelas ketika itu ialah anggapan jamaah aku memahami Islam secara syumul dan kamil, seakan Negara Islam dalam buangan, pemahaman yang lain itu tentunya tidak jelas) itu kini hampir menjadi arus perdana. Sudah tentu banyak kebaikannya yang dapat diharapkan dari perubahan ini, suasana yang agak jumud itu telah menjadi lebih anjal, kita sudah tentu tidak mendengar lagi kata-kata ceramah: ”hak cacang tak dang duk lagi dah jadi kafir, hak duduk tak dang cacang dah jadi kafir, kita kata hak dalang al-Qurang, hak dalang hadith, dia laung belawok!”. Ceramah dalam corak sebegini hanya tinggal dalam lipatan kenangan dan catitan sejarah. Begitu jugalah agaknya dengan aqad nikah yang terpaksa diulang secara tidak resmi, tidak makan sembelihan orang dari kumpulan lain, memulau majlis pengurusan jenazah, sembahyang dua imam.

Akhir-akhir ini, tokoh-tokoh yang dulunya berpendirian keras seperti TGHH, Ustaz Harun Taib, Ustaz Bakar Chik (tokoh-tokoh bapa kalui dari Terengganu mengikut istilah seorang veteran UMNO kerana sikap bengkeng mereka) pula yang cenderung untuk mewujudkan kerajaan perpaduan, mereka merestui muzakarah ke arah kerjasama UMNO-PAS. Sikap merela lebih lunak berbanding tokoh-tokoh yang agak sederhana dahulunya. Contohnya, TGHH pernah dipetik akhbar sebagai mengatakan PAS boleh memerima seorang berbangsa cina asalkan dia seorang muslim sebagai perdana menteri, kini TGHH bercakap tentang kepentingan survival ummah Melayu dalam politik tanahair, ianya perlu diperkasakan dengan mengadakan kerajaan perpaduan.

Keputusan pilihanraya 2008, berserta terdapatnya tawaran dan rundingan dari pihak UMNO mungkin menjadi antara faktor yang membawa kepada anjakan pendirian sebahagian dari pemimpin PAS. Kalau dahulu, PAS akan memandang serong kepada hampir kesemua usul dan tindakan UMNO. Apabila Pak Lah melancarkan pendekatan pembangunan negara berdasarkan pendekatan Islam Hadari, TGHH pun menulis buku untuk menolak konsep Islam Hadari. Di peringkat bawah, ada penyokong PAS menganggap Islam Hadari itu sebagai ajaran sesat. Walaupun konsep Islam Hadari ada mempunyai penjelasan secara bertulis yang boleh dibaca dan dibahas oleh khalayak secara yang agak kemas berbanding daripada konsep Membanguan Bersama Islam yang dicanang oleh PAS, yang sebenarnya hanya tinggal slogan. Sebelum itupun memang PAS juga mengambil sikap kritikal terhadap penubuhan UIA atau Bank Islam atau penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, kata mereka ini adalah perlaksanaan Islam secara tampal-tampalan, ada yang mengatakan Islam Amerika! PAS konsisten dalam hal ini untuk jangka masa yang panjang. Mereka juga membangkang penangkapan penganut ajaran sesat di bawah ISA.

Perubahan sikap secara drastik inilah yang menyebabkan masyarakat yang mengikuti perkembangan PAS merasa agak pelik, seolah-olah ada yang tidak kena di mana-mana. Kenapa PAS tidak mengekalkan imej pembangkang, tetapi beransur berubah menjadi pembangkang yang constructive, bukan semua usul dan tindakan UMNO dan kerajaan yang perlu dibangkang dan diremehkan. Bangkanglah apa yang perlu dibangkang, dan sokonglah apa yang wajar didukung bersama. Kenapa hinggakan larangan penggunaan istilah Allah oleh orang bukan Islam pun perlu juga dibangkang?

Hayunan extreme dari rupa pembangkang yang tulin( semata-mata mahu membangkang) kepada sikap mahu menjadi penganjur dan pelopor kepada pembentukan kerajaan perpaduan, sikap mementingkan survival bangsa sehingga sanggup meretakkan ikatan Pakatan Rakyat tidak dapat menyakinkan masyarakat umum yang pemimpin PAS berfikir secara lestari, kecuali yang terbayang corak pemikiran yang terbatuk-batuk. Apalagi mengambil kira PAS bukanlah parti yang memerentah negara, alangkah mulianya anjuran ke arah Kerajaan Perpaduan itu sekiranya ditolak kedepan secara bersungguh-sungguh oleh parti yang memerentah. Tetapi ternampak alangkah kemaruknya pemimpin pembangkang kepada jawatan dan pangkat dalam kerajaan sekiranya mereka yang bersungguh-sungguh mahukan Kerajaan Perpaduan. Apalagi pihak yang menjadi tulang-belakang dan tenaga penggerak kepada Kerajaan Perpaduan dari kalangan pemimpin PAS tidak konsisten dalam kenyataan mereka. Awalnya menafi terdapatnya pertemuan sehingga mahu menyaman blogger tertentu sebagai pembuat fitnah, sekali ianya dikatakan adalah keputusan Dewan Syura kemudian dinyatakan ianya belum diputuskan oleh mana-mana mesyuarat parti, sekali masyarakat akan faham konsep Kerajaan Perpaduan, kemudian mengatakan ianya sekadar lontaran pemikiran sebagai pembincangan akademik. Al-Quran mengajar kita yang perkara benar itu antara lain dapat dikenal apabila kenyataan-kenyataannya tidak akan bercanggah dan menidakkan sesama sendiri.

Bab III
Dalam muktamar PAS 2009. isu yang hangat dibincangkan menjelang muktamar adalah penerusan Pimpinan Ulama. Datuk Muhammad Daud Iraqi, selaku Ketua Dewan Ulama membawa usul yang mahukan jawatan presiden, timbalan presiden dan seorang daripada 3 naib presiden mestilah dilantik dari kalangan ulama, Dewan Ulama menerima usul ini tanpa bahas.

Rakyat Malaysia tidak pernah sebelum ini menyaksikan pimpinan-pimpinan PAS dan tokoh-tokoh lain diberi ruang yang banyak dan istimewa dalam media-massa arus perdana, terutamanya Utusan Malaysia untuk melahirkan pendirian masing-masing dalam isu pimpinan dan arahtuju parti. Seolah-olah terbayang Utusan Malaysia ketika itu adalah wadah terpenting yang memperjuangkan ketulenan perjuangan PAS serta mempertahankan Pimpinan Ulama; melebihi peranan akhbar resmi PAS Harakah.

Sebaik sahaja impian Dewan Ulama menjadi kenyataan di dalam muktamar ini, iaitu jawatan presiden, timbalan presiden dan seorang daripada naib-presiden terdiri daripada ulama, maka fenomena sahut-menyahut di antara pimpinan PAS dan UMNO ke arah kerjasama dalam bentuk Kerajaan Perpaduan pun semakin rancak. Kemuncaknya Datuk Sri Najib mengatakan PAS ikhlas dalam mahukan mewujudkan Kerajaan Perpaduan. Di sambut oleh Nasharuddin dengan lapang dada dan akan melapurkan kenyataan itu kepada Presiden Parti yang berada di luar negera dengan seberapa segera.

Dikuti dengan perkembangan yang anti-climax, Datuk Nik Abdul Aziz, Murshidu ‘Am mengamuk, sehingga menyarankan Nasharuddin masuk UMNO sahaja sekira mahu berkerjasama dengan UMNO dengan membentuk Kerajaan Perpaduan. Tiba-tiba kenyataan-kenyataan pimpinan PAS seolah-olah telah mengenakan reverse-gear; tiada lagi hasrat kepada pewujudan Kerajaan Perpaduan, tetapi isu Kerajan Perpaduan ini ditohmahkan pula sebagai mainan jahat media milik UMNO yang hendak melihat perpecahan di kalangan Pakatan Rakyat dan dalam organisasi PAS. PAS di mana-mana peringkat pimpinannya sekalipun belum pernah bermesyuarat berkenaan isu ini telah ditegaskan oleh setiausahanya, Mustafa Ali dan disebut sekali lagi di parlimen oleh Abdul Halim Ab. Rahman. Walaupun banyak pokok yang telah tumbang , jangan disangka taufan menganas, rupanya angin pun tiada bertiup. Betul kah begitu?

Apa lagi akan berlaku, berapakah lagi selekoh yang akan diambil oleh pimpinan PAS, dalam isu ini, adakah terdapat round-about di depan sana yang belum dapat ditentukan?. Manakala kita orang awam melihat segala ini dengan penuh minat sehingga mengalahkan minat kebanyakan kita dalam menyaksikan perlumbaan formula-one. Itulah politik.

Rupa-rupanya hanya mereka yang mempunyai darah politik sahaja yang boleh memahami lengguk politik, kita yang tidak mempunyai darah jenis itu hanya sekadar memerhati, cuba memahaminya dari jauh. Tentu ianya tidak salah, sebagaimana kita yang tidak pandai bermain bola tetapi berminat untuk menilai dan mengeritik pemain-pemain profesional kelas dunia. Tidak seorangpun pemain-pemain tersebut yang marah dan mengatakan apa hak kita untuk mengeritik mereka?. Kalau tidak mahu dinilai dan diberi pandangan oleh orang-orang di luar gelanggang, baik saja ahli-ahli politik dari parti mana sekalipun jangan keluar rumah dan jangan keluarkan sebarang kenyataan, barulah dia selamat daripada membuat sesuatu yang orang boleh salah baca dan salah tafsir

Thursday, July 2, 2009

Pesan Guru Kami (Meminjam Mata Guru)

Guru saya pernah bercerita yang beliau telah didatangi oleh sekumpulan lebai-lebai yang agak berumur meminta untuk menadah kitab kepada beliau. Salah seorang daripada mereka bertanyakan guru saya "kenapa kebanyakan guru-guru (ajaran kerohanian) hidup miskin tanpa harta?". Beliau menjawab dengan spontan " Lihat dengan mata mana?, kalau dilihat dengan mata yang dibuat sahan/kain basahan [ertinya: selalu dipakai] untuk menenguk television, sudah tentu kita tidak dapat melihat harta kekayaan mereka. Kalau nak tenguk kekayaan mereka, pinjamlah mata mereka, tenguklah melalui mata itu" . Salah seorang daripada mereka terus menyampuk: itulah yang kita mari ke sini, untuk meminjam mata Adik Haji [gelaran mereka kepada Guru tersebut]. Guru saja merasa lega dengan jawaban tersebut.

Dia mengatakan harta kekayaan ulama adalah pada kepuasaan menemui sesuatu faham, menggarap sesuatu penjelasan yang baru, keasyikan mereka dalam mengikuti kupasan ilmu selapis demi selapis. Itu belum diambil kira keseronokan golongan yang lebih tinggi kesedarannya dalam bermunajat dan beribadat kepada Allah, yang mana nikmatnya terlebih nikmat.

Kadang-kadang dia bertanya salah seorang daripada kami :sekiranya mahu dibayar hafalan kita bagi surah al-Fatihah dengan sejuta Ringgit, Surah al-Ikhlas 500 ribu, bayaran itu akan menyebabkan kita akan melupai surah-surah itu, apakah kita mahu?. Ketika rakan itu menjawab : Tidak sanggup. Guru kami tersenyum sambil berkata : Apa yang dikehendaki lagi, paling kurang kita dah mempunyai kekayaan bernilai melebihi sejuta setengah ringgit.

Katanya Tuhan Maha Adil, dalam kebanyakan hal orang yang diberi kekayaan kebendaan, tidak memperolihi kekayaan faham. Orang yang mempunyai anugerah faham, biasanya tidak mempunyai kekayaan kebendaan. Memang ada orang yang diberi kedua-duanya tetapi jarang, dan yang jarang itu tidak terjumlah dalam hitungan.

Saya agak ragu-ragu untuk menerima kenyataan spontan beliau itu, kerana bukan kah orang kaya itu menjadi kaya kerana fahamnya?. Sehingga saya memerhati keadaan seorang rakan saya. Beliau ini adalah seorang yang sangat aktif dalam kerja-kerja Islam ketika belajar di luar negera, kegiatan beliau dalam kerja-kerja dakwah telah banyak menghaluskan dan melunakkan citarasa dan pembawaan beliau yang dulunya agak nakal. Percakapaan beliau saya rasakan sarat dengan ilmu dan kesedaran. Bagaimanapun beliau kemudiannya menjadi kaya dan berharta dengan kadar yang agak cepat. Beliau pulang sebagai seorang usahawan muda yang berjaya dan berharta. Kemudian timbul minat untuk melibatkan diri dalam politik, ya demi berkhidmat kepada negara dan masyarakat setelah berjaya dalam dunia koperat. Sedikit demi sedikit kawan-kawan beliau berubah corak, dari golongan 'brothers kepada golongan kepada 'huha-huha'. Corak hidup beliau pun mulai berubah hanyut tanpa disedari, sauhnya terangkat.

Dia tidak lagi dikelilingi oleh golongan yang mempunyai pemikiran idealis dan kritis serta tidak sangat mempunyai kepentingan peribadi, sebaliknya beliau dikelilingi oleh golongan berkepentingan dan kaki ampu. Beliau pun nampaknya menikmati kemewahan harta-benda dan kelazatan diampu. Maka ketajaman kefahaman yang pernah terpamir dari kata-kata beliau semakin menghilang, rupa-rupa pada rakan saya ini saya melihat kebenaran yang dikatakan oleh guru saya.

Alhamdulillah, saya sempat bertemu dan berguru dengan seorang yang layak untuk saya pinjamkan matanya dalam melihat, memahami dan menjalani kehidupan. Beliau juga mengatakan peranan guru adalah mengajar ilmu ketika dihadapannya, dan mengajar adab ketika ketiadaannnya. Semoga saya akan dirahmati Allah dengan terus menerus mendapat pendidikan adab dari guru ini dan ulama-ulama silam yang lain walaupun tanpa kehadiran mereka.

Wednesday, July 1, 2009

Pesan Guru Kami (Ilmu Dituntut Bukan Untuk Hidup Senang)

Guru saya yang amat dikasihi juga berpesan jangan dituntut ilmu dengan niat untuk hidup senang. Kerana apabila kita memiliki ilmu, kehidupan kita bukan akan bertambah senang, tetapi menjadi semakin rumit.

Tanpa ilmu kita tidak akan dibatasi oleh garisan sempadan halal-haram, tanpa perlu memikirkan resiko dan kesan akibat. Kita hanya bertindak sekadar ikut rasa dan kemahuan, dalam memenuhi kehendak kepentingan dan nafsu semasa. Sekiranya sesuatu usaha itu menatijahkan keburukan, maka hanya penyesalan dan kesedihan yang datangnya pun kemudian.

Orang bahagia tidak semesti hidupnya senang; Rasulullah adalah orang yang paling banyak berdoa untuk kebahagian dunia dan akhirat, bagindalah orang yang paling mustajab doanya. tetapi hidup baginda tidaklah sesenang kehidupan dalam perkiraan kita. Rasulullah ditimpa cabaran dan ujian yang sentiasa datang, Rasulullah menjalani kehidupan yang serba kekurangan dari segi kebendaan dengan reda dan tenang. Kehidupan Rasulullah lah kehidupan yang paling bahagia dan sempurna yang kita mahu tauladani.

Orang yang hidup mewah, kaya-raya , sihat wal afiat tidak semestinya bahagia. Bahagia itu hanya bererti apabila kita menunaikan tanggungjawab kita yang hakiki untuk sujud patuh kepada Allah. Kehidupan bahagia bukannya kehidupan yang mudah, tetapi terlalu banyak memerlukan perjuangan mujahadah yang sukar dan untuk menetapkan hati di atas zikir kepada-Nya.

Ulama menyebut hasanah fi dunya bererti rezki yang halal dan berkat, khusyu dalam sembahyang, ibadat yang diterima, anak-anak yang soleh, isteri yang solehah dan kehiudpan yang bermakna untuk dipersembahkan kepada Tuhan di akhirat kelak, hasanah fi ad-dunya menjadi ladang pertanian yang hasilnya akan dituai sebagai hasanah fi al-akhirah. Bukanlah hasanah fi ad-dunya itu adalah perkara lain yang tercerai daripada hasanah fi al-akhirah